Friday, October 21, 2011

LATIHAN KARANGAN TAMBAHAN SEMASA CUTI SAMBUTAN HARI DEEPAVALI


Adelaide Guided Bus-way. Imej daripada Isma, Adelaide Australia.




CONTOH KARANGAN: MENINGKATKAN KECEKAPAN PENGANGKUTAN AWAM.

Anda dikehendaki menulis satu karangan lengkap berpandukan kepada tajuk di atas, yang panjangnya tidak kurang daripada 180 perkataan.



Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam akan menjamin pengguna terus menggunakan pengangkutan awam berkenaan. Dalam menghadapi tekanan ekonomi semasa, rakyat terutamanya yang mendiami bandar-bandar besar, berusaha mencari pelbagai ruang alternatif untuk berjimat-cermat.

Namun pelbagai rungutan dibangkitkan saban waktu, antaranya ketidakcekapan pengurusan operasi, keadaan kenderaan awam yang tidak selesa, ketiadaan khidmat pengangkutan awam di kawasan kepadatan penduduk tinggi dan mutu perkhidmatan yang tidak bersifat mesra pengguna, menjadikan kemudahan pengangkutan awam pilihan terakhir bagi pengguna di Malaysia.

Perkhidmatan bas awam yang pertama di Malaysia telah diperkenalkan secara sistematik pada tahun 1935 oleh “The Ipoh General Transport Company”. Kemudian Pulau Pinang pula memulakan sistem pengangkutan bas awamnya sendiri dengan syarikat Lim Seng OmniBus, ini telah juga diikuti oleh Selangor dengan Foh Hup Omnibus, Toong Fong Bus dan Len Bus.

Perkara-perkara yang selalu menjadi penyebab utama kepada kurangnya minat awam untuk menggunakan perkhidmatan ini adalah seperti bilangan bas yang tidak mencukupi selain sistem pemandu perseorangan yang tidak efektif, pemandu yang tidak mencukupi dan pelbagai masalah logistik, menyebabkan kelewatan perjalanan selain mampu mengundang bahaya ketika di jalan raya. Semua kesulitan ini mengecewakan para pengguna yang bergantung kepada bas sebagai satu-satunya kaedah pengangkutan mereka.

Penggunaan bas yang telah berusia sebagai langkah pengurangan kos sebaliknya, menimbulkan masalah-masalah lain pula seperti keadaan bas yang usang dengan bumbung bocor, kerusi yang patah dan koyak, penghawa dingin yang tidak berfungsi, palang cermin yang patah dan pelbagai lagi.

Keselesaan adalah juga merupakan faktor penyumbang utama bagi dorongan orang ramai untuk memilih atau menolak perkhidmatan ini. Keadaan ini bukan sahaja mendatangkan situasi tidak selesa kepada pengguna tempatan tetapi juga memberikan tanggapan negatif kepada pelancong-pelancong asing.

Kepentingan sebuah bandar sebagai pusat aktiviti di mana ekonominya berorientasikan perkhidmatan kini semakin meningkat. Oleh kerana itu rangkaian pengangkutan perlu mampu menyokong pertumbuhan ekonomi, pertumbuhan populasi dan kepelbagaian aktiviti di bandar. Telah jelas terbukti di peringkat global bahawa sistem pengangkutan yang teratur dan komprehensif dapat membantu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi sesebuah Bandar, negeri dan juga negara.

Baik buruknya sesebuah perkhidmatan ini adalah sebenarnya di tangan pengguna itu sendiri. Rakyat dapat melakukan pelbagai perkara bagi menyumbang kepada pencapaian 25% penggunaan pengangkutan awam seperti yang telah di hasratkan oleh kerajaan pada tahun 2008.

Orang awam boleh membantu meluaskan kawasan perkhidmatan dan capaian masyarakat perkhidmatan bas 
wam dengan pelbagai cara. Bermulalah dengan permintaan kecil dan khusus: memohon perhentian bas baru, perkhidmatan lebih kerap dan kemudahan lampu yang lebih baik di sekitar perhentian dan stesen. 

Apabila membeli rumah baru, rakyat perlu bertanya kepada pihak pemaju mengenai rancangan kemudahan pengangkutan awam.Yang penting di sini, rakyat adalah diminta untuk meninggalkan kereta persendirian dan mula menggunakan pengangkutan awam. 

Langkah ini akan mampu mebawa kepada penjimatan bahan api petroliam dan akan juga membantu kepada penjimatan ekonomi kita semua. Sekali lagi, bermulalah dengan langkah kecil: cubalah perkhidmatan bas tempatan pada hujung minggu atau komited untuk menggunakan pengangkutan awam satu hari dalam seminggu. 

Seperti kata pepatah: “Kalau tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya".