Penggunaan telefon bimbit semakin popular dalam kalangan remaja. Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan boleh mengganggu kehidupan manusia dan remaja itu sendiri.Sila berikan pendapat anda tentang peranan yang patut dimainkan oleh ibu bapa untuk mengawal penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja kini.
Tugasan: Menjelaskan peranan yang patut dimainkan oleh ibu bapa untuk mengawal penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja supaya penggunaannya tidak akan mengganggu kehidupan remaja dan orang lain seperti dari segi rutin, pergaulan, pelajaran dan kesihatan.
Jenis Soalan: Pendapat.
Format: Tiada Isi: i) Mendidik remaja agar menggunakan telefon bimbit dengan betul. ii) Menetapkan tempoh masa maksimum yang boleh digunakan oleh remaja. iii) Membeli telefon yang agak sederhana sahaja nilainya untuk remaja.
Contoh Karangan
Penggunaan telefon bimbit telah menjadi satu trend dalam kalangan remaja. Meskipun telefon bimbit bukanlah alat keperluan mereka, mereka masih ingin memilikinya kerana pemilikan telefon bimbit akan melambangkan status. Oleh sebab remaja masih belum matang fikirannya, penggunaan telefon bimbit kadangkala mungkin menjejaskan kehidupan remaja itu sendiri kerana leka dengan hantaran khidmat pesanan ringkas (SMS), permainan internet yang dapat dimuaturunkan kedalam telefon bimbit dan berborak-borak dengan kawan. Pernah beberapa kali berlaku bil telefon bimbit remaja yang masih bersekolah telah mencecah ribuan ringgit. Selari dengan risiko penggunaan telefon bimbit, tindakan yang bijak perlu diambil untuk menangani penyakit ini sebelum remaja menjadi hamba kepada telefon bimbit ini.
Pada pandangan saya, ibu bapa perlu menggalas kewajipan untuk mendidik remaja supaya menggunakan telefon bimbit dengan betul. Telefon bimbit tidak boleh dibawa oleh remaja ke sekolah atau ke pusat tuisyen. Selain mengehadkan tempat penggunaan telefon bimbit, status pemilikannya perlu juga dibataskan, umpamanya ibu bapa berkongsi sebuah telefon bimbit dengan remaja. Dengan usaha ini, ibu bapa dapat memantau penggunaan telefon bimbit tersebut dengan melihat rekod panggilannya. Tujuan penggunaan telefon bimbit juga perlu dijelaskan kepada remaja. Penerimaan SMS atau membuat panggilan telefon di tempat yang tiada kemudahan telefon awam sahaja dibenarkan penggunaannya. Usaha ini perlu diambil kerana remaja suka menggunakan telefon bimbit untuk bercerita dan berborak-borak dengan rakan. Keseronokan bersembang menerusi telefon bimbit dan bersahabat dengan kawan yang tidak pernah ditemui akan menjejaskan tumpuan remaja terhadap pelajaran dan rutin kehidupan. Begitu juga dengan kesibukan meladen SMS yang dihantar oleh kawan. Dengan kata lain, ibu bapa hendaklah mendidik remaja tentang kesesuaian penggunaan telefon bimbit supaya telefon bimbit tidak disalahgunakan oleh remaja.
Ternyata semua telefon bimbit mengandungi gelombang radioaktif. Bercakap terlalu lama di telefon bimbit adalah tidak baik kepada kesihatan. Gelombang radioaktif daripada telefon bimbit akan memasuki sel otak semasa percakapan. Lantaran itu ibu bapa mestilah mengambil tindakan yang wajar demi untuk "mencegah sebelum parah". Untuk menangani masalah penggunaan telefon bimbit yang terlampau kerap, ibu bapa perlu bijak dan berhati-hati seperti "menarik rambut di dalam tepung". Sikap ini wajar diambil agar tidak menimbulkan sebarang konflik antara remaja dengan ibu bapa. Nasihat yang lemah lembut dan penerangan tentang mudarat telefon bimbit ke atas kesihatan perlu dilakukan dengan baik sebelum ibu bapa membelikan remaja telefon bimbit. Melainkan dalam keadaan terdesak dan terpaksa, remaja tidak boleh di benarkan membuat panggilan telefon melebihi tempoh masa atau bilangan kali sehari yang telah ditetapkan oleh ibu bapa.
