Wednesday, August 27, 2008

LATIHAN KARANGAN UMUM BAHASA MELAYU

Anda boleh menjawab soalan-soalan berikut dan kemudiannya menghantar kepada saya melalui e-mel atau menghantar sendiri di dalam kelas pada masa mata pelajaran saya untuk permarkahan dan juga komen.

Arahan soalan:
Para pelajar diminta memilih hanya satu soalan karangan daripada senarai karangan di bawah dan kemudiannya menulis sebuah karangan dengan isi kandungannya melebihi daripada 350 patah perkataan.



1. Melancong sama ada di dalam negara atau di luar negara banyak memberikan faedah kepada pelajar. Sejauh manakah anda bersetuju dengan pernyataan ini? Berikan pendapat anda.


2 . Kepincangan institusi kekeluargaan akan memberi kesan yang besar kepada kesejahteraan negara. Ulaskan pernyataan ini.


3. Peningkatan harga minyak global yang berterusan bakal menjejaskan kehidupan haraian penduduk dunia. Bincangkan.

4. Sekolah anda mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di peringkat negeri. Hal ini kerana pihak sekolah telah melaksanakan pelbagai program untuk mencapai kejayaan tersebut. Anda ingin menceritakan program tersebut kepada seorang sahabat anda yang berada di negeri lain. Tuliskan surat anda selengkapnya.

5. “Bagai melepaskan batuk di tangga” bermaksud membuat sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh. Tuliskan sebuah cerpen berdasarkan peribahasa tersebut.


CARA-CARA MENULIS KARANGAN APLIKASI KOMSAS

MENULIS KARANGAN APLIKASI KOMSAS

Saya akan memperjelaskan kepada anda kreativiti menulis karangan yang diaplikasikan melalui Komponen Kesusasteraan (KOMSAS). Lazimnya soalan peperiksaan Bahasa Melayu SPM meminta calon:

• Mengulas novel yang pernah dibaca
• Mengulas drama/teater yang pernah ditonton
• Menulis cerpen/drama berdasarkan petikan pendahuluan penutup
• Menulis cerpen berdasarkan peribahasa dan tema

Sebenarnya semua soalan ini adalah cukup mudah kerana anda semua telah biasa melihat membaca dan menganalisis cerpen mahupun novel yang telah anda pelajari. Anda pastinya telah didedahkan kepada aspek kajian kesusasteraan semenjak anda berada dalam tingkatan satu lagi.

Tambahan pula, anda telah mengikuti Program Nilam di peringkat sekolah anda. Bermakna dalam pengetahuan dan ingatan anda telah tersimpan beberapa buah novel yang dikarang oleh barisan penulis popular mahupun pengarang karya-karya besar.

Begitu juga, berdasarkan pengalaman anda yang telah menyaksikan sebuah pementasan teater mahupun drama secara langsung, contohnya pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang, P. Ramlee The Musical dan berbagai pementasan yang lain.

Manakala, filem-filem berkualiti arahan penggiat seni tanah air dan luar negara turut anda saksikan melalui tayangan pawagam mahupun di kaca televisyen. Jelas sekali bahawa “pembelajaran secara tidak langsung” telah anda lalui melalui media kesusasteraan.

Saya kemukakan panduan menulis karangan jika soalan tersebut meminta anda mengulas cerpen, novel, drama, dan filem yang pernah anda tonton. Teliti panduan berikut:

ULASAN KOMPONEN KESUSASTERAAN

-JUDUL KARYA
-PENGARANG/PENGARAH DAN TERBITAN
-TEMA
-PERSOALAN
-LATAR WATAK DAN PERWATAKAN
-TEKNIK PLOT
-GAYA BAHASA
-NILAI-NILAI MURNI
-PENGAJARAN

Berdasarkan analisis di atas, anda boleh memilih kekuatan aspek yang ada terdapat dalam karya yang diulas. Anda perlu ingat, bahawa anda perlu mengulas secara intelektual dan mendalam untuk menggambarkan bahawa anda “faham” apa yang anda tulis.

Anda juga harus menggunakan serba sedikit istilah-istilah kesusasteraan yang dipelajari seperti mesej, kata-kata puitis, plot cerita, klimaks, teknik monolog, watak protagonist dan berbagai-bagai lagi kosa kata untuk membuktikan adanya sentuhan komponen kesusasteraan pada kerja anda.

