Monday, September 27, 2021
TEMA DOKUMEN STANDARD KURIKULUM DAN PENTAKSIRAN (DSKP)
TEMA DOKUMEN STANDARD KURIKULUM DAN PENTAKSIRAN (DSKP)
1. Kesihatan dan Kebersihan
Tema kesihatan dan kebersihan merujuk kepada kesempurnaan dari segi kesihatan fizikal, mental dan sosial. Tema ini diajarkan supaya murid mendapat pendedahan awal berkaitan dengan penjagaan kebersihan dan kesihatan serta amalan gaya hidup sihat.
Tema keselamatan
merujuk kepada keupayaan berlindung daripada bahaya dalam pelbagai
persekitaran. Tema ini diajarkan supaya murid melengkapkan diri dengan
pengetahuan tentang keselamatan diri dan sekitaran sosial yang lain.
Tema perpaduan
merujuk kepada kepentingan hubungan erat yang berasaskan toleransi dalam
kalangan penduduk Malaysia serta komuniti serantau dan antarabangsa. Tema ini
diajarkan kepada murid dalam usaha memupuk semangat perpaduan.
Tema kebudayaan,
kesenian dan estetika merujuk kepada citra masyarakat pelbagai kaum di Malaysia
yang meliputi adat, seni dan budaya. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid
agar kehalusan seni budaya ini dapat dihayati oleh murid sebagai asas
pembentukan jati diri warga Malaysia.
Tema jati diri
patriotisme dan kewarganegaraan merujuk kepada penzahiran keperibadian insan
yang seimbang dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani serta mempunyai
semangat juang dan sanggup berkorban demi negara. Tema ini sesuai diajarkan
kepada murid untuk melahirkan masyarakat madani yang mempunyai semangat
kekitaan dan setia kepada negara.
Tema
sains, teknologi dan inovasi merujuk kepada ilmu pengetahuan yang sistematik
yang boleh diuji dan dibuktikan kebenarannya. Antara bidang yang berkaitan
dengan tema ini ialah aeroangkasa, bioteknologi dan kejuruteraan. Tema ini
diajarkan supaya murid dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran sains
dan teknologi, untuk meneroka dan menjana idea kreatif serta berupaya untuk
mencipta sesuatu yang berinovasi.
Tema alam sekitar
dan teknologi hijau merujuk kepada penjagaan dan pelestarian alam sekitar demi
kesejahteraan kehidupan manusia, haiwan serta tumbuhan bagi kelangsungan
kehidupan generasi akan datang. Tema ini diajarkan agar murid cinta, prihatin
dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan teknologi hijau.
Tema pertanian,
penternakan dan perikanan memberikan pendedahan tentang kegiatan bercucuk
tanam, berternak dan menangkap hasil laut secara tradisional dan moden. Tema
ini diajarkan untuk memupuk kesedaran murid tentang kepentingan bidang
pertanian, penternakan, perikanan dan perniagaan tani dalam kehidupan.
Tema ekonomi
merujuk kepada bidang perniagaan dan keusahawanan dalam menjana pendapatan negara
dan pengurusan perdagangan. Melalui tema ini, murid dapat meneroka perkembangan
ekonomi dalam negara. Melalui tema pengurusan kewangan, murid diberi pendedahan
tentang kepentingan serta kaedah pengurusan kewangan yang betul dan terancang.
Tema pelancongan
memperkenalkan pelbagai dimensi industri pelancongan seperti agropelancongan,
pelancongan sukan, ekopelancongan atau pelancongan kesihatan. Melalui tema ini
murid diberikan pendedahan tentang sumbangan pelancongan kepada negara.
Tema
sukan dan rekreasi merujuk kepada kegiatan yang memerlukan ketangkasan,
kemahiran serta tenaga bersifat fizikal untuk kecergasan dan kecerdasan. Tema
ini diajarkan untuk menimbulkan minat dan menggalakkan pelibatan murid dalam
sukan dan rekreasi dalam usaha melahirkan warga Malaysia yang sihat dan cergas.
Tema perindustrian
merujuk kepada perusahaan membuat, menghasilkan dan mengeluarkan barangan
ringan dan berat. Tema ini diajarkan untuk memberikan kesedaran kepada murid
tentang pembangunan industri dan kepentingan perindustrian sebagai sumber
ekonomi negara.
Tema pendidikan
merangkumi cara untuk memperoleh maklumat sebagai sebahagian tugasan
pembelajaran atau bahan yang dibaca untuk tujuan pendidikan. Melalui tema ini,
murid berupaya untuk memahami, mentafsir, mengintegrasikan maklumat, menilai
dan membuat refleksi terhadap sesuatu bahan. Tema ini diajarkan kepada murid
untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dan
kesediaan menghadapi kehidupan sebenar sebagai ahli masyarakat.
Tema bahasa dan
kesusasteraan merangkumi pelbagai isu bahasa dan kesusasteraan Melayu dalam
negara. Tema ini diajarkan kepada murid untuk mewujudkan kecintaan terhadap
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menghayati dan menikmati
keindahan bahan sastera Melayu.
Tema kerjaya
merujuk kepada profesion atau pekerjaan dalam sesuatu lapangan yang dipilih
sebagai cara memperoleh sumber pendapatan. Tema ini diajarkan untuk mendorong
dan memotivasikan murid dalam membuat pilihan kerjaya yang sesuai dengan
keupayaan, bakat dan minat murid.
Tema
integriti merujuk kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan
bermoral tinggi, keselarasan antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan
undang-undang serta keselarasan antara kepentingan diri dengan kepentingan
umum. Tema ini dapat memupuk kesedaran murid untuk bertindak mengikut
lunas-lunas yang ditetapkan oleh agama dan moral agar menjadi masyarakat yang
bertamadun demi kemajuan negara.
Tema
pentadbiran dan politik merujuk kepada kejujuran, keikhlasan, kesempurnaan dan
keutuhan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab. Tema ini diajarkan supaya
murid memperoleh pengetahuan dan kefahaman tentang asas sistem pentabiran dan
politik negara, serta yang berkaitan dengan urus tadbir.