Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Friday, November 1, 2013

KELAS TAMBAHAN BM SPM!



Tarikh: 1 & 2/11/2013
Masa: 08:00 Pagi Sampai 1:00 Tengah hari.
Perkara: Kelas Tambahan Bahasa Melayu SPM
Tempat: Di Sekolah.


Saturday, August 31, 2013

Dirgahayu Malaysia & Jalur Gemilang Ku!


Jalur Gemilang ialah satu-satunya bendera Malaysia.
Janganlah kita menderhaka kepada negara. Selamat Hari Merdeka!




Wednesday, February 1, 2012

Warga MSAB Jadi Hero Pantai! Ucapan Tahniah Untuk Mohd Syafiq Arsyad Zainul Abidin.



Berikut adalah petikkan daripada akhbar SINAR HARIAN bertarikh 24 Januari 2012. Tahniah kepada Hero MSAB, Mohd Syafiq Arsyad Zainul Abidin!


KOTA TINGGI - Seorang pelajar Tingkatan Empat nekad menggunakan kepakaran berenangnya untuk membantu seorang kanak-kanak perempuan daripada lemas di Pantai Tanjung Balau, Desaru, dekat sini, semalam.Ketika kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Mohd Syafiq Arsyad Zainul Abidin, 16, bersama ibu saudara, Rita Zuhaida Mohd Nazeer, 24, dan rakan ibu saudaranya, Siti Aqilah Jahari, 23, turut berjaya menyelamatkan dua lagi mangsa daripada lemas dihanyut ombak kuat.

Pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) itu berkata, dia pada mulanya menyangka suara jeritan minta tolong daripada kanak-kanak terbabit hanyalah sekadar gurauan berikutan terdapat sekumpulan remaja lain sedang bermandi di kedudukan berhampiran. “Saya bersama makcik dan rakannya sedang mandi-manda bersama sebelum kedengaran suara jeritan minta tolong daripada kanak-kanak terbabit.

“Melihat tiada respons dan tindakan daripada kumpulan remaja yang mandi berhampiran kanak-kanak terbabit, saya menyangka jeritan minta tolong itu sekadar gurauan.“Apabila melihat kanak-kanak terbabit terkapai-kapai dengan mulutnya sudah mengeluarkan buih, saya segera berenang menyelamatkannya. “Manakala dua lelaki dewasa yang dilihat bersama kanak-kanak terbabit turut sama hampir lemas, makcik saya bersama rakannya segera mencapai mereka dan membawa ke arah darat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.Mohd Syafiq yang berasal dari Taman Bukit Kempas berkata, dia diberitahu oleh orang ramai bahawa terdapat tiga yang lain dipercayai ahli keluarga tiga individu yang diselamatkan masih belum ditemui.

“Kami hanya berjaya mengesan tiga orang sahaja, namun saya melihat orang awam yang berada di pantai ini turut sama membantu menjejaki tiga yang lain,” katanya. Menurutnya, kehadiran dia sekeluarga ke pantai terbabit bertujuan untuk beriadah dan berkelah bagi mengisi masa terluang sempena cuti Tahun Baru Cina.“Saya sendiri tidak menyangka perkara ini akan berlaku. Kami tiba di pantai ini sekitar jam 11 pagi. Sebaik sahaja tiba, kami menjamah sedikit hidangan sebelum mula ke pantai untuk mandi-manda. “Ketika kejadian, saya hanya tawakal kepada Allah ketika cuba untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit. Mujurlah ilmu berenang yang dipelajari sejak berusia lima tahun memberi manfaat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan kejadian terbabit dan memberitahu lima daripada enam mangsa yang hampir lemas berjaya diselamatkan orang awam. “Seorang daripadanya berusia 17 tahun ditemui mati lemas dalam kejadian jam 2.50 petang. Mayat mangsa lelaki ini ditemui pasukan penyelamat sekitar jam 3.15 petang dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat,” katanya.

Thursday, March 24, 2011

Tahniah Kepada Datuk M.Nasir!




Penyanyi terkenal tanah air M. Nasir telah hari ini dianugerahkan Pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran "Datuk" daripada DYMM Sultan Pahang. Turut sama menerima pingat berkenaan adalah penyanyi terkenal Ramli MS. Ruangan Laman Bimbingan Bahasa Melayu SPM MSAB ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada kedua-dua artis berkenaan, terutama sekali kepada Datuk M. Nasir.

