Saturday, July 31, 2010

WARISAN BUDAYA KITA: TARIAN ZAPIN

Kumpulan Zapin MSAB (EC)


Tarian Zapin adalah satu bentuk tarian yang semakin popular di Malaysia kini (terutamanya di negeri Johor Darul Ta’zim) dan di Indonesia (Provinsi Jambi). Tarian ini dipercayai telah diperkenalkan oleh pedagang Arab, serta kumpulan-kumpulan Muslim mubaligh dari Timur Tengah pada abad keempat belas masihi.

Di masa lalu, joget Zapin hanya dipersembahkan secara eksklusif untuk upacara keagamaan seperti upacara perkahwinan, dan hanya akan disertai oleh kaum lelaki tetapi selama bertahun-tahun lamanya kini Zapin telah menjadi suatu bentuk hiburan tradisional yang popular, dan penyertaan penari perempuan mula menjadi trend tarian kini.

Para penari biasanya akan tampil dengan iringan muzik tradisional biasanya terdiri daripada gambus, akordeon, rebab, marwas (bongos), dan rebana.

Ada pelbagai jenis zapin, dan setiap jenis bervariasi oleh gerakan dan gaya tari:

Zapin Melayu Johor

Zapin Pulau

Zapin Tenglu

Zapin Tenglu 2

Zapin lenga

Zapin Pekajang

Zapin Arab

Zapin Jambi

Zapin Singapura

Friday, July 30, 2010

TOPIK PENTING KERTAS 1 - SPM: BERJIMAT SEBELUM TERLAMBAT, BERINGAT SEBELUM TERKENA - AWAS PERANGKAP KAD KREDIT!



Mereka yang tergolong dalam umur 30-an dianggap masih muda dan dianggap kaya tetapi jelas miskin dalam hal menguruskan kewangan mereka. Pada usia muda mereka sekitar 30-an, mereka sudah begitu sarat dengan hutang dan mereka terpaksa mencari bantuan profesional untuk keluar dari belenggu hutang dan kebankrapan mereka.

Badan Kredit Kaunseling dan Pengurusan Hutang (AKPK), telah memberitahu bahawa 15% daripada lebih dari 39,600 orang yang telah mendaftarkan diri ke dalam program pengurusan hutang AKPK adalah dari mereka yang berada di bawah usia 30 tahun. Perkara ini boleh berlaku apabila banyak daripada golongan muda ini tadi terpalit dalam kancah ini akibat kurang memahami risiko penggunaan kad kredit, hutang peribadi, lebihan belanja dan gagal untuk mengamati peraturan-peraturan asas dalam pengurusan kewangan yang sihat.

Menurut AKPK, jika seseorang mengamalkan konsep pembayaran bulanan hutang mereka tidak melebihi 40% daripada pendapatan bersih bulanan mereka maka mereka akan mampu menguruskan kewangan dengan lebih baik dan teratur. Namun generasi muda ini seolah-olah hanyut dalam trend penggunaan kad kredit dan mengejar status kebendaan yang akhirnya hanya akan membinasakan mereka.

Sebagai permulaan, jika kita boleh mengurangkan perbelanjaan sebanyak 5% seminggu, maka kita boleh menyimpan sejumlah 20% lebihan pada akhir setiap bulan bulan dan akhirnya pada penhujung tahun kita telah berjaya menambahkan 240% penjimatan dalam perbelanjaan kita semua! Amalan sebegini akan membantu kita semua untuk menjadi individu yang arif dalam hal mengurus kewangan peribadi dan juga keluarga.

Mengikut statistik Bank Negara Malaysia, bahawa 50% daripada pemegang kad kredit yang telah di isytiharkan muflis adalah terdiri daripada individu berumur di bawah 30 tahun. Menurut undang-undang Kebankrapan 1967, tindakan muflis boleh digunakan terhadap mana-mana individu yang gagal membayar hutang bermula daripada jumlah RM30, 000.

Setelah disenaraikan muflis ternyata hidup akan menjadi sangat rumit kerana nama mereka akan termasuk kedalam senarai hitam di Pusat Rujukan Sistem Maklumat Kredit (CCRIS). Melalui sebaran maklumat data-induk CCRIS ini semua aplikasi mereka untuk pinjaman akan secara automatik ditolak.

