Monday, March 29, 2010

Penggunaan Frasa yang Menarik dalam Karangan


Cadangan penggunaan frasa yang menarik dalam karangan atau juga dalam pertuturan harian anda seperti pemberita tersohor kita, Saudara Karam Singh Walia.

Dalam penulisan karangan, frasa yang menarik boleh diselitkan di mana-mana perenggan asalkan sesuai dengan maksud yang ingin disampaikan. Beberapa contoh frasa yang ditunjukkan dibawah ini mungkin akan dapat dimanfaatkan oleh pelajar semasa menulis Karangan Bahagian A dan Karangan Bahagian B dalam peperiksaan SPM kelak.


1- Punca pengangguran siswazah dapat dikenal pasti bak kata pepatah, “ada angin ada pokoknya”.
Maksud frasa: Setiap masalah tentu ada sebabnya


2- Sebagaimana yang kita telah sedia maklum, “kalau tiada angin bertiup masakan pohon boleh bergoyang”, bencana alam tentu akan mendatangkan kesan ekonomi dan masyarakat negara.
Maksud frasa: Setiap tindakan pasti mendatangkan kesan.

3- “Tak tumbuh, tak melata”, kesan buruk rancangan realiti di televisyen memang ada asasnya.
Maksud Frasa: Kalau ada yang bercakap, tentu ada benarnya.

4- Perancangan perlu dibuat terlebih dahulu kerana kita tahu bahawa “malang tidak berbau”.
Maksud Frasa: Kita perlu senantiasa beringat kerana bencana boleh menimpa pada bila-bila masa saja.

5- “Zaman beralih, musim bertukar” kenderaan Proton dan Perodua pada masa kini sering bertukar bentuk dan fesyen untuk menarik perhatian pembeli.
Maksud Frasa: Perubahan pasti berlaku mengikut peredaran masa.

6- “Sekali air bah, sekali pantai berubah”, corak pemerintahan bertukar wajah selepas negara kita mencapai kemerdekaan.
Maksud Frasa: Perubahan berlaku ekoran perubahan pucuk pimpinan.

7- “Ada gula, adalah semut” Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing kerana peluang pekerjaannya yang banyak.
Maksud Frasa: Di mana ada rezeki, pastinya di situ ada banyak orang.

8- Kafe siber wujud dengan banyaknya, “bagai cendawan tumbuh selepas hujan”.
Maksud Frasa: Sesuatu yang mencul dengan banyak pada suatu masa yang sama.

9- “Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam”, pelbagai rancangan hiburan disiarkan untuk memenuhi kegemaran individu yang berbeza.
Maksud Frasa: Tiap-tiap orang mempunyai perangai, kegemaran, kecenderungan dan kemahuan yang berbeza.


10- Adat resam dan budaya kita ialah norma masyarakat yang, “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.
Maksud Frasa: Sesuatu yang tahan diuji zaman (contoh: lagu-lagu Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan penyanyi era 70-an Datuk Andre Goh – anda pernah dengar? Boleh cuba dengar dari klip video di bawah)

11- Jangan ada di antara kita yang serba-serbi malas ibarat, “hidup segan, mati tak mahu"
Maksud Frasa: Keadaan yang melarat.

12- Yang kurik itu kundi, Yang merah itu saga; Yang baik itu budi, Yang indah itu bahasa.

Ungkapan di atas menyerlahkan betapa pentingnya budi bahasa seseorang pada pandangan masyarakat.
Maksud Frasa: Budi bahasa adalah sesuatu yang terpuji dalam diri manusia.




Lagu Klasik Melayu "Di Kirim Jangan, Di Pesan Jangan".
Maksud Frasa: Usah dikenang lagi masa yang telah berlalu.
Dendangan Seniman Sepanjang Zaman; Andre Goh.
(Video dari ikhsan Mr.Cupan.)

Friday, March 26, 2010

Latihan Prosa Klasik: Antologi Anak Laut



Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Setelah sudah ditiliknya, maka kata Laksamana, “Hai Si Jebat, apa bicaramu matilah aku olehmu?” Maka sahut Si Jebat, “Pada firasatku, bahawa aku tiada dapat membunuh engkau, engkau pun tiada dapat membunuh aku pada hari ini. Adapun sahajakan matilah olehmu, tetapi negeri Melaka ini habis binasa olehku, seperti khiamatlah lakukannya negeri Melaka ini olehku. Oleh itulah maka aku hendak turun mengamuk, tiada dapat, tiada dapat kerana engkau tidak jauh daripada pintu istana ini. Jika pintu istana ini terbuka, sekarang juga kuturun dari istana ini.” Setelah Laksamana mendengar kata Hang Jebat demikian itu, maka Laksamana pun tertawa.


