Wednesday, June 17, 2009

PENYALAHGUNAAN BAHASA MELAYU



Bahasa Jiwa Bangsa, namun mengapakah masih banyak orang menyalahgunakan Bahasa Melayu? Masalah penyalahgunaan Bahasa Melayu bukanlah persoalan baru. Penyalahgunaan Bahasa Melayu pernah menjadi isu yang hangat diperbincangkan pada tahun 1970-an. Penyalahgunaan Bahasa Melayu termasuklah daripada aspek ejaan, sebutan, tatabahasa dan peristilahan.

Kekurangan pengetahuan dan hasrat untuk terlalu meringkaskan ayat pertuturan Bahasa Melayu adalah penyebab utama kepada masalah ini. Kini masalah ini ditambah pula dengan sindrom Bahasa Melayu SMS.

Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan aspek kehidupan moden hari ini memerlukan kita untuk meringkaskan keadaan demi faktor kos, masa dan juga ruang. Akan tetapi faktor penyebab lain seperti sikap masyarakat yang tidak begitu mementingkan ketepatan bahasa (sindrom ASBOL: Asal Boleh) dan tidak mengambil berat terhadap Bahasa Melayu sehingga kesalahan yang dilakukan dalam urusan harian pun tidak dipedulikan lagi, walhal mereka sedar mengenainya.

Selain itu, masyarakat umum yang tidak berikhtiar untuk memperbaiki kebolehan dan penguasaan Bahasa Melayu dalam petuturan harian mereka juga telah menjadi faktor penyumbang kepada pencemaran pertuturan serat kelemahan dalam penguasaan Bahasa Melayu mereka. Secara tidak langsung, hal ini telah menyebabkan Bahasa Melayu lambat mencapai tahap kemajuan yang memuaskan seperti yang sepatutnya.

Pengaruh bahasa Inggeris yang sudah sebati dengan penggunaan Bahasa Melayu juga merupakan faktor yang menyebabkan pertuturan Bahasa Melayu turut dipengaruhi oleh elemen-elemen dan cara tatabahasa bahasa Inggeris dan ini telah mengkucar-kacirkan lagi kualiti penggunaan Bahasa Melayu terutamanya daripada segi aplikasi struktur ayat.

Terdapat sesetengah golongan yang berpendapat bahawa dengan kemasukan istilah-istilah bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu merupakan suatu perkembangan yang baik ke arah memperkayakan lagi khazanah bahasa Melayu itu sendiri. Mereka memegang pendapat bahawa secara tidak langsung, hal ini membolehkan Bahasa Melayu sebagai bahasa moden, teknikal dan juga sebagai bahasa ilmu dapat diperkembang.

Namun, dalam banyak hal, penerapan bahasa Inggeris yang sewenang-wenangnya telah mencacatkan Bahasa Kebangsaan itu sendiri. Sebaliknya, pencipta Bahasa Melayu menyifatkan penyalahgunaan Bahasa itu sebagai disengajakan oleh golongan tertentu atas kepentingan diri mereka sendiri. Perkara ini boleh di lihat dengan jelas pada sindrom penulisan nota-nota ringkas dan juga komunikasi Sistem Mesej Pesanan Ringkas (SMS).

Kekurangan bahan rujukan ilmiah dalam Bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi juga telah mendorong para mahasiswa untuk membuat penterjemahan daripada bahasa asing ke Bahasa Melayu dengan menggunakan gaya bahasa mereka yang tersendiri dan lama kelamaan perkataan-perkataan serta struktur ayat mereka menjadi norma perantaraan yang diterima ramai dan langsung terus menjadi sebahagian daripada Bahasa Melayu “moden” pula.

Bak kata pepatah, “Setiap penyakit itu ada ubatnya, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya”. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memainkan peranan penting dalam hal ini. Sebagai sebuah pusat pembinaan dan pengembangan Bahasa Melayu yang diamanahkan oleh kerajaan dan juga rakyat, Dewan Bahasa dan Pustaka sentiasa berusaha mengkaji dan memperbetulkan kesalahan bahasa di samping membentuk istilah, ejaan dan menjalankan pelbagai tugas dan peranan lain kearah pemupukan dan pemurnian Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu pasca merdeka telah berkembang dengan begitu pesat daripada segi struktur dan peranannya. Oleh hal demikian, kekacauan dan kekeliruan dalam penggunaan Bahasa Melayu merupakan fenomena yang sememangnya tidak dapat dielakkan jua. Walau bagaimanapun, untuk mengatasi masalah ini, usaha dan kerjasama yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak adalah amat diperlukan.

“Bahasa Jiwa Bangsa”