Wednesday, December 21, 2011

TAHNIAH!!



Pihak MSAB mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada bekas pelajar MSAB 2007
Nurul Shafina binti Shaa'ri atas kejayaan beliau menggenggam segulung ijzah. 
Semoga terus berjaya. Labore et Honore!


Saturday, November 12, 2011

PERHATIAN KEPADA SEMUA CALON SPM MSAB 2011: PROGRAM JAWAKHIR 2011 BAHASA MELAYU SPM 2011



 PROGRAM JAWAKHIR 2011
BAHASA MELAYU
SPM 2011


KLIK PADA PAUTAN INI UNTUK MUAT TURUN: 


Semoga panduan yang diberikan kepada guru dan pelajar ini akan dapat membantu mengukuhkan pemahaman tentang cara-cara menulis jawapan
dan memperoleh markah yang terbaik bagi soalan
Bahasa Melayu Kertas 1 dan Kertas  2,
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.   

Friday, November 4, 2011

SALAM AIDIL ADHA BUAT SEMUA WARGA ISLAM MAKTAB SULTAN ABU BAKAR.


Laman Bimbingan Bahasa Melayu SPM MSAB Mengucapkan 
Selamat Hari Raya Aidil Adha Kepada Seluruh Warga Islam Maktab. 

Pada kesempatan ini juga, marilah kita bersama-sama menghargai semua pengorbanan, usaha dan kasih sayang daripada ibubapa, guru-guru serta keluarga dan juga kawan-kawan kita demi untuk diri kita. Ucapkan TERIMA KASIH anda kepada mereka!

Kami juga mendoakan agar semua para jemaah haji kita di Tanah Suci Makkah berada dalam keadaan selamat sejahtera dan diberkati Allah. Agar mereka beroleh Haji Mabrur. Amin. 

Thursday, November 3, 2011

Sungai Seine: Nadi Utama Paris Yang Penuh Misteri...

Anda boleh menuruni anak tangga ini dan berjalan di tebing Sungai Seine. Namun pada malam ini air pasang terlalu tinggi dan telah menenggelami tebing Seine…



Sebenarnya, Sungai Seine adalah “nadi utama” di tengah-tengah ibu kota Paris. Pangsapuri saya  berhadapan dengan sebatang sungai dan jalan Rue Du Faubourg St. Denis .  Setiap hari  saya dapat melihat bot-bot yang membawa pelancong-pelancong yang ingin menikmati pemandangan di sekitar Sungai Seine yang indah dan romantik melalui tingkap pangsapuri saya.

Namun sehingga penghujung abad ke-19 salah satu fungsi utama sungai romantik ini adalah untuk berkhidmat sebagai pembetung najis penduduk Paris.

Akan tetapi hari ini, hasil usaha keras pembersihan yang bersepadu oleh kerajaan tempatan, ikan Salmon Lautan Atlantik telah mula kembali berenang dalam arus Sungai Seini. Suatu malam, pada musim bunga yang sedang berlalu kini, saya berdiri dengan beberapa rakan di atas Jambatan Notre Dame, merenung ke dalam riak gelap Sungai Seine apabila kilatan cahaya bulan telah memilih seekor ikan yang agak besar di bawah kami untuk melantunkan cahayanya.

Saya bukanlah seorang kaki joran, namun saya mampu menulis di sini bahawa ukuran ikan tersebut adalah terlalu panjang untuk seekor Salmon, berhidung tumpul, mungkin juga berkaki, seekor makhluk pra-sejarah yang berenang perlahan-lahan ke hilir, dan tidak mungkin berkongsi keturunan bersama-sama dengan spesis ikan Salmon tadi.

Ikan itu berenang ke dalam kegelapan, meninggalkan kami semua dengan rasa gerak hati bahawa sungai ini menyimpan rahsia yang lebih besar daripada hanya ikan Salmon Atlantik.

Janganlah terlalu berani bermundar-mandir di sekitar kawasan ini melewati malam keseorangan…sepanjang sejarah Perancis, daripada beratus konflik dan peperangan agama, serta berpuluh revolusi, sungai ini telah juga menelan nafas terakhir beratus-ratus pejuang malang yang mendapati diri mereka berada  di sebelah yang tewas dalam percaturan kuasa. Lewat tengah malam, Seine tidak lah seromantik yang telah sesetengah orang  bayangkan…

Pada tahun pertama sahaja saya mendiami bandar raya ini, lebih daripada 30 mangsa kes bunuh diri (atau dibunuh?), telah dibawa keluar oleh pihak berkuasa mereka.

