Monday, September 27, 2021

TEMPLATE PENULISAN RANCANGAN PELAJARAN HARIAN

 



TEMA DOKUMEN STANDARD KURIKULUM DAN PENTAKSIRAN (DSKP)

 

TEMA DOKUMEN STANDARD KURIKULUM DAN PENTAKSIRAN (DSKP)


1. Kesihatan dan Kebersihan

Tema kesihatan dan kebersihan merujuk kepada kesempurnaan dari segi kesihatan fizikal, mental dan sosial. Tema ini diajarkan supaya murid mendapat pendedahan awal berkaitan dengan penjagaan kebersihan dan kesihatan serta amalan gaya hidup sihat.

 2. Keselamatan 

Tema keselamatan merujuk kepada keupayaan berlindung daripada bahaya dalam pelbagai persekitaran. Tema ini diajarkan supaya murid melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang keselamatan diri dan sekitaran sosial yang lain.

 3. Perpaduan 

Tema perpaduan merujuk kepada kepentingan hubungan erat yang berasaskan toleransi dalam kalangan penduduk Malaysia serta komuniti serantau dan antarabangsa. Tema ini diajarkan kepada murid dalam usaha memupuk semangat perpaduan.

 4. Kebudayaan, Kesenian dan Estetika 

Tema kebudayaan, kesenian dan estetika merujuk kepada citra masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang meliputi adat, seni dan budaya. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid agar kehalusan seni budaya ini dapat dihayati oleh murid sebagai asas pembentukan jati diri warga Malaysia.

 5. Jati diri, Patriotisme dan Kewarganegaraan 

Tema jati diri patriotisme dan kewarganegaraan merujuk kepada penzahiran keperibadian insan yang seimbang dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani serta mempunyai semangat juang dan sanggup berkorban demi negara. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid untuk melahirkan masyarakat madani yang mempunyai semangat kekitaan dan setia kepada negara.

 6. Sains, Teknologi dan Inovasi 

Tema sains, teknologi dan inovasi merujuk kepada ilmu pengetahuan yang sistematik yang boleh diuji dan dibuktikan kebenarannya. Antara bidang yang berkaitan dengan tema ini ialah aeroangkasa, bioteknologi dan kejuruteraan. Tema ini diajarkan supaya murid dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran sains dan teknologi, untuk meneroka dan menjana idea kreatif serta berupaya untuk mencipta sesuatu yang berinovasi.

  7. Alam Sekitar dan Teknologi Hijau 

Tema alam sekitar dan teknologi hijau merujuk kepada penjagaan dan pelestarian alam sekitar demi kesejahteraan kehidupan manusia, haiwan serta tumbuhan bagi kelangsungan kehidupan generasi akan datang. Tema ini diajarkan agar murid cinta, prihatin dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan teknologi hijau.

 8. Pertanian Penternakan dan Perikanan 

Tema pertanian, penternakan dan perikanan memberikan pendedahan tentang kegiatan bercucuk tanam, berternak dan menangkap hasil laut secara tradisional dan moden. Tema ini diajarkan untuk memupuk kesedaran murid tentang kepentingan bidang pertanian, penternakan, perikanan dan perniagaan tani dalam kehidupan.

 9. Ekonomi, Keusahawanan dan Pengurusan Kewangan 

Tema ekonomi merujuk kepada bidang perniagaan dan keusahawanan dalam menjana pendapatan negara dan pengurusan perdagangan. Melalui tema ini, murid dapat meneroka perkembangan ekonomi dalam negara. Melalui tema pengurusan kewangan, murid diberi pendedahan tentang kepentingan serta kaedah pengurusan kewangan yang betul dan terancang.

 10. Pelancongan 

Tema pelancongan memperkenalkan pelbagai dimensi industri pelancongan seperti agropelancongan, pelancongan sukan, ekopelancongan atau pelancongan kesihatan. Melalui tema ini murid diberikan pendedahan tentang sumbangan pelancongan kepada negara.

 11. Sejarah dan Warisan

 Tema sejarah dan warisan merangkumi unsur warisan seni bina, tinggalan sejarah, seni pertahanan diri, peralatan, makanan, pakaian dan permainan tradisional. Melalui tema ini sikap menghargai sejarah dan seni warisan bangsa dapat dipupuk.

 12. Sukan dan Rekreasi 

Tema sukan dan rekreasi merujuk kepada kegiatan yang memerlukan ketangkasan, kemahiran serta tenaga bersifat fizikal untuk kecergasan dan kecerdasan. Tema ini diajarkan untuk menimbulkan minat dan menggalakkan pelibatan murid dalam sukan dan rekreasi dalam usaha melahirkan warga Malaysia yang sihat dan cergas.

 13. Perindustrian 

Tema perindustrian merujuk kepada perusahaan membuat, menghasilkan dan mengeluarkan barangan ringan dan berat. Tema ini diajarkan untuk memberikan kesedaran kepada murid tentang pembangunan industri dan kepentingan perindustrian sebagai sumber ekonomi negara.

 14. Pendidikan 

Tema pendidikan merangkumi cara untuk memperoleh maklumat sebagai sebahagian tugasan pembelajaran atau bahan yang dibaca untuk tujuan pendidikan. Melalui tema ini, murid berupaya untuk memahami, mentafsir, mengintegrasikan maklumat, menilai dan membuat refleksi terhadap sesuatu bahan. Tema ini diajarkan kepada murid untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dan kesediaan menghadapi kehidupan sebenar sebagai ahli masyarakat.

 15. Bahasa dan Kesusasteraan 

Tema bahasa dan kesusasteraan merangkumi pelbagai isu bahasa dan kesusasteraan Melayu dalam negara. Tema ini diajarkan kepada murid untuk mewujudkan kecintaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menghayati dan menikmati keindahan bahan sastera Melayu.

 16. Kerjaya 

Tema kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan dalam sesuatu lapangan yang dipilih sebagai cara memperoleh sumber pendapatan. Tema ini diajarkan untuk mendorong dan memotivasikan murid dalam membuat pilihan kerjaya yang sesuai dengan keupayaan, bakat dan minat murid.

 17. Integriti 

Tema integriti merujuk kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi, keselarasan antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang serta keselarasan antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. Tema ini dapat memupuk kesedaran murid untuk bertindak mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh agama dan moral agar menjadi masyarakat yang bertamadun demi kemajuan negara.

 18. Pentadbiran dan Politik 

Tema pentadbiran dan politik merujuk kepada kejujuran, keikhlasan, kesempurnaan dan keutuhan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab. Tema ini diajarkan supaya murid memperoleh pengetahuan dan kefahaman tentang asas sistem pentabiran dan politik negara, serta yang berkaitan dengan urus tadbir.

 

DOKUMEN STANDARD KURIKULUM DAN PENTAKSIRAN (DSKP) TINGKATAN 4 DAN 5



PAUTAN DSKP : shorturl.at/jCGHM