Wednesday, March 6, 2013
NUKILAN WIRA MALAYSIA: Lt. Kolonel Mohd. Mokhtar Bin Haji Daud, Regimen Perisikan Komando Gerak Khas. (Ex- EC MSAB)
Tuesday, August 14, 2012
Ucapan Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1433 Hijrah.
Thursday, November 3, 2011
Sungai Seine: Nadi Utama Paris Yang Penuh Misteri...
Hargai zaman sekolah anda, hargai guru-guru anda agar anda akan beroleh berkat kejayaan usaha mereka.
Sumbangan daripada Encik Zaril (GIMD France).
Laman SPM Bahasa Melayu mengucapkan terima kasih &
Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada beliau dan keluarga.
Friday, May 7, 2010
Kasih Ibu Sepanjang Jalan.
Monday, March 15, 2010
Tips Penulisan Karangan Galus SPM: Ayat Nafi

Ayat nafi ialah ayat transformasi yang dalamnya terdapat kata nafi. Kata nafi yang dimaksudkan ialah bukan dan tidak. Dalam bahasa harian, atau bahasa basahan, yakni bahasa yang tidak baku, kata nafi tidak disebut juga sebagai tak.
Kata nafi bukan digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa nama menjadi predikatnya. Empat ayat yang berikut ini bukan ayat nafi melainkan ayat tunggal dengan binaan konstituennya bersusunan biasa, iaitu frasa subjek mendahului frasa predikat. Perhatilah ayat-ayat contoh yang berikut ini:
1. Itu kenderaan.
2. Kenderaan itu feri.
3. Beliau Hamuni.
4. Orang muda itu pengarah.
Dalam ayat (1) hingga (4), itu, kenderaan itu, beliau, dan orang muda itu ialah subjek. Kesemuanya frasa nama belaka. Itu ialah kata ganti nama tunjuk, kenderaan kata nama am, beliau kata ganti nama diri ketiga tunggal, dan orang muda itu ialah frasa nama dengan orang sebagai inti sementara muda kata penerang yang diikuti pula oleh kata penentu itu. Kenderaan (ayat 1), feri (ayat 2), Hamuni (ayat 3), dan pengarah (ayat 4) ialah predikat. Kesemua predikat ayat-ayat tersebut terdiri daripada frasa nama belaka.
Ayat-ayat (1) – (4) dapat dijadikan ayat nafi dengan cara menyisipkan kata nafi bukan di hadapan unsur predikat. Lihatlah ayat (5) – (8) yang berikut ini:
5 . Itu / bukan kenderaan.
6. Kenderaan itu / bukan feri.
7. Beliau / bukan Hamuni.
8. Orang itu / bukan pengarah.
Kata nafi tidak pula digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa adjektif atau frasa kerja bertugas sebagi predikat ayat. Contohnya:
9. Wajahnya / tidak cantik.
10. Pelajar itu / tidak takut.
11. Murid sekolah / tidak berjalan.
12. Lim / tidak membaca puisi.
Dalam ayat (9) dan (10), kata nafi tidak mendahului kata adjektif cantik dan takut, manakala dalam ayat (10) dan (11), kata kerja berjalan dan membaca puisi didahului oleh kata nafi tidak.
Kata nafi bukan atau tidak dapat juga digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa sendi menjadi predikat menurut kesesuaiannya. Misalnya:
13. Ismail bukan dari Kelantan.
14. Bingkisan ini bukan untuk Wati.
15. Marang bukan di negeri Pahang.
16. Mereka tidak di sini.
17. Selina tidak di pejabat.
Harus diingat bahawa kata nafi tidak tidak boleh digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa nama menjadi predikat ayat. Hal ini dapat dilihat daripada ayat contoh yang berikut:
18. * Dia tidak polis.
(seharusnya: Dia bukan polis.)
19. *Binatang itu tidak musang.
(seharusnya: Binatang itu bukan musang.)
Kata nafi bukan pula tidak boleh digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa adjektif atau frasa kerja menjadi predikatnya. Misalnya:
20. *Peti itu bukan berat.
(seharusnya: Peti itu tidak berat.)
21. *Umi bukan makan.
(seharusnya: Umi tidak makan.)
22. * Murid itu bukan menulis karangan.
(seharusnya: Murid itu tidak menulis karangan.)
