Sunday, January 24, 2010

MODEL KARANGAN GALUS SPM: USAHA-USAHA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL




PERANAN PIHAK SEKOLAH
- Melalui aktiviti kokurikulum
- Contohnya penubuhan kelab
permainan tradisional
- Menganjurkan pertandingan
tradisional
- dapat meningkatkan kesihatan tubuh badan
- dapat menarik minat pelajar

PERANAN MEDIA MASSA
- menghebahkan permainan tradisional melalui surat khabar, televisyen, majalah, radio dan internet.
- Menganjurkan pertandingan melalui program jom heboh atau mytv3.
- Contohnya layang-layang tercantik, teng-teng, congkak dan sebagainya

PERANAN INDIVIDU
- Setiap individu mestilah mempelajari permainan tradisional
- Setiap individu juga mestilah mengambil bahagian didalam pertandingan
- Contohnya pihak sekolah mengadakan pertandingan congkak, dam , batu seremban, gasing, layang-layang dan sebagainya.

PERANAN PIHAK KERAJAAN
- Mengadakan pesta permainan tradisional
- Contohnya Festival Layang-Layang di Pasir Gudang, Johor.
- Setiap negeri mestilah mengambil bahagian di dalam pertandingan tersebut

PERANAN MASYARAKAT
- memberikan sokongan dengan menubuhkan kelab permainan tradisional di tempat tinggal.
- Menganjurkan pertandingan di peringkat kampung atau kawasan perumahan
- Contohnya permainan gasing dan layang-layang

PERANAN IBU BAPA
- ibu bapa memperkenalkan permainan tradisional sejak kecil lagi
- ibu bapa perlu meluangkan masa bersama-masa anak-anak untuk bermain permainan ini.
- Contohnya bermain congkak pada masa lapang



KARANGAN LENGKAP

Pada hari ini, permainan tradisional mula dilupakan. Antara permainan tradisional tersebut ialah permainan gasing, layang-layang, congkak dan sebagainya. Hal ini disebabkan oleh banyaknya permainan video dan permainan komputer di pasaran. Sebagai contoh play station, game boy dan permainan internet. Oleh itu, usaha-usaha perlu diambil untuk mempopularkan permainan ini.

Salah satu usaha bagi mempopularkan permainan tradisional adalah melalui pihak sekolah. Pihak sekolah perlu mengadakan kegiatan kokurikulum yang berkaitan dengan permainan tradisional. Pihak sekolah perlu menubuhkan Kelab Permainan Tradisional. Usaha ini bertujuan untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelajar-pelajar. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah pertandingan congkak, sepak raga, gasing dan sebagainya. Aktiviti ini boleh memberikan tubuh badan yang sihat. Jelaslah bahawa usaha ini dapat mempopularkan permainan tradisional.

Peranan ibu bapa juga penting untuk mempopularkan permainan tradisional kepada anak-anak . Ibu bapa perlu memperkenalkan permainan tradisional kepada anak-anak sejak kecil lagi. Ibu bapa perlu meluangkan masa bersama dengan anak-anak dengan bermain permainan tradisional seperti bermain congkak. Ibu bapa juga boleh membelikan permainan tradisional seperti gasing, congkak dan layang-layang. Jelaslah bahawa peranan ibu bapa penting dalam mempopularkan permainan tradisional kepada anak-anak.

Usaha seterusnya ialah peranan masyarakat. Masyarakat boleh memberikan sokongan dengan menubuhkan persatuan atau kelab permainan tradisional di tempat tinggal mereka. Mereka boleh bermain pada masa lapang. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan di peringkat kampung atau antara kampung. Sebagai contoh permainan gasing, layang-layang dan sepak raga. Pertandingan ini dapat memperkenalkan dan menonjolkan bakat seseorang dalam permainan tradisional. Oleh itu, peranan masyarakat amat penting dalam usaha mempopularkan permainan tradisional.

Individu juga berperanan dalam usaha mempopularkan permainan tradisional. Mereka hendaklah menanamkan sikap suka dan ingin tahu tentang permainan tradisional. Dengan mempelajari dan mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional setiap individu dapat mengurangkan diri mereka daripada terlibat dengan permainan moden seperti permainan elektronik. Penyertaan pelajar dalam pertandingan yang diadakan oleh pihak sekolah dan masyarakat dapat membantu pelajar mencintai dan meminati permainan tradisional. Oleh yang demikian, peranan individu amat penting dalam mempopularkan permainan tradisional.

Pihak media massa perlu menghebahkan kelebihan permainan tradisional kepada masyarakat. Hebahan boleh dilakukan melalui surat khabar, televisyen, majalah dan internet. Contohnya, TV3 melalui program Jom Heboh boleh mengadakan pertandingan permainan tradisional seperti permainan gasing, congkak dan sebagainya. Sesungguhnya, media massa mampu memperkenalkan permainan tradisioanl kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan. Pihak kerajaan hendaklah mengadakan pesta permainan tradisional pada setiap tahun. Setiap negeri mestilah mengambil bahagian untuk memeriahkan pesta tersebut. Contohnya, Festival Layang-layang di Pasir Gudang, Johor bukan sahaja disertai oleh rakyat tempatan malahan masyarakat antarabangsa. Tegasnya, pihak kerajaan haruslah memainkan peranan dan memastikan permainan tradisional diminati oleh rakyat.

