Showing posts with label Sumbangan Pelajar Senior. Show all posts
Showing posts with label Sumbangan Pelajar Senior. Show all posts

Wednesday, March 6, 2013

NUKILAN WIRA MALAYSIA: Lt. Kolonel Mohd. Mokhtar Bin Haji Daud, Regimen Perisikan Komando Gerak Khas. (Ex- EC MSAB)




Assallamualaikum Sahabat2ku, diri ini mohon ampun & maaf di atas segala kesalahan yang telah aku lakukan dgn sengaja @ tidak sengaja, halal kan makan minum & jika diri ni ada berhutang dgn kalian, kalian tuntut lah dgn waris yang ku tinggalkan. Dan jika kalian ada berhutang dgn ku, diri ini menghalalkannya. Aku pohon kalian Doakan perjalanan ku menghadapi tugasan menghapuskan penceroboh, pemberontak & pengganas2 Askar Kesultanan Sulu musuh negara. Jika aku tiada lagi didunia ini, aku mohon kalian sedekahkan lah Surah Yassin & doakan lah semoga diri ini dan saudara2 ku yang sama2 gugur, tergolong dikalangan orang2 yang Mati Syahid & dirahmati ALLAH SWT. Ya ALLAH, kau lindungi diri ini, seluruh keluarga ku yang ku sayangi, sahabat2ku yang bersama-sama berjuang membebaskan bumi bertuah Malaysia ini. Ya ALLAH, Ya RAHMAN, Ya RAHIM kau pelihara lah & kau amankan lah bumi Malaysia Tanah Tumpah Darahku ini, Ya ALLAH!. Salam Terakhir dari saudara mu (Lt.Kolonel) Mohd Mokhtar Bin Haji Daud, Rejimen Perisikan Komando Gerak Khas (RGK), Kem Sultan Iskandar, Mersing, Johor. Dari Lahad Datu, Sabah 5 Mac 2013 Jam 23.50pm


9 Februari 2013, tanah kami kau langgar,
Dengan senjata, maruah kami kau cabar,
Dalam rundingan, kami bersabar,
Apa mungkin "saudaraku" perjuanganmu tersasar,
Kau degil, terus mencakar,
Perdamaian sudah semakin samar

1 Mac 2013, Hari Jumaat yang besar,
Darah saudara kami kau lapar,
Batang tubuhnya kau kelar,
Dibawa pulang keranda digandar,
Menangis si kecil, diminta bersabar,
Hilang sudah tempat bermanja, tempat bersandar

Satu Malaysia Mula Tersedar,
Kau bukannya saudara, malah musuh tegar,
Dari Padang Besar ke Daerah Papar,
Semboyan Keramat memanggil Pendekar

Kami sudah hilang sabar,
Pendekar melangkah tangan menggegar,
Mana musuh kami panggar, kami selongkar, kami bongkar,
Tidak bersisa kami langgar,
Berlembut kami kau salah anggar,
Ini bumi, tanah Pendekar

Rejimen Gerak Khas,
Kuala Lumpur
5 Mac 2013

Tuesday, March 20, 2012

Karangan: Memahami Konsep 1 Malaysia.



Untuk menjayakan wawasan 1 Malaysia, negara memerlukan orang yang berintegriti tinggi, bersifat jujur, berkebolehan, telus, ikhlas dan sikap amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. Oleh itu,kita harus bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Remaja yang cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang,mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada negara.Sebagai remaja yang berwawasan,kita harus bersikap muhibbah kepada semua kaum, segenap bangsa dan seluruh agama yang berlainan daripada kita. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia terutamanya remaja,tanpa mengira usia keturunan dan anutan agama, perlu bertindak sebagai satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia.

Jika kita semua boleh berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selamat, aman dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia. Lihat sahaja negara matahari terbit Jepun, dan juga Korea: Sifat rakyatnya yang mempunyai hanya satu hala tuju berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selamat, aman dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia mesti kita contohi.

1Malaysia adalah gagasan yang mengharmonikan rakyat pelbagai kaum di negara ini tanpa mengubah identiti kaum-kaum tersebut. Di samping menjaga kepentingan semua kaum,konsep 1Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pewujudan sebuah Bangsa Malaysia.Oleh itu kita semua tidak harus bersikap memilih kawan berdasarkan kaum dan perlu saling hormat menghormati sesama kita sebagai rakyat dalam satu negara. Turut serta menghormati perayaan kaum lain juga merupakan salah satu peranan yang boleh dilakukan bagi mewujudkan perpaduan .Selain dapat mengeratkan hubungan sesama kaum,kita juga dapat mengenali dengan lebih dekat tentang perayaan,adat serta budaya kaum lain.

