Sunday, February 22, 2009

RUMUSAN PETIKAN

Teknik Menjawab Rumusan

• Jawab soalan ini dulu kerana inilah lubuk markah.

• Dicadangkan 10 patah kata untuk pendahuluan, 70 kata untuk isi tersurat, 25 patah kata untuk isi tersirat dan 15 patah kata untuk kesimpulan. Rancang perenggan anda dengan teliti.

• Untuk pendahuluan, sila semak kata-kata sinonim untuk faktor, kepentingan, kesan dan sebagainya. Apakah makna perkataan ini? Natijah, kekangan, kemaslahatan, manfaat, gejala, strategi, . Sila cari makna yang tepat daripada kamus dewan.

• Mulakan isi tersurat dengan (rujuk soalan, katakanlah faktor) Salah satu faktor keracunan makanan ialah (isi pertama). Selain itu, (isi ke-2), Seterusnya, (isi ketiga), Seperkara lagi, (isi ke-4), malahan (isi ke-5). Di samping itu(isi ke-6) dan juga, (isi ketujuh). Justeru bukan penanda wacana.

• Kalau isi tersurat dah tulis 6, kira jumlah kata. Kalau baru 60, boleh tambah satu isi lagi. Kalau sudah 65 ke atas, semak semula kalau-kalau ada perkataan yang tak perlu untuk dibuang dan boleh tambah satu isi lagi. Kalau tidak, ada teruskan saja ke perenggan seterusnya iaitu menuliskan isi tersirat.

• Mulakan isi tersirat dengan menuliskan kembali soalan untuk isi tersirat. contohnya usaha-usaha untuk mengatasi keracunan makanan. Contoh: usaha-usaha untuk mengatasi keracunan makanan ialah (isi 1) dan (isi 2). Kalau belum cukup 25 patah kata, boleh tambah isi. Selain itu, (isi 3).

• Kesimpulan hendaklah satu ayat sahaja yang terdiri daripada 2 unsur. Unsur pertama ialah cadangan anda iaitu apa/siapa yang patut melakukan sesuatu. Unsur kedua ialah mengapa cadangan itu patut dilaksanakan/kesan daripada cadangan itu. Contoh: Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama untuk mengelakkan keracunan makanan (unsur pertama) agar keselamatan awam terjamin. (unsur kedua).

• Kira balik jumlah perkataan dan kalau sudah berpuas hati, tuliskan jumlah perkataan yang benar di bawah rumusan anda.

• Ingat, di samping itu dikira 2 perkataan. (di dan ke tidak dikira) Nama khas, walau panjang mana sekalipun dikira 1 perkataan dan kata ganda juga 1 perkataan.


Sumber: Modul Cemerlang SPM SMKGH

KATA SATU PERKATAAN

Pelajar-pelajar seringkali menghadapi masalah mengeja Kata Majmuk dan Kata Berpartikel.Bagi mengelakkan pelajar-pelajar membuat kesalahan, rujuk daftar ejaan ini.

DAFTAR KATA MAJMUK DAN KATA BERPARTIKEL
YANG DIEJA SEBAGAI SATU PERKATAAN


KATA MAJMUK

antarabangsa
beritahu
bumiputera
jawatankuasa
kakitangan
kerjasama
olahraga
matahari
setiausaha
sukarela
suruhanjaya
tandatangan
tanggungjawab
warganegara
pesuruhjaya
ubahsuai



KATA BERPARTIKEL

adapun
andaipun
ataupun
biarpun
bagaimanapun
lagipun
kalaupun
kendatipun
mahupun
meskipun
walaupun
sekalipun
sungguhpun

Sunday, February 1, 2009

TUNTUTAN BERKAITAN ALAM SEKITAR

Tuntutan terhadap alam sekitar boleh dilihat daripada pelbagai cara. Tuntutan ini juga merangkumi aktiviti seperti kitar semula, penggunaan tenaga, air dan sumber secara lestari, serta kesannya terhadap kehidupan dan alam sekitar. Akta Perihal Dagangan 1972 menyatakan bahawa akta ini dan perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya adalah bertujuan melarang penggunaan perihal, pernyataan atau petunjuk palsu atau yang mengelirukan berhubung dengan barangan, perkhidmatan, tempat tinggal, kemudahan dan harga barang. Sesiapa yang didapati membuat kenyataan palsu kepada pengguna berkenaan barangan, mereka boleh dikenakan tindakan serius oleh pihak yang berkuasa.