Sekiranya anda diminta untuk menghasilkan cerpen dan drama berdasarkan petikan mahupun tema, saya ingin mencadangkan beberapa perkara berikut sebagai panduan untuk anda menulis sebuah karangan yang mantap. Teliti panduan berikut:

TEKNIK MENULIS CERPEN DAN DRAMA

-JUDUL/KARYA
-TEMA
-KRONOLOGI PENCERITAAN
-TEKNIK PLOT
-PENGEMBANGAN WATAK
-GAYA BAHASA
-LATAR
-PENGAJARAN

Untuk memperhalus penulisan anda, setiap aspek komponen kesusasteraan harus diaplikasikan. Terutamanya dalam teknik plot, seharusnya karya anda ada pengembangan penceritaan dan disulami dengan kepelbagaian teknik dialog, monolog, imbas kembali serta teknik suspens.

Variasi inilah yang akan menunjukkan anda menghayati kerja anda tersebut. Maka penggunaan teknik menulis cerpen ini dapat mengelakkan anda daripada menulis seperti menulis sebuah catatan perjalanan. Ramai pelajar cuba menghasilkan cerpen ketika menjawab soalan peperiksaan, tetapi kualiti penghasilan mereka tidak mencapai piawaian sebuah cerpen yang sebenarnya.

Kesimpulannya, saya telah menunjukkan serba sedikit panduan menulis karangan aplikasi KOMSAS . Kebebasan mencanai idea dalam mengulas dan menulis karya merupakan peluang terbaik buat anda yang menghargai kesenian dan kebudayaan. Luahan suara hati anda dan pandangan anda perlulah disampaikan dengan penuh keikhlasan dan kewibawaan.

Selamat mencuba.

Sunday, August 24, 2008

MENJANA KUASA PENGGUNA
















Keperluan membentuk kesedaran dalam kalangan para pengguna demi memantapkan ekonomi negara adalah satu agenda yang berkepentingan tinggi dalam usaha kerajaan untuk melaksanakan suatu aliran “Pengguna Perkasa”. Jika pada suatu masa dahulu, penjual, pembekal atau pun pengilang boleh bertindak menaikkan harga sesuatu barangan di pasaran terutamanya apabila menjelang sesuatu musim perayaan mengikut suka hati mereka, hari ini dengan kesedaran dalam kalangan pengguna khususnya bahawa kekuatan sebenarnya berada dalam tangan pengguna sendiri, keadaan-keadaan seperti ini telah semakin berkurangan. Kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini, jika tidak dibendung dengan berkesaan akhirnya akan membahayakan ekonomi negara dan akibatnya masyarakat juga yang akan menanggung rugi.

Jika pengguna terasa ditipu dengan sesuatu produk, maka pengguna boleh bertindak memboikot barangan berkenaan. Tindakan ini akhirnya akan memberi kesan kewangan negatif kepada syarikat pembuat barangan berkenaan, dan ini akan memberi kesedaran kepada mereka tentang “Kuasa Pengguna”. Kesedaran dan keprihatinan ini perlu datang daripada para pengguna sendiri, contohnya apabila kita membeli tepung sekampit yang ditulis berat bersihnya 1 kilogram, adalah wajar bagi kita menimbang semula kampit tepung berkenaan dan memastikan bahawa berat bersih produk berkenaan adalah benar-benar 1 kilogram. Sebagai pengguna prihatin, kita juga perlu mengambil tahu dengan lebih teliti tentang barangan yang kita beli. Apakah ramuannya? Adakah bahan pewarna yang digunakan menepati syarat-syarat kesihatan pengguna seperti yang telah di tetapkan oleh kerajaan? Adakah produk berkenaan mengandungi MSG? Adakah produk itu benar-benar berstatus halal? Adakah harga jualannya menepati harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan? Ketika membeli belah, berapa ramaikah yang akan membelek-belek dan membaca setiap satu pek atau tin barangan yang hendak dibeli dan membuat perbandingan harga setiap produk yang dibeli? Isu-isu sebeginilah yang perlu menjadi perhatian para pengguna hari ini.

