Friday, July 24, 2009

BERMAIN DENGAN MATEMATIK!


Sebuah kiriman e-mel daripada bekas pelajar saya Cik Nurul Anida yang kini sedang melanjutkan pengajian beliau di Amerika Syarikat. Nampaknya sambutan e-mel daripada bekas pelajar saya amat memberangsangkan. Oleh itu, Laman Bimbingan Bahasa Melayu SPM ini akan mengkhaskan satu ruangan baru yang dinamakan “Sumbangan Pelajar Senior” untuk memuatkan segala hasil nukilan mereka yang sangat kami alu-alukan. Terima kasih dan syabas kepada anda semua!



Semenjak kecil lagi saya memang mengemari subjek Matematik. Ibu saya memainkan peranan penting dalam memupuk minat saya terhadap bidang Matematik. Beliau telah menyediakan banyak permainan Matematik dan alat mainan Matematik yang telah banyak membantu saya untuk memahami kepentingan konsep Matematik dengan hanya bisikan kalbu. Nombor, bentuk, saiz, aritmetik, logik dan lain-lain. Pendek kata, tahap proses pembelajaran kanak-kanak adalah paling optimum semasa mereka sedang bergembira sewaktu bermain. Oleh itu, jangan berlengah lagi. Mari kita bergembira dengan permainan Matematik ini :)

Ini ialah suatu formula matematik yang sangat mudah akan tetapi formula ini juga sangat menghairankan! Mari kita mulakan aplikasi formula ini.

Ambil nombor telefon bimbit anda semua.

Contohnya : 012-345 6789. Angka 012 yang di hadapan tidak akan digunapakai dalam formula ini kerana angka '012' tadi akan menghalang proses perkiraan cara mudah.

Sekarang anda ambil sebuah kalkulator untuk memudahkan pengiraan anda.

Masukkan tiga digit pertama nombor telefon anda ke dalam kalkulator (contoh seperti di atas: 345).

Darabkan dengan 80

Campurkan dengan 1

Darabkan dengan 250

Campurkan jawapan tadi dengan empat angka terakhir nombor telefon anda (contoh seperti di atas: 6789)

Campurkan sekali lagi jawapan dengan empat angka terakhir nombor telefon anda (contoh seperti di atas: 6789)

Tolakkan jumlah tersebut dengan 250

Kemudian terakhir sekali anda bahagikan jumlah ini dengan 2

Sekarang, apakah jawapan anda?


Tuesday, July 21, 2009

IMBAUAN BESI LAMA DI BIRMINGHAM: ERTI KEMERDEKAAN INI.


Hasil kiriman e-mel bekas pelajar saya En. J, yang kini sedang menuntut di Holborn Law Tutors, The United Kingdom. Beliau boleh dihubungi di rarefinds00@yahoo.co.uk

Tajuk karangan ini berkemungkinan besar tidak akan dijadikan topik dalam peperiksaan SPM anda tahun ini. Namun saya merasakan yang saya patut menulis serta berkongsi apa-apa yang terkumpul dalam penglihatan saya dalam konteks erti kemerdekaan, bersempena dengan bulan Kemerdekaan Ogos yang bakal menjelang tiba.

Jika anda telah pun berpeluang melawati ataupun mungkin juga akan suatu hari kelak bertandang ke England anda mungkin juga berminat untuk melawati ke Thinktank Museum yang terletak di Birmingham. Di sini anda boleh melihat pelbagai nostalgia sejarah pencapaian Great Britain dalam perlumbaan teknologinya dengan negara-negara lain di dunia ini. Anda boleh melihat keretapi lokomotif stim pertama yang mampu mencecah 80 batu satu jam dan anda juga boleh melihat pesawat keramat Spitfire Tentera Udara Diraja Britain yang telah mengalahkan armada udara Luftwaffe pihak Jerman dalam Battle of Britain semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Anda juga boleh melihat pelbagai jenis teknologi enjin darat, laut dan udara buatan teknologi dan kepakaran para jurutera Great Britain.