Kesimpulannya, terdapat banyak usaha untuk mempopularkan permainan tradisional. Ringkasnya, semua pihak memainkan peranan penting dalam mempopularkan permainan tradisional. Hal ini demikian agar permainan ini ”tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas”.

Saturday, January 23, 2010

PENGUMUMAN KHAS

Assalamualaikum. Dukacita dimaklumkan secara rasmi bahawa DYMM Sultan Johor telah mangkat. Almarhum mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering. Oleh itu sekolah dicutikan pada 23 Januari (hari ini) dan hari bagi sekolah ganti yang telah dijadualkan pada hari ini akan ditentukan kemudian dan semua aktiviti MSAB dengan ini dibatalkan. Harap maklum.

Al-Fatihah: Almarhum Sultan Iskandar Mangkat.


JOHOR BAHRU 22 Jan. – Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, mangkat malam ini selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.

Baginda berusia 77 tahun.

Almarhum mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di sini pada pukul 11.20 malam.

Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera dan puteri.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Petang ini, putera sulung baginda, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.

Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Bahru, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.

Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.

Klik di sini untuk berital asal dari Utusan Malaysia

Sunday, January 17, 2010

CONTOH KARANGAN GALUS SPM



KUMPULAN 2: TEMA – BANJIR KILAT


PUNCA-PUNCA BANJIR KILAT:



SIKAP MANUSIA


SISTEM PERPARITAN TIDAK SEMPURNA


FAKTOR IKLIM


FAKTOR PENGUATKUASAAN


SIKAP PEMAJU PERUMAHAN



Karangan contoh


Banjir kilat sering berlaku apabila hujan lebat turun secara tiba-tiba. Banjir kilat kerap berlaku di negara kita. Banjir kilat boleh menyusahkan manusia. Banjir kilat juga boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa. Banjir kilat juga boleh mengakibatkan kesesakan jalan raya. Terdapat beberapa punca terjadinya banjir kilat.


Banjir kilat berpunca daripada sikap manusia yang suka membuang sampah di merata-rata tempat. Masyarakat suka membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai. Sampah yang dibuang boleh menyebabkan longkang tersumbat. Apabila hujan secara tiba-tiba, aliran air dalam longkang, parit dan sungai akan tersekat. Contohnya seperti yang berlaku di Jalan Skudai dan Jalan Air Molek di Johor Bahru. Oleh itu, jelaslah bahawa banjir kilat berpunca daripada sikap manusia yang suka membuang sampah di merata-rata tempat.


Di samping itu juga, faktor penguatkuasaan yang terlalu longgar merupakan punca banjir kilat. Hal ini kerana tiada tindakan undang-undang terhadap orang yang membuang sampah di merata-rata tempat. Pihak Berkuasa Tempatan pula tidak memantau kawasan pembuangan sampah. Apabila hujan, kawasan pembuangan sampah menakung air dan banjir kilat berlaku. Contoh peniaga pasar malam sesuka hati membuang sampah berhampiran parit atau longkang tanpa dikenakan hukuman. Oleh itu, jelaslah bahawa penguatkuasaan yang longgar merupakan punca terjadinya banjir kilat.


Selain itu, banjir kilat berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna. Parit dan longkang yang dibina di bandar adalah sempit. Parit juga tersumbat disebabkan oleh longgokan sampah. Hal ini menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan lebat berlaku. Pengaliran air akan tersekat dan melimpah di jalan raya. Contohnya banjir kilat yang berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Jelaslah bahawa sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi punca banjir kilat.


Faktor iklim juga menjadi punca banjir kilat. Iklim yang tidak menentu iaitu kadang-kadang hujan dan kadang-kadang panas boleh menyebabkan banjir kilat. Keadaan ini semakin buruk dengan fenomena El-Nino yang menyebabkan hujan lebat berterusan. Dengan ini, jelaslah bahawa faktor iklim menjadi punca kepada banjir kilat.


Kejadian banjir kilat juga berkaitan dengan aktiviti pemaju projek perumahan. Syarikat perumahan mengabaikan aspek penjagaan alam sekitar. Pemaju-pemaju perumahan tidak memantau projek pembinaan. Mereka juga membiarkan sisa-sisa binaan terbiar selepas sesuatu projek siap djalankan. Contohnya longkang dibiarkan tertimbus dengan pasir dan sisa binaan. Hal ini menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan turun dengan lebatnya.


Kesimpulannya, terdapat banyak punca yang menyebabkan banjir kilat. Semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi mengatasi masalah ini. Hal ini penting agar masalah banjir kilat dapat diatasi. Dengan ini, segala kerugian yang dialami kerana banjir kilat dapat dikurangkan.

Monday, January 11, 2010

SELAMAT TAHUN BAHARU 2010!


Laman Bimbingan Bahasa Melayu SPM mengucapkan

SELAMAT TAHUN BAHARU 2010

kepada semua pengunjung blog terutamanya kepada rakan-rakan followers

Cikgu Rose, Www.O, Amalina Taha, Farah Ain Yazman,
Denise Wei Ting, Aimi Amalina, Emolonely-ling92, NoorA, Ieqaa,

Mr. Faiz, Puteri Zaharah, B, Khalida, J HLT, Bebudak PD, Nur Amalina,
Chitra P, Sheery Hamid, Firdaus Hashim, The Gurlzs, Hatin, One Nita,
Amaq_2712, dan Prakash Koo.


Terima kasih kerana menyokong kami :)