Fenomena kenaikan harga barangan keperluan ini bukanlah suatu masalah yang cuma berlaku di Malaysia sahaja, malahan telah menjadi suatu permasaalahan global hari ini. Pada Oktober 2007, rakyat Italy telah memboikot “Pasta” apabila harga makanan ini naik melebihi 20 peratus dalam masa seminggu. Hasil daripada tindakan ini pengeluar “Pasta” terpaksa akur kepada sentimen “Kuasa Pengguna” Italy, dan menurunkan semula kadar harga barangan berkenaan. Mekanisma penyebab kepada kenaikan harga barangan sememangnya berhubung kait rapat antara satu sama lain. Contohnya di Mexico, apabila permintaan meningkat untuk minyak bio-diesel yang dipanggil “Ethanol” yang dihasilkan daripada jagung, maka harga jagung di pasaran terus melambung dan ini menyebabkan timbulnya masalah bekalan jagung kepada penternak lembu tenusu yang juga memerlukan jagung sebagai makanan utama untuk haiwan ternakan mereka, ekoran ini harga susu, keju, mentega pula ikut naik di pasaran Mexico. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pertanian dan Pemakanan Sedunia yang beribu pejabat di Brussels, harga pasaran makanan sedunia pada hari ini naik sebanyak 70 peratus berbanding dengan harga pada tahun 2000.

Hakikatnya pada hari ini, dengan meningkatnya taraf hidup bagi penduduk-penduduk di negara-negara membangun dunia yang besar seperti China dan India, maka permintaan dunia untuk barangan seperti gandum, beras, minyak masak dan bahan-bahan keperluan asas kehidupan yang lain akan terus juga meningkat. Faktor lonjakan harga minyak dunia juga bererti bahawa kos dalam proses pembuatan, penghantaran akan terus meningkat dan ini akan menyumbang kepada peningkatan harga barangan di pasaran. Faktor cuaca juga memainkan peranan yang penting bagi sektor penanaman sedunia. Permintaan bahan mentah seperti jagung, gandum dan lain-lain lagi untuk diproseskan menjadi bio-fuel atau ethanol adalah juga merupakan faktor penyumbang kepada kestabilan harga barangan pasaran.

Manusia memerlukan tiga perkara asas untuk kehidupan, i) makanan, ii) pakaian, iii) tempat tinggal. Akibat dari krisis bekalan makanan yang gagal dikawal, akan membawa kepada kemelut kenaikan harga bekalan makanan di pasaran dan ini akan akhirnya menyebabkan berlakunya inflasi kepada ekonomi sesebuah negara. Oleh itu, pemantauan dan usaha berterusan perlu diperhebatkan lagi dalam usaha untuk menangani apa-apa jua krisis bersangkutan yang berkemungkinan akan timbul pada masa depan. Kita sebagai pengguna yang bijak adalah agen pemerhati harga barangan di pasaran yang paling efektif untuk membantu pihak kerajaan memantau pergerakan harga-harga pasaran. Selain itu, akta undang-undang perlindungan pengguna yang membawa kepada hukuman yang lebih drastik mestilah terus digubal demi untuk perlindungan jangka panjang pengguna.

Kementerian yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menjaga hal ehwal pengguna ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh kementerian terbabit demi untuk memastikan kebajikan pengguna benar-benar terjamin. Antara langkah-langkah berikut adalah:

Penubuhan Stok Penimbal Kebangsaan.
Penubuhan Majlis Harga Negara.
Larangan membawa keluar barangan kawalan dari Malaysia.
Memberi pengetahuan dan kefahaman kepada pengguna tentang hak-hak mereka.
Penggubalan rang undang-undang “Akta Perlindungan Pengguna 1999”.
Penubuhan Mahkamah Tribunal Pengguna.
Menggerakkan secara aggresif sektor tani negara dan langkah membangunkan Sarawak
sebagai “Negeri Jelapang Padi Ke-dua Negara”.

Tindakan-tindakan ini telah berjaya mengawal kestabilan harga barangan di pasaran dan juga dengan bantuan padu beberapa agensi berwajib yang lain, telah dapat mengurangkan kadar aktiviti penyeludupan bahan makanan ke negara jiran. Hasil daripada pemantauan berterusan dan beberapa lagi langkah susulan proaktif kerajaan, kebajikan dan kesejahteraan kita sebagai pengguna telah dapat dimantapkan lagi. Dengan terlaksananya perubahan-perubahan kritikal ini, telah dapat membantu untuk memangkinkan lagi ekonomi negara. Justeru marilah kita sebagai pengguna bersama-sama memupuk kesedaran tentang hak-hak kita, langsung menjalankan tanggungjawab sosial kita dan juga memartabatkan diri kita sebagai “Pengguna Bestari”.