Namun tahukah anda bahawa dalam tempoh masa 446 tahun kita telah di jajah, sudah berapa juta tan timah kita yang telah di ambil mereka demi untuk kemajuan mereka? Kemajuan yang mereka mampu capai kerana akal mereka, kerana sikap berdikari mereka tetapi dengan azab keringat dan linangan mata dan rintihan anak bumi pra-merdeka Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).

Kajian sejarah telah mencatatkan bahawa hampir 80% kekayaan Great Britain hanya mampu mereka capai setelah mereka memperoleh bahan-bahan mentah hasil bumi daripada kekayaan semula jadi negara yang mereka takluki secara ketenteraan dan kemudian jajahi secara politik beratus-ratus tahun lamanya. England boleh dikatakan adalah sebuah negara besar tetapi tidak banyak terdapat hasil bumi. Menyedari hakikat ini maka melalui penjajahan negara-negara lain, mereka beroleh segala jenis bahan mentah dan kemudiannya mereka terus membina kekuatan ekonomi mereka. Kekuatan ekonomi yang masih lagi kekal sehingga ke hari ini. Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) walaupun kecil tetapi tersangat kaya dengan hasil semula jadi buminya daripada limpah anugerah Tuhan kepada kita semua.

Hari ini kita telah pun Merdeka selama 52 tahun. Dalam langkah kemerdekaan ini kita telah mampu meneroka hingga ke angkasa dan menjadi negara Asean pertama yang mempunyai seorang angkasawan. Kita juga mampu mempunyai banggunan tertinggi dunia dan kita juga masih lagi mampu mengekalkan nilai budaya kita sebagai rakyat Malaysia. Sebenarnya kita perlu serba sedikit mencontohi para penjajah kita dahulu dan kita mesti berani dan sanggup meneroka demi untuk kekuatan kita semua. Tanpa ilmu kita tidak akan boleh melangkah jauh ke hadapan lagi. Oleh itu berikan tumpuan anda yang sepenuhnya ketika anda menuntut ilmu pada hari ini dan juga seterusnya. Akal adalah kekuatan yang sebenarnya dan ilmu adalah penyuluh kejayaan anda semua!

Jika kelak anda berpeluang ke Thinktank Museum Birmingham, ketika anda bersiar melihat pencapaian teknologi mereka, ingat juga bahawa asal besi kebanggaan mereka adalah timah yang telah dilombong mungkin di Lembah Kinta Perak atau Sungai Besi Selangor dengan hasil keringat anak Malaya pra-merdeka, yang pada hari ini anda sebagai seorang anak Malaysia pasca Merdeka adalah pewaris mutlak bagi perjuangan mereka yang terdahulu daripada kita.

Ingat dan hargai setiap titik keringat dan air mata pengorbanan mereka, ingat bahawa anda sebenarnya berhutang dengan masa depan anak-anak cucu anda dalam menimba ilmu dan menempa kejayaan anda pada hari ini demi untuk masa depan anda semua!

Jangan hanya mampu menjadi jaguh di bangku sekolah hari ini tetapi akan akhirnya menjadi besi buruk dalam batuan hidup kita yang seterusnya. Jaguh yang bijak dan matang akan mengenali hakikat bahawa kejayaan adalah sebenarnya sebuah perjalanan dan bukanlah satu destinasi.

Terima kasih sekalung budi saya ucapkan kepada semua bekas guru saya. Tanpa jasa anda kepada saya, saya tidak akan mampu meneruskan perjalanan seperti hari ini. Salam Merdeka buat semua.

Wednesday, July 15, 2009

KATA KERJA

Kata kerja terbahagi kepada :

A. Kata Kerja Transitif ( Perbuatan Melampau )

B. Kata Kerja Tak Transitif ( Perbuatan tidak Melampau )


A. Kata Kerja Transitif

1. Kata Kerja Transitf ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuatnya kepada benda lain.Benda yang kena oleh perbuatan itu dipanggil penyambut ( objek ).

