Tuesday, November 5, 2013

Contoh-contoh Karangan SPM




Contoh Karangan Banjir Kilat.

Banjir kilat sering berlaku apabila hujan lebat turun secara tiba-tiba. Banjir kilat kerap berlaku di negara kita. Banjir kilat boleh menyusahkan manusia. Banjir kilat juga boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa. Banjir kilat juga boleh mengakibatkan kesesakan jalan raya. Terdapat beberapa punca terjadinya banjir kilat.

Banjir kilat berpunca daripada sikap manusia yang suka membuang sampah di merata-rata tempat. Masyarakat suka membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai. Sampah yang dibuang boleh menyebabkan longkang tersumbat. Apabila hujan secara tiba-tiba, aliran air dalam longkang, parit dan sungai akan tersekat. Contohnya seperti yang berlaku di Jalan Skudai dan Jalan Air Molek di Johor Bahru. Oleh itu, jelaslah bahawa banjir kilat berpunca daripada sikap manusia yang suka membuang sampah di merata-rata tempat.

Di samping itu juga, faktor penguatkuasaan yang terlalu longgar merupakan punca banjir kilat. Hal ini kerana tiada tindakan undang-undang terhadap orang yang membuang sampah di merata-rata tempat. Pihak Berkuasa Tempatan pula tidak memantau kawasan pembuangan sampah. Apabila hujan, kawasan pembuangan sampah menakung air dan banjir kilat berlaku. Contoh peniaga pasar malam sesuka hati membuang sampah berhampiran parit atau longkang tanpa dikenakan hukuman. Oleh itu, jelaslah bahawa penguatkuasaan yang longgar merupakan punca terjadinya banjir kilat.

Selain itu, banjir kilat berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna. Parit dan longkang yang dibina di bandar adalah sempit. Parit juga tersumbat disebabkan oleh longgokan sampah. Hal ini menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan lebat berlaku. Pengaliran air akan tersekat dan melimpah di jalan raya. Contohnya banjir kilat yang berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Jelaslah bahawa sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi punca banjir kilat.

Faktor iklim juga menjadi punca banjir kilat. Iklim yang tidak menentu iaitu kadang-kadang hujan dan kadang-kadang panas boleh menyebabkan banjir kilat. Keadaan ini semakin buruk dengan fenomena El-Nino yang menyebabkan hujan lebat berterusan. Dengan ini, jelaslah bahawa faktor iklim menjadi punca kepada banjir kilat.

Kejadian banjir kilat juga berkaitan dengan aktiviti pemaju projek perumahan. Syarikat perumahan mengabaikan aspek penjagaan alam sekitar. Pemaju-pemaju perumahan tidak memantau projek pembinaan. Mereka juga membiarkan sisa-sisa binaan terbiar selepas sesuatu projek siap djalankan. Contohnya longkang dibiarkan tertimbus dengan pasir dan sisa binaan. Hal ini menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan turun dengan lebatnya.

Terdapat banyak punca yang menyebabkan banjir kilat. Semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi mengatasi masalah ini. Hal ini penting agar masalah banjir kilat dapat diatasi. Dengan ini, segala kerugian yang dialami kerana banjir kilat dapat dikurangkan.



Contoh Karangan Sukan.

Kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan. Hal ini bermakna setiap murid harus melibatkan diri secara aktif dalam salah satu acara sukan yang paling diminati. Selepas diumumkan, dasar ini telah menjadi buah mulut masyarakat, khususnya ibu bapa. Pihak media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik saban hari mengetengahkan  perkara tersebut sebagai isu  utama. Peribahasa ada mengatakan “Jikalau tiada angin , masakan pokok bergoyang”. Dasar ini perlu diperkenalkan kerana negara kita ketinggalan dalam kebanyakan acara sukan bertaraf dunia. Jika negara kita mahu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju yang lain dalam bidang sukan, kita mestilah melakukan sesuatu. Dalam hal ini, semua pihak terutamanya ibu bapa perlu membantu pihak kerajaan bagi merealisasikan hasrat kerajaan ini. Terdapat pelbagai  usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagimenggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.