Kata nafi bukan digunakan untuk frasa-frasa yang lain daripada frasa nama hanya jika maksudnya adalah untuk menekankan pertentangan secara lebih jelas. Contohnya:
23. Dia bukan takut, tetapi pemalu.
24. Ayah bukan makan, tetapi minum.
25. Dia bukan membantah, tetapi memberikan saranan.
Demikian huraian ringkas tentang pembentukan ayat nafi Bahasa Melayu.
Sunday, September 13, 2009
CARA ORANG MELAYU DAHULU BERHARI RAYA
SEBELUM kedatangan sebarang agama ke Alam Melayu, penduduk di rantau ini seperti juga di lain-lain tempat di Asia Tenggara menganut kepercayaan alam semangat, maknanya semua benda dipercayai ada semangatnya, pokok, binatang dan lain-lain.
Maka semangat paling utama ialah pada padi. Tanpa beras, orang Melayu akan mati.
Justeru perayaan paling besar tentunya ketika menyambut hari menuai padi. Seperti mana hari perayaan pribumi Sarawak, Sabah dan Orang Asli, maka begitu jugalah apa yang dilakukan oleh orang Melayu dan semua kaum di Nusantara.
Dipanggil sambutan ini sebagai Hari Raya kerana ia merujuk kepada kebesaran sesuatu perayaan. Ia merupakan hari meraikan atau merayakan kejayaan penanaman padi. Tetapi cara hidup orang Melayu kemudian berubah apabila mereka bukan saja menjadi masyarakat petani tetapi juga menjadi bangsa berdagang. Mereka mampu membina kapal-kapal besar untuk berlayar. Menjadi bangsa maritim bermula dengan keupayaan orang Melayu mewujudkan kerajaan di pesisiran pantai dan kuala sungai. Mereka membina pelabuhan bagi menarik kunjungan kapal-kapal dagang dari China, India, Parsi dan Arab.
Di sinilah munculnya kerajaan Sri Wijaya. Daripada kunjungan kapal-kapal ini, maka agama Hindu pun bertapak di alam Melayu. Sebagai bangsa maritim, orang Melayu sudah tidak lagi menyambut hari menuai sebagai hari kebesarannya yang utama. Dengan beragama Hindu, orang Melayu turut menyambut hari Perayaan Cahaya mengatasi Kegelapan. Dalam sambutan Diwali atau Deepavali, lampu-lampu dipasang di keliling rumah. Suatu amalan Hari Raya yang kini sudah menjadi sebahagian daripada budaya Melayu.
Merantau
Orang Melayu kuat merantau. mereka berlayar di sekitar kepulauan Melayu. Walaupun terdiri daripada banyak kerajaan, tetapi Nusantara adalah Dunia Melayu.
Maka setiap Hari Raya, mereka akan balik ke kampung halaman seboleh mungkin untuk menemui ibu, bapa dan sanak saudara. Amalan balik kampung menjadi suatu kemestian semasa Hari Raya kini terus diamalkan oleh orang Melay.
Amat menarik untuk mengetahui bagaimanakah orang Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika mula memeluk agama Islam.
Cuba bayangkan bagaimana orang Melayu Zaman Kesultanan Melaka menyambut Hari Raya. Lebih-lebih lagi pada tahun pertama mereka memeluk Islam. Tentu sukar bagi istana Melaka, apatah lagi rakyatnya berpuasa.
Bagaimanakah pihak istana membuat keputusan untuk menjadikan Hari Raya Aidilfitri sebagai Hari Raya bagi orang Melayu? Mengapa mereka memilih Hari Raya Puasa dan bukannya Hari Raya Haji?
Dalam ibadat, dikatakan orang Melayu lebih menekankan tentang puasa berbanding ibadat lain. Pendakwah berjaya meyakinkan keseluruhan masyarakat Melayu supaya berpuasa, bertarawih dan mengharapkan Lailatul Qadar. Maka Hari Raya menjadi begitu bermakna bagi orang Melayu dengan dikaitkan dengan kejayaan beribadat puasa.
Pada Hari Raya pula, ulama Melayu dahulu membuat keputusan untuk mengambil takbir raya yang bernada syahdu. Hal ini sedemikian kerana di lain-lain tempat, takbir mereka bernada semangat juang kerana takbir itu berasal daripada laungan semasa Perang Badar, yang kemudian diabadikan dalam sambutan meraikan kemenangan perang itu.