Friday, March 11, 2011

Jepun dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud Skala Richter.


Jepun dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud Skala Richter di timur laut negara itu awal hari ini dan telah menyebabkan berlakunya tsunami setinggi empat meter (13 kaki) yang telah menghanyutkan puluhan kereta dan meruntuhkan bangunan di sepanjang perairan dekat pusat gempa. Terdapat laporan kecederaan akibat daripada kejadian berkenaan di Tokyo. Di beberapa tempat sepanjang perairan Jepun, rakaman televisyen menunjukkan kerosakan teruk akibat tsunami, dengan puluhan kereta, bot dan bangunan dihanyutkan air tsunami berkenaan. Setakat ini masih belum ada berita terkini mengenai krisis kemanusiaan di Tokyo. Laman SPM Bahasa Melayu MSAB mendoakan keselamatan kepada semua rakan kami yang berada di Tokyo terutamanya kepada bekas para pelajar saya dahulu. Semoga mereka dapat mengirim khabar selamat dengan segera kepada kita disini.

Friday, January 7, 2011

Sanagt menkajukban! Tak snakga syaa dpaat bcaa ini!

Sanagt menkajukban! Tak snakga syaa dpaat bcaa ini! Tak skanga saya boelh bcaa penlusian ckaar aaym ini! Saybas kedapa rkaan ktia di pernataaun!

Ini aadlah tnada kehbetaan mnida adna smeua. Smeua ckuup viatmin nmapkanya. Mneurut stau kjaian di Cmabridge Uniercvity UK, mnausia mmecaba suseatu preaktaan sceara keesluruhan dan bkuan drai stau huurf ke stau huurf.

Meunrut kaijan ini, jkia huurf hdaapan dan treahkir bteul pada tmepantya maka anda aakn mmapu mmebcaa waluapun huurf-huurf lian bretabruan susnuan.

Apa pnedpaat adna?

Tremia kisah kpeada Enick Rizal yang tleah mnegirim email ini kedapa saya, soernag bekas pejalar saya ynag knii sdenag melajnutkan pealjaran di UK.


Tapi ingat! Ini hanya kajian sahaja! Tulis ejaan semua mesti betul dan tepat! Faham? Bagus dan syabas kepada beliau dan semoga berjaya di UK!



Monday, November 29, 2010

Gaya Hidup Mewah Punca Anak Muda Muflis.


Sesiapa pun akan tersentak apabila membaca laporan berhubung tunggakan kad kredit rakyat Malaysia sehingga Disember 2006 yang mencecah RM20 bilion ekoran gaya hidup gemar berhutang menggunakan kad kredit walaupun tidak mampu dari segi kewangan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut menyuarakan kebimbangan berhubung kes muflis membabitkan anak muda akibat tabiat berbelanja menggunakan kad kredit melebihi kemampuan. Sikap rakyat Malaysia suka berhutang bukan sesuatu yang baru dan menghairankan. Saya tidak mahu pergi jauh dalam memperkatakan sikap suka berhutang cukup sekadar melihat senario mengapa orang suka berhutang dan implikasinya di depan mata.

Kita ambil contoh mudah dengan melihat senario graduan baru bekerja. Dengan usaha, pengetahuan dan tuah badan, kita andaikan graduan itu mendapat gaji RM2,000 sebulan (tidak termasuk graduan mendapat gaji tidak setimpal dengan kelulusan iaitu RM800 hingga RM1,200). Dengan gaji RM2,000, bermulalah kerjaya graduan sebagai eksekutif muda di bandar atau di kawasan pinggir bandar. Dengan semangat berkobar-kobar berserta iringan doa dan kata perangsang ibu bapa, bekerjalah eksekutif muda dengan azam membangunkan diri, membantu ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban.Tetapi selepas mengharungi hidup sebagai eksekutif muda dan terdedah dengan persekitaran kerja yang mencabar mental dan fizikal, perubahan demi perubahan positif dan negatif banyak mengubah hidup eksekutif muda sehingga perubahan itu menjerat diri dan kehidupan mereka sebagai individu, pekerja dan sebagai anak dalam keluarga iaitu hutang.

Bagaimana eksekutif muda ini boleh terdedah dengan hutang dan akhirnya hidup dikelilingi hutang? Marilah kita bersama-sama melihat situasi ini dengan lebih khusus dan telus (berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan):

Gaji: RM2,000 sebulan

Perbelanjaan:

  • Sewa rumah/bilik RM200 (berkongsi rumah dengan rakan)
  • Ansuran kereta RM300 (bergantung jenis kereta, kalau mahal maka tinggi ansuran bulanannya)
  • Duit minyak dan tol RM450 (anggaran perjalanan pergi dan balik kerja, tidak termasuk perjalanan lain)
  • Makan dan minum RM500
  • Sosial dan riadah RM300 (bersama rakan dan hal peribadi)
  • Bayaran bil RM200 (api, air, telefon, bil pelbagai)
  • Bayar kredit barang RM300 (hutang set hi-fi, TV, peti sejuk, dapur masak dan pelbagai barang elektrik)
  • Barang peribadi RM200 (tambah kad prabayar, barang kesihatan dan kecantikan, pakaian, kasut, aksesori diri bagi wanita, aksesori kereta dan tukar telefon bimbit)
  • Hal kecemasan RM100 (sakit, beri pinjam kawan, kereta rosak)
  • Simpanan RM100 (kerana memikirkan hendak kahwin, insuran kereta dan tunai haji)

    Ini tidak termasuk dengan perintah bayar daripada pinjaman pelajaran mereka di universiti yang sering eksekutif muda ini ‘sengaja buat lupa’ tetapi tidak pernah lupa untuk bayar perbelanjaan berkaitan urusan peribadi mereka. Katakan eksekutif yang ‘memaksa diri’ bayar pinjaman secara minimum RM100, jadi berapa gaji bulanan mereka yang tinggal? Pendapatan RM2,000 sebulan dan perbelanjaan seperti di atas RM2,750. Bermakna eksekutif muda itu berhutang RM750 sebulan. Bayangkan bagaimana jika mereka bergaji RM1,000 hingga RM1,500 sebulan? Sudah tentu hutangnya lebih banyak.

    Daripada contoh di atas, kita lihat tiada langsung baki gaji bulanan eksekutif itu, malah menunjukkan ketidakcukupan gaji setiap bulan iaitu RM750. Ini andaian bagi
    gaya hidup eksekutif yang paling minimum dengan kos hidup semasa. Cuba bayangkan jika eksekutif itu mengamalkan gaya hidup mewah yang langsung tidak sepadan dengan gaji bulanan yang diterima. Berapa agaknya kekurangan gaji yang perlu mereka hadapi setiap bulan. Itu tidak termasuk jika kita mempersoalkan duit yang perlu diberi kepada ibu bapa yang sentiasa berdoa agar anak mereka mampu memberi wang untuk membantu meringankan perbelanjaan keluarga.
    Lebih menyedihkan, anak yang diharapkan membantu keluarga selepas bekerja, meminta wang daripada ibu bapa dengan alasan kos hidup tinggi dan baki gaji bulanan tidak cukup. Ada juga memikirkan alternatif mendapatkan wang tanpa perlu meminjam duit ibu bapa atau rakan kerana malu akan dicap ‘muka subsidi’ akan menjadikan kad kredit sebagai ‘abang long’ mereka. Dengan pelbagai promosi yang menonjolkan
    gaya dan aura kad kredit sebagai satu gaya hidup bagi eksekutif muda masa kini, maka terpesonalah eksekutif yang sering putus wang untuk menggunakan kad kredit sebagai sumber kewangan alternatif mereka. Tanpa mereka sedari atau sengaja tidak sedar diri, kad kredit itulah yang menjadikan mereka terus berhutang dan akhirnya hutang melilit pinggang. Mengapa eksekutif muda ini berhutang? Persoalan ini bukannya susah untuk difahami tetapi tidak mudah dicari penyelesaiannya. Jawapannya terletak kepada 5 P:

Personaliti

Peribadi dan sikap seseorang yang sememangnya suka berhutang kerana sudah menjadi satu kebiasaan kepada dirinya melihat ibu bapa, adik-beradik dan saudara-maranya yang memang suka berhutang untuk memenuhi kehendak dan keperluan diri. Ibu dan kakaknya suka berhutang beli perabot, hutang kain, hutang pinggan mangkuk, hutang langsir sehinggalah beli alat solek pun dengan cara berhutang. Jadi budaya berbelanja melebihi pendapatan dan berhutang sudah jadi amalan biasa pada dirinya, malah mendapat sokongan padu daripada keluarga.

