Monday, March 30, 2009

KAJIAN KONSTRUKSI SINTAKSIS

TAJUK KAJIAN:

Konstruksi Sintaksis

NAMA PENYELIDIK:

www.spmbahasamelayu.blogspot.com

NAMA SEKOLAH:

MSAB


REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU

Pembinaan ayat merupakan aspek paling asas dalam proses menulisan. Namun demikian, masih ramai lagi pelajar yang kurang mahir membina ayat. Sepanjang tempoh saya menjadi guru, perkara inilah yang merupakan masalah yang sering dihadapi oleh pelajar. Kebiasaannya, apabila pelajar diminta membina ayat mereka akan membina ayat-ayat yang tergantung. malah seringkali juga mereka membina ayat yang yang tidak pasti subjek atau predikatnya. Bukan itu sahaja malah peraturan tanda baca juga tidak dipatuhi. Mereka ini terpengaruh dengan sindrom Bahasa Melayu ala Sistem Pesanan Mesej Ringkas (SMS).

Selain itu, mereka juga cenderung mengikut pembawakan rancangan-rancangan bercorak penyertaan SMS daripada para penonton. Sikap kurang membaca dan suka ber“chatting” juga menjadi penyumbang kepada gejala ini. Ini adalah kerana, dalam susunan ayat-ayat semasa “chatting”, hampir kesemua ayat akan disingkatkan penulisannya. Manakala kualiti yang dibawa oleh rancangan-rancangan televisyen tempatan menambah kerumitan kepada perkara ini. Sebagai contoh, sebuah drama bertajuk Ceria-ceria Cikgu Rubina yang ditayangkan pada hari Isnin jam 7:30 hingga 8:00 malam di TV3, memaparkan kisah remaja yang menggunakan bahasa Melayu dengan sebutan dan intonasi yang pantas sehingga bahasa itu menjadi cacamerba. Sebagai contoh “Awak hendak ke mana?” disingkatkan kepada “wak nak gi ner?”. Hal inilah yang menjadi ikutan remaja zaman milenium ini dan telah mula merebak kepada cara dan gaya penulisan mereka pula. Apakah rupa dan sebutan serta kualiti Bahasa Melayu 10 tahun kehadapan? Ataupun juga 20 tahun kehadapan apabila para remaja hari ini pula akan menjadi ibubapa? Adakah Bahasa Melayu sebenarnya sedang menjalani evolusi negatif tanpa disedari ramai?

Kepincangan ini telah menyebabkan kemerosotan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan keadaan ini amat membimbangkan pihak sekolah kerana GPK sekolah akan merosot sekiranya fenomena ini berterusan. Berdasarkan Ujian Formatif I yang lalu, para para pelajar tidak menulis ayat-ayat yang lengkap apabila mengemukakan isi-isi tersurat atau tersirat dalam menulis rumusan. Hal ini menyebabkan pelajar kehilangan markah walaupun isi-isi yang dikemukakan itu betul. Fenomena ini perlu diatasi dan saya telah berusaha pelbagai kaedah untuk menangani perkara ini.

Sebagai guru, saya bercerita kepada pelajar tentang sindrom ini supaya mereka sedar akan masalah yang mereka hadapi ini. Kalau mereka tidak tahu akan wujudnya sindrom ini, mereka tidak prihatin dan insaf akan kesilapan itu dan langkah pertama adalah membentuk kesedaran demi untuk pemulihan. Kita boleh menyedarkan mereka dengan mengaitkan sindrom tersebut dengan drama atau rancangan televisyen yang disukai oleh mereka. Apabila mereka mula membuka mata terhadap masalah ini melalui cara yang menarik minat tadi, saya menyemai minda pelajar-pelajar ini dengan proposal yang dirangka untuk membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi.

Oleh sebab kerangka minda (daya imaginasi) mereka sebenarnya amat ligat berfikir, mereka mula bercakap cepat dan menulis dengan cepat juga untuk mengejar cetusan-cetusan idea tadi. Percakapan dan penulisan sebegini mengakibatkan sindrom dalam drama Ceria-ceria Cikgu Rubina sukar dibendung. Masalah ini pula perlu diatasi dengan menggalakkan pelajar menulis dalam tulisan sambung kerana corak penulisan klasik sebegini sebenarnya mengajar menyeimbangan antara fikiran yang mencambah dan pergerakan fizikal yang rancak. Mengapakah pada masa kita di bangku sekolah dahulu, perkara ini tidak luas berlaku?