Disebabkan keghairahan dan keseronokan memiliki telefon bimbit, remaja akan mencuba segala kemudahan yang disediakan di dalam telefon tersebut. Semakin mahal telefon bimbit, semakin canggih teknologi dan jumlah fungsi yang dapat digunakannya. Langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh ibu bapa sebelum membeli telefon bimbit untuk remaja. Elakkan membeli telefon yang mengandungi fungsi GPRS yang membolehkan permainan komputer di internet dimuaturunkan ke dalam telefon bimbit. Jika tidak remaja akan asyik dengan permainan tersebut sehingga pelajaran di sekolah turut diabaikan. Mereka akan bermain sehingga ke larut malam dan mengantuk pada siang hari sedangkan ibu bapa membentak kerana terpaksa menanggung bil yang mahal. Oleh hal yang demikian, pendirian ibu bapa hendaklah teguh dalam penentuan jenis telefon bimbit dan juga kenis perkhidmatan yang boleh dimiliki oleh remaja.
Sebagai rumusannya, ibu bapalah yang perlu menyelamatkan remaja daripada ketagih kepada telefon bimbit. Memandangkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja lebih mengarah kepada status dan bukannya satu keperluan, ibu bapa berhak mengawal penggunaan telefon bimbit. Jika tidak, pelbagai masalah yang tidak diingini akan wujud sebaik sahaja remaja mula menggunakan telefon bimbitnya. Kita sebagai manusia sepatutnya menjadi tuan kepada alat teknologi dan bukanlah sebaliknya.
Khazanah kata:
Trend: arah aliran (terkini) Status: kedudukanMencecah: mencapai, menyentuh Menggalas kewajipan: memikul tanggungjawab Meladen: melayan, membalas Konflik: pertentangan antara individu Mudarat: kesan buruk
Arahan: Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Selendangmu mengibar di pantai
menyambut tetamu pulau
setiamu menjadi lagu
nyanyian ombak pagi
rambutmu menjadi jalur hitam
terapung di laut malam
air matamu dingin embun
jatuh di tujuh telaga
dendam tujuh keturunan
melengkung tujuh tanjung
putihlah pulau ini
disimbah darah suci
Mahsuri
sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi
kerana tanpamu
Langkawi tidak sebegini.
Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup
dia hanya bermula dengan
khayalan seorang seniman
pun kata orang Mahsuri pernah hidup
tetapi bahasa seorang pencerita
membuat dia lebih hidup dari kehidupannya
sastera yang mewarnai tanah air
kerana tanpa Mahsuri
Langkawi tidak sebegini bererti.
Mahsuri membesarkan Langkawi
sastera membesarkan tanah air.
Sebuah sajak yang sangat indah ciptaan Zurinah Hassan
(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
Soalan latihan:
1)Berikan maksud rangkai kata disimbah darah suci dalam sajak ini.
2)Sekiranya anda menjadi pemimpin di Pulau Langkawi, apakah usaha yang akan anda lakukan untuk memajukan lagi sektor pelancongan pulau tersebut? Sila berikan empat usaha yang bakal anda lakukan.
3)Berdasarkan sajak “Mahsuri”, nyatakan tiga gaya bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut.
4)Jika anda pernah bercuti di Pulau Langkawi, apakahtempat paling indah yang pernah anda lawati disana?
Anda boleh melayari pautan dibawah ini untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut tentang percutian di pulau Mahsuri ini.
Sila klik di sini untuk artikel asal di Utusan Malaysia.
JOHOR BAHRU 17 Mei - Seramai 130 warga pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) di sini diraikan dalam majlis Sambutan Hari Guru 2010 dengan acara kemuncaknya menyaksikan majlis memotong kek sepanjang 60 meter.