Bagi orang Melayu di Nusantara, nada takbir adalah berbentuk sayu dan sedih mengenangkan sanak saudara yang sudah tiada atau pergi tidak kembali. Hal ini kerana bagi masyarakat Melayu, balik kampung waktu Hari Raya adalah penting. Jika tidak dapat balik, maka si ibu atau bapa akan teringatkan anaknya terutama semasa takbir yang bernada sedih dan sayu.
Nota guru: Untuk artikel asal, anda boleh melayarinya di SINI.
Friday, August 14, 2009
SESAL DAHULU PENDAPATAN, SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA

Penipuan Jurutera Komputer
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Dunia memang penuh dengan penipuan, ada penipuan yang dapat kita jangkakan, ada pula penipuan yang tidak dijangkakan. Berita yang disiarkan oleh Five TV UK semalam, menarik saya untuk mencoretkan sedikit nasihat kepada pembaca berkenaan penipuan serius yang dilakukan oleh kedai-kedai baiki komputer. Laporan dan kajian yang dilakukan adalah di beberapa buah kedai di London, tetapi saya yakin perkara mungkin sahaja berlaku di tempat lain khususnya Malaysia.
Menurut laporan itu, pihak penyiasatan sengaja merosakkan sedikit komputer mereka dengan melonggarkan internal cip memori (amat mudah untuk dibaiki). Kemudian, menyerahkannya ke beberapa buah kedai komputer untuk proses baikpulih.
Yang menarik, pada masa yang sama, mereka memasang sejenis alat khusus tersembunyi di komputer masing-masing berupa kamera, yang boleh merakam wajah juruteknik di hadapan skrin komputer dan juga apa-apa sahaja page yang ditekan oleh juruteknik tersebut.
Keputusan yang diperolehi amat mengejutkan iaitu :-
1. Hanya satu kedai yang jujur berterus terang memberitahu hanya kerosakan kecil dan dibaiki tanpa bayaran.
2. Semua kedai lain (hampir 5 buah), didapati membuka fail peribadi pemilik computer, melihat gambar peribadi pemilik computer, malah lebih dahsyat mereka turut menyalin sebahagian gambar dan maklumat peribadi.
3. Mereka juga cuba berkali-kali untuk akses ke laman perbankan internet (internet banking) yang digunakan oleh pemilik komputer, tetapi gagal kerana di dalam kes ini komputer yang dihantar adalah dirancang dan pemilik sengaja memasukkan butiran palsu.Hal ini bermakna jika orang biasa yang kerap memasuki perbankan internet (internet banking) melalui komputer kita yang rosak ini, maka dengan mudah pihak juruteknik komputer boleh mencuri segala maklumat, malah boleh mengakses akaun bank kita juga.
4. Mereka juga boleh mengakses segala akaun email dan sebagainya kerana kata laluan kita yang boleh diperolehi daripada komputer kita.
5. Mereka juga didapati menipu pelanggan apabila mengatakan kerosakan serius, ada yang mencadangkan pelanggan agar menukar motherboard computer yang bernilai GBP 130 (RM750), sedangkan pihak penyiasat sengaja melonggar satu memori cip sahaja. Bayangkan bagaimana penipuan sebegini dengan mudah berlaku dalam industri pembaikpulihan komputer. Dalam kes ini, dua pihak telah membayar "refund" kepada pihak penyiasatan apabila penipuan mereka dibongkarkan sejurus selepas itu. Malangnya, syarikat yang menipu bukan hanya syarikat kecil tetapi termasuk syarikat gergasi seperti PC World!.
Berdasarkan laporan di atas, saya suka menasihatkan orang ramai agar berfikir panjang dan membuat pilihan sebaik-baiknya sebelum menghantar komputer atau komputer riba anda untuk dibaik pulih.
Anda mungkin tiada gambar peribadi seksi yang ingin dirisaukan, tetapi bagaimana dengan maklumat perbankan internet, email, facebook dan sebagainya?
Jika ada peniaga, mekanik atau juruteknik komputer yang membaca tulisan ini, sedarlah segala tindakan tersebut adalah haram di sisi Islam, dan segala keuntungan hasil penipuan juga haram.