Awal pagi ini, dalam gelombang pasang surut Seine sambil menguap mengantuk sang musafir ini, tiba-tiba terbayang semula ikan pra-sejarah yang saya pernah lihat dalam Sungai Seine dan langsung terilham menulis coretan ini untuk anda semua di laman ini.


Hargai zaman sekolah anda, hargai guru-guru anda agar anda akan beroleh berkat kejayaan usaha mereka.

Selamat Hari Raya Aidil Adha tahun Islam 1432 Hijrah dan Salam 1 Malaysia.


Sesak siang dan malam...
 Macam ada pesta Pasar Tani dan Pasar Malam setiap waktu. 
Arc de Triomphe kelihatan jauh dibelakang.




Sumbangan daripada Encik Zaril (GIMD France).


Laman SPM Bahasa Melayu mengucapkan terima kasih & 
Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada beliau dan keluarga.



Tuesday, November 1, 2011

LATIHAN KARANGAN TAMBAHAN SPM SEMASA CUTI HARI RAYA AIDIL ADHA 1432H.


"Amalan Membaca Bukan Sekadar Hobi Tetapi Perlu Dijadikan Sebagai Budaya Hidup Dalam Kalangan Rakyat Malaysia."

BACA ARAHAN DENGAN TELITI: Bincangkan faedah membaca kepada anda dan kemudian tulis sebuah karangan tidak kurang dari 180 perkataan mengenainya berpandukan nota dibawah.


Pendahuluan.
Negara Malaysia sedang berusaha untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara-negara maju yang lain.

Oleh itu, Negara kita amat memerlukan rakyat yang berilmu pengetahuan untuk memacu kemajuan Negara.


Cadangan Isi

Faedah membaca:

Dapat meluaskan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang: Mengikut minat seperti dalam bidang sains, telekomunikasi digital yang begerak dengan pantas sekali.

Dapat mengukuhkan penguasaan bahasa melalui pembacaan: Melalui pembacaan kita boleh menemui pelbagai kosa kata dan frasa yang menarik. Hal ini akan dapat membantu para pelajar menghasilkan karangan yang lebih menarik dan berkualiti.

Keyakinan diri akan bertambah: Kerana dengan membaca kita dapat meningkatkan kemahiran intrapersonal.

Dapat mengetahui isu-isu semasa dan tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung: Bagi seorang pelajar, pengetahuan yang luas tentang isu-isu semasa dan adalah amat penting dan berguna dalam pembelajaran mereka.

Membaca dapat menjadikan kita insan yang celik maklumat: Dalam dunia tanpa sempadan ini maklumat sentiasa berubah dengan cepat oleh itu dengan sentiasa membaca ilmu pengetahuan kita juga akan senantiasa bertambah dan terkini.


Penutup

Jelaslah bahawa amalan membaca merupakan elemen penting yang dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang berdaya saing pada era globalisasi ini.

Monday, October 24, 2011

SELAMAT HARI DEEPAVALI




Ucapan "Selamat Hari Deepavali" Khas Untuk Seluruh Warga MSAB Yang Beragama Hindu Teristimewa Untuk Puan S.Chitra Sekeluarga.


Saturday, October 22, 2011

BEKAS KAPTEN MSAB (2009) KINI DI UNIVERSITY OF CAMBRIDGE..Selamat Maju Jaya!





Amirul Hakim bin Noor Haizat yang merupakan bekas Kapten (Ketua Pelajar) Maktab Sultan Abu Bakar (2009) kini berada di University of Cambridge, London. Semoga beliau akan terus berjaya dan menjadi inspirasi kepada warga MSAB.

 EC MUST LEAD!







Friday, October 21, 2011

LATIHAN KARANGAN TAMBAHAN SEMASA CUTI SAMBUTAN HARI DEEPAVALI


Adelaide Guided Bus-way. Imej daripada Isma, Adelaide Australia.




CONTOH KARANGAN: MENINGKATKAN KECEKAPAN PENGANGKUTAN AWAM.

Anda dikehendaki menulis satu karangan lengkap berpandukan kepada tajuk di atas, yang panjangnya tidak kurang daripada 180 perkataan.



Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam akan menjamin pengguna terus menggunakan pengangkutan awam berkenaan. Dalam menghadapi tekanan ekonomi semasa, rakyat terutamanya yang mendiami bandar-bandar besar, berusaha mencari pelbagai ruang alternatif untuk berjimat-cermat.

