Thursday, April 12, 2012

Analisis Cerpen: Penanggungan Oleh Wijaya Mala (Di Petik Daripada Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM )




Sinopsis:

Kapten Mamat menanggung penyesalan atas tragedi maut yang meragut nyawa Baharum seorang kelasi kapal. Ekoran itu, Masnah janda Baharum terpaksa menanggung penderitaan hidup kehilangan suami serta dua orang anaknya. Kapten Mamat cuba menenangkan perasaan Masnah dengan mengandaikan segala yang berlaku perlu ditanggung kerana sudah ketentuan Allah.

Tema:

Tanggungjawab pada amanah kehidupan yang terpaksa dilalui oleh Kapten Mamat dan Masnah atas ketentuan Ilahi. Kapten Mamat bertanggungjawab terhadap kematian Baharum, suami Masnah. Baharum yang menjadi kelasi kapal yang diketuai oleh Kapten Mamat telah meninggal dunia kerana terjatuh dari atas tiang agung ke atas geladak. Kapten Mamat bertanggungjawab terhadap kehidupan kehidupan masnah dan dua anaknya setelah kematian Baharum. Masnah terpaksa bertanggungjawab terhadap kehidupan diri dan dua orang anaknya setelah kehilangan suaminya.

Persoalan:

Persoalan kesengsaraan hidup janda setelah kematian suami. Masnah terpaksa mengharungi kehidupan tanpa suami.

Persoalan rasa bersalah yang menghantui jiwa. Kapten Mamat rasa bersalah kerana Baharum suami Masnah telah menemui ajal di atas kapak yang diterajuinya.

Persoalan simpati atas penderitaan hidup orang lain. Isteri Kapten Mamat simpati terhadap penderitaan yang ditanggung oleh Masnah setelah kehilangan suami.

Persoalan keredaan menghadapi kententuan Allah. Masnah akhirnya reda dengan ketentuan Allah, iaitu setiap yang hidup pasti akan mati.

Plot:

Secara keseluruhannya, plot drama ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

( i ) Permulaan:
Plot dimulakan dengan memperkenal Kapten Mamat yang sedang berehat di rumahnya ketika cuaca panas terik dengan tiada berbaju sambil terkenangkan peristiwa kematian Baharum, seorang kelasi yang terjatuh dari atas tiang geladak lalu terhempas ke petak besi dan mati serta-merta.

( ii ) Perkembangan:
Kapten Mamat terus mengimbas kembali suasana ketika tragedi itu berlaku. Dia terkenang anak-anak yang menjadi yatim dan isteri yang menjadi balu terutama isteri Baharum. Dia juga mengimbas kembali saat-saat getir ketika menjalankan tugas syarikat semasa menjadi kapten kapal. Tiba-tiba dia dikunjungi Masnah dan anaknya. Anaknya masih merengek-rengek bertanyakan hal ayahnya yang sudah meninggal dunia sambil dipujuk Masnah. Memandang anak Masnah yang menangis itu cukup menyentuh hati lelakinya.

( iii ) Konflik:
Pada peringkat ini konflik timbul akibat Kapten Mamat yang cuba menasihati dan memberikan motivasi kepada Masnah agar jangan terlalu mengikut perasaan sedih setelah kematian suami kerana nasibnya sedang diperjuangkan oleh kesatuan. Ketika dialog berlangsung, Masnah menegaskan bahawa dia tidak mahu anak-anaknya bekerja di atas kapal seperti bapa mereka.

( iv ) Klimaks:
Percakapan antara Kapten Mamat dan Masnah telah memberikan tekanan terhadap dirinya sehingga dia telah pitam tambahan pula dalam cuaca yang panas terik ketika itu. Keadaan agak cemas namun Kapten Mamat berjaya memulihkan Masnah berdasarkan pengalamannya ketika mengemudi kapal walaupun Masnah pulih buat sementera waktu.

( v ) Peleraian:
Peringkat peleraian berlaku selepas Masnah sedar dari pitam dan Kapten Mamat berjanji untuk membela nasibnya di samping menasihatinya agar membuat pemeriksaan doktor. Masnah pula menyatakan hasratnya untuk pulang ke kampung dan digambarkan dia mula menerima takdir Allah.

Teknik Plot:

Imbas kembali. Kapten Mamat mengingat kembali bagaimana kecelakaan berlaku dalam kapalnya. Baharum seorang kelasi - terjatuh atas tiang agung ke atas geladak ...

Suspens. Contohnya "Perkhidmatannya tidak berpanjangan dan itu sebabnya dia dilupakan. Tetapi saya berasaskan sesuatu yang kejam berlaku terhadap suami saya dan kekejaman itu berpanjangan kepada anaknya."


Watak dan Perwatakan

Watak Utama:

Kapten Mamat 
bekerja sebagai kapten kapal
seorang pesara
seorang prihatin terhadap masalah anak buahnya. Kapten Mamat prihatin terhadap nasib yang menimpa 

Masnah sekeluarga setelah kematian suaminya Baharum.
berasa bertanggungjawab atas kematian Baharum. Kapten Mamat berjanji kepada Masnah bahawa selagi dia masih hidup keluarga Masnah tidak akan disia-siakan.

Watak Sampingan:
1. Masnah
janda Baharum
mempunyai dua orang anak
seorang setia dan penyayang terhadap suami dan anak-anaknya. Masnah amat menyayangi suaminya meskipun Baharum sudah meninggal dunia.
hidup susah selepas kematian suami. Masnah merasa keperitan hidup setelah dia kehilangan suami yang menjadi tempat bergantungnya selama ini.