Seseorang peniaga mungkin dengan mudah boleh memperolehi keuntungan ganda hasil menukar benda yang tidak perlu, tetapi hal ini merupakan satu penipuan yang hanya melayakkan seseorang untuk berada di neraka Allah swt. Hal yang sama juga mungkin berlaku semasa kita membaiki kereta, ditukarnya benda yang tidak rosak atau sengaja dirosakkan bahagian yang tidak rosak agar boleh mendapat caj yang lebih.
Beringat-ingatlah..
Bagi mereka yang berminat untuk menonton gelagat penipu komputer, SILA BUKA DI LINK BERIKUT . Gelagat ini disiarkan di berita utama Channel Five TV, United Kingdom.
Sekian
24 Julai 2009
Wednesday, August 5, 2009
KEPENTINGAN MENGUASAI BAHASA ASING
Tempat: Chiba Japan.
“Aduh habislah aku! Sesat habis dah!”, saya berkata kepada diri sendiri sambil berdiri di tengah-tengah kesibukan pagi kawasan pasar Tsukiji Chiba. Hanya 48 jam sebelum itu saya masih lagi berada di kampung halaman di damai permai Kedah dan kini saya sesat seorang diri dalam lautan kesibukan manusia yang seorang pun tak faham apa saya cakap dan saya juga tak faham apa mereka cakap! Bayangkan jika anda yang berada di tempat saya ketika itu, baru berumur 23 tahun dan sedang menggalas beg buku berat, tak cukup tidur akibat jam yang cepat dua jam ke hadapan, dengan bekalan kewangan yang sangat terhad dan kesejukan dengan kasut nipis yang dibeli di Jalan Tuanku Abdul Rahman KL dan sudah dua hari tak dapat makan nasi dengan sambal tumis. “Mak!...” Nak menangis pun ada juga sikit (sikit sahaja).
Saya perlu ke University Tokyo di Bunkyo dan akibat sesat saya sendiri tidak tahu macam mana saya telah lepas masuk ke kawasan pasar ini, dan saya juga dah tak tahu macam mana nak keluar dari kawasan pasar Tsukiji Chiba yang sangat besar ini ke jalan raya supaya paling tidak pun saya boleh tahan teksi untuk ke sana. Saya melihat seorang wanita pertengahan umur yang menjual makanan di warung berdekatan memandang saya dengan rasa simpati. Saya berasa lega dan bergegas kepadanya seolah terjumpa semula dengan seorang makcik yang dah lama tak berjumpa. Sambil memicit kepala saya sendiri, saya kemudian bertanya kepada beliau “Excuse me Auntie, tasukete please, please I need go to Bunkyo - Tokyo daigaku, where can get taxi, taxi, T-A-X-I”. Wanita tadi tersenyum sambil berkata “Hait dozo! Chyotto matte taksi san”. Beliau hilang selama beberapa minit sebelum muncul semula dengan segelas air suam dan sebiji ubat Tylenol untuk pening kepala. Astagfirullahnak’azim, habislah macam ni. Saya ambil ubat dan telan saja dengan air suam tadi tanpa banyak cakap lagi. Inilah akibat tidak memberi perhatian semasa belajar di dalam kelas bahasa Jepun sewaktu di Kuala Lumpur sebelum kami berlepas ke Jepun.
Kira tiga bulan kemudian setelah siang dan malam saya berhempas pulas mempelajari Nihonggo dan Katakana, saya fasih bertutur dan menulis dalam bahasa mereka sehingga ke hari ini. Apabila saya sudah fasih berbahasa Jepun, saya dapat memberikan tumpuan yang lebih mendalam ketika di dalam waktu kuliah. Saya juga dapat menyertai kumpulan belajar “study group” apabila di ambang peperiksaan dan hasilnya keputusan saya bertambah baik. Saya berupaya menterjemahkan dengan jelas dan efektif segala konsep dan idea daripada minda saya ke saluran pertuturan dan penulisan saya dengan lebih cepat, setara dengan orang Jepun sendiri.
Selepas tamat belajar dengan keputusan saya yang boleh dikira agak cemerlang saya mendapat tawaran untuk bertugas dengan sebuah syarikat broker kewangan di Tokyo. Sewaktu bertugas saya fasih berfikir, bertutur dan berkomunikasi sepenuhnya dengan menggunakan bahasa Jepun. Hasil daripada ini Ketua Jabatan saya telah memberikan penghormatan dan kepercayaan yang tinggi kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab syarikat. Di sini saya telah mengaplikasikan apa yang saya pelajari ketika bersekolah di desa dahulu, iaitu sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh, pamerkan kegigihan dan keikhlasan ketika melakukan kerja. Hasilnya saya telah mendapat kenaikan pangkat dalam masa setahun berbanding dengan dua tahun dalam situasi biasa.