Namun pelbagai rungutan dibangkitkan saban waktu, antaranya ketidakcekapan pengurusan operasi, keadaan kenderaan awam yang tidak selesa, ketiadaan khidmat pengangkutan awam di kawasan kepadatan penduduk tinggi dan mutu perkhidmatan yang tidak bersifat mesra pengguna, menjadikan kemudahan pengangkutan awam pilihan terakhir bagi pengguna di Malaysia.

Perkhidmatan bas awam yang pertama di Malaysia telah diperkenalkan secara sistematik pada tahun 1935 oleh “The Ipoh General Transport Company”. Kemudian Pulau Pinang pula memulakan sistem pengangkutan bas awamnya sendiri dengan syarikat Lim Seng OmniBus, ini telah juga diikuti oleh Selangor dengan Foh Hup Omnibus, Toong Fong Bus dan Len Bus.

Perkara-perkara yang selalu menjadi penyebab utama kepada kurangnya minat awam untuk menggunakan perkhidmatan ini adalah seperti bilangan bas yang tidak mencukupi selain sistem pemandu perseorangan yang tidak efektif, pemandu yang tidak mencukupi dan pelbagai masalah logistik, menyebabkan kelewatan perjalanan selain mampu mengundang bahaya ketika di jalan raya. Semua kesulitan ini mengecewakan para pengguna yang bergantung kepada bas sebagai satu-satunya kaedah pengangkutan mereka.

Penggunaan bas yang telah berusia sebagai langkah pengurangan kos sebaliknya, menimbulkan masalah-masalah lain pula seperti keadaan bas yang usang dengan bumbung bocor, kerusi yang patah dan koyak, penghawa dingin yang tidak berfungsi, palang cermin yang patah dan pelbagai lagi.

Keselesaan adalah juga merupakan faktor penyumbang utama bagi dorongan orang ramai untuk memilih atau menolak perkhidmatan ini. Keadaan ini bukan sahaja mendatangkan situasi tidak selesa kepada pengguna tempatan tetapi juga memberikan tanggapan negatif kepada pelancong-pelancong asing.

Kepentingan sebuah bandar sebagai pusat aktiviti di mana ekonominya berorientasikan perkhidmatan kini semakin meningkat. Oleh kerana itu rangkaian pengangkutan perlu mampu menyokong pertumbuhan ekonomi, pertumbuhan populasi dan kepelbagaian aktiviti di bandar. Telah jelas terbukti di peringkat global bahawa sistem pengangkutan yang teratur dan komprehensif dapat membantu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi sesebuah Bandar, negeri dan juga negara.

Baik buruknya sesebuah perkhidmatan ini adalah sebenarnya di tangan pengguna itu sendiri. Rakyat dapat melakukan pelbagai perkara bagi menyumbang kepada pencapaian 25% penggunaan pengangkutan awam seperti yang telah di hasratkan oleh kerajaan pada tahun 2008.

Orang awam boleh membantu meluaskan kawasan perkhidmatan dan capaian masyarakat perkhidmatan bas 
wam dengan pelbagai cara. Bermulalah dengan permintaan kecil dan khusus: memohon perhentian bas baru, perkhidmatan lebih kerap dan kemudahan lampu yang lebih baik di sekitar perhentian dan stesen. 

Apabila membeli rumah baru, rakyat perlu bertanya kepada pihak pemaju mengenai rancangan kemudahan pengangkutan awam.Yang penting di sini, rakyat adalah diminta untuk meninggalkan kereta persendirian dan mula menggunakan pengangkutan awam. 

Langkah ini akan mampu mebawa kepada penjimatan bahan api petroliam dan akan juga membantu kepada penjimatan ekonomi kita semua. Sekali lagi, bermulalah dengan langkah kecil: cubalah perkhidmatan bas tempatan pada hujung minggu atau komited untuk menggunakan pengangkutan awam satu hari dalam seminggu. 

Seperti kata pepatah: “Kalau tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya".

Tuesday, October 11, 2011

LATIHAN: CONTOH KARANGAN UNTUK SOALAN KERTAS 2 SPM.




LANGKAH-LANGKAH MEMPERKUKUHKAN DAYA TAHAN EKONOMI NEGARA

Sejak krisis kewangan global yang tercetus di Amerika Syarikat dan Eropah kini semakin ketara dan telah memberi impak negatif kepada ekonomi benar di peringkat global, termasuk juga Malaysia.  Perkembangan ini sudah pasti akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan antarabangsa. Namun, pelbagai langkah telah, sedang dan akan terus diambil oleh kerajaan demi untuk memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia terpelihara dan terus dilindungi.  