Pengaruh persekitaran

Hidup mereka sentiasa dikelilingi mereka yang menjadikan hutang sebagai
gaya hidup malah rakan turut memberi galakan berhutang bagi membeli kereta yang kononnya setaraf dengan kerjaya sebagai eksekutif.

Promosi

Institusi kewangan dan yang berkaitan dengan kad kredit memang mensasarkan golongan muda dan bekerjaya sebagai pelanggan berpotensi dengan membuat promosi besar-besaran dan habis-habisan untuk menarik eksekutif muda ini menggunakan kad kredit. Pelbagai iklan dan mesej yang digunakan untuk ‘memaksa’ eksekutif ini menggunakan kad kredit. Kehadiran jurujual yang tidak pernah penat ‘senyum dan ketuk pintu pejabat’ memang menjadikan taktik promosi ini sebagai strategi menarik golongan muda menggunakan kad kredit.

Pujian dan perasan

Sebagai eksekutif muda, banyak pujian dan dorongan agar mereka terus kelihatan anggun, cantik dan bergaya selaras dengan umur muda dan kerjaya mereka. Disebabkan terlena dan perasan dengan pujian itu, maka berlumba-lumba eksekutif muda wanita dan lelaki membeli barang berjenama yang bukan murah harganya, falsafah mereka ‘biar papa asal bergaya’ menjadikan mereka akhirnya papa dan merana kerana muflis. Siapa yang perlu dipersalahkan jika keadaan ini berlaku? Tepuk dada tanya selera!

Tidak cukup duit

Selalu pokai atau tidak cukup duit kerana
gaya hidup mewah menjadi fokus utama mengapa golongan muda banyak berhutang. Tidak salah memilih apa juga gaya hidup yang anda kehendaki, tetapi ukurlah baju di badan sendiri, jalan mana yang hendak anda lalui, jalan menuju kebahagiaan atau kesengsaraan. Tekanan fizikal dan mental seperti sukar tidur malam, keresahan, gangguan fikiran, panas badan, pening kepala, kekeruhan air muka, kelesuan, kemarahan dan pelbagai simptom fizikal yang akhirnya menjejaskan kreativiti, prestasi dan produktiviti pekerjaan anda yang baru mencipta nama dalam bidang yang ceburi.

Sumber Maklumat: Pusat Maklumat Rakyat dan Berita Harian

Sila klik untuk laman asal artikel ini.


Thursday, September 16, 2010

SELAMAT HARI MALAYSIA - 16 September 1963




Seluruh Warga Maktab Sultan Abu Bakar Mengucapkan
SELAMAT HARI MALAYSIA!

Thursday, July 22, 2010

Nostalgia A.Samad (Pak Samad) di MPU


MEMETIK kata-kata yang pernah disuarakan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, rap dalam lagu-lagu moden merupakan sebahagian daripada kesenian kesusasteraan.


Kalau ada anak-anak muda yang gemarkan rap, kita tidak seharusnya bersikap prejudis kerana elemen kesusasteraan ada dalam genre muzik itu.


Kerana itu, apabila artis-artis popular tanah air yang memperjuangkan muzik pop mahu melibatkan diri dalam acara pembacaan puisi, ia tidak perlu dijadikan isu.


Sebaliknya, penyertaan anak-anak seni ternama dan berpengaruh itu dalam majlis pembacaan puisi harus diberi sokongan.


Seperti yang terjadi pada Malam Puisi Utusan Ke-13 (MPU13) di Laman Beringin, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.


Penyertaan golongan artis seperti Suhaimi Meor Hassan, Azlan & Typewriter, Akim AF7, Sheila Abdul, Rozita Che Wan, Ultimate dan pelakon teater Uda dan Dara, Zulkifli Zain benar-benar memberi impak kepada penganjuran acara itu.


Bagaimanapun, MPU13 menjadi lebih bermakna dan akan terus dikenang sebagai majlis pembacaan puisi yang penuh nostalgia apabila A. Samad hadir sebagi tanda sokongan yang tidak berbelah bagi buat Utusan Melayu, bekas majikannya.