Setelah hampir lima tahun berkhidmat dengan mereka, syarikat tersebut telah membuka cawangan di Kuala Lumpur dan saya telah dihantar balik untuk memulakan operasi mereka bagi rantau ini.
Minat saya untuk mempelajari bahasa asing juga tidak saya persiakan. Hari ini saya juga telah mempelajari bahasa Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa Inggeris serta saya sedang mengambil kelas hujung minggu untuk mempelajari bahasa Korea. Kini saya boleh melawati banyak laman sesawang dalam banyak jenis bahasa tanpa perlu menggunakan fungsi alih-bahasa di komputer saya. Minat ini juga saya terapkan kepada anak-anak saya semenjak dari kecil lagi.
Jika kita berjaya menguasai bahasa asing, hasilnya kita akan boleh meluaskan minda pengetahuan kita dan kita juga boleh membaca dalam bahasa asing, memahami dengan pantas dan juga kita akan mampu membentangkan fakta serta pemikiran minda kita dengan lebih jelas lagi. Dari segi peribadi pula, kita akan mempunyai jaringan persahabatan yang lebih luas dan berpengetahuan lagi. Oleh itu, pelajari daripada hari ini bahasa asing demi untuk kebaikan anda semua. Mempelajari bahasa asing sebenarnya tidak akan melemahkan kita, akan tetapi sebaliknya kita akan mendapat 1001 kekuatan baru daripadanya. Kita jadi lebih istimewa, unik dan menonjol jika dibandingkan dengan orang yang tidak tahu berbahasa asing. Peluang pekerjaan kita juga jauh lebih tinggi daripada calon biasa yang hanya boleh bertutur dalam dua bahasa sahaja.
Melalui laman sesawang SPM Bahasa Melayu MSAB (EC) rakan lama saya ini, saya berharap saya telah dapat serba sedikit membuka minda dan memberikan keyakinan kepada anak-anak semua untuk mempelajari bahasa asing dengan tekun sehingga mencapai tahap penguasaan fasih membaca, menulis dan pembentangan fakta.
Bak kata pepatah Arab lama: “Man jadda wa jadda - Sesiapa yang berusaha pasti berjaya.”
Ikhsan perbualan telefon kami bersama Pakcik Mansor (KL).
Diedit oleh Mohd. Naquib dan Sha-Mir.
Sunday, August 2, 2009
PENGARUH SISTEM TELEKOMUNIKASI MODEN
PENGENALAN SISTEM TELEKOMUNIKASI MODEN
Dari segi perkembangan sistem telekomunikasi, teknologi telefon bimbit telah maju dengan pesat sejak awal 1990-an. Kini hampir semua individu, tidak kira tua atau muda, memiliki sebuah atau lebih telefon bimbit. Telefon bimbit hari ini juga digunakan untuk pelbagai tujuan dan aplikasi lain lagi daripada hanya sebuah alat komunikasi. Masyarakat moden kini banyak bergantung kepada pelbagai jenis teknologi untuk memudahkan penyelenggaraan sistem pengangkutan, pekerjaan dan perhubungan.
Bagaimanapun, dengan kesedaran kesihatan diri yang semakin meningkat, orang ramai mula menilai tentang kemungkinan wujud ancaman penyakit seperti kanser terhadap diri mereka akibat pendedahan terlalu lama kepada gelombang frekuensi radio (RF) telefon bimbit dan menara pemancar telekomunikasi yang dipasang berhampiran kediaman penduduk setempat. Seterusnya kita akan cuba mendalami isu-isu berkenaan dengan impak daripada penggunaan telefon bimbit dan teknologi telekomunikasi moden hari ini.
KESAN SISTEM TELEKOMUNIKASI MODEN ATAS KESIHATAN MANUSIA
Kajian yang dijalankan di beberapa buah negara Eropah semenjak daripada tahun 1999 lagi telah mengaitkan risiko ketumbuhan telinga dan otak akibat gelombang telefon bimbit.
Satu kajian yang dijalankan oleh sebuah institut penyelidikan perubatan di
Bagaimanapun, kajian itu tidak konklusif. Begitu juga dengan satu lagi kajian lain mengenai RF yang dijalankan di Jerman.Oleh itu kesahihan penemuan kajian adalah terbuka untuk pertikaian umum.