2. Isteri Kapten Mamat
simpati kepada nasib orang lain. Dia amat simpati terhadap nasib yang menimpa Masnah.
percaya kepada perubatan bomoh. Dia menyuruh suaminya memanggil bomoh untuk mengubati penyakit yang dihidapi oleh Masnah.

3. Bahar
anak Baharum
masih kecil, tetapi sudah boleh bercakap.


Latar

Latar Masa:
Tengah hari yang panas terik dan berangin sehingga langsir rumah Kapten Mamat berterbangan dan dia membuka bajunya.

Latar Tempat:
Rumah Kapten Mamat. Ketika itu membuka baju dan membiarkan tubuhnya dihembus angin.
Anjung rumah Kapten Mamat. Ketika Masnah memimpin tangan anaknya naik ke anjung.
Kapal. Tempat Baharum terjatuh kerana memanjat geladak ketika laut bergelora.

Latar Masyarakat:
masyarakat yang cekap menghadapi cabaran. Hal ini ditonjolkan Kapten Mamat ketika berdepan dengan isteri dan anak-anak arwah Baharum.
masyarakat yang bertanggunjawab menjaga kebajikan. Setelah kematian Baharum, kesatuan kerjanya akan membayar pampasan.
masyarakat yang simpati atas penderitaanorang lain. Kapten Mamat terharu dan prihatin terhadap penderitaan Masnah dan anak-anaknya yang telah hilang tempat bergantung.
masyarakat yang menghormati tetamu yang berkunjung ke rumah. Tetamu dihidangkan minuman seperti dilakukan isteri Kapten Mamat.


Gaya Bahasa

kata ganda: tulang-tulang

simpulan bahasa: tulang belakang, mengikat perut

pengulangan kata: yang malang, yang melinang air mata, yang menanggung rindu

Personifikasi: badannya dihembus angin

simile: jantung saya terasa bagai ditikam-tikam


Nilai

Nilai simpati: Kapten Mamat yang simpati atas nasib yang menimpa Masnah dan anak-anaknya.
Nilai kasih sayang: Masnah yang amat mengasihi suaminya dan amat sukar menerima kematian suaminya.
Nilai berani: Kapten Mamat yang berani menghadapi cabaran bekerja di laut


Pengajaran
Kita hendaklah bersimpati atas nasib malang yang menimpa ahli keluarga dan sahabat handai, contohnya Kapten Mamat yang bersimpati dengan nasib Masnah dan anak-anaknya setelah kematian Baharum.

Kita hendaklah saling menyayangi antara suami isteri. Seorang isteri hendaklah mengasihi suaminya yang dikahwini sepenuh hati. Contohnya Masnah tetap mengasihi suaminya walaupun suaminya telah pergi buat selama-lamanya.

Kita mesti menjadi pemimpin yang memiliki keberanian terutama dalam keadaan genting. Contohnya Kapten Mamat yang bijak mengemudi kapal di lautan terutama ketika laut bergelora.

Sunday, April 8, 2012

NILAI PANTUN DALAM PENULISAN KARANGAN ANDA.



Jikalau tidak kerana Bintang
Masakan bulan terbit tinggi
Jikalau tidak kerana abang
Masakan adik datang ke sini

If not for the stars above
Why would the moon venture high
If not for you, my only love
Why would I venture nigh...

(Adapted translation by / Di adaptasikan oleh: Francois Rene Daillie)




Pantun boleh digunakan dalam penulisan karangan. Jika anda memasukkan pantun dalam karangan, kualiti serta nilai karangan akan bertambah baik. Berikut ialah beberapa contoh pantun peribahasa untuk anda gunakan dalam karangan anda. 



Burung jelatik burung jeladan      
Terbang mari ke hujung benua
Sama cantik sama padan          
Bagai pinang di belah dua
Maksud: Pasangan pengantin yang nampak serasi dan sepadan.

Sayur kucai sayur tumis           
Gatal sungguh getah jelatang
Dua-dua sama manis                   
Bagaikan bulan dipagar bintang
Maksud: Seorang lelaki kacak yang dikelilingi gadis-gadis cantik belaka.

Buah langsat kuning mencelah  
Keduduk tidak berbunga lagi
Sudah dapat gading bertuah      
Tanduk tidak berguna lagi
Maksud: Sudah dapat teman baru, teman lama dilupakan/ditinggalkan.

Ayam disabung jantan dipaut    
Jika ditambat kalah laganya
Asam di darat ikan di laut         
Dalam belanga bertemu jua
Maksud: Ke mana pergi jika sudah jodoh bertemu juga.

Sungguh dalam di tengah lautan
Tempat bertapa sang buaya
Sesal dahulu pendapatan      
Sesal kemudian tiada gunanya
Maksud: Lebih baik menyedari kesilapan awal-awal supaya boleh dibetulkan.

Dara sunti berhias di cermin      
Sedang melentik si bulu mata
Dua mempelai di atas pelamin  
Seperti cincin dengan permata
Maksud: Sepasang suami isteri yang sama sepadan.

Hang Nadim Hang Setia          
Dua-dua pahlawan Melayu
Tidak kusangka begitu dia      
Ada udang di sebalik batu
Maksud: Berpura-pura baik tetapi sebenarnya menyimpan niat tertentu.

Kalau ada duit sekupang          
Boleh beli cuka mentahun
Habis padi burung terbang      
Ulat tidak kenangkan daun
Maksud: Telah Lupa diri.

Tinggi sungguh Gunung Daik      
Mercunya nampak terang berkilau
Kalau asal benih yang baik      
Jatuh ke laut menjadi pulau
Maksud: Orang yang baik sentiasa diterima walau di mana juga anda berada.