Bahan-bahan rujukan:
http://www.ppim.org.my/
http://www.kpdnhep.gov.my/
Majalah Dewan Ekonomi

MAKANAN KAEDAH KEJURUTERAAN GENETIK (GE)
















Makanan Kaedah Kejuruteraan Genetik (GE): Adakah Selamat Untuk Pengguna?

Isu makanan yang dihasilkan melalui kejuruteraan genetik atau pun “genetically engineered” ( GE ) bukan satu isu yang baru. Bagaimana pun isu berkenaan terus menarik kontroversi apabila dikaitkan dengan tahap keselamatannya terhadap kesihatan pengguna. Tinjauan yang dibuat oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa 92 peratus responden di Kanada menyatakan kebimbangan mereka berhubung dengan kesan jangka panjang kepada manusia, manakala 61 peratus responden di Britain menyatakan tahap kerisauan mereka terhadap makanan yang terhasil daripada kaedah kejuruteraan genetik.Kejuruteraan genetik adalah merupakan satu aktiviti utama di dalam bioteknologi. Tanaman yang telah terhasil melalui kaedah kejuruteraan genetik dikenali dengan pelbagai nama termasuklah tumbuhan kejuruteraan genetik, tumbuhan bio-kejuruteraan, organisma ubahsuai genetik, tanaman ubahsuai genetik atau pun tumbuhan bio-tek.

Memetik satu penulisan daripada Agensi Pemakanan Kebangsaan Amerika Syarikat (USFDA) yang bertajuk Sempadan Bioteknologi Mengikut Perspektif Kemanusiaan, tumbuh-tumbuhan kejuruteraan genetik pada mulanya dihasilkan supaya wujud perubahan terhadap juzuk kandungannya, atau keseluruhan makanan yang terhasil daripada penggunaannya, iaitu dari aspek kualiti dan komposisi nutrien yang dapat diperbaiki ataupun sekaligus dipertingkatkan lagi berbanding dengan tumbuh-tumbuhan tanaman organik. Sebagai contoh, terdapat peningkatan kandungan mineral dan antioksidan seperti karotenoid, flavanoid, Vitamin A, C dan E dalam tumbuh-tumbuhan jenis ini. Bahan-bahan ini membantu melambatkan atau menurunkan kadar proses pengoksidan di samping melambatkan kerosakan yang disebabkan tindak balas kimia. Hal ini bermakna sayur-sayuran dan buah-buahan yang dihasilkan melalui proses kejuruteraan genetik akan tahan lebih lama ketika di pasaran jika dibandingkan dengan sayur-sayuran atau buah-buahan yang terhasil melalui proses tanaman secara organik.

Namun begitu, penanaman secara komersil betik kejuruteraan genetik yang dilakukan dengan meluas di beberapa wilayah di Hawaii Amerika Syarikat pada sekitar awal tahun 2000 telah membawa kesan negatif kepada industri betik tanaman organik dan asli di sana. Begitu juga dengan penemuan ejen trans-gen (sejenis gen yang berpotensi untuk memusnahkan seluruh tanaman organik) dalam jagung hasil tanaman organik di Mexico yang dikatakan berpunca daripada lima hingga enam juta tan jagung yang dibeli dari Amerika Syarikat untuk dijadikan bantuan makanan kepada penduduk termiskin di Mexico.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh sebuah makmal di Jepun, gen asing yang digunakan sebagai agen proses pemula dalam kejuruteraan genetik mungkin boleh mengubah kandungan nutrien makanan dengan cara yang tidak dijangkakan. Misalnya mengurangkan kandungan sesetengah nutrien dan meningkatkan kandungan nutrien yang lain. Kerintangan terhadap antibiotik mungkin boleh berlaku kerana gen yang digunakan dalam sesetengah tanaman yang diubahsuai mungkin boleh memindahkan penyakit yang disebabkan oleh mikrob, ke dalam usus manusia atau haiwan yang menggunakan makanan kejuruteraan ginetik. Proses ini mungkin akan menyumbang kepada masalah perkembangan kesihatan umum kerana rintangan terhadap antibiotik ini akan akhirnya terpindah kepada manusia melalui pengambilan makanan yang terhasil melalui kaedah kejuruteraan ginetik.