Namun, ramai saintis di Eropah menyarankan kanak- kanak perlu dielakkan daripada menggunakan telefon bimbit kerana kesannya kepada kesihatan muda mereka.
Apakah Gelombang RF ini? Setiap alat telekomunikasi wireles menggunakan gelombang RF untuk berkomunikasi. Gelombang RF (Radio Frequency) ini adalah dimensi yang wujud di antara spektrum cahaya dengan bunyi yang bergerak pada kadar 500Khz hingga ke 300Ghz. Berikut ialah senarai bagi jenis dan kegunaan Gelombang RF untuk pengguna sivil bukan ketenteraan (Sila klik pada senarai untuk penerangan teknikal lanjutan):
- 1.5-Way Paging (seperti alat kelui zaman 80’an dahulu)
- 1.7-Way Paging (seperti alat kelui berfungsi SMS juga bagi aplikasi penggera kereta)
- 1G (seperti rangkaian PCN 1800, GSM 1900 dan ATUR 900-1000)
- 2.5G (seperti perkhidmatan WAP, IP.V6, GPRS dan EDGE)
- 3G (seperti talian UMTS, UMTS4G yang beroperasi diatas platform JAVA)
- 711 ( telekomunikasi “relay” untuk bantuan golongan OKU pendengaran/penglihatan)
- 802.11 (Wireless Fidelity network atau “WiFi” disebut “WhyFee”)
KEPENTINGAN DAN KESAN SISTEM TELEKOMUNIKASI MODEN KEATAS EKONOMI NEGARA.
Kepentingan dan impak sistem telekomunikasi moden hari ini tidak dapat dinafikan lagi apabila kerajaan telah menubuhkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk menyelenggarakan segala aspek pembanggunan, penerapan dan pemantauan keatas penggunaan aplikasi telekomunikasi moden ini dalam masyarakat dan negara kita.
Teknologi komunikasi dan maklumat boleh ditakrifkan sebagai sebarang kaedah yang digunakan untuk memindah, menyebar dan memapar maklumat, baik secara biasa atau digital. Maklumat tersebut boleh wujud dalam pelbagai bentuk samada bentuk fizikal contohnya kertas dan buku, bentuk suara, paparan visual, pergerakan atau dalam kilobit. Perkembangan teknologi maklumat telah mencapai suatu tahap di mana ia mula menampakkan pengaruh tertentu di dalam kehidupan manusia terutamanya bagi penduduk bandar. Pada asalnya, teknologi ini wujud sebagai satu perantaraan untuk mengedarkan pelbagai jenis maklumat untuk tujuan yang berlainan. Contohnya bagi ketenteraan, perbankan, pengiklanan, pemberitahuan, telekomunikasi dan sebagainya. Namun lama kelamaan aplikasinya telah berkembang kehampir semua sektor urusan harian kita.
Peranannya sebagai agen perubahan tidak pernah berkurang tetapi semakin bertambah lebih-lebih lagi dengan kewujudan komputer serta internet. Dewasa ini, komputer dan internet telah berevolusi kepada bentuk yang menampakkan pengaruh yang lebih mendalam terhadap kehidupan manusia. Contohnya penggunaan rangkaian internet telah berupaya menyebabkan perubahan yang besar ke atas aspek fizikal, ekonomi dan sosial melalui globalisasi serta berkembangnya modal dan perniagaan antarabangsa kapitalis tanpa sempadan lagi. Sebagai contoh, anda kini boleh bermastautin di Malaysia tetapi menjalankan perniagaan melalui internet di Germany dan menerima pembayaran di Amerika Syarikat. Teknologi maklumat akan membezakan sebuah negara maju dengan sebuah negara sedang membangun. Tanpa kecanggihan teknologi maklumat kita tidak akan dapat menarik masuk pelabur asing ke negara kita.
Aspek fizikal yang dimaksudkan di atas termasuklah corak penggunaan ruang bandar, rangkaian lalulintas dan pengangkutan, ruang “virtual office” dan sebagainya. Dengan adanya konsep pejabat "virtual office" atau juga beroperasi melalui aplikasi SOHO daripada rumah-rumah persendirian, lama kelamaan ruang-ruang pejabat konvensional yang bercirikan kaki tangan, alatan perabot, tempat kerja, tempat letak kereta pekerja, sewa ruang pejabat dan juga apa-apa saja yang berkenaan akan terhakis dan mungkin juga pupus suatu hari nanti.