Satu daripada usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah mereka perlu menjadi model atau jurulatih kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa perlu berjinak-jinak dalam bidang sukan. Langkah yang paling awal ialah ibu bapa hendaklah membawa anak-anak berjoging atau beriadah. Selain dapat meningkatkan tahap kesihatan, ibu bapa dapat mendedahkan aktiviti sukan kepada anak-anak ibarat sambil menyelam minum air. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak berjoging di kawasan padang atau stadium yang berhampiran. Selepas itu, ibu bapa hendaklah bermain badminton atau bola sepak dengan anak-anak. Melalui aktiviti ini, bakat anak yang terpendam dapat digilap. Jika ibu bapa merupakan jaguh sukan sebelum ini, bakat tersebut kemungkinannya dimiliki oleh anak-anak merekabagai kuah tumpah ke nasi. Jika usaha ini diteruskan dari masa ke masa, anak-anak tersebut akan menjadi jaguh sukan pada suatu hari nanti setelah diasuh oleh ibu bapa mereka.

Selain itu, anak-anak amat memerlukan sokongan daripada ibu bapa sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mendorong anak-anak supaya meminati bidang sukan sejak kecil bak kata pepatah kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mereka mestilah menjadi pendorong kepada anak-anak untuk mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat sekolah, daerah atau sebarang pertandingan sukan. Sebagai contohnya, apabila anak-anak tidak mencapai kemenangan dalam sesuatu pertandingan, ibu bapa perlu memberikan dorongan dengan mengucapkan kata-kata bahawa sekali tewas tidak bermakna akan tewas buat selama-lamanya. Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak bahawa di sebalik kekalahan sebenarnya kita memperoleh sesuatu yang lebih berharga, iaitu pengalaman yang tidak dapat dibeli di mana-mana. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu memotivasikan anak-anak supaya mereka rajin berusaha kerana usaha tangga kejayaan.Tegasnya, sokongan daripada ibu bapa sangat besar impaknya kepada anak-anak untuk mencapai kejayaan yang gemilang.

Di samping itu, ibu bapa perlulah memberikan penghargaan dan galakan kepada anak-anak apabila mereka mencapai kejayaan. Semasa anak-anak mencapai kejayaan pada kali pertama dalam acara sukan yang disertai, ibu bapa mestilah memberikan penghargaan atau pujian kepada anak-anak. Apabila dipuji dan penghargaan diberikan kepada mereka, semangat untuk berlatih atau menceburi bidang tersebut dengan lebih giat akan meningkat. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah membelikan anak-anak mereka peralatan sukan yang diminati seperti pakaian, kasut atau peralatan sukan lain sebagai hadiah. Usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini bukanlah memberikan peluang kepada anak-anak untuk membuat sesuatu agar mendapat habuan tetapi membuatkan anak-anak merasai bahawa dirinya dihargai. Melalui cara ini, mereka akan gembira dan menjadikan aktiviti sukan tersebut menyeronokkan. Menurut ahli psikologi, minat seseorang dalam sesuatu perkara akan meningkat jika diberi ganjaran atau penghargaan.

Bukan itu sahaja, anak-anak juga perlu didedahkan dengan bahan bacaan tentang pelbagai jenis sukan. Melalui bahan bacaan tersebut, anak-anak akan mengetahui acara sukan yang diceburi dengan lebih mendalam. Banyak ilmu yang akan diperoleh tentang acara sukan dari segi sejarah, tokoh yang berjaya, aspek kejurulatihan, pemakanan, teknik, strategi, dan sebagainya. Pujangga menyatakan, `Membaca Jambatan Ilmu’. Sebagai contohnya, murid perlu membaca pelbagai majalah yang berkaitan dengan acara sukan yang diminati seperti majalah sukan bola sepak, hoki, dan sebagainya. Usaha ini selari dengan dasar 1 Murid 1 Sukan yang memerlukan murid bukan sahaja mahir bermain malah memahami sesuatu permainan. Dalam hal ini, melalui Dasar 1Murid 1Sukan, murid-murid bukan sahaja memiliki kemahiran dalam sesuatu permainan, malah mereka mampu menjadi jurulatih atau pengadil walaupun tidak mempunyai bakat untuk bermain pada suatu hari nanti.

