Monday, March 30, 2009

KAJIAN KONSTRUKSI SINTAKSIS

TAJUK KAJIAN:

Konstruksi Sintaksis

NAMA PENYELIDIK:

www.spmbahasamelayu.blogspot.com

NAMA SEKOLAH:

MSAB


REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU

Pembinaan ayat merupakan aspek paling asas dalam proses menulisan. Namun demikian, masih ramai lagi pelajar yang kurang mahir membina ayat. Sepanjang tempoh saya menjadi guru, perkara inilah yang merupakan masalah yang sering dihadapi oleh pelajar. Kebiasaannya, apabila pelajar diminta membina ayat mereka akan membina ayat-ayat yang tergantung. malah seringkali juga mereka membina ayat yang yang tidak pasti subjek atau predikatnya. Bukan itu sahaja malah peraturan tanda baca juga tidak dipatuhi. Mereka ini terpengaruh dengan sindrom Bahasa Melayu ala Sistem Pesanan Mesej Ringkas (SMS).

Selain itu, mereka juga cenderung mengikut pembawakan rancangan-rancangan bercorak penyertaan SMS daripada para penonton. Sikap kurang membaca dan suka ber“chatting” juga menjadi penyumbang kepada gejala ini. Ini adalah kerana, dalam susunan ayat-ayat semasa “chatting”, hampir kesemua ayat akan disingkatkan penulisannya. Manakala kualiti yang dibawa oleh rancangan-rancangan televisyen tempatan menambah kerumitan kepada perkara ini. Sebagai contoh, sebuah drama bertajuk Ceria-ceria Cikgu Rubina yang ditayangkan pada hari Isnin jam 7:30 hingga 8:00 malam di TV3, memaparkan kisah remaja yang menggunakan bahasa Melayu dengan sebutan dan intonasi yang pantas sehingga bahasa itu menjadi cacamerba. Sebagai contoh “Awak hendak ke mana?” disingkatkan kepada “wak nak gi ner?”. Hal inilah yang menjadi ikutan remaja zaman milenium ini dan telah mula merebak kepada cara dan gaya penulisan mereka pula. Apakah rupa dan sebutan serta kualiti Bahasa Melayu 10 tahun kehadapan? Ataupun juga 20 tahun kehadapan apabila para remaja hari ini pula akan menjadi ibubapa? Adakah Bahasa Melayu sebenarnya sedang menjalani evolusi negatif tanpa disedari ramai?

Kepincangan ini telah menyebabkan kemerosotan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan keadaan ini amat membimbangkan pihak sekolah kerana GPK sekolah akan merosot sekiranya fenomena ini berterusan. Berdasarkan Ujian Formatif I yang lalu, para para pelajar tidak menulis ayat-ayat yang lengkap apabila mengemukakan isi-isi tersurat atau tersirat dalam menulis rumusan. Hal ini menyebabkan pelajar kehilangan markah walaupun isi-isi yang dikemukakan itu betul. Fenomena ini perlu diatasi dan saya telah berusaha pelbagai kaedah untuk menangani perkara ini.

Sebagai guru, saya bercerita kepada pelajar tentang sindrom ini supaya mereka sedar akan masalah yang mereka hadapi ini. Kalau mereka tidak tahu akan wujudnya sindrom ini, mereka tidak prihatin dan insaf akan kesilapan itu dan langkah pertama adalah membentuk kesedaran demi untuk pemulihan. Kita boleh menyedarkan mereka dengan mengaitkan sindrom tersebut dengan drama atau rancangan televisyen yang disukai oleh mereka. Apabila mereka mula membuka mata terhadap masalah ini melalui cara yang menarik minat tadi, saya menyemai minda pelajar-pelajar ini dengan proposal yang dirangka untuk membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi.

Oleh sebab kerangka minda (daya imaginasi) mereka sebenarnya amat ligat berfikir, mereka mula bercakap cepat dan menulis dengan cepat juga untuk mengejar cetusan-cetusan idea tadi. Percakapan dan penulisan sebegini mengakibatkan sindrom dalam drama Ceria-ceria Cikgu Rubina sukar dibendung. Masalah ini pula perlu diatasi dengan menggalakkan pelajar menulis dalam tulisan sambung kerana corak penulisan klasik sebegini sebenarnya mengajar menyeimbangan antara fikiran yang mencambah dan pergerakan fizikal yang rancak. Mengapakah pada masa kita di bangku sekolah dahulu, perkara ini tidak luas berlaku?