Malahan 1Malaysia juga menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu asset atau kelebihan yang patut dibanggakan. Konsep 1Malaysia menekankan kepada pendidikan sebagai prasyarat yang penting. Negara kita Malaysia amat memerlukan masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan untuk membangunkan negara. Oleh itu, anda sebagai remaja harus lebih banyak membaca dan menyelidik di samping sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan kaum lain bagi mengadakan aktiviti bersama.

Kesimpulannya, konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagai mana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Sehubungan dengan itu,remaja perlu memahami dan mengamalkan ideologi bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Manakala,semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Saturday, January 7, 2012

Tempat Jatuh Lagi Dikenang, Inikan Pula Tempat Bermain


Bekas pelajar MSAB, Amirul Hakim bin Noor Haizat kembali ke maktab pada 6 Januari 2012 dan memberikan ceramah motivasi jati diri dan teknik belajar yang efisien kepada pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima. Beliau juga telah menceritakan serba sedikit tentang kehidupan di University Cambridge UK. 
Semoga Terus Berjaya!


Saturday, October 22, 2011

BEKAS KAPTEN MSAB (2009) KINI DI UNIVERSITY OF CAMBRIDGE..Selamat Maju Jaya!





Amirul Hakim bin Noor Haizat yang merupakan bekas Kapten (Ketua Pelajar) Maktab Sultan Abu Bakar (2009) kini berada di University of Cambridge, London. Semoga beliau akan terus berjaya dan menjadi inspirasi kepada warga MSAB.

 EC MUST LEAD!







Friday, October 21, 2011

LATIHAN KARANGAN TAMBAHAN SEMASA CUTI SAMBUTAN HARI DEEPAVALI


Adelaide Guided Bus-way. Imej daripada Isma, Adelaide Australia.




CONTOH KARANGAN: MENINGKATKAN KECEKAPAN PENGANGKUTAN AWAM.

Anda dikehendaki menulis satu karangan lengkap berpandukan kepada tajuk di atas, yang panjangnya tidak kurang daripada 180 perkataan.



Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam akan menjamin pengguna terus menggunakan pengangkutan awam berkenaan. Dalam menghadapi tekanan ekonomi semasa, rakyat terutamanya yang mendiami bandar-bandar besar, berusaha mencari pelbagai ruang alternatif untuk berjimat-cermat.

Namun pelbagai rungutan dibangkitkan saban waktu, antaranya ketidakcekapan pengurusan operasi, keadaan kenderaan awam yang tidak selesa, ketiadaan khidmat pengangkutan awam di kawasan kepadatan penduduk tinggi dan mutu perkhidmatan yang tidak bersifat mesra pengguna, menjadikan kemudahan pengangkutan awam pilihan terakhir bagi pengguna di Malaysia.

Perkhidmatan bas awam yang pertama di Malaysia telah diperkenalkan secara sistematik pada tahun 1935 oleh “The Ipoh General Transport Company”. Kemudian Pulau Pinang pula memulakan sistem pengangkutan bas awamnya sendiri dengan syarikat Lim Seng OmniBus, ini telah juga diikuti oleh Selangor dengan Foh Hup Omnibus, Toong Fong Bus dan Len Bus.

Perkara-perkara yang selalu menjadi penyebab utama kepada kurangnya minat awam untuk menggunakan perkhidmatan ini adalah seperti bilangan bas yang tidak mencukupi selain sistem pemandu perseorangan yang tidak efektif, pemandu yang tidak mencukupi dan pelbagai masalah logistik, menyebabkan kelewatan perjalanan selain mampu mengundang bahaya ketika di jalan raya. Semua kesulitan ini mengecewakan para pengguna yang bergantung kepada bas sebagai satu-satunya kaedah pengangkutan mereka.

Penggunaan bas yang telah berusia sebagai langkah pengurangan kos sebaliknya, menimbulkan masalah-masalah lain pula seperti keadaan bas yang usang dengan bumbung bocor, kerusi yang patah dan koyak, penghawa dingin yang tidak berfungsi, palang cermin yang patah dan pelbagai lagi.

Keselesaan adalah juga merupakan faktor penyumbang utama bagi dorongan orang ramai untuk memilih atau menolak perkhidmatan ini. Keadaan ini bukan sahaja mendatangkan situasi tidak selesa kepada pengguna tempatan tetapi juga memberikan tanggapan negatif kepada pelancong-pelancong asing.