Majlis yang diadakan di Dewan MSAB itu didahului dengan perutusan Hari Guru yang disampaikan oleh Pengetua MSAB, Zulkipli Mahmood.
Pengerusi Ahli Jawatankuasa Induk dan Pelaksana, Norfariza A. Kadir berkata, idea membuat kek yang terdiri daripada cantuman 100 biji kek itu dicetuskan oleh para pelajar sekolah berkenaan.
"Kami mengambil inisiatif itu untuk menjayakan sambutan Hari Guru dengan cara yang lebih unik dan menarik. Secara kebetulan sambutan hari tersebut kali terakhir bagi Pengetua yang akan bersara awal tahun depan.
"Kami mendapat kerjasama daripada Season Confectionary & Bakery Sdn. Bhd. yang menaja kos membuat kek berharga kira-kira RM10,000 itu," katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis itu di sini hari ini.
Jelas Norfariza, sebagai tanda sayang dan menghargai insan bernama guru, para pelajar turut menyumbang RM2 seorang bagi membiayai kos kek berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran dan Jualan Season Confectionary & Bakery, Caren Tan berkata, pihaknya terpanggil melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memilih MSAB untuk merealisasikan hasrat murni itu.
Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 jam melibatkan 10 petugas bagi menyiapkan 100 biji kek span berperisa vanila itu dengan setiap satu seberat 1.6 kilogram.
Guru adalah awan indah terbang rendah, melimpahkan hujan pada musim gersang, menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah; ia renjis embun pada tanah bakat, suara ihsan ketika manusia kalah, sepi yang syahdu dalam dunia resah.
Guru - atap ganti ketika pondok bocor, ketika sejarah dalam bilik darjah, senyum penyembuh bagi wabak sengsara, ia - sungai rangsang sentiasa tenang, menghantar bahtera ke segara dharma, memesan angin menghikmahkannya.
Guru adalah penelaah yang tekun, mewariskan dunia sebagai kutubkhanah, menyediakan kutubkhanah sebagai dunia, ia mengemudi biduk, melepaskannya, atas lambungan laut, merangsangkan manusia menyelami rahsia khazanahnya.
Guru - minda segar dan kukuh akar, menghidupkan batin yang bersih di daerah dunia cemar kasih, dan pada ketika tak tersangkakan, walau diambilnya kembali semua buku, sempat ditinggalkan asas ilmu.
Guru adalah batin suci hati nurani, penjunjung budi, manusia yang takwa, obor hemah kehidupan bangsa.
A. SAMAD SAID 2 APRIL 1988
SELAMAT HARI GURU!
Buat anak-anak didik cikgu: Belajarlah bersungguh-sungguh;semoga terus berjaya!
Senarai Contoh Peribahasa/Cogan Kata menarik yang boleh anda gunakan dalam apa jua karangan anda atau sebarang jua bentuk perbualan/komunikasi anda. Maaf "font" yang berselerak. Kami mengguna pakai dua O/S "Windows XP & Windows 7". Anda boleh "copy paste" ke MS Words di komputer anda dan kemudian edit semula untuk memudahkan penggunaan anda kelak.
Abjad A
Ada asap, ada api:
Tidak boleh dipisahkan ada sebab maka ada juga puncanya.
Ada gula, adalah semut:
Tempat yang menjanjikan rezeki akan dikerumuni.
Ada udang di sebalik batu:
Mempunyai tujuan tersembunyi.
Alah bisa, tegal biasa:
Kerana sudah biasa maka tidak terasa susahnya.
Alang leher, minta disembelih:
Seolah-olah mengharapkan bencana/kesusahan.
Alang menyeluk pekasam,
biar sampai ke pangkal lengan:
Membuat sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh sehingga selesai kerja tersebut.
Ambil pati, buang hampas:
Ambil yang baik sahaja.
Api kecil baik dipadamkan:
Sesuatu yang buruk lebih baik diatasi pada peringkat awalan sebelum ianya menjadi lebih buruk lagi.