Dengan mengambil kira persekitaran ekonomi global yang mencabar ini, kerajaan telah mengambil langkah "tindak-balas polisi" bagi menangani krisis kewangan global ini. Ke arah ini, dasar pengembangan fiskal dilakukan memandangkan Negara mempunyai fleksibiliti untuk melaksanakan projek serta program berimpak tinggi berikutan daripada penjimatan subsidi minyak akibat penurunan harga minyak di peringkat global. 

Melalui penjimatan yang dijangkakan ini, pelbagai inisiatif melibatkan suntikan peruntukan sebanyak RM7 billion akan dilaksanakan bagi memangkinkan aktiviti ekonomi dalam negeri serta meransang aktiviti sektor swasta dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Disamping itu kemajuan ekonomi hendaklah menuju ke arah wujudnya sebuah masyarakat yang berperadaban. Kekuatan ekonomi yang diperolehi hendaklah dari sumbangan kekuatan penghayatan nilai kemanusiaan yang jelas dan utuh. Penyusunan dan pembangunan yang tidak berteras nilai kemanusiaan yang dituntut oleh agama akan menghasilkan ketidakadilan dan keharmonian hidup masyarakat. 

Memahami hakikat ini, segala projek dan program yang dilaksanakan ini adalah selari dengan teras Misi Nasional dan juga selaras dengan strategi khusus kerajan dalam usaha mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Negara yang mapan dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Semua ini memerlukan komitmen daripada kita semua rakyat Malaysia, bak kata pepatah: “Bukit sama didaki, lurah sama dituruni”.

Berpegang kepada prinsip pro-aktif ini, kerajaan sentiasa mengambil tindakan awalan merancang dan mengenal pasti kaedah dan pendekatan yang sesuai dengan pergolakan suasana ekonomi serantau dan diperingkat sejagat. Seperti kata pepatah: “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, ketekunan dan kepakaran kerajaan dalam memelihara kedudukan ekonomi kita akan terus menjadi faktor utama dalam menjamin masa depan yang teguh untuk semua lapisan rakyat Malaysia.

Dengan memahami pergolakan ekonomi diperingkat serantau dan sejagat, kita mampu mengatur langkah yang sesuai dan berkesan dalam memajukan lagi ekonomi Malaysia. Kecekapan mentadbir ekonomi negara akan terus memainkan peranan penting dalam menjamin kesejahteraan kita semua.

Tuesday, October 4, 2011

CONTOH KARANGAN CEMERLANG - Bahagian A

BUATAN MALAYSIA: PROTON TUAH



Berdasarkan gambar yang diberi, huraikan pendapat anda tentang kebaikan membeli barangan buatan tempatan.


Sejajar dengan landaan gelombang globasasi dengan pelbagai corak, roda pembangunan telah bergerak pantas bagai lipas kudung di nusa tercinta ini sehingga mengalami anjakan paradigma ke arah mengapai hasrat sebagai negara maju. Namun, di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini, terdapat lakaran suram yang terpahat di negara kita iaitu rakyat jelata Malaysia sentiasa mengagung-angungkan barangan import sehingga dapat menafikan kualiti barangan buatan tempatan yang sebenarnya mampu bertanding dan bersaing dengan barangan import bak kata peribahasa, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Pada hemat saya, anak watan Malaysia seyogianya mengikis sikap buruk ini sebaliknya mengubah stigma supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini kerana kita sebagai rakyat Malaysia akan menerima pelbagai kebaikan dan faedah bagai menyelam minum air sekiranya kita membeli barangan buatan Malaysia. Persoalannya, apakah kemasalahan dan faedah yang diundang dengan menyokong barangan buatan tempatan?

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan Malaysia. Sebagaimana yang kita ketahui, barangan import lazimnya lebih mahal daripada barangan buatan tempatan sedangkan barangan buatan Malaysia turut mempunyai kualiti yang baik malahan lebih bermutu tinggi daripada barangan import. Sebagai contoh yang paling ketara, kasut buatan Malaysia yang berjenama Bata telah mendapat anugerah kasut paling berkualiti di persada antarabangsa semasa bertanding di pameran kasut Itali. Sememangnya, hal ini jelas memanifestasikan bahawa barangan buatan tempatan bukan sahaja lebih murah harganya tetapi mempunyai jaminan dari segi kualiti barangan. Secara tidak langsung, kita dapat menjulang nama negara Malaysia ke puncak jagat sekaligus meningkatkan imej negara. Di samping itu, dengan harga yang lebih murah, anggota masyarakat dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan semasa membeli barangan buatan Malaysia.

