Showing posts with label Antologi Harga Remaja. Show all posts
Showing posts with label Antologi Harga Remaja. Show all posts

Tuesday, May 18, 2010

LATIHAN SAJAK MAHSURI, ANTOLOGI HARGA REMAJA


Sajak Mahsuri


Arahan: Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.



Selendangmu mengibar di pantai

menyambut tetamu pulau

setiamu menjadi lagu

nyanyian ombak pagi

rambutmu menjadi jalur hitam

terapung di laut malam

air matamu dingin embun

jatuh di tujuh telaga

dendam tujuh keturunan

melengkung tujuh tanjung

putihlah pulau ini

disimbah darah suci


Mahsuri

sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi

kerana tanpamu

Langkawi tidak sebegini.


Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup

dia hanya bermula dengan

khayalan seorang seniman

pun kata orang Mahsuri pernah hidup

tetapi bahasa seorang pencerita

membuat dia lebih hidup dari kehidupannya

sastera yang mewarnai tanah air

kerana tanpa Mahsuri


Langkawi tidak sebegini bererti.

Mahsuri membesarkan Langkawi

sastera membesarkan tanah air.


Sebuah sajak yang sangat indah ciptaan Zurinah Hassan

(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)



Soalan latihan:


1) Berikan maksud rangkai kata disimbah darah suci dalam sajak ini.


2) Sekiranya anda menjadi pemimpin di Pulau Langkawi, apakah usaha yang akan anda lakukan untuk memajukan lagi sektor pelancongan pulau tersebut? Sila berikan empat usaha yang bakal anda lakukan.


3) Berdasarkan sajak “Mahsuri”, nyatakan tiga gaya bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut.


4) Jika anda pernah bercuti di Pulau Langkawi, apakah tempat paling indah yang pernah anda lawati disana?




Anda boleh melayari pautan dibawah ini untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut tentang percutian di pulau Mahsuri ini.


Info Pulau Langkawi

Info Mahsuri binti Pandak Maya

Tuesday, March 23, 2010

Antologi Harga Remaja: Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran).



Baca pantun di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Apa guna berkain batik,

Kalau tidak memakai capal;

Apalah guna beristeri cantik,

Kalau tak pandai menumbuk sambal.


Dari Kelang lalu ke Jawa,

Naik sigai ke atas atap;

Ikan kering lagi ketawa,

Mendengar tupai membaca kitab.


Ambil segulung rotan saga,

Suruh diambil mari diurut;

Duduk termenung harimau tua,

Melihat kambing mencabut janggut.


Kupu-kupu terbang melintang,

Hinggap menghisap bunga layu;

Hati di dalam menaruh bimbang,

Melihat ikan memanjat kayu.


Lebat sungguh padi di paya,

Kayu tumbang tepi pangkalan;

Hairan sekali hati saya,

Burung terbang disambar ikan.


(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka.)




Latihan


1) Nyatakan sindiran yang terdapat dalam rangkap pertama dan rangkap kedua syair ini.


2) Sila nyatakan tiga cara bagaimana orang bawahan dapat membuktikan kemampuan mereka.


3) Berikan tiga pengajaran yang terdapat didalam pantun tersebut.


4) Soalan bonus untuk pelajar perempuan (lelaki pun boleh juga): Pada pendapat anda, wajarkah pelajar lelaki belajar memasak sejak kecil?

Wednesday, March 17, 2010

Antologi Harga Remaja. Gurindam 12 Fasal yang Keenam: Latihan




Baca gurindam di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.

Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan setiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala setiawan.

(Petikan daripada Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

Latihan:

1) Berikan dua kebaikan yang dapat diperoleh orang yang pandai memilih sahabat dan guru.


2) Seseorang lelaki itu perlu bijak dalam memilih calon isteri. Nyatakan tiga ciri seseorang calon isteri yang baik. Soalan bonus bagi pelajar perempuan: Nyatakan sepuluh ciri seseorang calon suami yang baik! :)


3) Sila kemukakan empat gaya bahasa yang terdapat dalam gurindam tersebut.



Selamat bercuti semua!
Jangan tinggal solat!
Jangan merempit!
Jangan durhaka pada ibu bapa kita.

Tuesday, March 16, 2010

Latihan Sajak Harga Remaja


Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Berapakah sebenarnya harga remaja

yang bersih

dari gelodak kecewa

bagai kehijauan daun

bagai kesegaran pohon

di pinggir perjalanan ini?