ISU/KEPRIHATINAN YANG DIKAJI

Walaupun banyak masalah yang dapat saya kesan, namun kajian ini hanya memfokuskan kepada masalah pembinaan ayat yang sempurna iaitu ayat yang mempunyai subjek dan predikat. Kesilapan yang seringkali dilakukan oleh pelajar ialah:

- menulis ayat-ayat tergantung

- menulis ayat yang tiada subjek ataupun predikat

- menulis ayat-ayat tunggal sahaja sehingga tidak dapat menulis lebih panjang apabila membuat sebarang pengolahan atau penghuraian isi/fakta karangan

- tidak mematuhi tanda baca yang betul


TENTUKAN OBJEKTIF KAJIAN

Objektif Kajian:


Selepas kajian selesai pelajar diharapkan dapat mencapai obkejtif berikut:

i) Objektif Umum
- meningkatkan nilai GPK sekolah dengan peningkatan peratus kepujian dalam
Bahasa Melayu


ii)Objektif Khusus
- meningkatkan keupayaan pelajar membina ayat-ayat yang sempurna.
- memahirkan pelajar menyambung ayat agar ayat yang dibina bukan sahaja terdiri daripada ayat-ayat tunggal malah ayat-ayat majmuk.
- meningkatkan peratus pelajar yang mendapat markah cemerlang dalam ujian/peperiksaan.



KUMPULAN SASARAN

Kajian ini melibatkan 19 orang pelajar 5 Etika yang terdiri daripada 7 orang pelajar Melayu, 5 orang pelajar India, dan 7 orang pelajar Cina.



TINDAKAN YANG DICADANGKAN

Tinjauan Masalah:

- Ujian khas membina ayat berasaskan perkataan yang diberi bagi menganalisis pembinaan ayat pelajar.

- Latihan pelajar bagi mengesan kesilapan penggunaan ayat-ayat yang tergantung.

- Bahan bukti Ujian Lisan Berasaskan Sekolah bagi mengesan kesalahan dalam membina ayat.


Program Konstruksi Sintaksis

Cara Pelaksanaannya:

a) Guru memberikan satu perkataan yang berbeza kepada setiap pelajar di dalam kelas tersebut.

b) Guru meminta pelajar membina sebaris ayat sehari berdasarkan satu perkataan yang diberi itu.

c) Ayat yang ditulis oleh pelajar perlulah ditulis dalam tulisan sambung kerana tulisan sedemikian memerlukan kesabaran dan ini akan memberi ruang kepada latihan kordinasi diantara minda, hati dan juga tangan penulis sendiri untuk menapak semula dikalangan pelajar hari ini. Cara ini juga akan menggalakkan percambahan idea yang lebih bernas dan juga memupuk disiplin diri serta minda.

d) Pelajar mencatat dalam buku catatan khas.

e) Guru meminta setiap pelajar membacakan ayat-ayat yang ditulis oleh pelajar sebaik sahaja memulakan P dan P.

f) Guru meminta pelajar menulis ayat-ayat sehingga membentuk cerita.

g) Ayat-ayat yang ditulis boleh terdiri daripada Ayat Tunggal mahupun Ayat Majmuk. Sekiranya pelajar menulis Ayat Cakap Ajuk, pelajar dikehendaki mematuhi sistem tanda bacanya.

h) Guru menganalisis dan menilai tugasan yang diberinya pada setiap hari.



