Wednesday, September 3, 2008

NOTA PELAJAR DAN LATIHAN : PUTERA GUNUNG TAHAN.

TEMA NOVEL PUTERA GUNUNG TAHAN

Novel ini memaparkan semangat cinta akan tanah air atau semangat kebangsaan atau semangat perjuangan mempertahankan tanah air daripada cengkaman penjajah .

Pengarang berharap, melalui penghasilan karya ini , dapat menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab sebenar dalam usaha mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh bangsa asing.

Semangat cinta akan tanah air ini dapat dilihat menerusi watak-watak yang ditonjolkan oleh pengarang dalam novel ini sama ada melalui watak utama , ataupun watak- watak sampingan.

Contoh:

Melalui watak utama iaitu Ratu Bongsu, yang enggan menyerahkan puncak gunung Tahan kepada orang Inggeris walaupun ditawar dengan beberapa ganjaran yang menarik dan lumayan. Ratu Bongsu dan Kusina (pengikutnya) sama-sama berusaha mempertahankan puncak gunung tersebut daripada ditawan oleh orang Inggeris.

Pengarang memaparkan sikap benci dan anti Inggeris dengan mempermainkan dan memperbodohkan watak Tuan William dan Tuan Robert (Nama-nama pejuang Melayu yang disebut oleh pengarang dalam novel ini iaitu Tuan Robert tergila-gila akan perempuan Sakai dan akhirnya mati terjatuh dari pokok kelapa.)

Pengarang mendedahkan sikap buruk penjajah melalui watak Tuan William dan Tuan Robert yang tamak, bongkak dan memandang rendah terhadap orang Melayu.

Pengarang juga menyebut tentang perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tuk Gajah dalam usaha untuk menentang penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.




PERSOALAN

Pengaruh barat yang membawa kesan buruk kepada masyarakat.
(Orang Melayu bergaul bebas lelaki dan perempuan sehingga ada yang mengandung tanpa nikah.


Pendirian tegas dan tidak mementingkan diri sendiri.
(Perempuan tua dan Ratu Bongsu tidak terpengaruh dengan kekayaan yang ditawarkan oleh orang Inggeris sebagai ganjaran penukaran hak milik gunung Tahan kepada orang Inggeris)


Persoalan tentang sikap bongkak dan tamak orang Inggeris yang akhirnya membawa padah kepada diri sendiri. (Sikap Tuan Robert dan Tuan William yang tamak dan bercakap angkuh iaitu membangga-banggakan bangsanya tetapi merendah-rendahkan bangsa Melayu menyebabkan mereka terkorban .Hasrat untuk mendapatkan puncak gunung Tahan akhirnya gagal.)

Persoalan cinta akan tanah air
Contoh; Ratu Bongsu tidak sanggup menerima tawaran RM5000 sebulan dan sebuah istana yg indah oleh tuan William demi menyerahkan puncak gunung tahan kpd pihak Inggeris.

Persoalan tali barut
Contoh; terdapat sebilanga kecil orang melayu yg berpihak kpd inggeris dan menyebabkan orang melayu kalah dalam peperangan di pahang dan terpaksa melarikan diri ke hutan.

Persoalan keangkuhan atau kesombongan
Contoh; Tuan Robert mengatakan bahawa agama kristian lebih baik drpd agama islam dan menganggap ilmu dunia (cenuai) adalah karut dan beliau terus tidak mempercayainya.

Persoalan tamak
Contoh: Tuan William dan Tuan Robert sanggup merentas hutan untuk ke puncak Gunung Tahan kerana ingin mendapat tawaran daripada pihak Inggeris sebanyak 50000 paun.

Persoalan penipuan
Contoh: Tuan Robert cuba menipu perempuan tua dengan memperdayakan perempuan tua untuk membeli kulit harimau putih kerana kulit harimau putih itu terlalu mahal harganya.

Persoalan kebijaksanaan.
Contoh: Ratu Bongsu telah menyuruh Tuan William masuk ke istananya ketika inggeris menyerang puncak gunung tahan dan menyebabkan T. William mati dalam istana tersebut akibat tersedut asap beracun.


PENGAJARAN

1. Kita hendaklah mempunyai semangat patriotisme.
Contoh : Ratu Bongsu tidak sanggup menerima tawaran Tuan William RM5000 sebulan dan sebuah istana demi menjaga atau tidak mahu menyerahkan puncak gunung tahan kepada Inggeris.

2. Kita hendaklah menghormati ketua dalam melaksanakan segala perintah yang diberikan.
Contoh : Orang-orang sakai begitu menghormati Tuk Batin dan menghormati perempuan tua kerana dianggap sebagai ketua mereka.

3. Kita hendaklah menghormati tetamu.
Contoh : Orang-orang Sakai menghormati tetamu yang datang ke perkampungannya dengan melantik Tuan Robert sebagai Batin Putih.

4. Kita hendaklah bersimpati dan menolong orang yg susah.
Contoh : Orang-orang Sakai menolong dan membantu Tuan William yang kesusahan dan memberikan layanan yang baik kerana kawannya Tuan Robert mati kerana terjatuh pokok.