Orang golongan dewasa muda adalah yang paling mudah terjebak ke dalam kancah hutang kerana mereka hidup di luar kemampuan mereka. Ketika mereka ini baru mula keluar bersosial setelah mendapat pekerjaan tetap, mereka sangat mudah dipengaruhi oleh gaya hidup teman-teman yang lain.

Mereka umumnya tidak menguruskan hal kewangan mereka dengan baik, mereka tidak merasakan sedikit pun mencubit ketika kad-kad kredit mereka bergeseran ketika membuat pembelian mereka, tetapi mereka akan merasa sakit dan azab pada akhir bulan.

Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, masyarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.

Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan bertanggungjawab kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu juga jaminan kewangan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata pepatah, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

Thursday, July 22, 2010

Nostalgia A.Samad (Pak Samad) di MPU


MEMETIK kata-kata yang pernah disuarakan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, rap dalam lagu-lagu moden merupakan sebahagian daripada kesenian kesusasteraan.


Kalau ada anak-anak muda yang gemarkan rap, kita tidak seharusnya bersikap prejudis kerana elemen kesusasteraan ada dalam genre muzik itu.


Kerana itu, apabila artis-artis popular tanah air yang memperjuangkan muzik pop mahu melibatkan diri dalam acara pembacaan puisi, ia tidak perlu dijadikan isu.


Sebaliknya, penyertaan anak-anak seni ternama dan berpengaruh itu dalam majlis pembacaan puisi harus diberi sokongan.


Seperti yang terjadi pada Malam Puisi Utusan Ke-13 (MPU13) di Laman Beringin, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.


Penyertaan golongan artis seperti Suhaimi Meor Hassan, Azlan & Typewriter, Akim AF7, Sheila Abdul, Rozita Che Wan, Ultimate dan pelakon teater Uda dan Dara, Zulkifli Zain benar-benar memberi impak kepada penganjuran acara itu.


Bagaimanapun, MPU13 menjadi lebih bermakna dan akan terus dikenang sebagai majlis pembacaan puisi yang penuh nostalgia apabila A. Samad hadir sebagi tanda sokongan yang tidak berbelah bagi buat Utusan Melayu, bekas majikannya.


Kehadiran tokoh yang mesra disapa sebagai Pak Samad pada malam itu seakan mengembalikan nostalgia beliau terhadap organisasi media yang pernah memasyhurkan namanya.


Sebagai rekod, Pak Samad pernah menjadi wartawan Utusan Melayu pada tahun 1957 sehingga 1964.

Pada MPU baru-baru ini, nostalgia itu dikembalikan oleh Pak Samad kepada warga yang celik sastera dengan menyampaikan puisi Kepada Teman Lama Di Utusan.


"Puisi ini saya tulis sebagai tanda ingatan saya kepada teman-teman yang pernah sama-sama bertugas di Utusan Melayu.


"Biarpun saya bertugas di Utusan Melayu untuk tempoh yang sangat singkat iaitu pada tahun 1957 sehingga ke era berlakunya mogok, namun saya masih dikenang sebagai wartawan Utusan Melayu biarpun saya juga lama berkhidmat di Berita Harian," kata tokoh berusia 75 tahun yang masih kental cinta dan kasihnya pada lapangan kesusasteraan.


Bersama-sama Pak Samad pada malam itu ialah sembilan penyair lain yang hadir semata-mata mahu memperkasakan gelanggang kesusasteraan tempatan.


Nama-nama lain yang turut berhimpun pada MPU13 tempoh hari ialah penyair terkenal tanah air seperti Shukri Abdullah, Marsli N.O, Rajeshwary Sita Raman, HarlymYeo, Roslan Madun, Dr. Hamidah Abdul Hamid dan Pyanhabib.


Malam puisi itu juga memberi kelainan dengan kebanyakan puisi yang berkisah nasib dan penderitaan rakyat Palestin.


MPU13 dianjurkan Kumpulan Utusan dengan kerjasama Exxon Mobil, Astro, Perbadanan Filem Nasional (Finas) dan Istana Budaya. Program itu merupakan sebahagian program dalam minggu Sastera Utusan 2010.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.