Tidak ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah semangat patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari masyarakat sekiranya sikap sering mengagung-angungkan barangan buatan tempatan yang luhur ini dipupuk dalam kalangan anak watan Malaysia. Mengapakah dikatakan demikian? Pada zaman serba moden yang penuh dan sarat dengan ranjau, onak dan duri ini, rakyat Malaysia khususnya golongan remaja mempunyai semangat cinta akan negara yang tipis bagai kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat tentang perkara dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan terlalu banyak barangan import telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun. Oleh hal yang demikian, dengan menggalakkan angkatan muda membeli barangan buatan temptan sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat menyedari bahawa sebenarnya ‘Malaysia Boleh’ yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara ‘kalau masih rebung,mudah dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi’. Tegasnya, semangat patriotisme yang kuat dan mendalam dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Sesungguhnya, seperti yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Doktor Mahathir Mohammad, ‘membeli barangan buatan tempatan merupakan teras kejayaan Malaysia menggapai lonjakan masa depan dalam bidang industri.’ Kata-kata hikmat tersebut jelas menunjukkan bahawa sememangnya industri tempatan negara kita dapat berkembang maju dengan menggalakkan rakyat jelata membeli barangan buatan Malaysia. Walaupun pelbagai barangan import yang terkenal di seantera dunia telah membanjiri pasaran tempatan, namun produktiviti dan pengeluaran barangan tempatan yang bermutu tinggi juga tidak kurang daripadanya. Hal ini dapat merangsang perkembangan industri tempatan untuk bersaing dengan barangan import. Peningkatan dalam pembelian barang buatan dapat membantu merancakkan industri tempatan secara tidak langsung. Deduksinya,kita dapat memajukan industri tempatan supaya mencapai hasrat negara menjadi negara industri.

Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa membeli barangan buatan tempatan dapat mengundang pelbagai kemaslahatan dan kebaikan kepada seluruh strata masyarakat bak kata pepribahasa ‘bagai serampang dua mata’ dan ‘bagai makan menanak nasi’. Oleh hal yang demikian, segenap lapisan masyarakat mestilah berganding bahu dan berikhtiar bertungkus lumus untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia supaya merealisasikan Wawasan 2020 yang telah diidam-idamkan selama-lama ini. Wahai, anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!

Sunday, September 25, 2011

Temenggong Kanang Langkau: Jejak Seorang Wira Negara.


Temenggong Kanang Langkau, 67, bekas anggota Batalion 8 Kor Renjer DiRaja Malaysia telah di kurniakan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa Bintang Kenyalang (SP), yang membawa gelaran “Datuk” daripada Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng sempena majlis sambutan hari ulang tahun beliau yang ke-90 tahun di Kuching Sarawak baru-baru ini.

Temenggong Kanang ialah seorang wira yang terkenal di Malaysia dan beliau merupakan bekas anggota askar dari masyarakat Iban Dayak di Sarawak. Beliau telah mengangotai Batalion 8 Kor Renjer Diraja Angkatan Tentera DiRaja Malaysia dan telah bersama-sama berjuang menentang serangan komunis demi kedaulatan negara kita.

Beliau pernah dianugerahkan dengan pingat Panglima Gagah Berani dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Ahmad Shah pada 3 Jun 1981.

Bagi anda yang bakal mengambil perperiksaan PMR pasti anda mengenali tokoh ini melalui Novel yang anda kaji iaitu Novel Kanang Anak Langkau oleh Maznan Nordin.

Laman Bimbingan Bahasa Melayu SPM MSAB turut serta mengucapkan tahniah dan setinggi penghargaan disampaikan kepada Temenggong Datuk Kanang Langkau yang telah berjuang untuk keselamatan dan kedaulatan Negara kita.

Juga ucapan selamat berjaya bagi anda yang bakal menduduki peperiksaan PMR tidak lama lagi.




Wednesday, August 31, 2011

Selamat Hari Merdeka!



Selamat Hari Kemerdekaan Ke-54 Malaysia!

Sunday, August 28, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1432H.



Laman Bimbingan Bahasa Melayu SPM mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1432H, kepada semua rakan kami.

Semasa kita bergembira bersama keluarga dan rakan, ingat juga kepada mereka yang kurang berkemampuan dan mungkin juga kesunyian.

Jaga diri semua dan senantiasa bersyukur dengan rezeki anda.

Semoga kita semua akan terus berjaya dan diberkati Allah (swt).