Contoh tuntutan berkaitan Alam Sekitar:
Berikut adalah beberapa contoh yang dapat membantu pengguna untuk mengenal pasti jika sesebuah tuntutan yang dibuat oleh sesuatu pihak berkenaan produk mereka adalah benar atau tidak.

(a) Produk mesra ozon atau selamat digunakan tanpa merosakkan lapisan ozon
Sesuatu produk yang dilabel sabagai “mesra alam” boleh menimbulkan kecurigaan sekiranya produk tersebut sebenarnya mengandungi bahan- bahan yang boleh membahayakan lapisan ozon. Maka, pengeluar syarikat tersebut tidak menyatakan sifat
sebenar produk dan ianya adalah salah di sisi undang- undang. Sebagai contoh, terdapat sesetengah penyaman udara yang dilabel sebagai “ mesra alam” tetapi kandungannya mengandungi bahan kimia ‘Volatile Compound Organic” yang sebenarnya boleh menyebabkan kabus bercampur asap berlaku, Di sini, pengguna dikatakan telah diperdayakan.

(b) Barangan kitar semula
Sesuatu produk atau bungkusan pakej mempunyai label yang menyatakan produk tersebut boleh dikitar semula hanya jika produk tersebut boleh dikutip semula, dipisahkan, ataupun dikumpulkan daripada barangan yang telah dibuang untuk digunakan semula melalui proses pengitaran yang betul. Jika tidak, produk itu tidak boleh dilabel kitar semula. Sebagai contoh, beg plastik yang telah digunakan untuk membuang sampah tidak boleh dikitar semula kerana biasanya, beg-beg plastik tersebut mempunyai pelbagai sampah dan telah pun dicemari dengan sampah-sarap. Maka, label kitar semula ini sebenarnya tidak boleh digunakan. Produk makanan yang telah dibungkus dalam kotak yang mempunyai tanda anak panah kitar semula juga mengelirukan pengguna. Perkara ini kerana, tidak ada nota pendek yang menyatakan sama ada kotak itu yang harus dikitar semula atau kotak tersebut diperbuat daripada bahan kitar semula. Perkara ini menimbulkan kekeliruan kepada para pengguna. Oleh itu, tanda kitar semula tersebut harus lebih jelas.

(c) Boleh diisi semula
Sesebuah syarikat atau peniaga tidak boleh meletakkan label atau perkataan pada produk mereka yang menyatakan bahawa “boleh diisi semula” sekiranya syarikat tersebut tidak mempunyai perkhidmatan tersebut. Syarikat pengeluar haruslah menjual ataupun menyediakan perkhidmatan untuk isi semula kepada pengguna terhadap produk mereka. Sebagai contoh, Syarikat X menjual sebuah pen dakwat yang dikatakan dapat diisi semula oleh Syarikat X. Maka, Syarikat X juga harus menjual dakwat yang boleh dibeli oleh pengguna untuk mengisi pen tersebut. Jika Syarikat X hanya menjual pen dan tidak menjual dakwat untuk diisi semula, maka syarikat tersebut tidak boleh menyatakan pen mereka boleh diisi semula. Seseorang penguna mempunyai tanggungjawab supaya meneliti sebelum membeli barangan dan harus memastikan bahawa pengeluar tidak membuat tuntutan yang palsu mengenai barangan mereka, yang boleh mengelirukan pengguna.

SUMBER: Kementerian Alam Sekitar

YANG TERKINI!

Perubahan Soalan dalam SPM Bahasa Melayu - Jun dan November 2008

Dalam soalan Bahasa Melayu SPM, ada perubahan dari segi arahan. Perhatikan soalannya:

BM Kertas 1 – Jun dan Nov 2008

Lihat soalan Bhg A - Jun 2008
Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada kegiatan dalam bidang pertanian di negara kita. Huraikan pendapat anda tentang peluang kerjaya dalam bidang pertanian di Malaysia. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Lihat soalan Bhg A - Nov 2008

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada fenomena pencemaran sungai. Huraikan pendapat anda tentangpunca-punca pencemaran sungai. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Komen:
Bentuk soalan yang dikemukakan ini berbeza dengan soalan SPM sebelum ini. Dalam soalan, terdapat penyataan soalan. Soalan ini mirip soalan Bahagian B.

BM Kertas 2 – Jun dan Nov 2008

Soalan Tatabahasa yang terkini:

3(c) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.


