Thursday, April 23, 2009

PROJEK KHAS: Beri Kami Ruang dan Peluang














Seorang pelajar tingkatan 5 yang saya kategorikan sebagai mempunyai masalah disiplin tetapi masih belum pada tahap serius, telah saya pilih daripada senarai “pelajar untuk dikenakan tindakan disiplin” untuk projek ini. Matlamat projek ini adalah untuk mencari jalan alternatif dalam menangani hal disiplin pelajar ketika guru sedang mengajar di dalam kelas.


Pelajar berkenaan tidak pernah memberikan kerjasama kepada guru-guru beliau dan sentiasa membuat “lawak bodoh” macam Raja Lawak ketika di dalam kelas. Namanya telah diserahkan kepada peringkat Tindakan Disiplin Sekolah untuk tatacara disiplin seterusnya tetapi, saya saringkan namanya dan meletakkan pelajar ini dalam projek khas saya.


Memegang pendapat adik saya (seorang peguam) yang mengatakan bahawa jika dalam bidang perundangan “criminal psychology behavioral studies”, pelajar ini akan meneruskan gelagat bodoh beliau dan akan gagal dalam peperiksaan SPM. Kemudian, apabila telah keluar dari alam persekolahan selepas SPM kelak, pelajar ini akan menjadi “small time crook”, kemudian “crook”, dan langsungnya “career criminal”. Oleh itu saya mencuba untuk memperbaiki keadaan ini. Sebenarnya, kita sebagai pendidik amat beruntung kerana dianugerahkan kelebihan ini oleh Tuhan, iaitu kelebihan untuk ber-psikologi dan berdiplomasi.


Dalam segmen posting ini, saya akan “update” dan mengemaskinikan perkembangan perojek ini dan semoga ini semua dapat menjadi iktibar kepada seluruh warga pendidik.



BIODATA PELAJAR:


Nama: xxxxxxxxxxxxxxx

Tingkatan: 5

Tahun SPM: 2009

Latar belakang keluarga: Tinggal bersama nenek dan lima adik beradik lain. Ibu bapa telah bercerai dan bapa telah menghilangkan diri. Ibunya bekerja di xxxxxxxx. Telah hampir dua tahun pelajar ini tidak dapat menghubungi ibu.


PENCAPAIAN AKADEMIK:

Matematik: D

English: D

Bahasa Melayu: C (tetapi malas dan kuat berjenaka bodoh)

Sains: C


DISIPLIN PELAJAR:

Kedatangan: Alhamdullilah masih lagi hampir penuh.

Masalah disiplin lain selain dari jenaka bodoh: Tidak merokok dan tidak terlibat dalam gejala gangsterism. Hanya terbawa-bawa dengan jenaka bodoh sahaja.

Kegiatan Ko-Kurikulum: Tidak pernah ambil tahu dan tidak pernah hadir.


TINDAKAN MEMBAIK PULIH MORAL PELAJAR:

Saya telah melantik beliau sebagai Editor Kerja (jawatan khas untuk beliau) bagi Majalah Sekolah. Ini pun setelah saya “sekolahkan” dan “basuh” beliau betul-betul dan beliau berjanji untuk bekerjasama. Kerja beliau sebagai “Editor Kerja” Majalah Sekolah adalah untuk memastikan semua pelajar yang akan diambil gambar kelasnya, berdisiplin ketika bergambar. Memakai tali leher kemas dan duduk dengan tertib serta para pelajar tidak membuat sebarang "possing bodoh" ketika guru mengambil gambar mereka. Manakala kerja mengambil gambar pula dilakukan oleh guru.


Perubahan yang dapat saya perhatikan adalah:

  • Beliau kini semakin serius di dalam kelas
  • Beliau juga semakin berminat dalam aspek “kerja-kerja pembikinan majalah”
  • Beliau juga mula datang pada hari Sabtu dan juga “stay back” selepas sekolah untuk membantu kerja-kerja majalah.
  • Kerja rumah beliau juga ada penambahbaikan. Mungkin sebab pelajar ini sudah mula berasa kewujudan maruah diri dan hormat diri sendiri dalam dirinya.
  • Beliau kini sudah mula menjadi seorang “Team Player”

Saya akan kemaskinikan segmen ini apabila ada perubahan. Harap maklum.


Tujuan projek ini adalah untuk memberikan mereka peluang kedua. Jika bukan kita yang memberikan mereka ruang ini, siapa lagi? Mari kita renungkan bersama – Terima kasih.


KEMASKINI 13 Mei 09: Pelajar ini telah mengambil inisiatif sendiri semasa cuti hari minggu Hari Wesak untuk mencari bangku-bangku lama dan kemudian membersihkannya untuk digunakan sebagai alas tempat berdiri pijak pelajar-pelajar ketika sesi pengambaran kelas. Syabas!

KEMASKINI 21 Mei 09: Pelajar mengambil inisiatif sendiri mencari sebuah kamera gambar yang agak lama yang masih menggunakan filem 135mm untuk mengambil gambar-gambar bagi majalah sekolah. Oleh kerana minat beliau, maka pihak sidang redaksi telah bersetuju untuk menanggungjawabkan satu unit kamera digital milik saya untuk kegunaan beliau bagi tujuan majalah sekolah.

KEMASKINI 27 Julai 09: Pelajar masih lagi membuat lawak "ceria" dan bukan lagi lawak bodoh seperti dahulu. Pelajar juga semakin prihatin kepada emosi rakan dan guru serta pelajar ini juga kelihatan lebih banyak menganalisis daripada hanya "meredah". Tahu bila dan dimana perlu serius serta dimana boleh ceria. Akademik juga menunjukan peningkatan positif ketahap B dari C- atau "cukup hidup saja". Syabas!

KEMASKINI 11 Mac 2010: Pelajar ini telah berjaya memperolehi 4 A dalam keputusan SPM beliau yang baru diumumkan hari ini. Bagi subjek Bahasa Melayu, beliau mendapat gred A. Syabas! Ini buktinya bahawa "Jika hendak seribu daya, seribu usaha"! Saya yakin beliau kini telah menyedari potensi dirinya untuk terus maju dalam langkah kehidupan beliau yang seterusnya. Alhamdullilah diatas keputusan cemerlang bagi SPM tahun 2009! Tahniah untuk semua warga MSAB!