Showing posts with label Sajak. Show all posts
Showing posts with label Sajak. Show all posts

Tuesday, May 18, 2010

LATIHAN SAJAK MAHSURI, ANTOLOGI HARGA REMAJA


Sajak Mahsuri


Arahan: Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.



Selendangmu mengibar di pantai

menyambut tetamu pulau

setiamu menjadi lagu

nyanyian ombak pagi

rambutmu menjadi jalur hitam

terapung di laut malam

air matamu dingin embun

jatuh di tujuh telaga

dendam tujuh keturunan

melengkung tujuh tanjung

putihlah pulau ini

disimbah darah suci


Mahsuri

sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi

kerana tanpamu

Langkawi tidak sebegini.


Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup

dia hanya bermula dengan

khayalan seorang seniman

pun kata orang Mahsuri pernah hidup

tetapi bahasa seorang pencerita

membuat dia lebih hidup dari kehidupannya

sastera yang mewarnai tanah air

kerana tanpa Mahsuri


Langkawi tidak sebegini bererti.

Mahsuri membesarkan Langkawi

sastera membesarkan tanah air.


Sebuah sajak yang sangat indah ciptaan Zurinah Hassan

(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)



Soalan latihan:


1) Berikan maksud rangkai kata disimbah darah suci dalam sajak ini.


2) Sekiranya anda menjadi pemimpin di Pulau Langkawi, apakah usaha yang akan anda lakukan untuk memajukan lagi sektor pelancongan pulau tersebut? Sila berikan empat usaha yang bakal anda lakukan.


3) Berdasarkan sajak “Mahsuri”, nyatakan tiga gaya bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut.


4) Jika anda pernah bercuti di Pulau Langkawi, apakah tempat paling indah yang pernah anda lawati disana?




Anda boleh melayari pautan dibawah ini untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut tentang percutian di pulau Mahsuri ini.


Info Pulau Langkawi

Info Mahsuri binti Pandak Maya

Tuesday, May 4, 2010

SELAMAT HARI IBU - Oh Ibu!


Oh Ibu!


Oh Ibu,

Kaulah yang melakar hidupku,

Kaulah yang mendidikku dengan penuh kasih sayang,

Dewasaku nanti akan dapat mencapai kejayaan.


Oh Ibu,

Kaulah yang terpenting dalam hidupku,

Tanpamu aku tak akan berjaya,

Tanpamu juga tiadalah aku.


Oh Ibu,

Jasamu tidak dapat dibalas,

Kaulah cahaya yang menrangi hidupku,

Terima kasih ibuku yang tersayang.


Nukilan:

Alif, Syamim dan Choong

3 Cendekia


Sunday, May 2, 2010

Hanya Seorang Ibu.



Hanya Seorang Ibu

Walaupun berjuta bintang terang di langit yang cerah,

Sekalipun pelbagai cengkerang berderetan di pantai,


Mahupun mergastua bernyanyi riang,

Ataupun segerombolan biri-biri di pandang lapang,


Biarpun berjuta rintik-rintik embun menyambut fajar,

Semetelahan lebah mengerumuni semanggi ungu,


Kiranya jutaan rerama berterbangan di lelaman,

Tetapi tidak hanya seorang sahaja ibu di alam maya ini.


-Sharifah Aisha, King Fahd University Hospital,

Kingdom of Saudi Arabia.-

Thursday, April 29, 2010

RUANGAN TERISTIMEWA UNTUK SAMBUTAN HARI IBU 2010


Sempena dengan Sambutan Hari Ibu bagi tahun 2010 yang akan dilangsungkan pada 9 Mei 2010 ini, Laman Bimbingan SPM Bahasa Melayu akan menyiarkan satu sajak, puisi atau juga sebarang nukilan dari para pelajar MSAB yang boleh di tujukan kepada ibu-ibu mereka setiap hari bermula daripada 1 Mei hingga ke 9 Mei 2010. Semua yang berminat boleh mengirim karya anda kepada saya secara serahan tangan atau juga melalui e-mel. Sesiapa juga yang bergelar pelajar dan pelayar setia laman blog ini juga boleh berbuat demikian. Sila e-melkan karya anda kepada saya bermula dari hari ini untuk disiarkan pada 1 Mei ini. Terima kasih! :)

Tuesday, May 5, 2009

REALITI BERERTI - dedikasi istimewa buat semua wanita yang bergelar ibu















Karya: Uma Mageswary (T4)


Seorang ibu
adalah wanita yang sejati
membelai manja penuh kasih
anak-anakmu
penyambung generasi