MPU13 diadakan bagi mengangkat agenda karya sastera, seni dan kebudayaan serta memartabatkan puisi dan lagu-lagu puisi tanah air.


Bagi pelakon wanita popular, Rozita Che Wan, peluang yang ditawarkan oleh Kumpulan Utusan kepadanya pada malam itu disifatkan sebagai satu penghormatan yang cukup besar.


Masakan tidak, penglibatannya dalam MPU13 baru-baru ini merupakan penyertaan pertama dalam gelanggang kesusasteraan selama menjadi anak seni.


Rozita yang pada awalnya gementar dan ragu-ragu dengan kewibawaannya membaca puisi hampir menarik diri.

"Mujur rakan-rakan di Utusan Melayu memberi saya motivasi dan membantu saya cara membaca puisi membuatkan keyakinan diri datang secara perlahan-lahan," kata Rozita yang mendeklamasikan puisi Gadis Di Pelabuhan tulisan Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang.


Pendaklamator yang paling menonjol pada malam MPU tempoh hari juga pastinya bekas wartawan Utusan Melayu, Pyanhabib.


Pyanhabib yang cukup aktif sebagai penggiat sastera menarik perhatian hadirin apabila membawa bersama komputer riba ketika menyampaikan puisi.


"Saya akan membaca puisi tanpa membawa kertas sebaliknya, saya akan melihat skrin komputer riba.

"Tujuan saya ialah untuk menjaga alam sekitar selain menyahut seruan kerajaan agar rakyat Malaysia menjadi warganegara yang celik IT," kata Pyanhabib sebelum mendeklamasikan puisi tulisannya Doa Saya Kepada Tuhan Untuk Palestin.


Gabungan 1Malaysia


Keunikan acara membaca puisi yang dianjurkan bersempena dengan penganjuran Minggu Sastera Kumpulan Utusan yang memasuki tahun ke-25 itu sebetulnya melibatkan penyertaan pelbagai kaum.


Ia sekali gus menterjemahkan aspriasi 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Penyertaan Harlem Yeo serta Raj Rajeswari Seetha Raman misalnya membuatkan 2,500 hadirin yang membanjiri Laman Beringin, IB kagum dengan penguasaan Bahasa Melayu serta keupayaanl membaca puisi kedua-dua penggiat sastera terkenal itu.


Benarlah puisi juga boleh menjadi alat yang mampu menterjemahkan emosi dalam diri segenap lapisan masyarakat.


Kedua-dua pendaklamator itu memilih menyuarakan keluh kesah dan kesedihan mereka berhubung kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin.


MPU 13 turut dimeriahkan dengan penyertaan penyanyi malar segar, Suhaimi Mior Hassan yang menyampaikan dua buah lagu, Misteri Cinta dan Kalau Berpacaran sebagai menutup acara.


Kehadirannya benar-benar menarik perhatian pencinta sastera kerana sudah lama benar kelibat Suhaimi tidak muncul di depan khalayak.


MPU13 akan menjadi satu detik yang indah untuk dikenang. Apa yang pasti, acara itu juga akan menjadi inspirasi buat Kumpulan Utusan menyebarluaskan lagi aspirasi memartabatkan kesusasteraan tanah air.


Artikel ikhsan daripada Utusan Malaysia.

Monday, July 12, 2010

ANALISIS NOVEL MELUNAS RINDU



TEMA

Novel ini bertemakan kegigihan seorang saudara baru yang mencari ibu kandung dan asal usulnya.

Fuad kehilangan ibu sejak kecil lagi. Namun, disebabkan perasaan kasih sayang dan rindu terhadap ibunya, Fuad berusaha gigih mencari pusara ibunya dan akhirnya Fuad berjaya bertemu ibunya yang masih hidup lalu menyatukan kembali hubungan kekeluargaan yang telah terpisah akibat perbezaan bangsa dan agama.

PERSOALAN

Kasih sayang terhadap keluarga – kasih sayang Fuad tidak berubah walaupun dia telah mengetahui Peter Lim sekeluarga bukanlah keluarga kandungnya.

