Sunday, March 20, 2011

Tindak Balas Semula Jadi: Kesan Gempa Bumi Kepada Alam Sejagat.



Pada Mac 11 2011, satu gempa bumi kuat yang berukuran 9.0 skala Richter telah berlaku di utara Jepun yang mungkin telah memendekkan jangka panjang hari Bumi dan telah juga merubah sedikit paksi bumi.

Saintis Professor Dr. Richard Gross dari NASA Jet Propulsion Laboratory Pasadena California yang telah menggunakan kaedah perkiraan komputer di US Geological Survey menganggarkan bahawa akibat daripada kekuatan gegaran gempa bumi Jepun tersebut, jangka waktu siang bumi telah tercepat sebanyak 1.8 mikrodetik (satu mikrodetik adalah sepersejuta saat) akibat paksi bumi yang telah juga berubah sebanyak 17 centimeter (6.5 inci) kearah 133° timur!

Gegaran yang terhasil daripada gempa bumi berukuran 9.0 skala Richter berkenaan telah menyebabkan posisi aci-bumi bergetar sedikit berbeza di atas paksi putaran bumi mengelilingi matahari dan walaupun ini memeranjatkan kita semua, namun oleh kerana saiz bumi yang besar dan jumlah air yang terkandung dalam semua lautan yang akan bertindak sebagai zon-serapan kesan gegaran ini, maka fenomena itu tidak akan membawa sebarang kesan yang ketara kepada manusia sejagat. Jika dilihat, setiap kali berlakunya gempa bumi yang kuat sebegini maka akan bergerak juga serba sedikit paksi pusingannya.

Perhitungan beliau telah juga menunjukkan bahawa semasa berlakunya gempa bumi di Chile yang berukuran 8.8 skala Richter pada tahun lalu, juga telah menyebabkan paksi bumi tergelincir sebanyak 8 centimeter (3 inci) kearah timur yang telah membawa kepada penyingkatan masa siang bumi sebanyak 1.26 mikrodetik dan sekali lagi juga semasa berlakunya gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter di dasar laut Australia yang telah mengakibatkan tsunami yang telah melanda Aceh pada tahun 2004, bumi telah mengalami singkatan sebanyak 1.8 mikrodetik waktu siangnya disamping juga tergelincir sebanyak 7 centimeter (2.76 inci).

Buat masa ini manusia tidak perlu risau dengan apa-apa jua kesan terus daripada fenomena ini kerana masih lagi terhad kepada hanya kitaran angin, kitaran arus laut dan juga barangkali hidupan marin. Namun jika fenomena ini berterusan maka umat manusia sewajarnya mula memberikan perhatian yang serius tentang perkara ini.

(Penulis: Muhamad Suffian Ibrahim)

Hasil penulisan seorang bekas pelajar saya. Beliau dapat dihubungi di alamat ini:
earthrover80@yahoo.com