Di samping itu, aspek sosial pula meliputi cara dan corak berinteraksi, pergerakan manusia, aktiviti manusia, cara hidup manusia, kualiti hidup manusia, taraf kesihatan manusia dan lain-lain. Selain itu, rangkaian ‘internet’ juga membolehkan pelbagai urusan perniagaan dijalankan secara ‘digital’ dan ini mempunyai implikasi yang besar terhadap proses kitaran ekonomi dunia pada masa akan datang. Dengan hanya berbekalkan sebuah komputer riba dan talian internet, anda boleh menggerakkan jentera sosio di sebuah negara Eropah hanya dari ruang tamu rumah anda di Johor Bahru.
Pada hari ini sahaja, jumlah nilai kasar sistem telekomunikasi moden dunia telah melepasi USD1 Trillion.
Pada tahun 1998, negara kita telah dikejutkan dengan “penyangak matawang antarabangsa Yahudi George Soros”. George Soros adalah merupakan seorang Yahudi kaya yang bergiat aktif untuk menjatuhkan ekonomi dan politik mana-mana negara yang menjadi musuh kepada Amerika Syarikat dan Israel.
Modus Operandi George Soros adalah dengan cara membeli dengan banyak matawang sesebuah negara dan ini akan mengakibatkan nilai matawang tadi mengalami lonjakan akibat permintaan yang kelihatan tinggi dari bekalan, kemudian George Soros ini akan menjual kesemua matawang yang telah dibelinya dengan harga yang lebih tinggi daripada nilai belian. Apabila dengan secara mendadak limpahan ini masuk semula ke dalam pasaran matawang dunia, bekalan akan melepasi permintaan bagi matawang berkenaan dan akhirnya nilai matawang tersebut akan menjalani proses “devaluation” yang sangat ketara hingga akan mengakibatkan nilainya boleh hilang hampir 50% nilai dalam pasaran.
Fenomena ini memberikan impak yang negatif kepada sistem ekonomi sesebuah negara. Nilai matawang akan jatuh dan semua bentuk pembayaran hutang antara bangsa akan berganda, dan semua barangan kita akan gagal dijual pada peringkat antarabangsa apabila nilai kos pembikinan kita meningkat. Nilai rezab negara juga akan menyusut dengan teruknya.
Sila klik di sini untuk membaca tentang krisis mata wang Asia 1998.
Tanpa sebuah sistem telekomunikasi yang moden dan canggih, adalah mustahil untuk mana-mana penyangak matawang pun untuk melakukan misi mereka ini. Mereka memerlukan peralatan canggih dan sistem internet jalur lebar yang banyak untuk memberi arahan dan mengawal selia setiap sen/setiap saat pergerakan nilai pelaburan mereka tadi. Hal ini juga membolehkan kita mentakrifkan bahawa sistem telekomunikasi moden adalah juga merupakan salah sebuah cabang senjata ketenteraan moden dunia hari ini. Menyedari hakikat ini, kerajaan telah melengkapkan Angkatan Tentera Malaysia dan juga Polis Di-Raja Malaysia dengan unit “neuronet cyber” masing-masing untuk melindungi kepentingan negara kita daripada diserang oleh penyangak matawang lagi.
IMPAK NEGATIF SISTEM TEKNOLOGI MAKLUMAT KEPADA REMAJA
Program-program televisyen seperti yang memerlukan penyertaan penonton melalui platform SMS adalah merupakan sebuah modul ekonomi baru tidak lama dulu. Hampir semua saluran TV Malaysia mempunyai program berunsurkan penyertaan SMS penonton ini. Jumlah jutaan Ringgit
NATIJAHNYA
Setiap perbincangan di antara pro dengan kontra sebegini tidak mungkin akan ada noktah nya. Yang penting di sini adalah kesedaran daripada diri kita sendiri tentang niat kita menggunakan sistem teknologi informasi dan maklumat ini sendiri. Adakah untuk kebaikkan atau kemusnahan? Adakah untuk niat baik atau memuaskan nafsu jahat?
Seperti pepatah lama kita yang menyebut: “tepuk dada tanyalah selera”.
DBZ-Net Tuvie Technology