Sebagai kesimpulannya, ibu bapa merupakan sumber inspirasi kepada anak-anak untuk menceburi bidang sukan. Jika ibu bapa menyuruh anak-anak melibatkan diri dalam bidang sukan, sedangkan mereka tidak melakukannya bersama-sama, usaha ini diibaratkanketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Tindakan ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak ibarat bapa borek anak rintik jika mereka turut sama aktif dalam bidang sukan. Untuk merealisasikan Dasar 1Murid 1Sukan, ibu bapa merupakan insanyang menjadi pendorong selain guru di sekolah. Ibu bapa tidak seharusnya mengharapkan guru-guru sahaja untuk membimbing anak-anak mereka bagi merealisasikan dasar ini. Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak amat penting bagi melahirkan individu yang seimbang dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Jika ibu bapa berjaya memainkan peranannya, sukan di negara kita akan terus gemilang selaras dengan slogan `Majulah Sukan untuk Negara’



Contoh Karangan Mengawal Kenaikkan Harga Barang (Tanggungjawab Semua).

Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi, negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi?  Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.

Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu,pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.Memetik kata-kata azimat  Lootze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. 

Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiridan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.  Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.

“Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan agensi bukan kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.

Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentinganhendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali.Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran.

Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini.

Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut.  

Friday, November 1, 2013

KELAS TAMBAHAN BM SPM!



Tarikh: 1 & 2/11/2013
Masa: 08:00 Pagi Sampai 1:00 Tengah hari.
Perkara: Kelas Tambahan Bahasa Melayu SPM
Tempat: Di Sekolah.


Saturday, September 7, 2013

TANAH AIR - Tongkat Warrant ( 1956 )




TANAHAIR
(menjelang kemerdekaan)


Engkau Tanah Air
pemilik perut yang berbudi
penampung hujan penyedut sinar mentari
lahirlah anakmu dari semaian petani


Engkau Ibu Murni
dengan jasa abadi
berdetik didenyut nafas kami
kerna kita satu sama dipunyai


Telah kau rasa
segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati


Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan


Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan


Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari Tuhan.

Allahyarham Dato' Dr. Usman Awang
( Tongkat Warrant )
1956

Saturday, August 31, 2013

Dirgahayu Malaysia & Jalur Gemilang Ku!


Jalur Gemilang ialah satu-satunya bendera Malaysia.
Janganlah kita menderhaka kepada negara. Selamat Hari Merdeka!




Saturday, August 3, 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1434H



SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR & BATIN

DARIPADA : Tuan Pengetua Tuan Haji Samsuddin Md Ariff 
& seluruh tenaga pendidik serta semua warga kerja MSAB Johor Bahru. 

Wednesday, July 3, 2013

LATIHAN: Cara Menulis Penutup Karangan.

Kucing yang sedang tekun belajar :)



KECEMERLANGAN ANAK-ANAK BERMULA DARI RUMAH – peranan institusi keluarga dalam melahirkan anak-anak cemerlang.

Institusi keluarga yang lengkap perlu ada bapa, ibu, anak-anak dan saudara-mara. Setiap unit mempunyai peranan yang jelas dan tersendiri. Ibu bapa dianggap mempunyai peranan paling penting dalam keluarga kerana anak-anak merupakan kain putih, ibu bapalah yang menjadi pencoraknya. Oleh yang demikian, setiap pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga perlu menentukan matlamat dan corak keluarga yang ingin dimiliki. 

Persoalannya,.........................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................

Sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan, pasangan yang bakal melayari bahtera rumah tangga perlu melengkapkan diri dangan ilmu keibubapaan demi melahirkan ibu bapa yang prihatin suatu hari kelak. Ilmu keibubapaan ialah ilmu yang diperoleh melalui kursusu-kursus secara formal atau tidak formal. Misalnya, kursus pra perkahwinan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam atau kursus keibubapaan anjuran badan-badan swasta. Pengisian ilmu keibubapaan yang merangkumi tanggungjawab suami, isteri dan anak-anak serta batasan-batasanhak mereka ini diharapkan dapat melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah kerana pengetahuan agama dan moral dalam keluarga dapat membentuk sahsiah atau disiplin anak-anak.Kita sedia maklum disiplin yang kukuh adalah pencerna kecemerlangan dan kegemilangan anak-anak. Oleh itu,………………..………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………....