Dengan apakah akan kaupenuhi

piala remajamu

adakah cuka kesangsian

dari cinta maruah

atau madu ajaran

dari ilmu susah


Remaja amat mahal

sesungguhnya

tiada terbeli oleh perjanjian

harga remaja adalah pendirian

keberanian dan ilmu


Penuhilah remajamu

dengan ketentuan tuju


Rahman Shaari

(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)



Bahagian Latihan:


"Penuhilah remajamu

dengan ketentuan tuju"

Latihan 1: Berikan maksud rangkap pada petikan di atas



Latihan 2: Pada pandangan anda, apakah kesan yang berlaku sekiranyan remaja gagal mengisi usia remajanya dengan perkara-perkara yang berfaedah. Sila nyatakan empat kesan tersebut.



Latihan 3: Jelaskan tiga mesej penyajak kepada remaja seperti yang terkandung dalam rangkap ketiga sajak “Harga Remaja”.

Wednesday, February 24, 2010

ANTOLOGI HARGA REMAJA (Latihan Tambahan Semasa Cuti Maulidur Rasul)


Arahan: Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


“Abang tak mahu pergi kebun?” Apa kata abang pergi sebelum abang jadi ahli korporat nanti,” rayu Mikraj.

“Tak perlu!” Israk mengayun kata-kata.
“Mengapa? Abang takut nyamuk? Agas? Atau seram dengan nyanyian cengkerik? Mengapa abang terlalu berlagak akhir-akhir ini?” Suara Mikraj makin lama makin meninggi.

Israk menarik nafas dalam-dalam, dan berkata, “Mengapa kau terlalu menjaga tepi kain orang?”

“Saya kasihan melihat Wah. Abang menghina, mengeji, menyakiti Wah. Paha kanan tercubit paha kiri turut berasa sakit. Abang sedar tak, Wah lebih tua daripada abang!”

“Aku cukup pantang kalau diherdik oleh budak kecil!”

“Saya ajak pa dan ma bawa abang balik kampung semata-mata mahu abang mengenali Wah yang membela abang sejak berusia satu hari lagi. Abang tahu, Wah benar-benar terhiris sewaktu atuk “Perth” bawa abang lari. Sejak itu abang langsung tak mengenali Wah. Saya mahu abang belajar erti kepayahan, kekecewaan, dan ketabahan seorang wanita. Wah orangnya ...,” butir bicara Mikraj diiringi mutiara mata.

“Sudah hujan,” perli Israk.
“Abang jangan terkejut kalau saya mampu membuat abang menangis nanti!”

Israk bersahaja. Dia mencapai gitarnya lalu lagu sumbang itu kembali beralun. Perasaan meluat mula bersarang dalam kalbu Mikraj. Kalau tersilap jolok, pasti terjolok sarang itu. Bahaya.

(Dipetik daripada “Israk” oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka.)

Latihan:

1)Mengapakah Israk sepatutnya menghormati Wah?

2)Pada pendapat anda, wajarkah seseorang memberikan nasihat kepada orang yang lebih tua daripadanya?

3)Berikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan dua pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.



Jangan kita lupa akan kasih dan jasa mereka yang jauh di mata...


Selamat Menyambut Hari Maulidur Rasul 1431 Hijrah.

Friday, February 19, 2010

LATIHAN ANTOLOGI HARGA REMAJA


Antologi Harga Remaja

Puisi Tradisional

Pantun Empat Kerat (Budi)



ARAHAN: Sila baca pantun dibawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan latihan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri. AYAT ANDA SENDIRI!


Terang bulan terang di paya,

Anak kambing memakan rumput;

Jika tak kenang kepada saya,

Nama yang baik tidak tersebut.


Anak merak mati tersangkut,

Mati dipanah Seri Rama;

Resam di dunia juga disebut,

Orang yang mati meniggalkan nama.


Anak itik terenang-renang,

Air pasang tenang-tenangan;

Budi sedikit bila kan hilang,

itu menjadi kenang-kenangan.


Anak ikan berlima-lima,

Mati ditimpa punggur berdaun;

Kasih tuan saya terima,

Sebagai hutang seribu tahun.


(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)



Latihan


1) Berikan maksud “sebagai hutang seribu tahun"_______________________________________________________________


2) Kemukakan pandangan anda tentang tiga kebaikan yang diperoleh orang yang berbudi atau berjasa_______________________________________________________________


3) Huraikan dua nilai yang terdapat dalam Pantun Empat Kerat (Budi)________________________________________________________________