Kehadiran tokoh yang mesra disapa sebagai Pak Samad pada malam itu seakan mengembalikan nostalgia beliau terhadap organisasi media yang pernah memasyhurkan namanya.


Sebagai rekod, Pak Samad pernah menjadi wartawan Utusan Melayu pada tahun 1957 sehingga 1964.

Pada MPU baru-baru ini, nostalgia itu dikembalikan oleh Pak Samad kepada warga yang celik sastera dengan menyampaikan puisi Kepada Teman Lama Di Utusan.


"Puisi ini saya tulis sebagai tanda ingatan saya kepada teman-teman yang pernah sama-sama bertugas di Utusan Melayu.


"Biarpun saya bertugas di Utusan Melayu untuk tempoh yang sangat singkat iaitu pada tahun 1957 sehingga ke era berlakunya mogok, namun saya masih dikenang sebagai wartawan Utusan Melayu biarpun saya juga lama berkhidmat di Berita Harian," kata tokoh berusia 75 tahun yang masih kental cinta dan kasihnya pada lapangan kesusasteraan.


Bersama-sama Pak Samad pada malam itu ialah sembilan penyair lain yang hadir semata-mata mahu memperkasakan gelanggang kesusasteraan tempatan.


Nama-nama lain yang turut berhimpun pada MPU13 tempoh hari ialah penyair terkenal tanah air seperti Shukri Abdullah, Marsli N.O, Rajeshwary Sita Raman, HarlymYeo, Roslan Madun, Dr. Hamidah Abdul Hamid dan Pyanhabib.


Malam puisi itu juga memberi kelainan dengan kebanyakan puisi yang berkisah nasib dan penderitaan rakyat Palestin.


MPU13 dianjurkan Kumpulan Utusan dengan kerjasama Exxon Mobil, Astro, Perbadanan Filem Nasional (Finas) dan Istana Budaya. Program itu merupakan sebahagian program dalam minggu Sastera Utusan 2010.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.


MPU13 diadakan bagi mengangkat agenda karya sastera, seni dan kebudayaan serta memartabatkan puisi dan lagu-lagu puisi tanah air.


Bagi pelakon wanita popular, Rozita Che Wan, peluang yang ditawarkan oleh Kumpulan Utusan kepadanya pada malam itu disifatkan sebagai satu penghormatan yang cukup besar.


Masakan tidak, penglibatannya dalam MPU13 baru-baru ini merupakan penyertaan pertama dalam gelanggang kesusasteraan selama menjadi anak seni.


Rozita yang pada awalnya gementar dan ragu-ragu dengan kewibawaannya membaca puisi hampir menarik diri.

"Mujur rakan-rakan di Utusan Melayu memberi saya motivasi dan membantu saya cara membaca puisi membuatkan keyakinan diri datang secara perlahan-lahan," kata Rozita yang mendeklamasikan puisi Gadis Di Pelabuhan tulisan Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang.


Pendaklamator yang paling menonjol pada malam MPU tempoh hari juga pastinya bekas wartawan Utusan Melayu, Pyanhabib.


Pyanhabib yang cukup aktif sebagai penggiat sastera menarik perhatian hadirin apabila membawa bersama komputer riba ketika menyampaikan puisi.


"Saya akan membaca puisi tanpa membawa kertas sebaliknya, saya akan melihat skrin komputer riba.

"Tujuan saya ialah untuk menjaga alam sekitar selain menyahut seruan kerajaan agar rakyat Malaysia menjadi warganegara yang celik IT," kata Pyanhabib sebelum mendeklamasikan puisi tulisannya Doa Saya Kepada Tuhan Untuk Palestin.


Gabungan 1Malaysia


Keunikan acara membaca puisi yang dianjurkan bersempena dengan penganjuran Minggu Sastera Kumpulan Utusan yang memasuki tahun ke-25 itu sebetulnya melibatkan penyertaan pelbagai kaum.


Ia sekali gus menterjemahkan aspriasi 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Penyertaan Harlem Yeo serta Raj Rajeswari Seetha Raman misalnya membuatkan 2,500 hadirin yang membanjiri Laman Beringin, IB kagum dengan penguasaan Bahasa Melayu serta keupayaanl membaca puisi kedua-dua penggiat sastera terkenal itu.


Benarlah puisi juga boleh menjadi alat yang mampu menterjemahkan emosi dalam diri segenap lapisan masyarakat.