Penemuan terbaru hasil kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa tanaman-tanaman ladang yang diubahsuai melalui proses kejuruteraan ginetik telah menunjukkan tahap kerintangan yang tinggi dan luarbiasa terhadap racun pemusnah tumbuhan seperti racun Herbisid, Pesticid dan lain-lain lagi. Kemungkinan jika dibiarkan, akan berlaku hubungan silang dengan spesies-spesies yang lain dan akan menghasilkan satu bentuk tanaman liar baru yang sukar untuk dimusnahkan. Keadaan ini sekaligus akan memerlukan kita mencipta racun yang lebih kuat untuk mengawalnya dan secara tidak langsung akan membahayakan alam sekitar kita.

Apabila menyentuh tentang isu ini, pelbagai pendapat dilontarkan daripada banyak pihak tentang kebaikan dan keburukan kejuruteraan genetik. Dengan anggaran daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa dunia perlu meningkatkan tahap pengeluaran makanan sebanyak 50% lagi menjelang tahun 2030 demi mengelak berlakunya krisis makanan yang lebih buruk, maka ada kemungkinnya juga bahawa penghasilan makanan melalui kaedah kejuruteraan genetik ini adalah salah satunya jalan keluar terbaik untuk mengatasi kemelut krisis bekalan makanan dunia hari ini. Seperti biasa pro dan kontra pasti menjadi noktah perbincangan tanpa ada pihak yang benar-benar dapat memastikan atau menjamin setiap makanan yang terhasil melalui kaedah kejuruteraan genetik adalah benar-benar selamat. Justeru sebagai pilihan kepada pengguna, kita perlulah mengikut panduan yang disediakan oleh kerajaan dan badan-badan yang berwajib di Malaysia mengenai isu ini.

Bahan-bahan rujukan:
www.usfda.org
http://www.who.org/
http://www.beritaharian.com.my/
http://www.nihhonshimbun.co.jp/

LILIN





















Di kala malam gelita,
Kutermangu-mangu dalam gelap,
Meraba-raba titian yang hilang,
Cuba mencari jalan keluar,
Tapi sayang,
Tiada dayaku,
Sejalur nur pun tidak sudi menjengah.

Di kala malam gelita,
Tikaku meraba-raba,
Lalu tersuluh suatu cahaya,
Menerangi sekelilingku,
Sinarnya meresap ke mataku,
Lalu turun ke kalbu.

Cahaya itu,
Sudah lama kucari,
Cahaya itu,
Sudah lama kunanti,
Terangnya lilin itu,
Mewarnai segenap ruang jiwaku.

Dengan lilin ini,
Dapatlah daku mengerti,
Ertinya gelap-gelita,
Maknanya terang-benderang,
Kian hari aku bersemangat,
Ditemani nurmu.

Dalam cahaya itu,
Kulihat kau amat mulia,
Sanggup membakar dirimu,
Untuk menerangi hidupku,
Tiada kau jemu,
Tiada kau mengeluh,
Tiada pun kau minta belas.

Tapi kusedar akan takdir,
Masanya sudah tiba,
Untuk aku pergi meninggalkanmu,

Namun,
Kumasih ingat cahayamu,
Kupasti genggam erat,
Segala apa yang kau tunjukkan,

Kepadaku,
Tiada dapat kulupakanmu,

Cuma satu pinta ku,
Doakan supaya kuberjaya,
Merentasi hidup ini

Sampai bila pun kukenang,
Kerana engkaulah,
Guruku.



Sumbangan karya Nadhir Nasir

SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN - SIKAP BERJIMAT CERMAT DALAM KALANGAN MASYARAKAT MALAYSIA















Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.

Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu sediakan payung sebelum hujan.

Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.

Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.

Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.

Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

VIDEO SANTAPAN ROHANI

video

MALANG TIDAK BERBAU - LANGKAH-LANGKAH MENGATASINYA

Dalam kesibukan negara mencapai taraf negara maju kelas pertama dalam era pembangunan dan pembinaan negara, jaringan lebuh raya dan lingkaran jalan raya di nusa tercinta ini sentiasa dititikberatkan oleh pihak kerajaan. Malaysia dikatakan memiliki kualiti jalan raya yang paling baik di rantau ini sebaliknya mencatatkan kadar kemalangan yang paling tinggi. Mengikut statistik Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), dalam tahun 2007 sahaja, lebih daripada 300 ribu kemalangan telah dicatatkan. Malang tidak berbau, tetapi bau malang boleh dielakkan. Jika dipandang enteng, nyawa modal insan negara bagai telur di hujung tanduk. Oleh itu, langkah-langkah drastik dan proaktif mestilah diambil oleh pihak berwajib untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang banyak meragut nyawa.

Kerajaan mestilah membuat anjakan paradigma dalam sistem pelaksanaan undang-undang keselamatan di jalan raya. Penguatkuasaan undang-undang seyogianya diiringi ketegasan melaksanakannya. Pihak berkuasa seperti polis trafik tidak boleh bertolak ansur waima berkompromi dalam menegakkan undang-undang. Penggubalan akta keselamatan mestilah diubahsuai mengikut keperluan semasa. Denda dalam lingkungan RM150 hingga RM300 tidak pernah meninggalkan bekas, terutamanya kepada golongan yang bermaharajalela di jalan raya. Oleh hal yang demikian, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jikalau pihak kerajaan menaikkan kadar denda dan saman, langkah ini dapat memberi pedoman kepada pengguna jalan raya agar lebih bermoral dan beretika semasa memandu.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri umpamanya mestilah diberi kuasa dan mandat untuk melaksanakan tugas. Sesiapa yang terlibat dalam tragedi kemalangan di jalan raya mestilah ditarik lesen pemanduannya. Sementara itu, sistem merit yang dijalankan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mestilah dipautkan dengan sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar kedua-dua agensi kerajaan ini berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk melaksanakan hukuman terhadap pesalah laku lalu lintas yang membelakangkan nyawa insan lain. Pihak kerajaan sewajarnya memegang prinsip genggam bara api, biar jadi arang dalam usaha menjadikan laluan trafik di Malaysia bebas daripada kemalangan. Dengan langkah ini, imej negara di persada dunia dapat dipertingkatkan demi kemajuan pelbagai bidang yang diharap-harapkan.

Jika dikaji dari sudut pemilikan lesen memandu, rakyat Malaysia amat bertuah kerana sistem yang diguna pakai di sini masih longgar dan mudah. Sejak beberapa dasawarsa, proses pemilikan lesen memandu amat mudah dan longgar. Kelonggaran undang-undang yang dicemari gejala rasuah menyebabkan banyak nyawa insan tidak berdosa melayang dan sekali gus meranapkan harapan ibu bapa mangsa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. pihak berkenaan diharapkan dapat membuat pengubahsuaian terhadap silibus ujian pemanduan. Dengan pendekatan yang positif ini, rakyat yang berjaya memiliki lesen memandu setelah melalui proses kompleks dan sukar pasti lebih menghargai lesen yang berjaya dimiliki oleh mereka. Oleh sebab itu, sudah sampai masanya pihak PJP mengambil langkah proaktif untuk sama-sama menjadikan pemandu Malaysia lebih berkualiti.

Sebagai penutup wacana, kita harus sedar bahawa nyawa manusia tidak boleh dijual beli seperti di pasar raya. Oleh itu, pelaksanaan undang-undang yang bersesuaian dengan keperluan rakyat dan negara mestilah dilakukan dengan baik. Rakyat haruslah sedar akan prinsip biar lambat, asalkan selamat. Pemandu dan pengguna jalan raya sama-sama mendapat manfaat jika semua pihak bersepakat dalam ciri-ciri keselamatan di jalan raya. Rakyat merupakan penggerak kemajuan negara. Tanpa kemajuan, kita tidak dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Keselamatan anda di jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. Hal ini demikian kerana pandu cermat, jiwa selamat. Keselamatan di jalan raya dapat memastikan kita selamat berada di bumi bertuah ini untuk meneruskan kehidupan yang lebih bermakna demi keluarga, bangsa, dan negara.