Sunday, March 25, 2012

BERITA MSAB : Pertandingan Mereka Bentuk Blog Anjuran Seagate Technology International (STIS) dan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).



15 Mac 2012 – Sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan sebuah komuniti siber yang bertaraf kelas pertama di Malaysia yakni yang akan mampu membantu dalam usaha-usaha untuk membangunkan negara, satu bengkel mereka bentuk blog untuk Pertandingan Inter Department Blogging Competition telah pun dianjurkan oleh Seagate Technology International (STIS) di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB). Bengkel yang bermula pada jam 2 petang itu telah dihadiri oleh 36 orang pelajar dan 12 orang guru yang mewakili Panitia Bahasa Melayu, Panitia Bahasa Inggeris, Panitia Sejarah, Panitia Matematik Moden, Panitia Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Panitia Fizik, Panitia Kimia, Panitia Lukisan Kejuruteraan serta Panitia Kemahiran Hidup dari MSAB.

Pada petang itu pelajar-pelajar MSAB mendengar pembentangan oleh Cik Katherine Anne Driz dari STIS. Mereka juga dibimbing oleh 13 orang fasilitator iaitu 2 orang dari Singapura dan 11 orang dari Johor Bahru yang mendedahkan kepada pelajar dengan pelbagai jenis blog yang menggunakan blogspot.com dan wordpress.com. Para peserta telah diberi tunjuk ajar dalam cara-cara mendaftar untuk ruang blog di Blogspot dan WordPress serta teknik-teknik untuk memaksimumkan tahap pengunaan ciri-ciri yang terdapat dalam Blogspot dan WordPress. Dengan ilmu pendedahan ilmu dan maklumat berserta daya kreativiti setiap peserta, mereka diberikan tempoh sehingga 19 Mac 2012 untuk melengkapkan blog mereka mengikut panitia masing-masing bagi melayakkan kumpulan mereka dipilih sebagai pemenang keseluruhan Inter Department Blogging Competition.

Sehubungan dengan program kerjasama STIS dengan MSAB, pihak STIS telah memberikan sumbangan bernilai RM20,300 kepada pihak maktab bertujuan untuk menaik taraf bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi MSAB.





22 Mac 2012 – Demi menyahut seruan Kementerian Pelajaran Malaysia supaya pelbagai kerjasama yang bercorak Smart Partnership dijalinkan dengan pihak stakeholders, maka Seagate Technology International Singapore (STIS) dan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) telah mewujudkan satu hubungan kerjasama yang bertujuan untuk menaik taraf bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi maktab. Sehubungan dengan itu, satu pertandingan Inter Department Blogging Competition telah diadakan di MSAB.

Bermulanya dengan bengkel yang telah dianjurkan pada 15 Mac 2012 yang menjurus kepada proses Inter Department Blogging Competition, suatu sesi penilaian terhadap 12 buah blog yang telah dibina oleh 36 orang pelajar diadakan pada 19 Mac 2012 di Makmal ICT Maktab Sultan Abu Bakar. Panel hakim yang dilantik terdiri daripada pihak STIS yang diangotai oleh Cik Nadirah Ghazali, Encik Albert Hew dan Cik Cik Katherine Anne Driz manakala panel hakim daripada MSAB pula telah dianggotai oleh Encik Encik Mohammad Zahar Zakaria dan Encik Suhaimi Hashim.

Ekoran daripada sesi pemilihan pemenang tersebut, satu majlis penyampaian hadiah telah diadakan di Dewan Sri Budiman MSAB pada 22 Mac 2012. Dalam majlis tersebut, seramai sembilan orang wakil daripada STIS telah menghadirkan diri termasuk Encik Chun Hong Tan, Johor Bahru Seagate Plant Manager, Puan Zaitun Elias, HR Director Seagate Singapore dan Cik Josephine Low, Manager Corporate Comminications Seagate Singapore.
Majlis penyampaian hadiah telah dimulai dengan ucapan Tuan Pengetua MSAB, Encik Samsudin Md. Ariff. Dalam ucapannya, beliau telah menekankan kepada kepentingan bekerjasama melahirkan sebuah generasi celik IT yang berkualiti serta mampu menjadi sebuah platform untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam merealisasikan sebuah masyarakat moden yang mampu memacu Malaysia ke arah kejayaan dan keharmonian sejagat.

Majlis penyampaian hadiah yang berupa sijil, plak, cenderamata serta pemacu kilat USB (USB Pen Drive) telah disempurnakan oleh Encik Chung Hong Tan daripada Johor Bahru Seagate Plant. Blog yang berjaya menjadi juara ialah Blog Panitia Bahasa Inggeris diikuti dengan Blog Panitia Fizik Tingkatan 6 dan Panitia Teknologi maklumat dan Komunikasi (ICT). 

Sejurus selepas majlis penyampaian hadiah, Encik Chung Hong Tan dengan diiringi oleh Tuan Pengetua MSAB telah merasmikan Tropical Orchid Garden MSAB, yang merupakan sebahagian daripada sumbangan RM20,300 daripada pihak STIS kepada MSAB. Tujuan diwujudkan Tropical Orchid Garden MSAB adalah untuk mencapai keseimbangan di antara kemajuan sains dan teknologi dengan kepentingan memelihara dan memulihara flora dan fauna sekitar kita.