Kepentingan sebuah bandar sebagai pusat aktiviti di mana ekonominya berorientasikan perkhidmatan kini semakin meningkat. Oleh kerana itu rangkaian pengangkutan perlu mampu menyokong pertumbuhan ekonomi, pertumbuhan populasi dan kepelbagaian aktiviti di bandar. Telah jelas terbukti di peringkat global bahawa sistem pengangkutan yang teratur dan komprehensif dapat membantu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi sesebuah Bandar, negeri dan juga negara.

Baik buruknya sesebuah perkhidmatan ini adalah sebenarnya di tangan pengguna itu sendiri. Rakyat dapat melakukan pelbagai perkara bagi menyumbang kepada pencapaian 25% penggunaan pengangkutan awam seperti yang telah di hasratkan oleh kerajaan pada tahun 2008.

Orang awam boleh membantu meluaskan kawasan perkhidmatan dan capaian masyarakat perkhidmatan bas 
wam dengan pelbagai cara. Bermulalah dengan permintaan kecil dan khusus: memohon perhentian bas baru, perkhidmatan lebih kerap dan kemudahan lampu yang lebih baik di sekitar perhentian dan stesen. 

Apabila membeli rumah baru, rakyat perlu bertanya kepada pihak pemaju mengenai rancangan kemudahan pengangkutan awam.Yang penting di sini, rakyat adalah diminta untuk meninggalkan kereta persendirian dan mula menggunakan pengangkutan awam. 

Langkah ini akan mampu mebawa kepada penjimatan bahan api petroliam dan akan juga membantu kepada penjimatan ekonomi kita semua. Sekali lagi, bermulalah dengan langkah kecil: cubalah perkhidmatan bas tempatan pada hujung minggu atau komited untuk menggunakan pengangkutan awam satu hari dalam seminggu. 

Seperti kata pepatah: “Kalau tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya".

Sunday, March 20, 2011

Tindak Balas Semula Jadi: Kesan Gempa Bumi Kepada Alam Sejagat.



Pada Mac 11 2011, satu gempa bumi kuat yang berukuran 9.0 skala Richter telah berlaku di utara Jepun yang mungkin telah memendekkan jangka panjang hari Bumi dan telah juga merubah sedikit paksi bumi.

Saintis Professor Dr. Richard Gross dari NASA Jet Propulsion Laboratory Pasadena California yang telah menggunakan kaedah perkiraan komputer di US Geological Survey menganggarkan bahawa akibat daripada kekuatan gegaran gempa bumi Jepun tersebut, jangka waktu siang bumi telah tercepat sebanyak 1.8 mikrodetik (satu mikrodetik adalah sepersejuta saat) akibat paksi bumi yang telah juga berubah sebanyak 17 centimeter (6.5 inci) kearah 133° timur!

Gegaran yang terhasil daripada gempa bumi berukuran 9.0 skala Richter berkenaan telah menyebabkan posisi aci-bumi bergetar sedikit berbeza di atas paksi putaran bumi mengelilingi matahari dan walaupun ini memeranjatkan kita semua, namun oleh kerana saiz bumi yang besar dan jumlah air yang terkandung dalam semua lautan yang akan bertindak sebagai zon-serapan kesan gegaran ini, maka fenomena itu tidak akan membawa sebarang kesan yang ketara kepada manusia sejagat. Jika dilihat, setiap kali berlakunya gempa bumi yang kuat sebegini maka akan bergerak juga serba sedikit paksi pusingannya.

Perhitungan beliau telah juga menunjukkan bahawa semasa berlakunya gempa bumi di Chile yang berukuran 8.8 skala Richter pada tahun lalu, juga telah menyebabkan paksi bumi tergelincir sebanyak 8 centimeter (3 inci) kearah timur yang telah membawa kepada penyingkatan masa siang bumi sebanyak 1.26 mikrodetik dan sekali lagi juga semasa berlakunya gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter di dasar laut Australia yang telah mengakibatkan tsunami yang telah melanda Aceh pada tahun 2004, bumi telah mengalami singkatan sebanyak 1.8 mikrodetik waktu siangnya disamping juga tergelincir sebanyak 7 centimeter (2.76 inci).

Buat masa ini manusia tidak perlu risau dengan apa-apa jua kesan terus daripada fenomena ini kerana masih lagi terhad kepada hanya kitaran angin, kitaran arus laut dan juga barangkali hidupan marin. Namun jika fenomena ini berterusan maka umat manusia sewajarnya mula memberikan perhatian yang serius tentang perkara ini.

(Penulis: Muhamad Suffian Ibrahim)

Hasil penulisan seorang bekas pelajar saya. Beliau dapat dihubungi di alamat ini:
earthrover80@yahoo.com

Saturday, January 8, 2011

“Esprit de corp”; Majulah Sukan Untuk Negara.