Ketaatan kepada agama – Pak Ismail bertanggungjawab membimbing Fuad iaitu seorang saudara baru dengan mengajarnya bersolat dan mengaji al-Quran.


Tanggungjawab menjalankan tugas yang diamanahkan – Farhana melaksanakan tugas sebagai Ketua Panitia bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia dengan penuh rasa tanggungjawab. Walaupun Fuad hanya guru sandaran di sekolah yang sama dengan Farhana, tetapi Fuad menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi.

Keikhlasan dalam membeikan pertolongan – Fuad membantu Borhan membawa anaknya yang demam panas ke klinik walaupun sudah lewat malam.



WATAK/PERWATAKAN

Fuad/Joshua/Abdul Halim

27 tahun
tinggi/segak/wajah Melayu
anak kepada Robert Lim/Roslan dan Mariana
guru sandaran di sekolah Menengah Seri Setia
berpendidkan tinggi – Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Amerika Syarikat
taat kepada perintah Allah – solat /mengaji
bertanggungjawab menjalankan tugas yang diamanahkan
gigih berusaha mencari ibu kandungnya
tabah menghadapi pelbagai dugaan hidup
penyayang – sayang terhadap Sofia dan Farhana adiknya

Farhana

24 tahun
guru bahasa Inggeris
adik Fuad - anak kepada Mariana dan Fakharuddin
cantik/kecil molek/berkulit cerah
berpendidikan luar negeri – London
tegas – menegur sikap guru-guru yang datang lewat dan menyusahkan pelajar
bertanggungjawab terhadap ibunya yang sakit di Kuantan

Mariana

ibu Fuad (Abdul Halim) dan Farhana
isteri Robert Lim dan Fakharudin
menjadi gila meroyan setelah melahirkan anaknya Abdul Halim
penyayang – tidak pernah melupakan Abdul Halim walaupun terpisah sejak bayi
mengambil berat tentang perkembangan anak-anaknya

Robert Lim/Roslan

ayah kandung Fuad dan Sofia
suami Mariana dan Susan
ahli perniagaan di Kuala Lumpur
bertanggungjawab – memasukkan wang berjumlah RM200 ribu untuk anaknya
bengis – pekerja-pekerjanya menjadi mangsa kemarahan




Pak Ismail

bapa angkat Fuad
suami mak Salmah
taat perintah agama – rajin solat dan berjemaah di masjid
pandai mengaji – mengajar Fuad mengaji
penyayang – menjaga Mak Salmah dengan baik semasa isterinya sakit
bertangunggjawab – memastikan Fuad menerima ajaran agama Islam secukupnya
tidak berdendam – walaupun Fuad melarikan anak angkatnya Sofia



Mak Salmah

ibu angkat Fuad/Sofia
penyayang – sangat sayang akan Sofia walaupun anak angkat sehingga jatuh sakit semasa Fuad melarikan Sofia
sukar memaafkan orang lain – mengambil masa yang lama untuk memafkan Fuad
rajin – menguruskan rumahtangga, mengusahakna tanah dan mengisi masa lapang dengan mengaji dan membaca buku-buku agama


LATAR
Latar Tempat

Danau Seberang – tempat tinggal Fuad bersama-sama keluarga angkatnya Pak Ismail dan Mak Salmah
Sekolah Menengah Seri Setia – tempat Fuad menjadi guru sandaran
Kampung Sedili – Mariana tinggal bersama-sama kakak angkatnya Mariah selepas gila meroyan
Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan – tempat ibu Farhana dirawat kerana penyakit lelah

Latar Masa

Zaman pergolakan kaum Melayu-Cina (13 Mei 1969) – anak Mariana telah dilarikan oleh keluarga ayahnya tetapi gagal dijejaki kerana pihak polis bimbang keadaan akan menjadi semakin tegang.
Pada waktu maghrib – Fuad pulang lewat dari hutan kerana mencari kayu api untuk kegunaan Mak Salmah.
Waktu pagi – Fuad melapor diri sebagai guru sandaran di Sekolah Menengah Seri Setia
Waktu petang – Fuad ke Pantai Batu Buruk untuk menikmati keindahan alam
Waktu malam – Borhan meminta pertolongan Fuad untuk mendapatkan rawatan bagi anaknya yang demam panas