2. Ayat ini mesti ada peyambutnya ( objek )

3. Kata kerja ini biasanya mempunyai imbuhan ‘me-‘ sama ada sebagai awalan atau sebahagian daripada imbuhan contohnya mengambil, mendermakan, membacakan, menduduki, mempersilakan.


Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mesti disertai oleh objek, iaitu kata nama.

Contohnya: Atan mendengar radio.

mendengar ialah kata kerja

transitif

radio ialah objek (kata nama)

Kata kerja transitif menggunakan imbuhan men, men ...i, men ...kan, memper, memper...i, dan memper...kan. Contohnya:

Contoh ayat :

1. Kucing itu menangkap seekor burung.

2. perempuan itu menjual sayur.

3. Bapa sedang menulis surat.

Dalam ayat pertama Kucing ialah pembuat, menangkap ialah perbuatan melampau dan seekor burung ialah benda yang kena buat atau penyambut.

Dalam ayat kedua Perempuan ialah pembuat, menjual ialah perbuatan melampau dan sayur ialah benda yang kena buat atau penyambut.

Dalam ayat ketiga Bapa ialah pembuat, menulis ialah perbuatan melampau dan surat ialah benda yang kena buat

atau penyambut.

(a) Pak Abu menjala ikan.

(b) Orang ramai diminta menjauhi kawasan itu.

(c) "Kita tidak harus membiarkan perkara ini berterusan," kata ketua kampung.

(d) Jangan suka memperdaya orang yang bodoh.

(e) Untuk memperbaiki mutu lakon­an anda perlu selalu berlatih.

(f) Pihak polls mempertemukan ibu itu dengan anaknya.


Subjek ( pembuat )
Kata kerja transitif
penyambut ( Objek )
Dia suka
membaca
buku
Jamilah
memukul
seekor ular
Abidin
menjual
kuih-muih
Ramli
berjalan
ke sekolah
Kereta itu
melanggar
seekor lembu


B. Kata Kerja Tak Transitif

Kata kerja tak transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuat itu sendiri kepada diri pembuat itu sendiri, tidak kepada benda atau orang lain. Oleh itu ia tidak mempunyai penyambut.

Contohnya ::

1. Mereka berjalan pada hari cuti.

2. Anjing itu sedang tidur.

3. Hujan turun dengan lebatnya semalam.

Dalam ayat pertama Mereka melakukan berjalan, tidak kepada benda lain.

Dalam ayat kedua Anjing melakukan tidur, tidak kepada benda lain.

Dalam ayat ketiga Hujan melakukan turun, tidak kepada benda lain.


Subjek ( pembuat )

Kata kerja tak Transitif

keterangan

Kami

mandi

di tasek itu.

Dia

senyum

semasa berjalan

Saya

menyanyi

dengan kuat

Hassan

berjalan

ke sekolah


Kata Kerja Tak Transitif


1. Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang dapat berdiri sendiri dalam ayat, yakni tidak memerlukan objek lagi.

2. Kata kerja tak transitif ada yang berbentuk asal dan ada yang berimbuhan ber, men, ter, ber... an,

dan ber...kan. Contohnya: (a) Ravi belum datang lagi. (b) Muridmurid sedang belajar. (c) Sungai itu mengalir deras.

Peringatan

Tiap-tiap kata kerja tak transitif boleh dijadikan kata kerja transitif dengan menambah ‘kan’ atau ‘ I’

di hujungnya.

Contoh ayat:

1. Mereka menjalankan jentera itu.

2. Emak sedang menidurkan adik.

3. Pekerja itu menurunkan barang-barang dari atas lori.

4. Halim mengikuti perbualan mereka.

5. Saya sudahi syarahan saya ini dengan ucapan salam.


Kata Kerja Pasif


1. Kata kerja pasif ialah kata kerja yang berasal daripada kata kerja transitif tetapi yang tidak berawalan men.

Contohnya: angkat, atasi, berikan, percepat, pelajari, persilakan, dan sebagainya.