Api tatkala kecil menjadi kawan,
apabila besar jadi lawan:
Perkara yang baik boleh mendatangkan keburukan apabila terlalu banyak.
Aral melintang:
Halangan yang tiba menjelma.
Asam garam kehidupan:
Pengalaman hidup manusia.
Ada jalan
Ada cara, ikhtiar, usaha
Ada udang di sebalik batu
Ada maksud yang tersembunyi di sebalik sesuatu perbuatan
Air muka
Permukaan air
Rupa muka (yang membayangkan sesuatu perasaan)
Maruah, harga diri
Air seni
Hasil kerja seni (ada juga kegunaan lain – tapi cari sendiri lah)
Akal yang sihat itu ada pada badan yang cergas
Orang yang sihat tubuh badan memiliki fikiran yang baik atau idea yang bernas
Akar umbi
Akar tunjang
Keseluruhan asas (sesuatu) yang kukuh
Peringkat bawahan atau asas dalam sesuatu komuniti
Alah bias tegal biasa
Segala kesusahan tidak akan terasa lagi sesudah biasa mengalaminya
Alah membeli menang memakai
Tidak apalah mahal sedikit harganya asal barang itu kuat (tahan dan sebagainya)
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
Kalau sudah terlanjur jahat biarlah sampai beroleh hasilnya
Kalau sudah melakukan sesuatu, biarlah pekerjaan itu diselesaikan
Ambil langkah
Mulai hendak berjalan
Mulai bertindak
Ambil berat
Memberikan perhatian (minat, layanan) yang istimewa
Anak emas
Orang yang dikasihi oleh seseorang yang lebih berkuasa
Asam garam
Berbagai-bagai pengalaman hidup (pahit manis, suka duka)
Ayam tambatan
Orang harapan
Abjad B
Badan cergas, otak cerdas: Badan yang bertenaga dan sihat, akan dapat melahirkan pemikiran yang sempurna akalnya.
Bagai aur dengan tebing: Saling bantu membantu.
Bagai cendawan tumbuh selepas hujan: Sesuatu yang wujud dengan banyak.
Bagaimana acuan, begitulah kuihnya: Lazimnya perangai yang muda akan mencontohi (mengikuti) yang lebih tua darinya.
Bangkit hatinya: Menimbulkan keberanian dirinya.
Bapa borek, anak rintik: Perangai anaknya mengikut perangai bapanya. (Namun berhati-hati dalam penggunaan peribahasa ini).
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian:
Kesenangan akan tiba selepas kita telah bersusah payah mencari kejayaan.
Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul: Hanya orang yang mengalami sesuatu keadaan sahaja akan benar-benar mengetahui (kesusahan) mengenainya.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing: Berat kerja sama-sama diharungi dan kemudiannya kesenanangan pula akan sama-sama dikecapi.
Berganding bahu: Bekerjasama (tolong menolong).
Berpeluk tubuh: Tidak mahu memberikan pertolongan, hanya tunggu dan lihat sahaja.
Bersatu kita teguh bercerai kita roboh: (Perlu saya bagi penerangan pada anda semua?)
Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi: Untuk menjayakan sesuatu, kedua belah pihak perlu bersepakat dan bersama bertanggungjawab (kegunaan untuk ayat positif dan juga yang negatif).
Bidan terjun: Orang yang menggantikan tugas orang lain, selalunya untuk jangkamasa yang tidak tetap dan dilakukan dengan cara yang agak kucar-kacir.
Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali: Buat baik biarlah pada tempat yang betul dan dengan cara yang betul, buat jahat jauhkan sama sekali dalam kehidupan ini.
Bukan bersuluh batang pisang, bersuluh bulan matahari: Kebenaran yang nyata akan dapat dilihat/dinilai oleh semua.
Bukan calang-calang: Bukan sebarangan/susah untuk ditandingi.
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat: Kata sepakat akan membawa berkat.