Maka orang banyak itu pun sebagai naik ke atas birai istana itu dari kisi-kisi istana itu. Maka Laksamana pun menyarungkan kerisnya juga lalu duduk pada sebuah talam itu. Maka Hang Jebat pun menyarungkan kerisnya juga lalu duduk pada sebuah talam itu berhadapan dengan Laksamana. Maka kata Laksamana, “Hai Si Jebat, apatah dayaku, kerana aku dititahkan raja membuang engkau? Dalam pada itu pula, jika engkau berdosa ini lain daripada dosa demikian, tahu juga kupohonkan. Yang engkau dan Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu ini bukanlah sahabat lagi padaku, penaka saudarakulah. Sukar aku berkata.” Setelah Hang Jebat mendengar kata Laksamana itu, maka ia pun menangis, katanya “Kerana kita pun lima saudara kecil-kecilan; bukan lagi bersahabat. Penaka saudaralah.”


(Dipetik daripada Pertarungan Tuah Dengan Laksamana, dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka).



Latihan


1- Apakah yang dimaksudkan oleh kata-kata Laksaman, “jika engkau berdosa ini lain daripada dosa demikian”


2- Pada pendapat anda, bagaimanakah hubungan antara Laksamana dengan Hang Jebat?


3- Pada pandangan anda, apakah yang dimaksudkan oleh Hang Jebat apabila beliau berkata “Kerana kita pun lima saudara kecil-kecilan; bukan lagi bersahabat. Penaka saudaralah.”


4- Huraikan maksud ini: “Pada firasatku, bahawa aku tiada dapat membunuh engkau, engkau pun tiada dapat membunuh aku pada hari ini. Adapun sahajakan matilah olehmu, tetapi negeri Melaka ini habis binasa olehku, seperti khiamatlah lakukannya negeri Melaka ini olehku. Oleh itulah maka aku hendak turun mengamuk, tiada dapat, tiada dapat kerana engkau tidak jauh daripada pintu istana ini. Jika pintu istana ini terbuka, sekarang juga kuturun dari istana ini.”

Tuesday, March 23, 2010

Antologi Harga Remaja: Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran).



Baca pantun di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Apa guna berkain batik,

Kalau tidak memakai capal;

Apalah guna beristeri cantik,

Kalau tak pandai menumbuk sambal.


Dari Kelang lalu ke Jawa,

Naik sigai ke atas atap;

Ikan kering lagi ketawa,

Mendengar tupai membaca kitab.


Ambil segulung rotan saga,

Suruh diambil mari diurut;

Duduk termenung harimau tua,

Melihat kambing mencabut janggut.


Kupu-kupu terbang melintang,

Hinggap menghisap bunga layu;

Hati di dalam menaruh bimbang,

Melihat ikan memanjat kayu.


Lebat sungguh padi di paya,

Kayu tumbang tepi pangkalan;

Hairan sekali hati saya,

Burung terbang disambar ikan.


(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka.)




Latihan


1) Nyatakan sindiran yang terdapat dalam rangkap pertama dan rangkap kedua syair ini.


2) Sila nyatakan tiga cara bagaimana orang bawahan dapat membuktikan kemampuan mereka.


3) Berikan tiga pengajaran yang terdapat didalam pantun tersebut.


4) Soalan bonus untuk pelajar perempuan (lelaki pun boleh juga): Pada pendapat anda, wajarkah pelajar lelaki belajar memasak sejak kecil?

Sunday, March 21, 2010

SELAMAT MENYAMBUT 'EC 96TH FOUNDER'S DAY' 2010

Laman Utama MSAB


Era baru MSAB sebagai sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan


Pengiktirafan kecemerlangan MSAB daripada
Kementerian Pelajaran Malaysia



Sambutan Hari 'EC 96th Founder’s Day'

Sambutan Hari 'EC Founder’s Day' ialah satu program Maktab Sultan Abu Bakar yang merupakan cetusan idea Tuan Pengetua Cemerlang, Tuan Haji Zulkipli bin Haji Mahmud yang diadakan bagi memperingati hari penubuhan MSAB. Tanggal 21 Mac setiap tahun merupakan tarikh keramat bagi warga MSAB kerana pada hari tersebut lahirnya English College yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar. Pada tahun ini usia MSAB mencecah 96 tahun. Walaupun pada tahun ini tarikh keramat ini jatuh pada hari cuti sekolah namun pihak MSAB telah pun merancang untuk menyambutnya apabila sekolah dibuka nanti.