3(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.


Komen:
Diharapkan para pelajar sedar akan perubahan ini dan membaca soalan dengan teliti sebelum menjawab. Selamat Maju Jaya!

PENGGANTI CFC DAN HCFC PATUT DIKAJI

Lapisan ozon ialah lapisan yang mewujudkan perlindungan mengelilingi bumi. Lapisan ini berfungsi sebagai penyerap sinar ultra ungu (UV). Manakala CFC (klorofluorokarbon) ialah bahan kimia yang dihasilkan oleh manusia yang boleh memusnahkan lapisan ozon secara perlahan-lahan. CFC juga dapat menyerapkan penyinaran inframerah dari permukaan bumi dan menyebabkan peningkatan suhu, sehingga menyebabkan kesan rumah hijau.

Peningkatan suhu sebegini mencairkan ais batu di kutub dan glasier dengan lebih pantas, serta menyebabkan peningkatan paras laut dan mengganggu perubahan cuaca di bumi. Sinar ultraungu akan menyebabkan kanser kulit, katarak dan melemahkan sistem imunisasi manusia. Peningkatan sinar UV juga akan mengurangkan hasil tanaman dan mengganggu rantai makanan hidupan akuatik dan darat.

Secara umumnya, CFC digunakan oleh pendingin hawa dalam bangunan dan kereta serta sistem penyejukan seperti peti sejuk, penyejuk beku dan mesin pembuatan ais. CFC juga dihasilkan daripada produk getah, seperti dalam pembungkusan makanan dan kusyen. Aerosol seperti racun perosak dan racun serangga serta bahan pencuci dan pelarut minyak yang kita gunakan dalam kehidupan harian juga melepaskan CFC ke dalam atmosfera. Selain itu, pemadam api juga mengunakan halon ini.

Menurut Protokol Montreal yang ditandatangani pada tahun 1987, anggaran konservatif mencadangkan pengurangan penggunaan CFC sebanyak 85% dalam penghapusan CFC pada tahun 2010. Pihak kerajaan dan orang awam patut lebih berwaspada kepada isu ini. Hal ini kerana CFC bukan sahaja akan menjejaskan alam sekitar, malah CFC juga mengancam kehidupan manusia dan organisma lain.

Kerajaan harus menguatkuasakan pembelian peti sejuk alternatif yang bebas daripada CFC tanpa mengambil kira sama ada ia adalah pengguna domestik atau komersil. Syarikat komersial yang besar seperti kilang, pejabat dan hotel boleh memilih produk mesra alam sekitar apabila membeli peti sejuk dan pendingin hawa.

Penguna-penguna domestik juga perlu memilih untuk menggunakan aerosol, pendingin hawa dan peti sejuk yang bebas daripada CFC. Selain menggunakan barang yang mesra alam, kita juga perlu mengawal kadar CFC yang dilepaskan ke alam sekitar dengan meminimumkan kebocoran daripada peti sejuk dan dan pendingin hawa. Peralatan ini perlu diperiksa dari semasa ke semasa untuk mengesan kebocoran atau memasang satu alat untuk mengesan sebarang kebocoran supaya dapat memastikan mesin itu berfungsi dalam keadaan yang baik.

Kini terdapat pengganti untuk CFC di pasaran iaitu hidroklorofluorokarbon atau HCFC. Kuasa penghapusannya kepada lapisan ozon adalah 90% kurang daripada CFC. Oleh itu, kita dapat menggantikan produk dengan CFC kepada HCFC melalui pencapaian Protokol Montreal di Malaysia. Akan tetapi, cara ini ialah cara sementara untuk melambatkan kadar penipisan lapisan ozon. Lama-kelamaan, lapisan ozon akan dihapuskan oleh HCFC juga.

Mesej yang mengelirukan pengguna bahawa HCFC adalah penyelesaian untuk CFC mesti ditangani segera kerana banyak industri dan pengguna domestik telah mula menggunakan HCFC. Bahan alternatif yang boleh mengganti HCFC perlu diusahakan dengan segera. Penggunaan bahan pengganti tanpa perlu menukar peralatan yang telah dibeli akan dapat menjimatkan perbelanjaan semasa penggunaan HCFC dihapuskan.

Pendidikan pengguna yang berterusan merupakan cara yang berkesan untuk mewujudkan perubahan tabiat dan kesedaran kepada pengguna.