Latar Masyarakat

Masyarakat yang tahu membalas jasa orang tua – Fuad membalas jasa Pak Ismail dengan membelikannya sebuah motosikal untuk kemudahan Pak Ismail
Masyarakat guru yang dedikasi – Cikgu Farhana menyusun program untuk meningkatkan prestasi pelajar di sekolahnya
Masyarakat kampung yang prihatin – Fuad membawa anak Borhan ke bandar Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan
Masyarakat yang mementingkan pendidikan – Cikgu Abas meminta Fuad membantu anak-anak muridnya dalam pelajaran bahasa Inggeris
Masyarakat yang suka memburuk-burukkan orang lain – Cikgu Zamani tidak suka akan sikap Farhana dan menasihati Fuad agar tidak memilih Farhana sebagai isteri.
Masyarakat yang reda dengan ketentuaan Ilahi – Fuad menerima hakikat tidak dapat berkahwin dengan Farhana kerana mereka adik beradik malah bersyukur Farhana dapat menggantikan tempat Sofia
Masyarakat yang kuat berpegang kepada ajaran agama – Fuad rajin mengerjakaan solat walau di mana-mana dia berada
Masyarakat yang menghormati tetamu – adik-adik Farhana menyediakan hidangan, kain pelekat dan tuala untuk Fuad yang datang ke rumah mereka.


PLOT

Permulaan

Menceritakan kisah Fuad yang pulang lewat dari hutan setelah keluar mencari kayu api untuk kegunaan Mak Salmah memasak air. Kelewatannya membimbangkan Mak Salmah dan Pak Ismail. Selesai solat maghrib, Fuad ke surau untuk solat isyak berjemaah. Fuad bercadang memulakan perniagaan dengan wang yang ada dalam akaunnya.

Perkembangan

Fuad mengenangkan kepulaangannya ke danau Seberang sejak setahun yang lalu selepas kematian Sofia, adiknya. Kemudian dia kembali ke rumah Pak Ismail untuk mendalami ilmu agama. Fuad juga ditawarkan guru sandaran di Sekolah Menengah Seri Setia. Dia mengenali Farhana dan menjadi rakan yang akrab. Kesibukannya di sekolah tetap tidak melemahkan semangatnya untuk mencari saudara mara sebelah ibunya.

Konflik

Chin ke sekolah mencari Fuad. Fuad ke Lembah Klau untuk mencari pusara ibunya dan berjumpa dengan Pak Ngah Lias yang memberitahunya Fuad dilahirkan Islam dan diberi nama Abdul Halim manakala nama ayah Fuad ialah Roslan. Usaha mencari pusara ibunya semakin sukar apabila Fuad diberitahu bahawa ibunya masih hidup. Fuad bertemu Peter Lim dan Swee Lan untuk meminta bantuan mendapatkan barang-barang peninggalan ibunya untuk memudahkan pencarian.

Klimaks

Farhana pulang ke kampung kerana ibunya sakit dan dimasukkan ke hospital. Robert Lim dan Chin pergi ke Danau Seberang untuk menyerahkan cincin perkahwinannya dan gambar Mariana kepada Fuad. Setelah mendapat tahu Fuad ke Kuantan, mereka menyusul Fuad. Ketika di wad, Fuad terpandang fail pesakit ibu Farhana dan mendapati nama ibu Farhana ialah Mariana binti Osman yakni sama dengan nama ibunya. Robert Lim mengesahkan bahawa ibu Farhana ialah bekas isterinya dan juga ibu Fuad. Fuad terharu dengan pertemuan itu.

Peleraian

Fuad dan Farahana menerima hakikat bahawa mereka adik beradik. Fuad pulang ke Danau Seberang dan berjumpa Cikgu Abas untuk menceritakan keadaan sebenar. Fuad telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam Kursus Perguruan Lepasan Ijazah selama setahun di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Fuad membawa ibu, Pak Ismail dan Mak Salmah ke Mekah untuk mengerjakan umrah. Robert Lim turut datang ke lapangan terbang untuk menghantar mereka. Fuad juga mendapat berita gembira bahawa ayahnya, Robert Lim menyatakan hasratnya untuk ke Mekah.

