Sila klik di sini untuk artikel asal di Utusan Malaysia.
JOHOR BAHRU 17 Mei - Seramai 130 warga pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) di sini diraikan dalam majlis Sambutan Hari Guru 2010 dengan acara kemuncaknya menyaksikan majlis memotong kek sepanjang 60 meter.
Majlis yang diadakan di Dewan MSAB itu didahului dengan perutusan Hari Guru yang disampaikan oleh Pengetua MSAB, Zulkipli Mahmood.
Pengerusi Ahli Jawatankuasa Induk dan Pelaksana, Norfariza A. Kadir berkata, idea membuat kek yang terdiri daripada cantuman 100 biji kek itu dicetuskan oleh para pelajar sekolah berkenaan.
"Kami mengambil inisiatif itu untuk menjayakan sambutan Hari Guru dengan cara yang lebih unik dan menarik. Secara kebetulan sambutan hari tersebut kali terakhir bagi Pengetua yang akan bersara awal tahun depan.
"Kami mendapat kerjasama daripada Season Confectionary & Bakery Sdn. Bhd. yang menaja kos membuat kek berharga kira-kira RM10,000 itu," katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis itu di sini hari ini.
Jelas Norfariza, sebagai tanda sayang dan menghargai insan bernama guru, para pelajar turut menyumbang RM2 seorang bagi membiayai kos kek berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran dan Jualan Season Confectionary & Bakery, Caren Tan berkata, pihaknya terpanggil melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memilih MSAB untuk merealisasikan hasrat murni itu.
Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 jam melibatkan 10 petugas bagi menyiapkan 100 biji kek span berperisa vanila itu dengan setiap satu seberat 1.6 kilogram.