Rumahku Syurgaku adalah impian setiap pasangan sama ada yang baru atau yang sudah lama berumahtangga. Apa itu rumah yang menjadi syurga dalam keluarga? Tidak lain dan tidak bukan ialah keluarga yang bahagia. Dalam hal ini, ibu bapa amat berperanan dalam melahirkan keluarga yang harmoni, aman dan damai. Menurut Dr. Hassan Ali, Pengarah Akademi Keluarga Bahagia Malaysia, kesejahteraan bermula dari rumah, maka ibu bapa hendaklah menjadikan rumah seperti syurga yang penuh dengan kedamaian dan keindahan kepada anak-anak. Kesejahteraan di rumah dapat mewujudkan keluarga penyayang. Oleh itu, ibu bapa harus peka dan faham serta mempunyai iltizam terhadap insan yang utuh dari segi emosi, akhlak dan moraliti dalam mengharungi ranjau serta liku yang sentiasa menghambat kesejahteraan keluarga. Anak-anak yang membesar dalam lingkungan kebahagiaan lebih mudah menerima perkara-perkara positif dalam membina diri mereka. Mereka juga lebih tenang dan lebih senang menerima pelajaran bagi memastikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik. Mereka tidak akan mencari jalan lain untuk mencari hala tuju kerana mereka sudah ada keluarga bahagia yang menjadi tulang belakang mereka. 

Jadi…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Proses pembentukan sahsiah bermula dari alam rahim hingga ke akhir hayat. Ibu bapa perlu bertindak sebagai agen pertama dalam pembentukan sahsiah dan penjana kecemerlangan anak-anak. Justru, mereka mesti menjadi role model kepada anak-anak bagi mengelakkan anak-anak daripada terjebak ke kancah negatif. Untuk menjadi role model yang cemerlang, mereka perlu memulakannya daripada diri sendiri. Sebagai contoh, dari segi penampilan diri, ibu bapa yang menjadi role model ini perlu berketrampilan sopan dan tidak melanggar batasan agama dan budaya. Mereka juga perlu menjadi pengurus rumah tangga yang cemerlang iaitu dari segi pengurusan masa, pengurusan diri, pengurusan anak-anak sehinggalah ke pengurusan kewangan. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, bapa borek anak rintik, malah kalau bapa kencing berdiri anak-anak kencng berlari. Sehubungan dengan itu, ……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Ibu bapa merupakan sumber inspirasi anak-anak. Sentuhan kasih sayang dan dakapan mesra menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa seharusnya menjadi pemudah cara kepada anak-anak supaya mereka terkeluar daripada belenggu masalah. Sebagai contoh, apabila anak-anak berhadapan dengan maslah pelajaran atau gangguan emosi, ibu bapa akan menjadi pendengar yang setia dan membantu menyelesaikan masalah mereka. Terdapat juga anak-anak yang mengalami tekanan sehingga mereka hilang kawalan diri dan putus asa, ibu bapalah orang pertama yang seharusnyamenghidupkan kembali semangat mereka dan memberikan bimbingan untuk meneruskan kehidupan. Jika tidak, mereka pasti akan mencari orang luar yang belum tentu dapat menjadi penggalak dan pembimbing ke jalan yang benar. Jelaslah,…..…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Berdasarkan cambahan minda di atas, konklusi yang dapat dibuat ialah sukar untuk menafikan bahawa kecemerlangan ibu bapa menjadi modal insan yang utama untuk menjana kecemerlangan anak-anak. Oleh yang demikian, ibu bapa tidak boleh menjadi seperti ketam mengajar anak-anak berjalan lurus tetapi sahutlah laungan pemimpin negara kita iaitu ‘kepimpinan melalui teladan’. Sebelum nasi menjadi bubur, atau jika tidak mahu tanam padi tumbuhnya lalang, maka.............................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................