JADUAL PELAKSANAAN

Bil Aktiviti Tarikh Perlaksanaan
1 Mengenal pasti masalah dan pengumpulan data: 10 Februari 2009

2 Menulis proposal kajian: 13 Februari 2009

3 Merancang tindakan: 17 Februari 2009

4 Melaksanakan tindakan: 19 Februari 2009

5 Membincangkan masalah yang timbul dalam tindakan dan mengatasi masalah:
20 Februari 2009

6 Ujian untuk mengesan pencapaian pelajar: 23 Februari 2009

7 Refleksi kajian: 24 Februari 2009

8 Menulis laporan kajian: 26 Februari 2009

9 Pembentangan dapatan kajian: 2 Mac 2009


Nota Tambahan:

Sewaktu saya berbincang dengan para pelajar saya tentang sindrom Ceria-ceria Cikgu Rubina ini, dalam kalangan mereka telah mula menyedari tentang “masalah/fenomena” ini dalam diri mereka sendiri. Dan mereka turut mencadangkan supaya diadakan satu kajian melalui laman blog ini untuk mengenal pasti sama ada sindrom ini juga turut berlaku di kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak ataupun fenomena ini hanya berlaku di kawasan bandar sahaja. Adakah sindrom ini juga ada hubung kait dengan persekitaran sosio-ekonomi setempat/masyarakat? Jika ada input daripada rakan-rakan kami di sana, harap boleh berkongsi pendapat dengan kami. Terima kasih.

Thursday, March 12, 2009

TAHNIAH!












Tahniah dan syabas kepada semua guru MSAB khususnya PC dan GPK 1, guru-guru yang mengajar Tingkatan 4/5 dan 227 orang pelajarnya yang mencatat sejarah dengan mendapat 100% kelulusan dalam SPM 2008. MSAB juga amat berbesar hati dengan kejayaan 103 orang calon yang mendapat 1A dan 2A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Semoga kejayaan ini menjadi titik tolak untuk anda menggapai kejayaan lebih gemilang lantas menjadi contoh kepada warga pelajar lain di MSAB. USAHA DAN JASA!

Friday, March 6, 2009

BIMBING KAMI CIKGU




















KELAS TAMBAHAN


Kelas Tambahan Bahasa Melayu akan bermula selepas cuti Pertengahan Semester 1 2009 -
tarikh, tempat dan masa akan saya umumkan kemudian. Terima Kasih.

Kepada para pelajar saya yang ingin mengirim e-mel kepada saya, sila sertakan nama dan tingkatan anda supaya dapat saya menjawabnya dengan segera. Manakala pelajar-pelajar dari sekolah yang pernah saya ajar pula, sila sertakan nama dan juga nama sekolah anda. Kepada para pelajar yang lain, diharapkan supaya anda dapat menyertakan nama penuh serta nama sekolah anda dalam semua e-mel anda kepada saya. Saya sedia membantu semua pelajar, terutamanya pelajar dari kawasan luar bandar atau pedalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang menghantar e-mel berkenaan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Terima Kasih.

STRATEGI MENJAWAB SOALAN NOVEL

Sebenarnya amat mudah mendapat markah penuh untuk bahagian ini. Jawapan hanyalah berdasarkan novel-novel yang anda pelajari dan dijawab dalam ayat yang lengkap dan sempurna. Jadi, baca novel sebenar dan bukannya buku analisis novel.

Dalam menjawab, tulis jawapan yang tepat. Jangan beri jawapan yang umum. Sebagai contoh latar tempat. Anda menulis latar tempat shelter (Novel Di Hadapan Pulau). Dalam sesebuah novel, tempat-tempat yang dipilih mempunyai sebab-sebab tertentu. Jadi, anda perlu menjelaskan tentang latar tempat itu secara spesifik. Sebutkan shelter sebagai tempat orang-orang kampung berlindung daripada serangan bom. Barulah satu markah diberikan. Begitu juga jika anda penulis tentang watak, nyatakan nama watak-watak tersebut. Sekiranya fakta yang anda beri salah, huraian tidak akan diberikan markah walaupun huraian betul.

Setiap huraian bagi fakta yang disertakan mesti menyebutkan peristiwa dengan jelas dengan menyebutkan nama watak dalam novel tersebut seperti Ratu Bongsu, Perempuan Tua atau Tuan Robert (Novel Putera Gunung Tahan)..

Berikan penekanan dalam tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot dan teknik plot, latar, nilai dan pengajaran. Aspek gaya bahasa dan sudut pandangan mungkin tidak keluar kerana skop aspek itu agak mendalam dan hanya sesuai untuk pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Namun, aspek-aspek itu perlu juga dipelajari.

Baca novel-novel yang dipelajari di Tingkatan 4 dan 5 - Di Hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan. Terdapat juga soalan perbandingan novel. Namun, tidak mustahil hanya satu novel sahaja yang ditanya dalam soalan. Yang pentingnya jawapan anda mesti memperlihatkan kematangan dan penghayatan terhadap novel tersebut.