Monday, August 1, 2011

SALAM RAMADAN 1432H



Laman Bimbingan Bahasa Melayu SPM mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada semua pembaca. Semoga Ramadan kali ini lebih memberikan keinsafan, keberkatan dan kenikmatan dalam beribadah kepada Allah s.w.t. Insyallah. :)


Sunday, May 15, 2011

UCAPAN SELAMAT HARI GURU 2011 BUAT SEMUA WARGA PENDIDIK TANAH AIR.




Guru Oh Guru – Usman Awang

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

NUKILAN PAK USMAN AWANG
1979



Istimewa untuk semua rakan-rakan di pedalaman..."Selamat Hari Guru".



Thursday, March 24, 2011

Tahniah Kepada Datuk M.Nasir!




Penyanyi terkenal tanah air M. Nasir telah hari ini dianugerahkan Pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran "Datuk" daripada DYMM Sultan Pahang. Turut sama menerima pingat berkenaan adalah penyanyi terkenal Ramli MS. Ruangan Laman Bimbingan Bahasa Melayu SPM MSAB ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada kedua-dua artis berkenaan, terutama sekali kepada Datuk M. Nasir.

Sunday, March 20, 2011

Tindak Balas Semula Jadi: Kesan Gempa Bumi Kepada Alam Sejagat.



Pada Mac 11 2011, satu gempa bumi kuat yang berukuran 9.0 skala Richter telah berlaku di utara Jepun yang mungkin telah memendekkan jangka panjang hari Bumi dan telah juga merubah sedikit paksi bumi.

Saintis Professor Dr. Richard Gross dari NASA Jet Propulsion Laboratory Pasadena California yang telah menggunakan kaedah perkiraan komputer di US Geological Survey menganggarkan bahawa akibat daripada kekuatan gegaran gempa bumi Jepun tersebut, jangka waktu siang bumi telah tercepat sebanyak 1.8 mikrodetik (satu mikrodetik adalah sepersejuta saat) akibat paksi bumi yang telah juga berubah sebanyak 17 centimeter (6.5 inci) kearah 133° timur!

Gegaran yang terhasil daripada gempa bumi berukuran 9.0 skala Richter berkenaan telah menyebabkan posisi aci-bumi bergetar sedikit berbeza di atas paksi putaran bumi mengelilingi matahari dan walaupun ini memeranjatkan kita semua, namun oleh kerana saiz bumi yang besar dan jumlah air yang terkandung dalam semua lautan yang akan bertindak sebagai zon-serapan kesan gegaran ini, maka fenomena itu tidak akan membawa sebarang kesan yang ketara kepada manusia sejagat. Jika dilihat, setiap kali berlakunya gempa bumi yang kuat sebegini maka akan bergerak juga serba sedikit paksi pusingannya.

Perhitungan beliau telah juga menunjukkan bahawa semasa berlakunya gempa bumi di Chile yang berukuran 8.8 skala Richter pada tahun lalu, juga telah menyebabkan paksi bumi tergelincir sebanyak 8 centimeter (3 inci) kearah timur yang telah membawa kepada penyingkatan masa siang bumi sebanyak 1.26 mikrodetik dan sekali lagi juga semasa berlakunya gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter di dasar laut Australia yang telah mengakibatkan tsunami yang telah melanda Aceh pada tahun 2004, bumi telah mengalami singkatan sebanyak 1.8 mikrodetik waktu siangnya disamping juga tergelincir sebanyak 7 centimeter (2.76 inci).

Buat masa ini manusia tidak perlu risau dengan apa-apa jua kesan terus daripada fenomena ini kerana masih lagi terhad kepada hanya kitaran angin, kitaran arus laut dan juga barangkali hidupan marin. Namun jika fenomena ini berterusan maka umat manusia sewajarnya mula memberikan perhatian yang serius tentang perkara ini.

(Penulis: Muhamad Suffian Ibrahim)

Hasil penulisan seorang bekas pelajar saya. Beliau dapat dihubungi di alamat ini:
earthrover80@yahoo.com

Sunday, March 13, 2011

MALAM SRI BUDIMAN III DI PERSADA JOHOR BAHRU - 2011

Ucapan Penghargaan Kepada Barisan Juru Foto Sidang Redaksi Seri Budiman
Yang Dedikasi & Komited :)


Dari kiri: Khairul (Editor Grafik), Uzair (Editor Fotografi), Amin (Ketua Editor)



Friday, March 11, 2011

Jepun dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud Skala Richter.