Kedua-dua pendaklamator itu memilih menyuarakan keluh kesah dan kesedihan mereka berhubung kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin.


MPU 13 turut dimeriahkan dengan penyertaan penyanyi malar segar, Suhaimi Mior Hassan yang menyampaikan dua buah lagu, Misteri Cinta dan Kalau Berpacaran sebagai menutup acara.


Kehadirannya benar-benar menarik perhatian pencinta sastera kerana sudah lama benar kelibat Suhaimi tidak muncul di depan khalayak.


MPU13 akan menjadi satu detik yang indah untuk dikenang. Apa yang pasti, acara itu juga akan menjadi inspirasi buat Kumpulan Utusan menyebarluaskan lagi aspirasi memartabatkan kesusasteraan tanah air.


Artikel ikhsan daripada Utusan Malaysia.

Tuesday, May 18, 2010

SAMBUTAN HARI GURU 2010 - KEK "HARI GURU" TERPANJANG: TAHNIAH MSAB!


Sila klik di sini untuk artikel asal di Utusan Malaysia.


JOHOR BAHRU 17 Mei - Seramai 130 warga pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) di sini diraikan dalam majlis Sambutan Hari Guru 2010 dengan acara kemuncaknya menyaksikan majlis memotong kek sepanjang 60 meter.

Majlis yang diadakan di Dewan MSAB itu didahului dengan perutusan Hari Guru yang disampaikan oleh Pengetua MSAB, Zulkipli Mahmood.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Induk dan Pelaksana, Norfariza A. Kadir berkata, idea membuat kek yang terdiri daripada cantuman 100 biji kek itu dicetuskan oleh para pelajar sekolah berkenaan.

"Kami mengambil inisiatif itu untuk menjayakan sambutan Hari Guru dengan cara yang lebih unik dan menarik. Secara kebetulan sambutan hari tersebut kali terakhir bagi Pengetua yang akan bersara awal tahun depan.

"Kami mendapat kerjasama daripada Season Confectionary & Bakery Sdn. Bhd. yang menaja kos membuat kek berharga kira-kira RM10,000 itu," katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis itu di sini hari ini.

Jelas Norfariza, sebagai tanda sayang dan menghargai insan bernama guru, para pelajar turut menyumbang RM2 seorang bagi membiayai kos kek berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran dan Jualan Season Confectionary & Bakery, Caren Tan berkata, pihaknya terpanggil melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memilih MSAB untuk merealisasikan hasrat murni itu.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 jam melibatkan 10 petugas bagi menyiapkan 100 biji kek span berperisa vanila itu dengan setiap satu seberat 1.6 kilogram.

Saturday, May 15, 2010

SELAMAT HARI GURU!


OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kembali semua buku,
sempat ditinggalkan asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988


SELAMAT HARI GURU!


Buat anak-anak didik cikgu: Belajarlah bersungguh-sungguh;semoga terus berjaya!

Sunday, May 9, 2010

KASIH IBU SEPANJANG JALAN

Khutbah Jumaat 9 pada 20 JAMADIL AWWAL 1430 bersamaan 15 MEI 2009 yang dikeluarkan oleh JAKIM dan disampaikan di Masjid Negara dan juga masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Ibu.

Muslimin Yang Berbahagia,

Islam amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat ke-dua selepas mentaati Allah s.w.t. Justeru, Allah s.w.t. telah mewajibkan anak-anak memulia dan menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah Azza Wajalla juga secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Israa’:23).

Adalah satu hakikat bahawa ibu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding bapa. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan anak-anak lebih mengasihi, dan mengingati serta sering menyebut nama ibu berbanding bapa. Jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Kalau ingin tidur, kita mahu ibu yang tidurkan. Kalau ingin berkahwin, ibu juga yang kita risaukan. Malah sehingga saat menghadapi kematian pun, kita akan menyebut nama ibu.

Kuatnya ingatan anak-anak kepada ibu ialah kerana ibulah yang mengandungkan kita, ibu yang menyusukan kita, ibu yang menyuapkan kita makan dan minum, ibu yang mendodoi dan menidurkan kita, ibu yang membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita. Oleh itu, wajarlah Allah s.w.t. memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.