5. Kita janganlah memperlekehkan agama dan adat orang atau bangsa.
Contoh : Tuan William cuba memperlekehkan agama Islam dan tidak mempercayai ilmu dunia (cenuai) dan menganggap agama kristian yang dianutinya lebih baik menyebabkan perempuan tua memarahinya.


NILAI MURNI

1. Kasih sayang.
Contoh :Tuan Robert yang ditangkap oleh orang Sakai sentiasa teringat akan kawannya dan begitu juga Tuan William selalu mengintai Tuan Robert dan sanggup mencari Tuan Robert yang hilang.

2. Kegigihan
Contoh : Tuan Robert dan Tuan William merupakan orang Inggeris yang gigih dan sanggup meredah hutan untuk ke puncak gunung tahan untuk mencari tempat peranginan yang diarahkan oleh Kerajaan British.

3. Keberanian.
Contoh : Terdapat sebilangan orang melayu yg berani menentang pihak Inggeris di Pahang untuk mempertahankan negeri daripada dijajah walaupun dengan kelengkapan perang yang tidak setanding dan akhirnya tewas.

4. Bekerjasama.
Contohnya : Orang-orang Melayu bekerjasama menentang orang Inggeris demi mempertahankan tanah air daripada dijajah.


WATAK DAN PERWATAKAN

Ratu bongsu (watak utama)

-Raja di puncak Gunung Tahan (Raja orang bunyian)

-Anak kepada perempuan tua yang tinggal di perkampungan orang Sakai.

-Dilahirkan di dalam hutan ketika bondanya lari daripada orang Inggeris.

-Cinta akan tanah air
Contoh : Baginda tidak sanggup menerima tawaran RM5000 sebulan dan sebuah istana yang cantik demi menjaga puncak gunung tahan supaya tidak jatuh ke tangan Inggeris.

-Baik hati
Contoh: Baginda sanggup menolong Tuan William dengan memberikan khidmat teropong halus, beringin bercakap dan burung pesuruh-jaya untuk Tuan William mengetahui tentang isterinya yang berada di London.

-Taat dan patuh kpd nasihat
contoh: Ratu Bongsu sentiasa patuh dan taat terhadap nasihat perempuan tua dan sentiasa berhati-hati dengan sikap Tuan William

-Seorang yg bijak
Contoh: Baginda memerangkap Tuan William dengan menyuruh Tuan William masuk ke dalam istananya ketika kapal terbang Inggeris menyerang puncak Gunung Tahan dan menyebabkan Tuan William terperangkap ketika istana di bom dan Tuan William mati.

-Seorang raja yg baik dan pandai memerintah.
Contoh: Baginda pandai memerintah dan ini membuatkan orang-orang bunyian patuh akan segala arahan dan titah perintah daripada baginda.



Perempuan tua

-Keturunan raja di negeri Pahang

-Ibu kepada Ratu Bongsu

-Melarikan diri bersama-sama rakyat ke hutan dalam keadaan beliau sedang sarat mengandung apabila rakyat Pahang ditewaskan oleh orang Inggeris.

-Bersalin di dalam hutan dengan bantuan orang-orang Sakai

-Tinggal bersama-sama orang Sakai di dalam hutan atau di Kampung Harimau Putih

-Mengajar Islam kepada orang-orang Sakai

-Mengenakan cenuai kpd Tuan Robert kerana Tuan Robert bersikap angkuh

-Berpendirian teguh
Contoh: Beliau tidak mudah terpengaruh dengan pujukan Tuan Robert untuk membeli kulit harimau putih, dan dia tidak mahu menjualnya walaupun ditawar dgn harga yang mahal.

-Tidak suka dihina dan mempertahankan maruah dan martabat diri beliau.
Contoh: Apabila di hina oleh Tuan Robert tentang agama Islam beliau telah mempertahankan agama Islam dengan hujahnya yang jitu dan kemudiannya mengenakan cenuai kepada Tuan Robert untuk membuktikan bahawa ilmu dunia tidak karut.

-Seorang yang penyayang
Contoh: Beliau sentiasa menasihati anaknya ratu bongsu supaya berwaspada dengan Tuan William supaya tidak terpengaruh dengan tipu muslihat Tuan William

-Seorang yang cerdik
Contoh: Beliau dapat mematahkan hujah Tuan Robert ketika Tuan Robert cuba mempersendakan ilmu dunia dan agama islam dan cuba mengagungkan agama kristian.

-Berpandangan jauh
Contoh: Beliau selalu menasihati Ratu Bongsu supaya berwaspada dengan tindak tanduk Tuan William kerana perempuan tua tahu bahawa Tuan William merupakan seorang yang tidak jujur.



Kusina

-Orang bunyian yang tinggal di puncak Gunung Tahan

-Berjumpa dengan Tuan William dan membawa Tuan William berjumpa dengan Ratu Bongsu

-Seorang yg baik hati - contoh: Memberikan makanan kepada Tuan William dan menunjukkan jalan kepada Tuan William sehingga sampai ka puncak Gunung Tahan.