Aktiviti sukan terdapat di mana-mana saja adanya tamadun manusia. Malah sukan antarabangsa yang terkenal iaitu Sukan Olimpik moden (Olympic) telah diadakan sejak tahun 1896 lagi.

Terdapat beberapa jenis dan kategori sukan yang terkenal di dunia hari ini seperti permainan bola sepak, permainan ragbi, permainan bola keranjang, permainan badminton, dan tidak ketinggalan juga seni mempertahankan diri yang telah diterima pakai sebagai sebahagian daripada acara sukan persahabatan moden. Di Malaysia, antara para atlet dunia yang kini terkenal di seluruh negara ialah David Beckham, Datuk Nicol Ann David dan juga Ralph Nadal. Setiap negara senantiasa dapat dilihat berusaha menggalakkan rakyatnya supaya melibatkan diri dalam sukan kerana sukan mendatangkan kebaikan kepada kesihatan, perpaduan antara kaum dan juga ekonomi sesebuah negara.

Baru-baru ini, negara kita telah diwarnakan dengan kegemilangan Skuad Bolasepak Negara “Harimau Malaya” dengan kemenangan mereka menewaskan Indonesia 4-2 dan sekali gus menjadi juara Piala Suzuki AFF Asia bagi tahun 2010. Ini menunjukkan keberkesanan nilai-nilai dan usaha yang telah diambil oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan mutu sukan negara pada masa kini.

Sekolah Sukan telah dibina semenjak beberapa tahun lalu demi untuk menempatkan generasi muda yang dilihat mempunyai bakat dan potensi dalam bidang sukan masing-masing. Di sekolah ini, bakat mereka diasah dengan bimbingan guru-guru sukan profesional terlatih yang berkelayakan dan berpengalaman bagi menyediakan mereka secara mental dan fizikal menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan skim ganjaran kepada atlit yang telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antara bangsa seperti sukan SEA, Asia, Commonwealth dan Olimpik. Mereka yang berjaya membawa pulang pingat ke negara ini akan diberi ganjaran yang lumayan. Ganjaran seperti itu sudah semestinya memberi semangat kepada atlet untuk terus berusaha hingga berjaya.

Kanak-kanak juga dilihat berbakat adalah digalakan untuk melibatkan diri dalam bidang sukan melalui Pendidikan Jasmani dan kegiatan kokurikulum sekolah yang memasukkan kelab sukan sebagai satu daripada persatuan yang boleh disertai oleh pelajar. Pelajar yang berbakat dalam bidang sukan yang diminatinya akan berpeluang untuk menunjukkan bakat mereka apabila terpilih sebagai wakil sekolah dalam beberapa pertandingan di peringkat daerah, negeri dan juga antarabangsa.

Secara keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa mutu sukan negara ini masih dapat ditingkatkan sekiranya usaha-usaha yang telah dan sedang dibuat diteruskan. Kerajaan dan masyarakat juga seharusnya berusaha mencari cara untuk meningkatkan mutu sukan supaya Jalur Gemilang kita akan terus berkibar megah di kejohanan-kejohanan antara bangsa.

Demi kegemilangan masa hadapan sukan negara kita, marilah kita bersama-sama mengambil iktibar untuk bertunjangkan semangat “esprit de corp”, Majulah Sukan Untuk Negara!

Friday, January 7, 2011

Sanagt menkajukban! Tak snakga syaa dpaat bcaa ini!

Sanagt menkajukban! Tak snakga syaa dpaat bcaa ini! Tak skanga saya boelh bcaa penlusian ckaar aaym ini! Saybas kedapa rkaan ktia di pernataaun!

Ini aadlah tnada kehbetaan mnida adna smeua. Smeua ckuup viatmin nmapkanya. Mneurut stau kjaian di Cmabridge Uniercvity UK, mnausia mmecaba suseatu preaktaan sceara keesluruhan dan bkuan drai stau huurf ke stau huurf.

Meunrut kaijan ini, jkia huurf hdaapan dan treahkir bteul pada tmepantya maka anda aakn mmapu mmebcaa waluapun huurf-huurf lian bretabruan susnuan.

Apa pnedpaat adna?

Tremia kisah kpeada Enick Rizal yang tleah mnegirim email ini kedapa saya, soernag bekas pejalar saya ynag knii sdenag melajnutkan pealjaran di UK.


Tapi ingat! Ini hanya kajian sahaja! Tulis ejaan semua mesti betul dan tepat! Faham? Bagus dan syabas kepada beliau dan semoga berjaya di UK!



Thursday, May 6, 2010

SALAM HARI IBU - Mari kita renungkan bersama.


Seorang anak berusia belasan tahun mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.

