Thursday, July 22, 2010

Nostalgia A.Samad (Pak Samad) di MPU


MEMETIK kata-kata yang pernah disuarakan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, rap dalam lagu-lagu moden merupakan sebahagian daripada kesenian kesusasteraan.


Kalau ada anak-anak muda yang gemarkan rap, kita tidak seharusnya bersikap prejudis kerana elemen kesusasteraan ada dalam genre muzik itu.


Kerana itu, apabila artis-artis popular tanah air yang memperjuangkan muzik pop mahu melibatkan diri dalam acara pembacaan puisi, ia tidak perlu dijadikan isu.


Sebaliknya, penyertaan anak-anak seni ternama dan berpengaruh itu dalam majlis pembacaan puisi harus diberi sokongan.


Seperti yang terjadi pada Malam Puisi Utusan Ke-13 (MPU13) di Laman Beringin, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.


Penyertaan golongan artis seperti Suhaimi Meor Hassan, Azlan & Typewriter, Akim AF7, Sheila Abdul, Rozita Che Wan, Ultimate dan pelakon teater Uda dan Dara, Zulkifli Zain benar-benar memberi impak kepada penganjuran acara itu.


Bagaimanapun, MPU13 menjadi lebih bermakna dan akan terus dikenang sebagai majlis pembacaan puisi yang penuh nostalgia apabila A. Samad hadir sebagi tanda sokongan yang tidak berbelah bagi buat Utusan Melayu, bekas majikannya.


Kehadiran tokoh yang mesra disapa sebagai Pak Samad pada malam itu seakan mengembalikan nostalgia beliau terhadap organisasi media yang pernah memasyhurkan namanya.


Sebagai rekod, Pak Samad pernah menjadi wartawan Utusan Melayu pada tahun 1957 sehingga 1964.

Pada MPU baru-baru ini, nostalgia itu dikembalikan oleh Pak Samad kepada warga yang celik sastera dengan menyampaikan puisi Kepada Teman Lama Di Utusan.


"Puisi ini saya tulis sebagai tanda ingatan saya kepada teman-teman yang pernah sama-sama bertugas di Utusan Melayu.


"Biarpun saya bertugas di Utusan Melayu untuk tempoh yang sangat singkat iaitu pada tahun 1957 sehingga ke era berlakunya mogok, namun saya masih dikenang sebagai wartawan Utusan Melayu biarpun saya juga lama berkhidmat di Berita Harian," kata tokoh berusia 75 tahun yang masih kental cinta dan kasihnya pada lapangan kesusasteraan.


Bersama-sama Pak Samad pada malam itu ialah sembilan penyair lain yang hadir semata-mata mahu memperkasakan gelanggang kesusasteraan tempatan.


Nama-nama lain yang turut berhimpun pada MPU13 tempoh hari ialah penyair terkenal tanah air seperti Shukri Abdullah, Marsli N.O, Rajeshwary Sita Raman, HarlymYeo, Roslan Madun, Dr. Hamidah Abdul Hamid dan Pyanhabib.


Malam puisi itu juga memberi kelainan dengan kebanyakan puisi yang berkisah nasib dan penderitaan rakyat Palestin.


MPU13 dianjurkan Kumpulan Utusan dengan kerjasama Exxon Mobil, Astro, Perbadanan Filem Nasional (Finas) dan Istana Budaya. Program itu merupakan sebahagian program dalam minggu Sastera Utusan 2010.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.


MPU13 diadakan bagi mengangkat agenda karya sastera, seni dan kebudayaan serta memartabatkan puisi dan lagu-lagu puisi tanah air.


Bagi pelakon wanita popular, Rozita Che Wan, peluang yang ditawarkan oleh Kumpulan Utusan kepadanya pada malam itu disifatkan sebagai satu penghormatan yang cukup besar.


Masakan tidak, penglibatannya dalam MPU13 baru-baru ini merupakan penyertaan pertama dalam gelanggang kesusasteraan selama menjadi anak seni.


Rozita yang pada awalnya gementar dan ragu-ragu dengan kewibawaannya membaca puisi hampir menarik diri.

"Mujur rakan-rakan di Utusan Melayu memberi saya motivasi dan membantu saya cara membaca puisi membuatkan keyakinan diri datang secara perlahan-lahan," kata Rozita yang mendeklamasikan puisi Gadis Di Pelabuhan tulisan Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang.


Pendaklamator yang paling menonjol pada malam MPU tempoh hari juga pastinya bekas wartawan Utusan Melayu, Pyanhabib.


Pyanhabib yang cukup aktif sebagai penggiat sastera menarik perhatian hadirin apabila membawa bersama komputer riba ketika menyampaikan puisi.


"Saya akan membaca puisi tanpa membawa kertas sebaliknya, saya akan melihat skrin komputer riba.

"Tujuan saya ialah untuk menjaga alam sekitar selain menyahut seruan kerajaan agar rakyat Malaysia menjadi warganegara yang celik IT," kata Pyanhabib sebelum mendeklamasikan puisi tulisannya Doa Saya Kepada Tuhan Untuk Palestin.


Gabungan 1Malaysia


Keunikan acara membaca puisi yang dianjurkan bersempena dengan penganjuran Minggu Sastera Kumpulan Utusan yang memasuki tahun ke-25 itu sebetulnya melibatkan penyertaan pelbagai kaum.


Ia sekali gus menterjemahkan aspriasi 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Penyertaan Harlem Yeo serta Raj Rajeswari Seetha Raman misalnya membuatkan 2,500 hadirin yang membanjiri Laman Beringin, IB kagum dengan penguasaan Bahasa Melayu serta keupayaanl membaca puisi kedua-dua penggiat sastera terkenal itu.


Benarlah puisi juga boleh menjadi alat yang mampu menterjemahkan emosi dalam diri segenap lapisan masyarakat.


Kedua-dua pendaklamator itu memilih menyuarakan keluh kesah dan kesedihan mereka berhubung kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin.


MPU 13 turut dimeriahkan dengan penyertaan penyanyi malar segar, Suhaimi Mior Hassan yang menyampaikan dua buah lagu, Misteri Cinta dan Kalau Berpacaran sebagai menutup acara.


Kehadirannya benar-benar menarik perhatian pencinta sastera kerana sudah lama benar kelibat Suhaimi tidak muncul di depan khalayak.


MPU13 akan menjadi satu detik yang indah untuk dikenang. Apa yang pasti, acara itu juga akan menjadi inspirasi buat Kumpulan Utusan menyebarluaskan lagi aspirasi memartabatkan kesusasteraan tanah air.


Artikel ikhsan daripada Utusan Malaysia.