Almarhum Sultan Abu Bakar Ibni
Almarhum Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja



Latar Belakang Pengasas MSAB (English College)

Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja telah diputerakan pada 14 hb Ramadhan 1248 Hijrah, bersamaan dengan 3 hb Febuari tahun Masihi 1833.

Semenjak dari kecil lagi baginda telah diasuh oleh Seri Paduka Ayahandanya dengan pelbagai aspek pembelajaran . Pendidikan yang baginda tempuhi ini telah membentuk keperibadian baginda sebagai pemimpin yang bijaksana dan berwawasan moden.

Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja telah dianggap sebagai pelopor permodenan Johor. Dalam era pemerintahan baginda, pelbagai pemodenan dalam struktur ekonomi, pendidikan, sosial dan politik negeri Johor telah terlaksana. Baginda adalah seorang pemimpin yang begitu menitikberatkan aspek pendidikan untuk rakyat Johor. Sehubungan dengan ini, pada tahun 1848, baginda telah menitahkan supaya sekolah-sekolah mula dibuka di negeri Johor.

Semasa pemerintahan baginda beberapa sekolah telah didirikan bagi tujuan memberi pendidikan kepada rakyat baginda. Pada tahun 1914 semasa negeri Johor berada di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, English College yang pertama dibuka di istana Jalan Sungai Chat.



Pada tahun 1960, English College telah ditukar namanya secara rasmi kepada Maktab Sultan Abu Bakar bagi mengenang jasa dan wawasan Almarhum Sultan Abu Bakar khususnya dalam bidang pendidikan di negeri Johor.

Thursday, March 18, 2010

UCAPAN TAHNIAH UNTUK ANDA!


Minggu ini telah membawa beberapa saat gembira buat kami warga keluarga MSAB. Mula-mula sekali Laman SPM Bahasa Melayu MSAB ingin mengucapkan tahniah kepada beberapa orang tenaga pengajar kami yang telah berjaya mendapat lantikan khas ke gred DG-44 dalam perkhidmatan mereka. Semoga mereka akan terus menyumbang tenaga membentuk dan mendidik generasi pelapis negara.





Laman SPM Bahasa Melayu MSAB juga turut ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada Guru Penolong Kanan Pentadbiran kami, Tuan Haji Aminolhuda bin Hj.Hassan dan isteri beliau Puan Hajjah Naomie bt. Haji Salim sempena termetrainya ikatan perkahwinan antara mereka berdua. Kami juga mengucapkan selamat berbahagia hingga ke anak cucu kepada Tuan Haji Aminol sekeluarga.





Kami turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Selamat Hari Lahir” kepada Pengetua Cemerlang kami, Tuan Haji Zulkipli bin Hj. Mahmud yang telah diraikan di sekolah pada hari ini. Semoga Tuan Haji Zulkipli sekeluarga akan diberkati dengan kesihatan yang baik, kesejahteraan sekeluarga dan juga dimurahkan rezeki. Amin Ya Rabb alAmin.

Wednesday, March 17, 2010

Antologi Harga Remaja. Gurindam 12 Fasal yang Keenam: Latihan




Baca gurindam di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.

Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan setiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala setiawan.

(Petikan daripada Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

Latihan:

1) Berikan dua kebaikan yang dapat diperoleh orang yang pandai memilih sahabat dan guru.


2) Seseorang lelaki itu perlu bijak dalam memilih calon isteri. Nyatakan tiga ciri seseorang calon isteri yang baik. Soalan bonus bagi pelajar perempuan: Nyatakan sepuluh ciri seseorang calon suami yang baik! :)


3) Sila kemukakan empat gaya bahasa yang terdapat dalam gurindam tersebut.



Selamat bercuti semua!
Jangan tinggal solat!
Jangan merempit!
Jangan durhaka pada ibu bapa kita.

Tuesday, March 16, 2010

Latihan Sajak Harga Remaja


Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Berapakah sebenarnya harga remaja

yang bersih

dari gelodak kecewa

bagai kehijauan daun

bagai kesegaran pohon

di pinggir perjalanan ini?