Kos upah membantu ibu:
1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00

Jumlah : RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan – PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu – PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu – PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu – PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku – PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh si ibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata, “Saya Sayangkan Ibu”.

Kemudian si anak mengambil pen dan menulis “Telah Dibayar” pada mukasurat yang sama ditulisnya.

Kiriman daripada JHLT.

Sunday, May 2, 2010

Hanya Seorang Ibu.



Hanya Seorang Ibu

Walaupun berjuta bintang terang di langit yang cerah,

Sekalipun pelbagai cengkerang berderetan di pantai,


Mahupun mergastua bernyanyi riang,

Ataupun segerombolan biri-biri di pandang lapang,


Biarpun berjuta rintik-rintik embun menyambut fajar,

Semetelahan lebah mengerumuni semanggi ungu,


Kiranya jutaan rerama berterbangan di lelaman,

Tetapi tidak hanya seorang sahaja ibu di alam maya ini.


-Sharifah Aisha, King Fahd University Hospital,

Kingdom of Saudi Arabia.-

Saturday, February 13, 2010

BENGKEL KARANGAN GALUS SPM: MODEL KARANGAN GALUS SPM DAN LATIHAN KARANGAN TAMBAHAN MASA CUTI

Pelajar-pelajar Malaysia di Illinois USA, Eid ul'Fitri 2003



DIMENSI DIRI

TEMA: KELEBIHAN MEMPELAJARI BAHASA ASING


SOALAN: ANDA SEDANG MELANJUTKAN PELAJARAN DI PUSAT PENGAJIAN TINGGI TEMPATAN. BERDASARKAN PENGALAMAN ANDA, ANDA MENYEDARI BAHAWA SESEORANG PERLU MENGUASAI LEBIH DARIPADA SESUATU BAHASA. SEBAGAI ABANG YANG BERTANGGUNGJAWAB, ANDA INGIN MENASIHATI ADIK ANDA YANG MASIH BELAJAR SUPAYA BERUSAHA MENGUASAI PELBAGAI BAHASA. TULIS SEPUCUK SURAT KEPADA ADIK ANDA UNTUK MENCERITAKAN KEPENTINGAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA.


Rangka Soalan Format: Surat Kiriman Tidak Rasmi Pendahuluan: - Berasa terasing kerana tidak dapat berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Inggeris - Mengelakkan diri daripada bercampur gaul dengan pelajar lain yang mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. - Dinasihati rakan-rakan agar menggunakan bahasa tersebut dalam perbualan seharian. Isi 1: Memudahkan berinteraksi dan berkomunikasi.. Isi 2: Meneroka pelbagai maklumat Isi 3: Memupuk semangat perpaduan Isi 4: Mudah mendapat pekerjaan Isi 5: Mengisi masa lapang Kesimpulan: - Ilmu penyuluh kehidupan - Sambil menyelam minum air.




Afiq Bin Abu Bakar,
No 2 Blok C,
Kolej Pertama,
Universiti Islam Antarabangsa,
Gombak,
Selangor Darul Ehsan.

Ke hadapan adinda Adib yang berada di Taiping semoga dalam keadaan sihat sejahtera. Apa khabar adinda dan keluarga di kampung? Kekanda berharap agar adinda dan keluarga sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Kekanda di sini berada dalam keadaan sihat dan gembira.

Adinda,

Bagaimanakah keputusan peperiksaan adinda yang lalu? Kekanda berharap agar adinda mendapat keputusan yang cemerlang hendaknya dan dapat mengikut jejak langkah kakanda di menara gading ini.

Adinda yang dikasihi,

Kakanda mempunyai ramai kenalan baru di sini. Kebanyakan mereka berasal dari luar negara. Sebagai contoh, negara Singapura, Indonesia, Filipina dan Thailand. Mereka menggunakan bahasa Inggeris apabila berbual. Dalam hal ini, penguasaan bahasa asing amat penting untuk memudahkan berinteraksi dan berkomunikasi. Oleh itu, adinda perlu menguasai bahasa asing agar membantu adinda untuk berkomunikasi.

Mempelajari bahasa asing dapat membantu kita meneroka maklumat dalam pelbagai bidang. Oleh itu, dengan menguasai pelbagai bahasa, adinda akan dapat mengumpul maklumat yang ditulis dalam semua bahasa yang adinda kuasai. Sebagai contoh, maklumat yang terkandung dalam buku, jurnal, akhbar dan internet. Maklumat ini menggunakan bahasa lain di dunia seperti bahasa Inggeris, Jepun, Perancis dan Arab. Jelaslah bahawa, adinda mempelajari bahasa asing dapat membantu adinda untuk menimba ilmu pengetahuan.