TEKNIK PENCERITAAN

Dialog – Dialog Fuad dang Pak Mail ketika menyatakan hasratnya untuk membeli tanah milik Awang Sojar .

“Betul Pak Mail.”
“Berduit engkau?” (m/s 18)

Monolog – Fuad bermimpi bertemu ibu kandungnya.

“Ibu!” keluhnya dalam gelap (m/s 13)

Monolog Dalaman – Fuad telah tamat belajar muqaddam, sudah kenal huruf dan tahu barisnya...Sememangnya dia terang hati, begitu fikir Ismail selalu (m/s 4)

Imbas kembali – Fuad terkenang semasa dia mula-mula menetap di Danau Seberang.

Hampir setahun lamanya dia mengambil waktu memulihkan keadaan selepas pulang tanpa membawa Sofia ke Danau Seberang (m/s 11)

Saspens – Fuad berdebar-debar apabila mendapati nama ibu Farhana sama seperti nama ibu kandungnya.

Mariana? Mariana binti Osman? Bukankah...? (m/s 180)

Kejutan – Fuad, Pak Ngah Lias dan Said terkejut apabila mendapat tahu bahawa ibu kandung Fuad masih hidup.

“Memang adik Mariah tu bersalin di sini tapi...bukannya meninggal,”... (m/s 108)




GAYA BAHASA

Simile - Dia selamnya yakin, orang yang dipujuknya sekarang ibarat sebutir permata (m/s 31)

Metafora – betapa pun cuma anak angkat benar-benar mengheretnya ke lurah api (m/s 22)

Personifikasi – maghrib sudah tua, ombak menggulung tinggi saling berkejaran untuk memenangi pantai (m/s 10)

Hiperbola – membungai hatinya (m/s 31) dan meletuskan kekaguman (m/s 106)

Sinkope – “Pak Mail tak suruh kau buat kerja-kerja tu semua Fuad. Lagipun Mak Mah kau... (m/s 3)

Penggunaan bahasa Inggeris & Arab - mentor mentee (m/s 46) dan alhamdulillah dan insya-Allah (m/s 40)




NILAI

Kegigihan – Kegigihan Fuad menjejak ibu kandungnya membuahkan hasil apabila apabila akhirnya Fuad berjaya bertemu dengan ibu kandungnya

Kasih sayang – Fuad menyayangi kedua-dua adik perempuannya iaitu Sofia dan Farhana

Berdedikasi – Fuad dan Farhana menjalankan tugas sebagai guru denan penuh dedikasi untuk meningkatkan prestasi para pelajar

Ketaatan kepada agama – Fuad melaksanakan tugasnya sebagai umat Islam walaupun merupakan saudara baru

Hormat menghormati – Pak Ismail menghormati tetamunya, Robert Lim walaupun pernah melukakan hati keluarganya.

Keikhlasan – Fuad membantu Borhan membawa anaknya yang sakit ke Kuantan untuk mendapatkan rawatan



PENGAJARAN

Kita hendaklah sentiasa menghargai dan menyayangi kedua-dua ibu bapa kita – Fuad menyayangi ibu dan menguruskan segala keperluan ibunya yang sakit lelah. Fuad juga tetap menyayangi bapanya biarpun sudah sekian lama tidak bertemu.

Kita hendaklah berusaha sehingga beroleh kejayaan – Fuad gigih meneruskan pencarian ibunya sehingga akhirnya dia dapat bertemu kembali dengan ibu kandungnya

Kita perlulah menghulurkan bantuan kepada golongan yang menghadapi kesususahan – Fuad menumpangkan Farhana apabila Farhana tidak mendapat tiket untuk pulang ke kampungnya

Kita hendaklah menghormati orang yang lebih tua daripada kita – Fuad kesal dengan sikap Farhana yang menegur Cikgu Zamani dengan kasar tanpa menghiraukan perbezaan usia mereka

Kita mestilah mengerjakan suruhan Tuhan – Fuad tetap menunaikan solat walaupun menjadi musafir semasa dalam perjalanan pulang ke kampung.