Fahamilah bahawa ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu banyak berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak-anak. Sedarilah bahawa ibu bapa kita kini telah tua, lemah tenaga, kabur penglihatan dan kurang pendengaran. Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian anak-anak. Gembiralah ibu bapa andainya mereka dikasihi dan dimuliakan dan hancurlah hati ibu bapa jika kita menderhakainya. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin kita dapat menebusnya.

Untuk teks lengkap khutbah Jumaat 9 pada 2009 JAMADIL AWWAL 1430 bersamaan 15 MEI 2009 yang dikeluarkan oleh JAKIM boleh terus ke link JAKIM KHUTBAH ONLINE.

Saturday, May 8, 2010

SILA AMBIL PERHATIAN SEMUA!

ESOK IALAH SAMBUTAN HARI IBU 2010!
JANGAN ADA YANG TERLUPA PULA... :)

Saturday, May 1, 2010

LAWATAN PERSAHABATAN SMAN 1, TANJUNG PINANG, KPRI INDONESIA.


Pada tanggal 19hb. April 2010, rakan kami dari Indonesia telah mengadakan satu lawatan muhibah ke Maktab Sultan Abu Bakar. Kunjungan mesra ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan akrab dan menguatkan lagi persefahaman yang tersedia ada di antara Maktab Sultan Abu Bakar dan juga “Sister School” kami di Riau iaitu S.M.A.N 1, Tanjung Pinang, KEPRI, Indonesia. Rombongan tetamu istimewa kami ini telah terdiri daripada kira-kira 50 orang pelajar dan guru-guru S.M.A.N 1. Para pelawat juga telah mengadakan pertunjukan antara budaya yang penuh dengan tradisi serta budaya gilang-gemilang untuk tontonan semua di Dewan Sri Budiman MSAB sambil menjamu selera makan tengah hari dan bertukar buah fikiran serta beramah mesra. Yang dapat saya perhatikan daripada kunjungan mereka ini ialah betapa peramah, berdisiplin dan sangat tertibnya para pelajar S.M.A.N. Bukan setakat itu sahaja, malah mereka sangat menghormati guru-guru MSAB dan juga sesama rakan pelajar mereka di MSAB ini. Sebenarnya, ini merupakan sikap yang amat wajar diambil sebagai contoh yang positif bagi semua pelajar di Malaysia kita hari ini. Syabas diucapkan kepada rakan “Sister School” kami di Riau iaitu S.M.A.N 1, Tanjung Pinang, KEPRI, Indonesia. Jumpa lagi!










Limau manis dimakan manis,

Manis sekali rasa isinya;

Dilihat manis dipandang manis,

Manis sekali hati budinya.

SELAMAT HARI IBU 2010



Ibu Penyuluh Hidupku.


Oh ibu,

Dikaulah penyeri hidupku,

Dikau senantiasa berada di sisiku,

Akan kuingat segala pengorbananmu,

Akan kukenang hingga ke akhir hayatku.


Oh ibu,

Dikaulah tempat mengadu nasibku,

Dikau jualah pemandu arah hidupku,

Tanpamu siapalah aku,

Akan terasa kesepian diri ini tanpa dirimu.


Karya: Razif & Azhar, 3 Cendekia.

Thursday, April 29, 2010

RUANGAN TERISTIMEWA UNTUK SAMBUTAN HARI IBU 2010


Sempena dengan Sambutan Hari Ibu bagi tahun 2010 yang akan dilangsungkan pada 9 Mei 2010 ini, Laman Bimbingan SPM Bahasa Melayu akan menyiarkan satu sajak, puisi atau juga sebarang nukilan dari para pelajar MSAB yang boleh di tujukan kepada ibu-ibu mereka setiap hari bermula daripada 1 Mei hingga ke 9 Mei 2010. Semua yang berminat boleh mengirim karya anda kepada saya secara serahan tangan atau juga melalui e-mel. Sesiapa juga yang bergelar pelajar dan pelayar setia laman blog ini juga boleh berbuat demikian. Sila e-melkan karya anda kepada saya bermula dari hari ini untuk disiarkan pada 1 Mei ini. Terima kasih! :)

Thursday, April 8, 2010

MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG 2010



TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA SETIAP PENERIMA ANUGERAH!




Catatan Guru:

“Jika kamu ada ilmu dan ada pula harta, itulah yang sebaik-baiknya tetapi jika kamu tidak berharta, maka ilmu itulah harta kamu.” – Mus’aab Umair (r.a)


Harta dan Ilmu.