Adindaku,

Bahasa asing juga dapat memupuk semangat perpaduan yang tinggi. Sekiranya bahasa kaum-kaum yang terdapat di Malaysia dan di luar negara dapat dipelajari dan difahami, sudah tentu kita dapat mengenali budaya dan adat resam kaum tersebut. Sebagai contoh, dengan menguasai bahasa Kadazan atau bahasa Iban, lebih mudah perpaduan dapat dipupuk. Konklusinya, bahasa dapat memupuk semangat perpaduan sesuai dengan peribahasa, tak kenal maka tak cinta.

Adinda,

Untuk pengetahuan adinda , kelebihan seseorang yang menguasai lebih daripada satu bahasa adalah lebih mudah mendapat pekerjaan. Hal ini adalah kerana pada hari ini persaingan untuk mendapat pekerjaan semakin sengit. Sebagai contoh, mereka yang mempunyai kelulusan yang baik, ketrampilan yang menarik dan kebolehan menguasai lebih daripada satu bahasa yang akan dapat menjawat sesuatu pekerjaan dengan mudah . Hal ini bermakna, adinda perlu menguasai lebih daripada satu bahasa .


Selain itu, menguasai bahasa asing dapat mengisi masa lapang. Sesungguhnya, mempelajari bahasa asing bukanlah sesuatu yang sukar. Adinda boleh mempelajarinya pada waktu terluang. Sebagai contoh, menghadiri kelas bahasa asing seperti bahasa Cina,bahasa Jepun, bahasa Arab, dan bahasa Perancis. Selain itu, kemahiran tersebut boleh mendatangkan nilai komersial bak kata pepatah sambil menyelam, minum air. Jelaslah bahawa bahasa asing mudah untuk dipelajari dan dikuasai.

Adinda yang dikasihi,

Jika diikutkan hati, memang kakanda ingin menulis dengan lebih panjang. Namun memikirkan kakanda akan menghadapi peperiksaan pada minggu hadapan kakanda terpaksa menutup bicara pada kali ini. Pesanan kakanda yang terakhir, pelajari dan kuasai bahasa asing kerana ilmu penyuluh kehidupan. Akhir kata, sampaikanlah salam kakanda kepada semua ahli keluarga di kampung.

Sekian, terima kasih.


Kakandamu.





BAHAGIAN LATIHAN

SOALAN: ANDA SEDANG MELANJUTKAN PELAJARAN DI PUSAT PENGAJIAN TINGGI TEMPATAN. BERDASARKAN PENGALAMAN ANDA, ANDA MENYEDARI BAHAWA SESEORANG PERLU MENGUASAI LEBIH DARIPADA SESUATU BAHASA. SEBAGAI ABANG YANG BERTANGGUNGJAWAB, ANDA INGIN MENASIHATI ADIK ANDA YANG MASIH BELAJAR SUPAYA BERUSAHA MENGUASAI PELBAGAI BAHASA. TULIS SEPUCUK SURAT KEPADA ADIK ANDA UNTUK MENCERITAKAN KEPENTINGAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA.

Afiq Bin Abu Bakar,
No 2 Blok C,
Kolej Pertama,
Universiti Islam Antarabangsa,
Gombak,
Selangor Darul Ehsan.

Ke hadapan adinda Adib yang berada di Taiping semoga dalam keadaan sihat sejahtera. Apa khabar adinda dan keluarga di kampung? Kekanda berharap agar adinda dan keluarga sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Kekanda di sini berada dalam keadaan sihat dan gembira.

Adinda,

Bagaimanakah keputusan peperiksaan adinda yang lalu? Kekanda berharap agar adinda mendapat keputusan yang cemerlang hendaknya dan dapat mengikut jejak langkah kakanda di menara gading ini.

Adinda yang dikasihi,

Kakanda mempunyai ramai kenalan baru di sini. Kebanyakan mereka berasal dari luar negara. Sebagai contoh, negara Singapura, (1) ________________, (2)____________ dan (3) ___________. Mereka menggunakan bahasa Inggeris apabila berbual. Dalam hal ini, penguasaan bahasa asing amat penting untuk (4)___________________________________. Oleh itu, adinda perlu menguasai bahasa asing agar membantu adinda untuk berkomunikasi.

Mempelajari bahasa asing dapat membantu kita (5)___________________________________. Oleh itu, dengan menguasai pelbagai bahasa, adinda akan dapat mengumpul maklumat yang ditulis dalam semua bahasa yang adinda kuasai. Sebagai contoh, maklumat yang terkandung dalam (6)_____________, jurnal, (7)______________ dan (8)_____________. Maklumat ini menggunakan bahasa lain di dunia seperti bahasa Inggeris, Jepun, Perancis dan Arab. Jelaslah bahawa, adinda mempelajari bahasa asing dapat membantu adinda untuk menimba ilmu pengetahuan.