Jepun dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud Skala Richter di timur laut negara itu awal hari ini dan telah menyebabkan berlakunya tsunami setinggi empat meter (13 kaki) yang telah menghanyutkan puluhan kereta dan meruntuhkan bangunan di sepanjang perairan dekat pusat gempa. Terdapat laporan kecederaan akibat daripada kejadian berkenaan di Tokyo. Di beberapa tempat sepanjang perairan Jepun, rakaman televisyen menunjukkan kerosakan teruk akibat tsunami, dengan puluhan kereta, bot dan bangunan dihanyutkan air tsunami berkenaan. Setakat ini masih belum ada berita terkini mengenai krisis kemanusiaan di Tokyo. Laman SPM Bahasa Melayu MSAB mendoakan keselamatan kepada semua rakan kami yang berada di Tokyo terutamanya kepada bekas para pelajar saya dahulu. Semoga mereka dapat mengirim khabar selamat dengan segera kepada kita disini.

Tuesday, February 15, 2011

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL 1432H

SALAM MAULIDUR RASUL 1432H




Semoga Kita Dapat Mencontohi Kekuatan & Keazaman
Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.



Sunday, January 30, 2011

Latihan Cuti Tahun Baharu Cina: Membetulkan Kesalahan Istilah dan Bahasa

Selamat Bercuti Semua!


Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua (2) kesalahaan penggunaan kata istilah dan kesalahan bahasa. Anda perlu mengenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.


1) Pak Din mengerat kayu api itu dengan menggunakan sebuah kapak.

2) Antara sebab-sebab berlakunya kejadian tanah runtuh ialah hujan kuat yang berpanjangan.

3) Ahli jawatankuasa PIBG sedang membincangkan tentang masalah pelanggaraan disiplin pelajaar yang kian menaik.

4) Dia mendapat biasiswa dari JPA untuk menamatkan pengajian di dalam bidang perundangan di England.

5) Pengemis itu tidur berselimutkan dengan kertas surat khabar di kaki lima bagunan kedai yang baru dibuat itu.

6) Acara lari 100 meter telah dimenangi oleh peserta daripada daerah Alor Gajah.

7) Negara kita masih ketinggalan filem cereka fiksyen sains kerana penerbit tidak serius di dalam usaha menghasilkannya.

8) Ayah sedang memasak serawa pisang di dalam dapur masak.

9) Setiap pelajar-pelajar mestilah bijak menyusun masa dengan menyediakan jadual aktiviti harian.

10) Rumah ayah dimasuki air banjir sedalam dua meter dan ayah yang tua itu tidak boleh menyelamatkan sebarang harta.

Monday, January 17, 2011

Latihan: Praktis Karangan "Amalan Membaca".



Amalan membaca bukan sekadar hobi tetapi perlu dijadikan sebagai budaya hidup dalam kalangan rakyat Malaysia

Bincangkan faedah membaca kepada anda dan kemudian tulis sebuah karangan mengenainya berpandukan nota dibawah.

Pendahuluan.
Negara Malaysia sedang berusaha untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara-negara maju yang lain.

Oleh itu, Negara kita amat memerlukan rakyat yang berilmu pengetahuan untuk memacu kemajuan Negara.


Cadangan Isi

Faedah membaca:

Dapat meluaskan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang: Mengikut minat seperti dalam bidang sains, telekomunikasi digital yang begerak dengan pantas sekali.

Dapat mengukuhkan penguasaan bahasa melalui pembacaan: Melalui pembacaan kita boleh menemui pelbagai kosa kata dan frasa yang menarik. Hal ini akan dapat membantu para pelajar menghasilkan karangan yang lebih menarik dan berkualiti.

Keyakinan diri akan bertambah: Kerana dengan membaca kita dapat meningkatkan kemahiran intrapersonal.

Dapat mengetahui isu-isu semasa dan tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung: Bagi seorang pelajar, pengetahuan yang luas tentang isu-isu semasa dan adalah amat penting dan berguna dalam pembelajaran mereka.

Membaca dapat menjadikan kita insan yang celik maklumat: Dalam dunia tanpa sempadan ini maklumat sentiasa berubah dengan cepat oleh itu dengan sentiasa membaca ilmu pengetahuan kita juga akan senantiasa bertambah dan terkini.

Penutup

Jelaslah bahawa amalan membaca merupakan elemen penting yang dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang berdaya saing pada era globalisasi ini.

Saturday, January 8, 2011

“Esprit de corp”; Majulah Sukan Untuk Negara.