2. Ada tiga jenis kata kerja pasif. (a) kata kerja pasif diri pertama (b) kata kerja pasif diri kedua (c) kata kerja pasif diri ketiga

3. Kata kerja pasif diri pertama ialah kata kerja pasif yang berimbuhan ku-.

Contohnya: kuangkat, kuatasi, kuberikan, kupercepat, kupelajari, dan kupersilakan.

4. Kata kerja pasif diri kedua ialah yang berimbuhan ka-.

Contohnya: kauangkat, kauatasi, kauberikan, kaupercepat, kaupelajari, dan kaupersilakan.

5 Kata kerja pasif diri ketiga ialah yang berimbuhan di-.

Contohnya: diangkat, diatasi, diberikan, dipercepat, dipelajari, dan dipersilakan

Monday, July 13, 2009

PERJUANGAN DEMI MENIMBA ILMU


PELAJAR Sekolah Menengah Dabong, Kuala Krai, Kelantan perlu berada di stesen sebelum pukul 6 pagi supaya tidak terlepas kereta api yang membawa mereka ke sekolah dengan jarak 40 kilometer. Ikuti cerita seterusnya di Kosmo!

Monday, July 6, 2009

KARANGAN PERPADUAN: PERPADUAN KE ARAH PENGUKUHAN MARTABAT NEGARA..




BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak :

  • mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya ;
  • memelihara satu cara hidup demokratik ;
  • mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama ;
  • menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak ; dan
  • membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :

  • KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
  • KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
  • KELUHURAN PERLEMBAGAAN
  • KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
  • KESOPANAN DAN KESUSILAAN


Pendahuluan

Salah satu daripada naluri semulajadi manusia ialah ingin hidup berkelompok dan bermasyarakat. Maka untuk memastikan tercapainya hasrat tersebut manusia berusaha dengan sedaya upaya agar kehidupan bermasyarakat tersebut terlaksana sepertimana yang dikehendaki dan diimpikan mereka. Maka juga mahu atau tidak mahu mereka akan terpaksa mengenepikan beberapa kepentingan diri sendiri demi untuk mencapai matlamat murni bermasyarakat. Sikap murni ini juga dipanggil toleransi.


Walau bagaimanapun, disebabkan juga oleh lagi satu naluri semulajadi, iaitu kelemahan manusia sendiri maka seringkali tercetusnya juga permusuhan, perkelahian dan adakalanya sehingga membawa kepada peperangan. Permusuhan dan peperangan sering terjadi sekalipun dalam satu keluarga, bangsa dan juga seagama. Permusuhan dan peperangan tercetus apabila kesabaran sudah tidak dapat dipertahankan dan apabila godaan kebendaan, keegoan dan kepentingan diri sendiri mula menguasai fikiran seseorang.


Sebenarnya tidak ada kebaikan yang dapat dihasilkan menerusi permusuhan dan peperangan. Peperangan merosakkan harta benda, memusnahkan segala kemudahan yang telah sedia ada, memutuskan silaturahim, di samping banyak melahirkan orang-orang yang cacat, yatim piatu. Malah bagi sesuatu bangsa, peperangan dan permusuhan akan melemahkan bangsa itu sendiri sekalipun tidak melenyapkannya dari muka bumi ini. Renungkan semula kepada Krisis Balkan 1998 dahulu yang telah menyaksikan perpecahan negara Yugoslavia yang juga dikenali sebagai Krisis Bosnia dan Serbia. Justeru, setiap ugama mengingatkan umatnya supaya sentiasa hidup rukun dan damai serta berpadu erat antara antara satu sama lain.