Adindaku,

Bahasa asing juga dapat (9) _________________________________________. Sekiranya bahasa kaum-kaum yang terdapat di Malaysia dan di luar negara dapat dipelajari dan difahami, sudah tentu kita dapat mengenali budaya dan adat resam kaum tersebut. Sebagai contoh, dengan menguasai bahasa Kadazan atau bahasa Iban, lebih mudah perpaduan dapat dipupuk. Konklusinya, bahasa dapat memupuk semangat perpaduan sesuai dengan peribahasa, (10)_____________________________.

Adinda,

Untuk pengetahuan adinda , kelebihan seseorang yang menguasai lebih daripada satu bahasa adalah lebih (11)___________________________. Hal ini adalah kerana pada hari ini persaingan untuk mendapat pekerjaan semakin sengit. Sebagai contoh, mereka yang mempunyai kelulusan yang baik, ketrampilan yang menarik dan kebolehan menguasai lebih daripada satu bahasa yang akan dapat menjawat sesuatu pekerjaan dengan mudah . Hal ini bermakna, adinda perlu menguasai lebih daripada satu bahasa .


Selain itu, menguasai bahasa asing dapat (12)________________________ . Sesungguhnya, mempelajari bahasa asing bukanlah sesuatu yang sukar. Adinda boleh mempelajarinya pada waktu terluang. Sebagai contoh, menghadiri kelas bahasa asing seperti bahasa Cina,bahasa (13)____________, bahasa (14)________________, dan bahasa (15)____________. Selain itu, kemahiran tersebut boleh mendatangkan nilai komersial bak kata pepatah sambil menyelam, minum air. Jelaslah bahawa bahasa asing mudah untuk dipelajari dan dikuasai.

Adinda yang dikasihi,

Jika diikutkan hati, memang kakanda ingin menulis dengan lebih panjang. Namun memikirkan kakanda akan menghadapi peperiksaan pada minggu hadapan kakanda terpaksa menutup bicara pada kali ini. Pesanan kakanda yang terakhir, semoga adinda pelajari dan kuasai bahasa asing kerana ilmu itu (16)____________________. Menguasai bahasa asing dapat memberi banyak faedah kepada adinda. Akhir kata, sampaikanlah salam kakanda kepada semua ahli keluarga di kampung.

Sekian, terima kasih.


Kakandamu.





JAWAPAN

(1) Indonesia
(2)Filipina
(3) Thailand
(4) Memudahkan berinteraksi dan berkomunikasi
(5) Meneroka maklumat dalam pelbagai bidang
(6) Buku
(7) Akhbar
(8) Internet
(9) Memupuk semangat perpaduan yang tinggi
(10) Tak kenal maka tak cinta
(11) Mudah mendapat pekerjaan
(12) Mengisi masa lapang
(13) Jepun
(14) Arab
(15) Perancis
(16) Penyuluh kehidupan

Untuk membaca dengan lebih lanjut berkenaan dengan pengalaman belajar di luar negara dan menguasai bahasa asing, anda boleh klik pada pautan ini: Kepentingan Menguasai Bahasa Asing

Friday, July 24, 2009

BERMAIN DENGAN MATEMATIK!


Sebuah kiriman e-mel daripada bekas pelajar saya Cik Nurul Anida yang kini sedang melanjutkan pengajian beliau di Amerika Syarikat. Nampaknya sambutan e-mel daripada bekas pelajar saya amat memberangsangkan. Oleh itu, Laman Bimbingan Bahasa Melayu SPM ini akan mengkhaskan satu ruangan baru yang dinamakan “Sumbangan Pelajar Senior” untuk memuatkan segala hasil nukilan mereka yang sangat kami alu-alukan. Terima kasih dan syabas kepada anda semua!



Semenjak kecil lagi saya memang mengemari subjek Matematik. Ibu saya memainkan peranan penting dalam memupuk minat saya terhadap bidang Matematik. Beliau telah menyediakan banyak permainan Matematik dan alat mainan Matematik yang telah banyak membantu saya untuk memahami kepentingan konsep Matematik dengan hanya bisikan kalbu. Nombor, bentuk, saiz, aritmetik, logik dan lain-lain. Pendek kata, tahap proses pembelajaran kanak-kanak adalah paling optimum semasa mereka sedang bergembira sewaktu bermain. Oleh itu, jangan berlengah lagi. Mari kita bergembira dengan permainan Matematik ini :)

Ini ialah suatu formula matematik yang sangat mudah akan tetapi formula ini juga sangat menghairankan! Mari kita mulakan aplikasi formula ini.