Dengan apakah akan kaupenuhi

piala remajamu

adakah cuka kesangsian

dari cinta maruah

atau madu ajaran

dari ilmu susah


Remaja amat mahal

sesungguhnya

tiada terbeli oleh perjanjian

harga remaja adalah pendirian

keberanian dan ilmu


Penuhilah remajamu

dengan ketentuan tuju


Rahman Shaari

(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)



Bahagian Latihan:


"Penuhilah remajamu

dengan ketentuan tuju"

Latihan 1: Berikan maksud rangkap pada petikan di atas



Latihan 2: Pada pandangan anda, apakah kesan yang berlaku sekiranyan remaja gagal mengisi usia remajanya dengan perkara-perkara yang berfaedah. Sila nyatakan empat kesan tersebut.



Latihan 3: Jelaskan tiga mesej penyajak kepada remaja seperti yang terkandung dalam rangkap ketiga sajak “Harga Remaja”.

Monday, March 15, 2010

Tips Penulisan Karangan Galus SPM: Ayat Nafi



Ayat nafi ialah ayat transformasi yang dalamnya terdapat kata nafi. Kata nafi yang dimaksudkan ialah bukan dan tidak. Dalam bahasa harian, atau bahasa basahan, yakni bahasa yang tidak baku, kata nafi tidak disebut juga sebagai tak.

Kata nafi bukan digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa nama menjadi predikatnya. Empat ayat yang berikut ini bukan ayat nafi melainkan ayat tunggal dengan binaan konstituennya bersusunan biasa, iaitu frasa subjek mendahului frasa predikat. Perhatilah ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1. Itu kenderaan.
2. Kenderaan itu feri.
3. Beliau Hamuni.
4. Orang muda itu pengarah.

Dalam ayat (1) hingga (4), itu, kenderaan itu, beliau, dan orang muda itu ialah subjek. Kesemuanya frasa nama belaka. Itu ialah kata ganti nama tunjuk, kenderaan kata nama am, beliau kata ganti nama diri ketiga tunggal, dan orang muda itu ialah frasa nama dengan orang sebagai inti sementara muda kata penerang yang diikuti pula oleh kata penentu itu. Kenderaan (ayat 1), feri (ayat 2), Hamuni (ayat 3), dan pengarah (ayat 4) ialah predikat. Kesemua predikat ayat-ayat tersebut terdiri daripada frasa nama belaka.

Ayat-ayat (1) – (4) dapat dijadikan ayat nafi dengan cara menyisipkan kata nafi bukan di hadapan unsur predikat. Lihatlah ayat (5) – (8) yang berikut ini:

5 . Itu / bukan kenderaan.
6. Kenderaan itu / bukan feri.
7. Beliau / bukan Hamuni.
8. Orang itu / bukan pengarah.

Kata nafi tidak pula digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa adjektif atau frasa kerja bertugas sebagi predikat ayat. Contohnya:

9. Wajahnya / tidak cantik.
10. Pelajar itu / tidak takut.
11. Murid sekolah / tidak berjalan.
12. Lim / tidak membaca puisi.

Dalam ayat (9) dan (10), kata nafi tidak mendahului kata adjektif cantik dan takut, manakala dalam ayat (10) dan (11), kata kerja berjalan dan membaca puisi didahului oleh kata nafi tidak.
Kata nafi bukan atau tidak dapat juga digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa sendi menjadi predikat menurut kesesuaiannya. Misalnya:

13. Ismail bukan dari Kelantan.
14. Bingkisan ini bukan untuk Wati.
15. Marang bukan di negeri Pahang.
16. Mereka tidak di sini.
17. Selina tidak di pejabat.

Harus diingat bahawa kata nafi tidak tidak boleh digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa nama menjadi predikat ayat. Hal ini dapat dilihat daripada ayat contoh yang berikut:

18. * Dia tidak polis.
(seharusnya: Dia bukan polis.)
19. *Binatang itu tidak musang.
(seharusnya: Binatang itu bukan musang.)

Kata nafi bukan pula tidak boleh digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa adjektif atau frasa kerja menjadi predikatnya. Misalnya:

20. *Peti itu bukan berat.
(seharusnya: Peti itu tidak berat.)
21. *Umi bukan makan.
(seharusnya: Umi tidak makan.)
22. * Murid itu bukan menulis karangan.
(seharusnya: Murid itu tidak menulis karangan.)

Kata nafi bukan digunakan untuk frasa-frasa yang lain daripada frasa nama hanya jika maksudnya adalah untuk menekankan pertentangan secara lebih jelas. Contohnya:

23. Dia bukan takut, tetapi pemalu.
24. Ayah bukan makan, tetapi minum.
25. Dia bukan membantah, tetapi memberikan saranan.

Demikian huraian ringkas tentang pembentukan ayat nafi Bahasa Melayu.