Definisi Perpaduan

Perkataan “perpaduan” ini asalnya dari perkataan “padu” iaitu “mampat”, “pejal” dan “padat”. Perpaduan sebenarnya ialah penggabungan. Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Lawan bagi “perpaduan” ialah “permusuhan”, “kehancuran” dan “perpecahan”. Jadi, perpaduan dilihat adalah sebenarnya tuntutan untuk satu perkara yang baik manakala perpecahan pula satu perkara yang sangat keji dan tidak baik.

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa punca kesejahteraan itu ialah keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Keharmonian hidup ini tentulah sukar dicapai tanpa adanya perasaan hormat menghormati, menerima seadanya keadaan, keikhlasan, kasih sayang dan semangat persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu yang menganggotai sesebuah masyarakat itu. Oleh itu, para pemimpin negara kita senantiasa membimbing dan menunjuk jalan kepada kita semua demi memastikan wujudnya nilai kasih sayang dan perpaduan itu.

Sesungguhnya keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat dan bernegara ini adalah salah satu nikmat kehidupan yang sangat besar yang dikurniakan kepada manusia. Bayangkan jika anda telah ditakdirkan sebagai seorang rakyat Yugoslavia ketika Krisis BosniaSerbia dahulu? Bayangkan juga jika anda terpaksa mengharungi detik cemas dan gelap Perang Dunia Kedua? Kita semua bernasib baik kerana sebagai warga negara Malaysia yang megah Merdeka, kita hanya perlu membaca semua ini dalam buku mata pelajaran Sejarah, laman internet dan menonton segala kesengsaraan mereka hanya daripada kaca televisyen kita sahaja. Hakikat ini nyata sekali baik di zaman lampau mahupun zaman kini. Sesiapa saja yang tinggal dalam sebuah negara yang aman akan dapat berusaha membangunkan kemajuan negaranya dan dapat hidup sejahtera. Sebaliknya mereka yang tinggal di negara yang kacau bilau, berperang dan berbunuhan, ternyata mereka hidup sengsara, kelaparan dan keperitan


Halangan Kepada Perpaduan

Dalam mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara, manusia tidak terlepas dari menghadapi rintangan dan halangan. Halangan-halangan itu ada yang berpunca dari dalam diri seseorang individu itu sendiri dan tidak kurang juga datangnya dari luar diri kita sendiri.

Sifat sombong dan bangga diri sendiri sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain. Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat rumahtangga, keluarga, masyarakat dan negara. Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan melakukan keganasan dan kekerasan kepada orang lain. Akhirnya ia mencetuskan permusuhan dan peperangan. Perbuatan keras akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.



Bahaya Akibat Perpecahan

Perpecahan dan permusuhan merupakan perbuatan atau gejala masyarakat yang sangat membinasakan. Perpecahan dikutuk kerana ia boleh melemahkan kita sebagai rakyat Malaysia di persada dunia hari ini dan juga esok. Perpecahan hanya akan melemahkan kita dalam pelbagai keadaan serta menjadikan negara lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran yang ada dan akibatnya kita akan dijajah semula oleh kuasa-kuasa asing secara penjajahan politik ataupun melalui penjajahan ekonomi.

Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati di Malaysia hari ini adalah salah satu nikmat kurniaan Tuhan yang dicapai menerusi perpaduan dan keharmonian hidup dalam kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan. Nikmat-nikmat ini mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Bagi anda golongan pelajar dan remaja, secara khusus perpaduan ini lebih penting dan sangat mahal harganya kerana dengan keamanan dan kemakmuran yang ada pada hari ini maka dapatlah usaha-usaha ditingkat bagi kebaikan diri anda dan masa depan anda. Harga sebuah keamanan dan kemakmuran itu sangat penting kerana rakyat di negara-negara yang lain belum mampu memperlihatkan pencapaian yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi berbanding dengan apa yang telah dicapai oleh kita di Malaysia hari ini. Sesungguhnya perpaduanlah merupakan tunjang bagi kemakmuran dan keamanan negara ini.