ISU/KEPRIHATINAN YANG DIKAJI

Walaupun banyak masalah yang dapat saya kesan, namun kajian ini hanya memfokuskan kepada masalah pembinaan ayat yang sempurna iaitu ayat yang mempunyai subjek dan predikat. Kesilapan yang seringkali dilakukan oleh pelajar ialah:

- menulis ayat-ayat tergantung

- menulis ayat yang tiada subjek ataupun predikat

- menulis ayat-ayat tunggal sahaja sehingga tidak dapat menulis lebih panjang apabila membuat sebarang pengolahan atau penghuraian isi/fakta karangan

- tidak mematuhi tanda baca yang betul


TENTUKAN OBJEKTIF KAJIAN

Objektif Kajian:


Selepas kajian selesai pelajar diharapkan dapat mencapai obkejtif berikut:

i) Objektif Umum
- meningkatkan nilai GPK sekolah dengan peningkatan peratus kepujian dalam
Bahasa Melayu


ii)Objektif Khusus
- meningkatkan keupayaan pelajar membina ayat-ayat yang sempurna.
- memahirkan pelajar menyambung ayat agar ayat yang dibina bukan sahaja terdiri daripada ayat-ayat tunggal malah ayat-ayat majmuk.
- meningkatkan peratus pelajar yang mendapat markah cemerlang dalam ujian/peperiksaan.



KUMPULAN SASARAN

Kajian ini melibatkan 19 orang pelajar 5 Etika yang terdiri daripada 7 orang pelajar Melayu, 5 orang pelajar India, dan 7 orang pelajar Cina.



TINDAKAN YANG DICADANGKAN

Tinjauan Masalah:

- Ujian khas membina ayat berasaskan perkataan yang diberi bagi menganalisis pembinaan ayat pelajar.

- Latihan pelajar bagi mengesan kesilapan penggunaan ayat-ayat yang tergantung.

- Bahan bukti Ujian Lisan Berasaskan Sekolah bagi mengesan kesalahan dalam membina ayat.


Program Konstruksi Sintaksis

Cara Pelaksanaannya:

a) Guru memberikan satu perkataan yang berbeza kepada setiap pelajar di dalam kelas tersebut.

b) Guru meminta pelajar membina sebaris ayat sehari berdasarkan satu perkataan yang diberi itu.

c) Ayat yang ditulis oleh pelajar perlulah ditulis dalam tulisan sambung kerana tulisan sedemikian memerlukan kesabaran dan ini akan memberi ruang kepada latihan kordinasi diantara minda, hati dan juga tangan penulis sendiri untuk menapak semula dikalangan pelajar hari ini. Cara ini juga akan menggalakkan percambahan idea yang lebih bernas dan juga memupuk disiplin diri serta minda.

d) Pelajar mencatat dalam buku catatan khas.

e) Guru meminta setiap pelajar membacakan ayat-ayat yang ditulis oleh pelajar sebaik sahaja memulakan P dan P.

f) Guru meminta pelajar menulis ayat-ayat sehingga membentuk cerita.

g) Ayat-ayat yang ditulis boleh terdiri daripada Ayat Tunggal mahupun Ayat Majmuk. Sekiranya pelajar menulis Ayat Cakap Ajuk, pelajar dikehendaki mematuhi sistem tanda bacanya.

h) Guru menganalisis dan menilai tugasan yang diberinya pada setiap hari.



JADUAL PELAKSANAAN

Bil Aktiviti Tarikh Perlaksanaan
1 Mengenal pasti masalah dan pengumpulan data: 10 Februari 2009

2 Menulis proposal kajian: 13 Februari 2009

3 Merancang tindakan: 17 Februari 2009

4 Melaksanakan tindakan: 19 Februari 2009

5 Membincangkan masalah yang timbul dalam tindakan dan mengatasi masalah:
20 Februari 2009

6 Ujian untuk mengesan pencapaian pelajar: 23 Februari 2009

7 Refleksi kajian: 24 Februari 2009

8 Menulis laporan kajian: 26 Februari 2009

9 Pembentangan dapatan kajian: 2 Mac 2009


Nota Tambahan:

Sewaktu saya berbincang dengan para pelajar saya tentang sindrom Ceria-ceria Cikgu Rubina ini, dalam kalangan mereka telah mula menyedari tentang “masalah/fenomena” ini dalam diri mereka sendiri. Dan mereka turut mencadangkan supaya diadakan satu kajian melalui laman blog ini untuk mengenal pasti sama ada sindrom ini juga turut berlaku di kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak ataupun fenomena ini hanya berlaku di kawasan bandar sahaja. Adakah sindrom ini juga ada hubung kait dengan persekitaran sosio-ekonomi setempat/masyarakat? Jika ada input daripada rakan-rakan kami di sana, harap boleh berkongsi pendapat dengan kami. Terima kasih.