Monday, March 18, 2013

Penulis Berperanan Corak Keperibadian Dan Ketamadunan Masyarakat (Petikan Akhbar)





Penulis Berperanan Corak Keperibadian Dan Ketamadunan Masyarakat - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Penulis memainkan peranan yang amat penting dalam mencorak serta membentuk keperibadian dan ketamadunan sesebuah masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, setiap hasil penulisan mempunyai idealisme serta magisnya yang tersendiri, dan ia tentunya turut menonjolkan daya intelek penulis.

"Kita sedia maklum bahawa pada kebanyakan masa, pemikiran masyarakat dipengaruhi oleh bahan-bahan bacaan dan penulisan tanpa mengira genre.

"Saya percaya golongan penulis sememangnya dianugerahkan dengan ketajaman pemikiran, justeru pepatah 'mata pena adalah lebih tajam daripada mata pedang' masih lagi relevan pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran sepuluh buku penulis wanita terbitan terkini Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sempena lawatan kerja ke Kedai Buku 1Malaysia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata wanita kini juga mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan membantu membentuk minda masyarakat sungguh pun dengan hanya bekerja dari rumah, melalui bidang penulisan.

Katanya, walaupun pada awal kemunculan kesusasteraan di negara ini, penglibatan pengarang wanita tidak begitu ketara, namun keadaan telah berubah.

Beliau berkata, sifat semula jadi wanita yang menjadikan mereka lebih tekun apabila berkarya adalah realiti yang tidak dapat dinafikan sekali gus membuktikan keupayaan perjuangan sastera wanita yang selama ini didominasi penulis lelaki.

"...dan telah terbukti, penulis wanita kini juga menjadi sebahagian daripada khazanah kesusasteraan tanah air. Malahan dalam beberapa aspek, penulis wanita dilihat lebih dominan berbanding penulis lelaki," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan di atas segala usaha yng dilakukan menerusi pelbagai dasar, program, prasarana dan dana yang bersesuaian bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif demi pembangunan bidang kesusasteraan, penulisan dan penerbitan tanah air.

Katanya, adalah wajar golongan penulis diberi sokongan dan platform yang tepat bagi membangunkan bidang penulisan seperti penganjuran Bengkel Penulisan dan Penerbitan di enam zon di seluruh negara pada tahun lepas oleh ITBM dan Pena.

"Saya yakin kerjasama sebegini mampu merangsang penulis untuk lebih giat berkarya dan menghasilkan penulisan lebih berkualiti dalam usaha membentuk bangsa Malaysia yang cemerlang minda dan cerdas akal," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kemunculan Kedai Buku 1Malaysia adalah tepat kerana dilihat mampu membantu memastikan karya penulis tempatan disebarluaskan kepada masyarakat.

Katanya, melalui Kedai Buku 1Malaysia juga, golongan penulis dan penerbit buku diberi peluang mempromosi dan meluaskan jaringan pemasaran buku yang diterbitkan di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar.

"Harapan saya agar semua penulis dapat memanfaatkan sebaik-baiknya ruang yang disediakan agar usaha ini dapat membantu memupuk dan menyuburkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Pada majlis pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri melancarkan karya terkini 10 penulis wanita tempatan yang membuktikan kaum wanita di Malaysia berketrampilan dalam bidang penulisan dan kesusasteraan.

Buku yang dilancarkan melibatkan genre novel, kumpulan cerpen, puisi dan karya umum merangkumi aspek keagamaan, kemanusiaan, kebudayaan, alam semula jadidan kekuatan wanita menghadapi cabaran selain memberi manfaat serta menambah nilai moral kepada pembaca.

Sepuluh penulis wanita tempatan itu ialah Dayangku Mastura, Hamiza Hamzah (Nilamsuri), Rebecca Ilham, Rositah Ibrahim, Siti Zaleha Hashim, Kathirina Susanna Tati, Kamariah Kamaruddin, Faridah Abdul Hamid, Sasya Zainal dan Siti Zainon Ismail.