Tata kelakuan dan gerak-geri masyarakat juga perlu dibentuk supaya selaras dengan tuntutan harmoni, toleransi dan perpaduan. Tingkahlaku yang kasar, biadap, tidak sopan serta tidak pandai menghormati orang lain terutama ibubapa, orang-orang tua, guru-guru dan pemimpin-pemimpin sering menimbulkan rasa benci antara satu sama lain. Oleh itu, dalam usaha membina perpaduan umat maka peningkatan rasa hormat dan kasih sayang mestilah dipupuk dan dipelihara. Dalam konteks masyarakat penyayang yang hendak dibangunkan itu, maka bidang-bidang ini mestilah diberi perhatian. Para guru-guru perlu menjadikan diri mereka sebagai teladan yang baik dalam hal ini.


Sikap Yang Diperlukan

Melihat betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kejayaan umat dan negara, maka kita mestilah sentiasa memupuk kesedaran masyarakat supaya menghargai nilai perpaduan ini serta berusaha menjaga dan memperelokkannya. Kita juga mestilah mengajak masyarakat supaya menjauhi gejala-gejala yang boleh membawa perpecahan di samping mengajak mereka berpegang dengan nilai-nilai hidup murni yang berupa kasih sayang, hormat menghormati dan sebagainya. Namun yang paling utama, kita sendiri mestilah memulakan cara hidup yang mulia ini sebelum kita mengharapkan orang lain dapat mengamalkannya pula. Kesimpulannya, kesedaran bermula daripada anda sendiri.


Penutup

Demikianlah sedikit penjelasan tentang betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kesinambungan kepimpinan mana-mana negara jua. Tanpa kesedaran yang tinggi dan usaha yang gigih dan teratur, masa depan kita semua dalam bahtera Malaysia ini masih belum pasti lagi arahnya. Maka ayuhlah saudara dan saudariku semua, marilah kita bersama menjayakannya demi hari esok untuk kita semua.

SATU MALAYSIA – marilah kita semua bersama-sama menjayakannya. Mulakan dengan anda!

Nota penulis: Saya sering menerima e-mel daripada rakan-rakan siber memohon kebenaran untuk “copy and paste” artikel yang mungkin menarik minat serta mempunyai nilai kegunaan kepada mereka. Saya sedia berkongsi apa-apa sahaja yang terdapat dalam laman ini. Sila juga emelkan apa-apa sahaja pandangan agar dapat kita sama-sama berkongsi minda demi masa depan pelajar dan negara kita yang tercinta ini.

Terima kasih.


Friday, July 3, 2009

IMPAK PROGRAM ANGKASAWAN NEGARA


Kiriman emel daripada bekas pelajar saya.

Ketika kerajaan mengumumkan untuk mencari angkasawan pertama negara sekitar tahun 2003 lalu, ramai yang mula membuat pelbagai interpretasi mengenai projek yang bakal membawa Malaysia menjadi sebuah daripada 39 buah negara elit dunia yang berstatus peneroka angkasa lepas.

Pada waktu itu, tidak ramai mengetahui malah memahami persoalan sebenar di sebalik penghantaran seorang rakyat Malaysia ke angkasa.

Dari sudut pandangan negatif sebahagian masyarakat, ada yang melihatnya sebagai khayalan semata atau “bermimpi di siang hari”.

Namun, bagi yang positif, permulaan Program Angkasawan Negara adalah sebenarnya merupakan satu langkah yang besar bagi manusia sejagat secara amnya dan bagi rakyat Malaysia khususnya.

Sekitar tahun itu juga, nama Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) adalah agak begitu asing sekali terutamanya dalam kalangan masyarakat di pedalaman. Namun kini, selepas dua tahun berlalu, segalanya telah berubah dan jika disebut sahaja tentang Program Angkasawan Negara, ramai hatta kanak-kanak sekolah pun sudah mengetahui malah mampu bercerita mengenai ISS.