Pastikan anda tidak membuat sebarang kesalahan ejaan atau tatabahasa kerana jawapan yang baik akan diberi markah penuh untuk bahasa.

Wednesday, March 4, 2009

KOLEKSI SOALAN NOVEL - 2001 - 2008



















TAHUN 2001 (N)
4a. Pada pendapat anda, wajarkah pengarang mengakhiri cerita seperti yang terdapat dalam novel yang anda pelajar ?
4b. Huraikan empat persoalan yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu.

TAHUN 2002 (J)
4a. Tulis sinopsis novel yang telah anda pelajari.
4b. Huraikan empat nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu.

TAHUN 2002 (N)
4a. Jelaskan tema novel yang telah anda pelajari
4b. Huraikan latar masyarakat dalam novel yang telah anda pelajari

TAHUN 2003 (J)
4a. Plot merupakan aspek penting dalam pembinaan sebuah novel. Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, jelaskan klimaks novel berkenaan dan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kesudahan cerita.
4b. Huraikan empat latar tempat berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari.

TAHUN 2003 (N)
4a. Kegigihan merupakan salah satu persoalan yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari. Buktikan pernyataan tersebut.
4b. Huraikan watak utama novel yang telah anda pelajari

TAHUN 2004 (J)
4a. Watak utama sesebuah novel sering dikaitkan dengan pelbagai cabaran. Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh watak tersebut.
4b. Huraikan empat pengajaran daripada novel yang telah anda pelajari

TAHUN 2004 (N)
4a. Huraikan tiga nilai kasih sayang yang terdapat dalam novel yang anda kaji
4b. Konflik merupakan perkara yang menarik dalam sesebuah cerita. Berdasarkan novel yang anda baca, jelaskan bagaimana watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi.

TAHUN 2005 (J)
4a. Watak sampingan turut memainkan peranan penting dalam sesebuah novel. Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan perwatakan satu daripada watak sampingan tersebut.
4b. Pengarang banyak memberikan teladan kepada pembaca melalui peristiwa-peristiwa yang dipaparkan dalam novelnya. Jelaskan tiga peristiwa yang dapat anda teladani berdasarkan novel yang anda pelajari.

TAHUN 2005 (N)
4a. Terdapat pelbagai peristiwa menarik yang dipaparkan dalam sesebuah novel. Huraikan dua peristiwa paling menarik dalam satu novel yang telah anda pelajari. Mengapakah anda berpendapat demikian?
4b. Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan satu latar tempat dalam setiap novel itu.

TAHUN 2006 (J)
4a. Pertentangan antara watak banyak terdapat dalam sesebuah novel. Huraikan dua peristiwa yang menunjukkan pertentangan antara watak dalam sebuah novel yang anda telah kaji.
4b. Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, jelaskan dua nilai kemasyarakatan daripada setiap novel tersebut.

TAHUN 2006 (N)
4a. Huraikan pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda telah kaji.
4b. Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, jelaskan satu persoalan daripada setiap novel tersebut.

TAHUN 2007 (J)
4a. Nilai setia kawan sering dipaparkan dalam sesebuah novel.
Huraikan dua nilai setia kawan dalam sebuah novel yang anda pelajari
4b. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan tema dalam setiap novel itu.


TAHUN 2007 (N)
4a. Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang dapat dikaitkan dengan persoalan maruah.
4b. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan cara watak utama setiap novel menyelesaikan satu konflik yang dihadapinya.

TAHUN 2008 (J)
4a. Pemilihan tajuk sesebuah novel dapat dikaitkan dengan isi kandungan novel tersebut.
Buktikan pernyataan di atas berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji.
4b. Berdasarkan dua novel yang telah anda kaji, berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam setiap novel.

TAHUN 2008 (N)
4a. Bahagian permulaan sebuah novel memainkan peranan yang penting kepada pembaca untuk meneruskan pembacaan.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua sebab bahagian permulaan novel itu menarik minat anda.
4b. Bandingkan, iaitu dari segi persamaan dan perbezaan, satu latar masyarakat dalam dua buah novel yang anda pelajari.