-Cinta akan tanah air - contoh: Apabila kapal terbang Inggeris menyerang puncak Gunung Tahan, Kusina menutup pintu bilik khazanah di istana Ratu Bongsu dan menyebabkan Tuan William terperangkap di dalam bilik dan mati.

-Dapat menghilangkan diri (ghaib) - contoh: Kusina dapat menghilangkan diri dan memberitahu Ratu Bongsu tentang kedatangan Tuan William ke puncak Gunung Tahan.



Tuan Robert

-Sahabat Tuan William

-Bertanggungjawab mencari tempat peranginan kepada pihak kerajaan British dengan ganjaran wang sebanyak 50000 Paun.

-Tersesat di dalam hutan ketika cuba mengambil gambar pemandangan di hutan dan kemudiannya ditawan oleh orang Sakai.

-Dilantik sebagai batin putih oleh perempuan tua

-Bersikap angkuh dan sombong
Contoh: Dia tidak mempercayai ilmu dunia dan menganggap agama Islam tidak bagus dan cuba mengagungkan agama kristian

-Tergila-gila akan perempuan Sakai
Contoh: Apabila Tuan Robert terkena cenuai, dia tergila-gila akan gadis sakai dan sanggup lakukan apa saja asalkan dapat berkahwin dengan gadis itu seperti mengelilingi busut sebanyak 7 kali serta memanjat pokok dan akhirnya terjatuh dari pokok.



Tuan William

-Rakan Tuan Robert

-Bertanggungjawab mencari tempat peranginan kepada kerajaan British di Tanah Melayu dengan tawaran upah 50000 paun.

-Orang yang berjumpa dengan Ratu Bongsu dipuncak Gunung Tahan

-Mempunyai isteri yang berada di London iaitu Mem William

-Melihat dan mendengar isterinya bermesra dengan lelaki lain ketika dia berada di Tanah Melayu melalui teropong halus.

-Orang yang bertanggungjawab menulis surat kepada kerajaan British supaya menyerang Gunung Tahan

-Mati terkena bom Inggeris yang menyerang puncak Gunung Tahan kerana tersedut gas beracun.

-Berhati jahat. Contohnya surat yang di tulis bukan kepada isterinya, sebaliknya menyuruh Kerajaan British menyerang Gunung Tahan.

-Bersifat penyayang. Contohnya dia sanggup mencari kawannya Tuan Robert yang hilang dan sentiasa mengingati Tuan Robert yang hilang

-Seorang yang gigih. Contohnya dia sanggup meredah hutan dan mendaki gunung untuk mencari kawasan peranginan seperti yang diarahkan oleh kerajaan British

-Orang yang memberikan tawaran kepada Ratu Bongsu sebanyak RM5000 sebulan dan sebuah istana jika Ratu Bongsu sanggup menyerahkan puncak Gunung Tahan kepada British.

-Mementingkan kebendaan. Contohnya dia sanggup meninggalkan keluarga dan negaranya untuk mencari kawasan peranginan di Tanah Melayu dgn upah 50000 Paun.




LATAR TEMPAT

1-Negeri Pahang: Digambarkan melalui peristiwa tentera Inggeris menyerang Pahang dan ditentang oleh pahlawan Pahang seperti Tuk Gajah, Mat Kilau, Dato Bahaman. Walaupun akhirnya rakyat tempatan terpaksa menerima kekalahan dan melarikan diri ke dalam hutan.

2-Gua: Digambarkan melalui peristiwa Tuan Robert dan Tuan William terpaksa berteduh daripada hujan lebat sementara meneruskan pendakian ke puncak Gunung Tahan

3-Perkampungan orang Sakai: peristiwa Tuan Robert ditawan oleh orang Sakai semasa sesat dan dibawa oleh orang sakai ke perkampungan mereka iaitu Kampung Harimau Putih.

4-Pondok perempuan tua: Peristiwa perempuan tua tinggal di pondok di perkampungan orang Sakai dan mengajar agama Islam kepada orang Sakai.

5-Puncak Gunung Tahan: Peristiwa Tuan William berjaya ke puncak gunung tahan yang terdapat pelbagai perkara yang aneh seperti teropong halus, beringin bercakap dan sebagainya. Di sini juga tempat pihak inggeris meledakkan bom dan menyebabkan tuan William akhirnya terbunuh.



LATIHAN

1) Apakah ganjaran yang akan diperoleh sekiranya Tuan William dan Tuan Robert berjaya mendapatkan puncak Gunung Tahan?

2) Bagaimana Tuan William mengetahui bahawa Tuan Robert telah diculik oleh orang Sakai?

3) Adakah Tuan Robert bergembira dengan pelantikan tersebut dan mengapa?

4) Bagaimana perempuan tua boleh berada bersama masyarakat Sakai?

5) Apakah tujuan Tuan Robert berbuat demikian dan kesannya kepada perempuan tua

6) Apakah ganjaran yang akan diperoleh oleh Ratu Bongsu sekiranya baginda menyerahkan puncak gunung Tahan tersebut kepada orang Inggeris?

7) Apakah yang dilihat oleh Tuan William melalui teropong ajaib itu?