Tidak kurang, ada juga dalam kalangan mereka yang beroleh pengetahuan terhadap teknologi roket, sumber atau tenaga pemacuan roket berkenaan serta tentang kapsul angkasa Soyuz yang membawa angkasawan negara iaitu Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke ISS serta dua orang lagi Angkasawan lain pulang semula ke Bumi dengan selamatnya.



Begitulah impak atau kuatnya pengaruh program tersebut sehingga berjaya membuka mata seluruh rakyat Malaysia mengenai teknologi penerokaan angkasa lepas melalui Program Angkasawan Negara.

Bagi kerajaan dan mereka yang terlibat secara langsung dalam Program Angkasawan Negara pula, pasti kejayaan yang ulung kali menghantar rakyat Malaysia ke ISS tanggal 10 Oktober 2007 adalah satu kejayaan yang cukup membanggakan dan telah sekaligus memartabatkan nama Malaysia sebagai salah sebuah daripada 39 buah Negara elit di Cawangan Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang juga diketuai oleh seorang warga rakyat Malaysia Datuk Dr. Mazlan Othman, selaku Pengarah Pejabat PBB Berkaitan Hal Ehwal Angkasa Lepas.



Walaupun angkasawan negara hanya berada di ISS, selama 12 hari, namun kejayaan ini sudah cukup untuk menjadi pemangkin kepada kebangkitan generasi akan datang. Impak daripada Program Angkasawan Negara adalah cukup kuat dan kita sendiri boleh melihat akan perubahan minda dalam kalangan masyarakat muda kita hari ini.

Misalnya, di sebuah sekolah rendah luar bandar, apabila ditanyakan mengenai cita-cita kanak-kanak di sekolah itu, ramai yang mengatakan untuk mahu menjadi angkasawan apabila dewasa kelak. Jika pada masa kita dahulu, jawapan sebegini hanya akan diterima pakai sebagai suatu daya imaginasi kreatif anak-anak sekolah rendah, namun pada hari ini citi-cita berkenaan adalah berkemungkinan besar terlaksana. Inilah permulaan yang sangat berharga hasil daripada penerokaan Program Angkasawan Negara kita.

Walaupun agak sukar untuk kita menghantar angkasawan kedua dalam masa ekonomi dunia kini, mengalami kegawatan, namun kita telah mula menguasai dan mengambil pendekatan serius dalam mengembangkan semua bidang yang berkaitan dengan angkasa lepas.

Mungkin kita lebih perlu memberikan fokus kepada teknologi penyelidikan angkasa lepas atau teknologi penerokaan angkasa lepas pula selepas ini. Sebagai contoh, kalau kita mahukan rakyat kita mampu menjadi jurutera di ISS, kita perlu melatih mereka dari sekarang. Sistem propulsi/pemacuan dalam penerokaan angkasa lepas adalah sangat berbeza dengan apa jua teknologi pemacuan konvensional yang ada di guna pakai pada hari ini. Pada detik ini juga para saintis di NASA dan CERN sedang sibuk menjalankan ujian dalam bidang pemacuan "Anti Matter Engineering". Melalui sumber pemacuan ini, kapal-kapal angkasa pada masa hadapan hanya akan memerlukan 1 gram tenaga jenis berkenaan untuk terbang ke planet Zuhal dan pulang semula ke bumi dalam jangka masa hanya 5 bulan berbanding dengan jangkamasa 7 tahun jika menggunakan sistem teknologi jana kuasa pemacuan angkasa yang ada pada ketika ini. Kita sudah separuh jalan dan Program Angkasawan Negara perlu diteruskan untuk masa depan kita dalam arus pembanggunan ekonomi pengetahuan dunia.

Seperti pepatah lama Arab yang ada menyebut: Kejayaan adalah pengembaraan dan ilmu adalah kejayaan.

Sila klik di sini untuk membolehkan anda membaca dengan lebih mendalam lagi tentang Program Angkasawan Negara.