Buta huruf: Orang yang tidak tahu membaca dan menulis (jika anda terjumpa seseorang begini, bantulah mereka sedaya-upaya anda agar mereka juga mampu membaca).
Bagaimana acuan begitulah kuihnya
Anak itu mengikut sikap dan rupa ibu bapanya kerana faktor baka
Bagai aur dengan tebing
Dikatakan mengenai orang yang suka bertolong-tolongan
Bagai ayam disambat helang
Untung yang malang (seperti isteri atau tunangan dirampas orang berkuasa
Bagai bulan dipagar bintang
Wajah perempuan yang cantik
Bagai kaca terhempas ke batu
Sangat sedih
Bagai kacang lupakan kulit
Orang yang lupa akan asalnya (orang yang telah menolongnya) setelah menikmati kesenangan
Bagai minyak dengan air
Orang yang bermusuhan atau yang tidak sehaluan mustahil dapat dicampurkan jadi satu
Bagai murai dicabut ekor
Orang yang suka bercakap banyak
Bagai cincin dengan permata
Sama padan, cocok benar
Bagai menatang minyak yang penuh
Sangat dikasihi dan dipelihara dengan sempurna
Baik sangka
Rasa muhibah, berniat baik
Tidak menaruh sangkaan buruk kepada seseorang
Banyak makan garam
Mempunyai banyak pengalaman hidup
Batu loncatan
Orang atau tempat yang dipergunakan untuk mencapai sesuatu
Belut kena ranjau
Orang yang cerdik kena tipu
Beradu nasib
Mencuba membuat atau mendapatkan sesuatu dengan harapan akan beroleh kejayaan
Beradu tenaga
Bertanding untuk menentukan siapa kuat
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Bersusah payah dahulu baru bersenang-senang
Berat mulut
Tidak suka berkata-kata, pendiam
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Baik buruk sama-sama dipikul
Berat tulang
Malas
Berbalik hati
Berubah hati
Berdiri sama tegak, duduk sama rendah
Sama taraf atau sejajar antara dua pihak
Beri jalan
Memberikan idea
Memberikan peluang kepada orang lain untuk mendapat keuntungan
Berkatalah benar walaupun pahit
Berterus-terang demi kebenaran walaupun mungkin menyakitkan hati seseorang
Berkayuh sambil bertimba
Melakukan dua pekerjaan sekaligus
Bermurah hati
Suka memberi, tidak kedekut
Pengasih dan penyayang
Berpeluk tubuh
Malas berusaha
Berputih mata
Kalah dalam sesuatu persaingan
Bersatu teguh, bercerai roboh
Kalau kita bersatu padu, kita akan menjadi kuat tetapi kalau kita bercerai-berai, kita akan menjadi lemah
Bersekutu bertambah mutu
Bekerjasama antara satu sama lain akan menghasilkan kecemerlangan
Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi
Tidak mungkin perselisihan atau percintaan terjadi daripada satu pihak sahaja
Bertikam lidah
Bertengkar
Besar hati
Bangga, gembira
Besar pasak daripada tiang
Besar belanja daripada pendapatan
Biar mati anak, jangan mati adat
Tidak mengapa jika mengorbankan anak, asalkan adapt yang dipegang terpelihara
Bidan terjun
Orang yang diminta melakukan sesuatu perkara secara tiba-tiba
Buah fikiran
Pendapat
Abjad C
Calang orang: Bukan sebarangan, handal, hebat (macam Negarawan Tun Dr. Mahathir!)
Ceruk Rantau: Seluruh kawasan, merata daerah.
Conteng arang di muka: Memalukan diri sendiri.
Cacing kepanasan: Tak boleh duduk diam dalam kelas! Cacing!