Dengan ilmu seseorang itu boleh menjana dan mengelola kekayaan mahupun mencari kedudukan yang lebih baik. Namun asas kepada kejayaan si anak adalah dorongan, sokongan dan kepercayaan dari ibu bapa mereka sendiri. Jelas anak yang cemerlang di sekolah serta kurang terlibat dalam pelbagai gejala sosial ialah anak yang mendapat didikan dan bimbingan yan mencukupi dari awal di rumah.


Malah, sepanjang zaman persekolahan anak anda, dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, malah hingga ke peringkat yang lebih tinggi daripada itu pun, apa-apa sahaja tindakan positif anda akan memberikan kesan yang amat besar untuk mencorak masa depannya.


Sesetengah ibu bapa berpendapat bahawa usaha memupuk kejayaan akademik pelajar dan mendisiplinkan pelajar secara keseluruhan adalah tugas dan tanggungjawab sekolah semata, bukan tugas dan tanggungjawab mereka. Kita harus ingat bahawa tahap kemajuan pembelajaran anak kita akan lebih ketara dan terserlah sekiranya wujud kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa.



Rimbunnya buluh dek akarnya,

Dilentur dipadu dari rebung;

Ibu menyuruh ayah bertanya,

Anak berilmu keluarga beruntung.


Biarlah lusuh baju dipakai,

Asalkan segar iman di hati;

Ilmu menyuluh barulah pandai,

Hidup sedar penuh bererti.


Menuai padi habislah sudah,

Jerami emas disusun rapi;

Kerjanya guru memang tak sudah,

Pahala besar di akhirat nanti.




Terima kasih :)

Sunday, March 21, 2010

SELAMAT MENYAMBUT 'EC 96TH FOUNDER'S DAY' 2010

Laman Utama MSAB


Era baru MSAB sebagai sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan


Pengiktirafan kecemerlangan MSAB daripada
Kementerian Pelajaran Malaysia



Sambutan Hari 'EC 96th Founder’s Day'

Sambutan Hari 'EC Founder’s Day' ialah satu program Maktab Sultan Abu Bakar yang merupakan cetusan idea Tuan Pengetua Cemerlang, Tuan Haji Zulkipli bin Haji Mahmud yang diadakan bagi memperingati hari penubuhan MSAB. Tanggal 21 Mac setiap tahun merupakan tarikh keramat bagi warga MSAB kerana pada hari tersebut lahirnya English College yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar. Pada tahun ini usia MSAB mencecah 96 tahun. Walaupun pada tahun ini tarikh keramat ini jatuh pada hari cuti sekolah namun pihak MSAB telah pun merancang untuk menyambutnya apabila sekolah dibuka nanti.



Almarhum Sultan Abu Bakar Ibni
Almarhum Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja



Latar Belakang Pengasas MSAB (English College)

Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja telah diputerakan pada 14 hb Ramadhan 1248 Hijrah, bersamaan dengan 3 hb Febuari tahun Masihi 1833.

Semenjak dari kecil lagi baginda telah diasuh oleh Seri Paduka Ayahandanya dengan pelbagai aspek pembelajaran . Pendidikan yang baginda tempuhi ini telah membentuk keperibadian baginda sebagai pemimpin yang bijaksana dan berwawasan moden.

Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja telah dianggap sebagai pelopor permodenan Johor. Dalam era pemerintahan baginda, pelbagai pemodenan dalam struktur ekonomi, pendidikan, sosial dan politik negeri Johor telah terlaksana. Baginda adalah seorang pemimpin yang begitu menitikberatkan aspek pendidikan untuk rakyat Johor. Sehubungan dengan ini, pada tahun 1848, baginda telah menitahkan supaya sekolah-sekolah mula dibuka di negeri Johor.

Semasa pemerintahan baginda beberapa sekolah telah didirikan bagi tujuan memberi pendidikan kepada rakyat baginda. Pada tahun 1914 semasa negeri Johor berada di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, English College yang pertama dibuka di istana Jalan Sungai Chat.



Pada tahun 1960, English College telah ditukar namanya secara rasmi kepada Maktab Sultan Abu Bakar bagi mengenang jasa dan wawasan Almarhum Sultan Abu Bakar khususnya dalam bidang pendidikan di negeri Johor.