Kesemua buku itu boleh didapati di Kedai Buku 1Malaysia atau rangkaian kedai buku utama di seluruh negara selain boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman E-Beli-belah ITBM di ecommerce.itnm.com.my. - BERNAMA ZUZ RV ROS

Wednesday, March 6, 2013

NUKILAN WIRA MALAYSIA: Lt. Kolonel Mohd. Mokhtar Bin Haji Daud, Regimen Perisikan Komando Gerak Khas. (Ex- EC MSAB)




Assallamualaikum Sahabat2ku, diri ini mohon ampun & maaf di atas segala kesalahan yang telah aku lakukan dgn sengaja @ tidak sengaja, halal kan makan minum & jika diri ni ada berhutang dgn kalian, kalian tuntut lah dgn waris yang ku tinggalkan. Dan jika kalian ada berhutang dgn ku, diri ini menghalalkannya. Aku pohon kalian Doakan perjalanan ku menghadapi tugasan menghapuskan penceroboh, pemberontak & pengganas2 Askar Kesultanan Sulu musuh negara. Jika aku tiada lagi didunia ini, aku mohon kalian sedekahkan lah Surah Yassin & doakan lah semoga diri ini dan saudara2 ku yang sama2 gugur, tergolong dikalangan orang2 yang Mati Syahid & dirahmati ALLAH SWT. Ya ALLAH, kau lindungi diri ini, seluruh keluarga ku yang ku sayangi, sahabat2ku yang bersama-sama berjuang membebaskan bumi bertuah Malaysia ini. Ya ALLAH, Ya RAHMAN, Ya RAHIM kau pelihara lah & kau amankan lah bumi Malaysia Tanah Tumpah Darahku ini, Ya ALLAH!. Salam Terakhir dari saudara mu (Lt.Kolonel) Mohd Mokhtar Bin Haji Daud, Rejimen Perisikan Komando Gerak Khas (RGK), Kem Sultan Iskandar, Mersing, Johor. Dari Lahad Datu, Sabah 5 Mac 2013 Jam 23.50pm


9 Februari 2013, tanah kami kau langgar,
Dengan senjata, maruah kami kau cabar,
Dalam rundingan, kami bersabar,
Apa mungkin "saudaraku" perjuanganmu tersasar,
Kau degil, terus mencakar,
Perdamaian sudah semakin samar

1 Mac 2013, Hari Jumaat yang besar,
Darah saudara kami kau lapar,
Batang tubuhnya kau kelar,
Dibawa pulang keranda digandar,
Menangis si kecil, diminta bersabar,
Hilang sudah tempat bermanja, tempat bersandar

Satu Malaysia Mula Tersedar,
Kau bukannya saudara, malah musuh tegar,
Dari Padang Besar ke Daerah Papar,
Semboyan Keramat memanggil Pendekar

Kami sudah hilang sabar,
Pendekar melangkah tangan menggegar,
Mana musuh kami panggar, kami selongkar, kami bongkar,
Tidak bersisa kami langgar,
Berlembut kami kau salah anggar,
Ini bumi, tanah Pendekar

Rejimen Gerak Khas,
Kuala Lumpur
5 Mac 2013

Friday, February 22, 2013

ERTI DAN NILAI PERPADUAN NEGARA KITA.





BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak :

Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya ;

Memelihara satu cara hidup demokratik ;

Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama ;

Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak ; dan

Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.


MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

KELUHURAN PERLEMBAGAAN

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

KESOPANAN DAN KESUSILAAN


PENDAHULUAN:

Salah satu daripada naluri semulajadi manusia ialah ingin hidup berkelompok dan bermasyarakat. Maka untuk memastikan tercapainya hasrat tersebut manusia berusaha dengan sedaya upaya agar kehidupan bermasyarakat tersebut terlaksana sepertimana yang dikehendaki dan diimpikan mereka. Maka juga mahu atau tidak mahu mereka akan terpaksa mengenepikan beberapa kepentingan diri sendiri demi untuk mencapai matlamat murni bermasyarakat. Sikap murni ini juga dipanggil toleransi.