Aktiviti sukan terdapat di mana-mana saja adanya tamadun manusia. Malah sukan antarabangsa yang terkenal iaitu Sukan Olimpik moden (Olympic) telah diadakan sejak tahun 1896 lagi.

Terdapat beberapa jenis dan kategori sukan yang terkenal di dunia hari ini seperti permainan bola sepak, permainan ragbi, permainan bola keranjang, permainan badminton, dan tidak ketinggalan juga seni mempertahankan diri yang telah diterima pakai sebagai sebahagian daripada acara sukan persahabatan moden. Di Malaysia, antara para atlet dunia yang kini terkenal di seluruh negara ialah David Beckham, Datuk Nicol Ann David dan juga Ralph Nadal. Setiap negara senantiasa dapat dilihat berusaha menggalakkan rakyatnya supaya melibatkan diri dalam sukan kerana sukan mendatangkan kebaikan kepada kesihatan, perpaduan antara kaum dan juga ekonomi sesebuah negara.

Baru-baru ini, negara kita telah diwarnakan dengan kegemilangan Skuad Bolasepak Negara “Harimau Malaya” dengan kemenangan mereka menewaskan Indonesia 4-2 dan sekali gus menjadi juara Piala Suzuki AFF Asia bagi tahun 2010. Ini menunjukkan keberkesanan nilai-nilai dan usaha yang telah diambil oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan mutu sukan negara pada masa kini.

Sekolah Sukan telah dibina semenjak beberapa tahun lalu demi untuk menempatkan generasi muda yang dilihat mempunyai bakat dan potensi dalam bidang sukan masing-masing. Di sekolah ini, bakat mereka diasah dengan bimbingan guru-guru sukan profesional terlatih yang berkelayakan dan berpengalaman bagi menyediakan mereka secara mental dan fizikal menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan skim ganjaran kepada atlit yang telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antara bangsa seperti sukan SEA, Asia, Commonwealth dan Olimpik. Mereka yang berjaya membawa pulang pingat ke negara ini akan diberi ganjaran yang lumayan. Ganjaran seperti itu sudah semestinya memberi semangat kepada atlet untuk terus berusaha hingga berjaya.

Kanak-kanak juga dilihat berbakat adalah digalakan untuk melibatkan diri dalam bidang sukan melalui Pendidikan Jasmani dan kegiatan kokurikulum sekolah yang memasukkan kelab sukan sebagai satu daripada persatuan yang boleh disertai oleh pelajar. Pelajar yang berbakat dalam bidang sukan yang diminatinya akan berpeluang untuk menunjukkan bakat mereka apabila terpilih sebagai wakil sekolah dalam beberapa pertandingan di peringkat daerah, negeri dan juga antarabangsa.

Secara keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa mutu sukan negara ini masih dapat ditingkatkan sekiranya usaha-usaha yang telah dan sedang dibuat diteruskan. Kerajaan dan masyarakat juga seharusnya berusaha mencari cara untuk meningkatkan mutu sukan supaya Jalur Gemilang kita akan terus berkibar megah di kejohanan-kejohanan antara bangsa.

Demi kegemilangan masa hadapan sukan negara kita, marilah kita bersama-sama mengambil iktibar untuk bertunjangkan semangat “esprit de corp”, Majulah Sukan Untuk Negara!

Friday, January 7, 2011

Sanagt menkajukban! Tak snakga syaa dpaat bcaa ini!

Sanagt menkajukban! Tak snakga syaa dpaat bcaa ini! Tak skanga saya boelh bcaa penlusian ckaar aaym ini! Saybas kedapa rkaan ktia di pernataaun!

Ini aadlah tnada kehbetaan mnida adna smeua. Smeua ckuup viatmin nmapkanya. Mneurut stau kjaian di Cmabridge Uniercvity UK, mnausia mmecaba suseatu preaktaan sceara keesluruhan dan bkuan drai stau huurf ke stau huurf.

Meunrut kaijan ini, jkia huurf hdaapan dan treahkir bteul pada tmepantya maka anda aakn mmapu mmebcaa waluapun huurf-huurf lian bretabruan susnuan.

Apa pnedpaat adna?

Tremia kisah kpeada Enick Rizal yang tleah mnegirim email ini kedapa saya, soernag bekas pejalar saya ynag knii sdenag melajnutkan pealjaran di UK.


Tapi ingat! Ini hanya kajian sahaja! Tulis ejaan semua mesti betul dan tepat! Faham? Bagus dan syabas kepada beliau dan semoga berjaya di UK!