Bertarung dengan kesakitan
bergelumang pahit manis
walau diri dilambung badai
walau diri dihempas ombak
nurani kental lagi utuh

Mampukah engkau hargai
pengorbanan seberat ini
walau diri lesu
tersenyum mesra melayani
rengekan dan pekikan

Anak-anak dakaplah kebahagiaan ini
seakrab bumi dengan langit
sehangat panas mentari
sedingin salju memutih
kasih rela dan redha
sampai hujung nyawa
cinta kukuh berpadu

Anak-anak yang dikasihi
jadikanlah mimpi ibu- ibumu
realiti bererti
biar nanti pemergianmu
tidak sia-sia
kerana syurga ada di telapak kaki
seorang yang bergelar ibu

Sunday, May 3, 2009

LEMBARAN HIDUP WANITA SOLEHAH

















Karya: Cik Ili Atifah Ibrahim (2006) yang kini melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat.


Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah..?
Agung cintanya pada Allah dan Rasululah,
Hartanya diperjuangkan ke jalan Fisabilillah,
Penawar hati kekasih Allah, susah senang rela bersama.

Dapatkah ku didik jiwa seperti Siti Aishah..?
Isteri Rasulullah yang bijak,
Pendorong kesusahan dan penderitaan,
Tiada sukar untuk dilaksanakan.

Mengalir air mataku melihat pengorbanan,
Puteri Rasulullah Siti Fatimah,
Akur dalam setiap perintah,
Taat dengan abuyanya yang sentiasa berjuang,
Tiada memiliki harta dunia,
Layaklah dia sebagai wanita penghulu Syurga.

Ketika aku marah,
Inginku intip serpihan sabar
Dari catatan hidup, Siti Sarah.

Tabah jiwaku.., setabah Umi Nabi Ismail,
Mengendong bayinya yang masih merah,
Mencari air penghilang dahaga,
Diterik padang pasir merak,
Ditinggal suami akur tanpa bantah,
Pengharapnya hanya pada Allah,
Itulah wanita bernama Siti Hajar.

Mampukah aku menjadi wanita solehah.???
Mati dalam keunggulan iman,
Bersinar indah harum tersebar,
Bagai wanginya pusara Masyitah.

Friday, May 1, 2009

CONTOH PENULISAN SAJAK: BISIK AKAL KEPADAKU





















Karya: Mohd. Ridzwan (T4)

Bisik akal kepada ku
Yang tidur lewat
Yang bangun awal
Harus mempersiapkan diri
Melangkah ke luar rumah
Menyambungkan harapan
Mengisikan kehidupan ini
Yang terhimpit dibelit permasalahan
Yang laju diterbangkan impian
Aku berbisik kepada akal
Tidak mudah menjadi manusia!
Terkadang-kadang kita dirantai
Terkadang kita pemusnah diri sendiri!
Akal berkata kepadaku
Hanya yang teguh keimanan
Bakal menjadi manusia bahagia
Seperti dimaktubkan janji Tuhan

Sunday, August 24, 2008

LILIN





















Di kala malam gelita,
Kutermangu-mangu dalam gelap,
Meraba-raba titian yang hilang,
Cuba mencari jalan keluar,
Tapi sayang,
Tiada dayaku,
Sejalur nur pun tidak sudi menjengah.

Di kala malam gelita,
Tikaku meraba-raba,
Lalu tersuluh suatu cahaya,
Menerangi sekelilingku,
Sinarnya meresap ke mataku,
Lalu turun ke kalbu.

Cahaya itu,
Sudah lama kucari,
Cahaya itu,
Sudah lama kunanti,
Terangnya lilin itu,
Mewarnai segenap ruang jiwaku.

Dengan lilin ini,
Dapatlah daku mengerti,
Ertinya gelap-gelita,
Maknanya terang-benderang,
Kian hari aku bersemangat,
Ditemani nurmu.

Dalam cahaya itu,
Kulihat kau amat mulia,
Sanggup membakar dirimu,
Untuk menerangi hidupku,
Tiada kau jemu,
Tiada kau mengeluh,
Tiada pun kau minta belas.

Tapi kusedar akan takdir,
Masanya sudah tiba,
Untuk aku pergi meninggalkanmu,

Namun,
Kumasih ingat cahayamu,
Kupasti genggam erat,
Segala apa yang kau tunjukkan,

Kepadaku,
Tiada dapat kulupakanmu,

Cuma satu pinta ku,
Doakan supaya kuberjaya,
Merentasi hidup ini

Sampai bila pun kukenang,
Kerana engkaulah,
Guruku.



Sumbangan karya Nadhir Nasir