Cahaya mata
Anak
Kekasih, buah hati
Cakap besar
Cakap yang membesar-besarkan diri sendiri
Campur tangan
Mengambil bahagian dalam atau mencampuri hal orang lain
Terkait atau terlibat dalam hal orang dan lain-lain
Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga
Orang yang bersaudara itu tidak akan bercerai kerana perselisihan
Celik computer
Arif, mahir atau tahu tentang computer
Abjad D
Dalam tangan:
Dalam kekuasaan seseorang, sudah tentu dapat atau akan diperolehi
Dapat sama laba, cicir sama rugi :
Jika sesuatu pekerjaan itu mendapat keuntungan, maka keuntungan itu diberikan sama rata dan jika sebaliknya, kerugian akan ditanggung bersama-sama
Darah daging:
Anak atau orang yang mempunyai pertalian darah
Darah panas:
Pemarah, lekas marah
Darah seni:
Bakat semula jadi dalam bidang seni
Diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat:
Diam orang yang berilmu itu berfikir, sementara diam orang yang bodoh itu sia-sia sahaja
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan:
Jika kita berhasrat kepada sesuatu, kita pasti akan beroleh cara untuk mendapatkannya
Di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung:
Mematuhi peraturan di tempat yang didiami
Di sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari:
Di sangka baik selama-lamanya, tiba-tiba ditimpa kesusahan
Durian rintuh:
Mendapat keuntungan dengan tidak disangka-sangka
Abjad E
Enggang lalu ranting patah:
Orang jahat akan selalu dituduh apabila berlaku sesuatu musibah
Genggam bara biar sampai jadi arang:
Jika melakukan pekerjaan yang susah haruslah dengan sabar sehingga mendapat nikmatnya nanti
Abjad G
Goyang kaki:
Bersenang-senang
Gunting makan di hujung:
Mencapai sesuatu dengan diam-diam
Abjad H
Habis madu sepah dibuang:
Digunakan sesuatu sewaktu ada perlunya sahaja, setelah itu ditinggalkan
Hancur hati:
Sedih, putus asa
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama:
Orang yang berjasa itu akan selalu disebut-sebut orang walau berapa lama pun ia telah mati.
Hati gajah sama di lapah, hati kuman sama dicecah:
Beruntung banyak sama-sama mendapat banyak, beruntung sdikit sama-sama mendapat sedikit
Hati kecil:
Perasaan dalam batin (maksud yang sebenarnya)
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih:
Jika dikehendaki bermacam-macam ikhtiar boleh dijalankan dan demikian sebaliknya
(Nota: pepatah ini berasal dari pedagang Arab "Hendak seribu daya, seribu ikhtiar, seribu doa").
Hidup segan mati tak mahu:
Orang yang hidup melarat
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri:
Sebaik-baik negeri orang, tidak sebaik negeri sendiri
Abjad I
Ibarat burung, mata terlepas badan terkurung:
Walaupun terpelihara baik tetapi tidak mempunyai kebebasan
Ibarat melukut di tepi gantang:
Tidak menolong kerana dirinya sendiri susah
Seseorang yang dipandang tidak berguna oleh orang lain
Ilmu itu pelita hati:
Ilmu pengetahuan menjadi panduan untuk membuat keputusan yang bijak
Abjad J
Jantung hati:
Orang yang dikasihi
Jauhari juga mengenal manikam:
Hanya orang yang bijak sahaja yang dapat menilai sesuatu benda atau perkara
Jauh berjalan luas pandangan:
Orang yang banyak mengembara dan lama hidup itu tentu sekali banyak pengalamannya dan luas pandangannya
Jinak-jinak merpati:
Perempuan yang kelihatan senang diperdaya tetapi sebenarnya tidak
Abjad K
Kacang hantu:
Orang jahat
Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang:
Pendapatan yang hanya cukup untuk hidup sahaja (kalau tidak bekerja tidak makan)
Kaki joli:
Orang yang suka berfoya-foya
Kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya:
Mengajar seseorang itu hendaklah ketika ia masih muda, kalau sudah besar, tidak akan berhasil lagi
Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga:
Kalau pengetahuan itu sedikit, jangan hendak berbuat sesuatu yang besar
Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya:
Tidak akan tercapai cita-cita tanpa berusaha
Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai:
Jika takut akan susah, jangan dibuat sesuatu pekerjaan
Kata-kata lebih tajam daripada mata pedang:
Perkataan yang dituturkan lebih menyakitkan
Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni:
Bekerjasama melakukan sesuatu
Kecil hati:
Berasa tersinggung
Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa:
Pengetahuan dan kelebihan itu tidak khusus pada orang-orang tua sahaja
Kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan:
Menyatakan kasih atas nasihat atau pertolongan
Keras lidah:
Tidak dapat menyebut sesuatu perkataan dengan betul
Abjad L
Lain lubuk lain ikannya:
Lain negeri lain orangnya
Lemak manis jangan terus ditelan, pahit jangan terus dimuntahkan:
Yang nampak baik itu jangan terus diterima, dan yang nampak buruk itu jangan lekas ditolak
Lidah tidak bertulang:
Mudah berjanji dan mudah pula mengubah janjinya
Lupa daratan:
Tidak menginsafi asal mula diri setelah mendapat kesenangan
Lintah darat:
Orang kaya yang menindas orang miskin dengan meminta bayaran tinggi daripada yang dihutangi
Khutbah Jumaat 9 pada 20 JAMADIL AWWAL 1430 bersamaan 15 MEI 2009 yang dikeluarkan oleh JAKIM dan disampaikan di Masjid Negara dan juga masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Ibu.
Muslimin Yang Berbahagia,
Islam amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat ke-dua selepas mentaati Allah s.w.t. Justeru, Allah s.w.t. telah mewajibkan anak-anak memulia dan menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah Azza Wajalla juga secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Israa’:23).
Adalah satu hakikat bahawa ibu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding bapa. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan anak-anak lebih mengasihi, dan mengingati serta sering menyebut nama ibu berbanding bapa. Jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Kalau ingin tidur, kita mahu ibu yang tidurkan. Kalau ingin berkahwin, ibu juga yang kita risaukan. Malah sehingga saat menghadapi kematian pun, kita akan menyebut nama ibu.
Kuatnya ingatan anak-anak kepada ibu ialah kerana ibulah yang mengandungkan kita, ibu yang menyusukan kita, ibu yang menyuapkan kita makan dan minum, ibu yang mendodoi dan menidurkan kita, ibu yang membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita. Oleh itu, wajarlah Allah s.w.t. memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.
Fahamilah bahawa ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu banyak berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak-anak. Sedarilah bahawa ibu bapa kita kini telah tua, lemah tenaga, kabur penglihatan dan kurang pendengaran. Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian anak-anak. Gembiralah ibu bapa andainya mereka dikasihi dan dimuliakan dan hancurlah hati ibu bapa jika kita menderhakainya. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin kita dapat menebusnya.
Untuk teks lengkap khutbah Jumaat 9 pada 2009 JAMADIL AWWAL 1430 bersamaan 15 MEI 2009 yang dikeluarkan oleh JAKIM boleh terus ke link JAKIM KHUTBAH ONLINE.
Kasih ibu sepanjang jalan;Kasih anak sepanjang galah.
Apakah ibu berpuas hati kasihnya hanya sepanjang jalan? Apakah ibu mampu senang jika kasihnya sebatas jalan semata? Apakah anak bangga kasihnya hanya sepanjang galah? Apakah anak merasa lega kasihnya yang diberikan hanya cuma sebatas galah?
Seorang anak berusia belasan tahun mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.
Kos upah membantu ibu: 1) Tolong pergi kedai : RM4.00 2) Tolong jaga adik : RM4..00 3) Tolong buang sampah : RM1.00 4) Tolong kemas bilik : RM2.00 5) Tolong siram bunga : RM3.00 6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00
Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.
1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan – PERCUMA 2) Kos berjaga malam kerana menjagamu – PERCUMA 3) Kos air mata yang menitis keranamu – PERCUMA 4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu – PERCUMA 5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku – PERCUMA
Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh si ibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata, “Saya Sayangkan Ibu”.
Kemudian si anak mengambil pen dan menulis “Telah Dibayar” pada mukasurat yang sama ditulisnya.