Thursday, April 29, 2010

RUANGAN TERISTIMEWA UNTUK SAMBUTAN HARI IBU 2010


Sempena dengan Sambutan Hari Ibu bagi tahun 2010 yang akan dilangsungkan pada 9 Mei 2010 ini, Laman Bimbingan SPM Bahasa Melayu akan menyiarkan satu sajak, puisi atau juga sebarang nukilan dari para pelajar MSAB yang boleh di tujukan kepada ibu-ibu mereka setiap hari bermula daripada 1 Mei hingga ke 9 Mei 2010. Semua yang berminat boleh mengirim karya anda kepada saya secara serahan tangan atau juga melalui e-mel. Sesiapa juga yang bergelar pelajar dan pelayar setia laman blog ini juga boleh berbuat demikian. Sila e-melkan karya anda kepada saya bermula dari hari ini untuk disiarkan pada 1 Mei ini. Terima kasih! :)

Thursday, April 8, 2010

MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG 2010



TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA SETIAP PENERIMA ANUGERAH!




Catatan Guru:

“Jika kamu ada ilmu dan ada pula harta, itulah yang sebaik-baiknya tetapi jika kamu tidak berharta, maka ilmu itulah harta kamu.” – Mus’aab Umair (r.a)


Harta dan Ilmu.

Dengan ilmu seseorang itu boleh menjana dan mengelola kekayaan mahupun mencari kedudukan yang lebih baik. Namun asas kepada kejayaan si anak adalah dorongan, sokongan dan kepercayaan dari ibu bapa mereka sendiri. Jelas anak yang cemerlang di sekolah serta kurang terlibat dalam pelbagai gejala sosial ialah anak yang mendapat didikan dan bimbingan yan mencukupi dari awal di rumah.


Malah, sepanjang zaman persekolahan anak anda, dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, malah hingga ke peringkat yang lebih tinggi daripada itu pun, apa-apa sahaja tindakan positif anda akan memberikan kesan yang amat besar untuk mencorak masa depannya.


Sesetengah ibu bapa berpendapat bahawa usaha memupuk kejayaan akademik pelajar dan mendisiplinkan pelajar secara keseluruhan adalah tugas dan tanggungjawab sekolah semata, bukan tugas dan tanggungjawab mereka. Kita harus ingat bahawa tahap kemajuan pembelajaran anak kita akan lebih ketara dan terserlah sekiranya wujud kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa.



Rimbunnya buluh dek akarnya,

Dilentur dipadu dari rebung;

Ibu menyuruh ayah bertanya,

Anak berilmu keluarga beruntung.


Biarlah lusuh baju dipakai,

Asalkan segar iman di hati;

Ilmu menyuluh barulah pandai,

Hidup sedar penuh bererti.


Menuai padi habislah sudah,

Jerami emas disusun rapi;

Kerjanya guru memang tak sudah,

Pahala besar di akhirat nanti.




Terima kasih :)