Walau bagaimanapun, disebabkan juga oleh lagi satu naluri semulajadi, iaitu kelemahan manusia sendiri maka seringkali tercetusnya juga permusuhan, perkelahian dan adakalanya sehingga membawa kepada peperangan. Permusuhan dan peperangan sering terjadi sekalipun dalam satu keluarga, bangsa dan juga seagama. Permusuhan dan peperangan tercetus apabila kesabaran sudah tidak dapat dipertahankan dan apabila godaan kebendaan, keegoan dan kepentingan diri sendiri mula menguasai fikiran seseorang.

Sebenarnya tidak ada kebaikan yang dapat dihasilkan menerusi permusuhan dan peperangan. Peperangan merosakkan harta benda, memusnahkan segala kemudahan yang telah sedia ada, memutuskan silaturahim, di samping banyak melahirkan orang-orang yang cacat, yatim piatu. Malah bagi sesuatu bangsa, peperangan dan permusuhan akan melemahkan bangsa itu sendiri sekalipun tidak melenyapkannya dari muka bumi ini. Renungkan semula kepada Krisis Balkan 1998 dahulu yang telah menyaksikan perpecahan negara Yugoslavia yang juga dikenali sebagai Krisis Bosnia dan Serbia. Justeru, setiap ugama mengingatkan umatnya supaya sentiasa hidup rukun dan damai serta berpadu erat antara antara satu sama lain.


DEFINISI PERPADUAN

Perkataan “perpaduan” ini asalnya dari perkataan “padu” iaitu “mampat”, “pejal” dan “padat”. Perpaduan sebenarnya ialah penggabungan. Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Lawan bagi “perpaduan” ialah “permusuhan”, “kehancuran” dan “perpecahan”. Jadi, perpaduan dilihat adalah sebenarnya tuntutan untuk satu perkara yang baik manakala perpecahan pula satu perkara yang sangat keji dan tidak baik.

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa punca kesejahteraan itu ialah keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Keharmonian hidup ini tentulah sukar dicapai tanpa adanya perasaan hormat menghormati, menerima seadanya keadaan, keikhlasan, kasih sayang dan semangat persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu yang menganggotai sesebuah masyarakat itu. Oleh itu, para pemimpin negara kita senantiasa membimbing dan menunjuk jalan kepada kita semua demi memastikan wujudnya nilai kasih sayang dan perpaduan itu.

Sesungguhnya keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat dan bernegara ini adalah salah satu nikmat kehidupan yang sangat besar yang dikurniakan kepada manusia. Bayangkan jika anda telah ditakdirkan sebagai seorang rakyat Yugoslavia ketika Krisis Bosnia – Serbia dahulu? Bayangkan juga jika anda terpaksa mengharungi detik cemas dan gelap Perang Dunia Kedua? Kita semua bernasib baik kerana sebagai warga negara Malaysia yang megah Merdeka, kita hanya perlu membaca semua ini dalam buku mata pelajaran Sejarah, laman internet dan menonton segala kesengsaraan mereka hanya daripada kaca televisyen kita sahaja. Hakikat ini nyata sekali baik di zaman lampau mahupun zaman kini. Sesiapa saja yang tinggal dalam sebuah negara yang aman akan dapat berusaha membangunkan kemajuan negaranya dan dapat hidup sejahtera. Sebaliknya mereka yang tinggal di negara yang kacau bilau, berperang dan berbunuhan, ternyata mereka hidup sengsara, kelaparan dan keperitan.


HALANGAN KEPADA PERPADUAN

Dalam mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara, manusia tidak terlepas dari menghadapi rintangan dan halangan. Halangan-halangan itu ada yang berpunca dari dalam diri seseorang individu itu sendiri dan tidak kurang juga datangnya dari luar diri kita sendiri.

Sifat sombong, berfikiran sempit dan terlalu bangga diri sendiri sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain. Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat rumahtangga, keluarga, masyarakat dan negara. Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan melakukan keganasan dan kekerasan kepada orang lain. Akhirnya ia mencetuskan permusuhan dan peperangan. Perbuatan keras akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Sifat suka bergaduh dan berkelahi sesama sendiri juga akan akhirnya membawa kepada keruntuhan nilai sesebuah bangsa dan tamadun manusia.


BAHAYA AKIBAT PERPECAHAN

Perpecahan dan permusuhan merupakan perbuatan atau gejala masyarakat yang sangat membinasakan. Perpecahan dikutuk kerana ia boleh melemahkan kita sebagai rakyat Malaysia di persada dunia hari ini dan juga esok. Perpecahan hanya akan melemahkan kita dalam pelbagai keadaan serta menjadikan negara lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran yang ada dan akibatnya kita akan dijajah semula oleh kuasa-kuasa asing secara penjajahan politik ataupun melalui penjajahan ekonomi.

Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati di Malaysia hari ini adalah salah satu nikmat kurniaan Tuhan yang dicapai menerusi perpaduan dan keharmonian hidup dalam kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan. Nikmat-nikmat ini mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Bagi anda golongan pelajar dan remaja, secara khusus perpaduan ini lebih penting dan sangat mahal harganya kerana dengan keamanan dan kemakmuran yang ada pada hari ini maka dapatlah usaha-usaha ditingkat bagi kebaikan diri anda dan masa depan anda.

Harga sebuah keamanan dan kemakmuran itu sangat penting kerana rakyat di negara-negara yang lain belum mampu memperlihatkan pencapaian yang tinggi dalam bidang sains dan teknologiberbanding dengan apa yang telah dicapai oleh kita di Malaysia hari ini. Sesungguhnya perpaduanlah merupakan tunjang bagi kemakmuran dan keamanan negara ini.

Tata kelakuan dan gerak-geri masyarakat juga perlu dibentuk supaya selaras dengan tuntutan harmoni, toleransi dan perpaduan. Tingkahlaku yang kasar, biadap, tidak sopan serta tidak pandai menghormati orang lain terutama ibubapa, orang-orang tua, guru-guru dan pemimpin-pemimpin sering menimbulkan rasa benci antara satu sama lain. Oleh itu, dalam usaha membina perpaduan umat maka peningkatan rasa hormat dan kasih sayang mestilah dipupuk dan dipelihara. Dalam konteks masyarakat penyayang yang hendak dibangunkan itu, maka bidang-bidang ini mestilah diberi perhatian. Para guru-guru perlu menjadikan diri mereka sebagai teladan yang baik dalam hal ini.


SIKAP YANG DI PERLUKAN.

Melihat betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kejayaan umat dan negara, maka kita mestilah sentiasa memupuk kesedaran masyarakat supaya menghargai nilai perpaduan ini serta berusaha menjaga dan memperelokkannya. Kita juga mestilah mengajak masyarakat supaya menjauhi gejala-gejala yang boleh membawa perpecahan di samping mengajak mereka berpegang dengan nilai-nilai hidup murni yang berupa kasih sayang, hormat menghormati dan sebagainya. Namun yang paling utama, kita sendiri mestilah memulakan cara hidup yang mulia ini sebelum kita mengharapkan orang lain dapat mengamalkannya pula. Kesimpulannya, kesedaran bermula daripada anda sendiri.


PENUTUP

Demikianlah sedikit penjelasan tentang betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kesinambungan kepimpinan mana-mana negara jua. Tanpa kesedaran yang tinggi dan usaha yang gigih dan teratur, masa depan kita semua dalam bahtera Malaysia ini masih belum pasti lagi arahnya. Maka ayuhlah saudara dan saudariku semua, marilah kita bersama menjayakannya demi hari esok untuk kita semua.


PERPADUAN SATU MALAYSIA

Marilah kita semua bersama-sama menjayakannya. Mulakan dengan anda!

Nota penulis: Saya sering menerima e-mel daripada rakan-rakan siber memohon kebenaran untuk “copy and paste” artikel yang mungkin menarik minat serta mempunyai nilai kegunaan kepada mereka. Saya sedia berkongsi apa-apa sahaja yang terdapat dalam laman ini. Sila juga emelkan apa-apa sahaja pandangan agar dapat kita sama-sama berkongsi minda demi masa depan pelajar dan negara kita yang tercinta ini.

Terima kasih.

* Semoga pelajar  kita Mohd.Najmi Imran Mahmud akan cepat sembuh dan kembali semula ke sekolah.