Ambil nombor telefon bimbit anda semua.

Contohnya : 012-345 6789. Angka 012 yang di hadapan tidak akan digunapakai dalam formula ini kerana angka '012' tadi akan menghalang proses perkiraan cara mudah.

Sekarang anda ambil sebuah kalkulator untuk memudahkan pengiraan anda.

Masukkan tiga digit pertama nombor telefon anda ke dalam kalkulator (contoh seperti di atas: 345).

Darabkan dengan 80

Campurkan dengan 1

Darabkan dengan 250

Campurkan jawapan tadi dengan empat angka terakhir nombor telefon anda (contoh seperti di atas: 6789)

Campurkan sekali lagi jawapan dengan empat angka terakhir nombor telefon anda (contoh seperti di atas: 6789)

Tolakkan jumlah tersebut dengan 250

Kemudian terakhir sekali anda bahagikan jumlah ini dengan 2

Sekarang, apakah jawapan anda?


Tuesday, July 21, 2009

IMBAUAN BESI LAMA DI BIRMINGHAM: ERTI KEMERDEKAAN INI.


Hasil kiriman e-mel bekas pelajar saya En. J, yang kini sedang menuntut di Holborn Law Tutors, The United Kingdom. Beliau boleh dihubungi di rarefinds00@yahoo.co.uk

Tajuk karangan ini berkemungkinan besar tidak akan dijadikan topik dalam peperiksaan SPM anda tahun ini. Namun saya merasakan yang saya patut menulis serta berkongsi apa-apa yang terkumpul dalam penglihatan saya dalam konteks erti kemerdekaan, bersempena dengan bulan Kemerdekaan Ogos yang bakal menjelang tiba.

Jika anda telah pun berpeluang melawati ataupun mungkin juga akan suatu hari kelak bertandang ke England anda mungkin juga berminat untuk melawati ke Thinktank Museum yang terletak di Birmingham. Di sini anda boleh melihat pelbagai nostalgia sejarah pencapaian Great Britain dalam perlumbaan teknologinya dengan negara-negara lain di dunia ini. Anda boleh melihat keretapi lokomotif stim pertama yang mampu mencecah 80 batu satu jam dan anda juga boleh melihat pesawat keramat Spitfire Tentera Udara Diraja Britain yang telah mengalahkan armada udara Luftwaffe pihak Jerman dalam Battle of Britain semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Anda juga boleh melihat pelbagai jenis teknologi enjin darat, laut dan udara buatan teknologi dan kepakaran para jurutera Great Britain.










Namun tahukah anda bahawa dalam tempoh masa 446 tahun kita telah di jajah, sudah berapa juta tan timah kita yang telah di ambil mereka demi untuk kemajuan mereka? Kemajuan yang mereka mampu capai kerana akal mereka, kerana sikap berdikari mereka tetapi dengan azab keringat dan linangan mata dan rintihan anak bumi pra-merdeka Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).

Kajian sejarah telah mencatatkan bahawa hampir 80% kekayaan Great Britain hanya mampu mereka capai setelah mereka memperoleh bahan-bahan mentah hasil bumi daripada kekayaan semula jadi negara yang mereka takluki secara ketenteraan dan kemudian jajahi secara politik beratus-ratus tahun lamanya. England boleh dikatakan adalah sebuah negara besar tetapi tidak banyak terdapat hasil bumi. Menyedari hakikat ini maka melalui penjajahan negara-negara lain, mereka beroleh segala jenis bahan mentah dan kemudiannya mereka terus membina kekuatan ekonomi mereka. Kekuatan ekonomi yang masih lagi kekal sehingga ke hari ini. Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) walaupun kecil tetapi tersangat kaya dengan hasil semula jadi buminya daripada limpah anugerah Tuhan kepada kita semua.

Hari ini kita telah pun Merdeka selama 52 tahun. Dalam langkah kemerdekaan ini kita telah mampu meneroka hingga ke angkasa dan menjadi negara Asean pertama yang mempunyai seorang angkasawan. Kita juga mampu mempunyai banggunan tertinggi dunia dan kita juga masih lagi mampu mengekalkan nilai budaya kita sebagai rakyat Malaysia. Sebenarnya kita perlu serba sedikit mencontohi para penjajah kita dahulu dan kita mesti berani dan sanggup meneroka demi untuk kekuatan kita semua. Tanpa ilmu kita tidak akan boleh melangkah jauh ke hadapan lagi. Oleh itu berikan tumpuan anda yang sepenuhnya ketika anda menuntut ilmu pada hari ini dan juga seterusnya. Akal adalah kekuatan yang sebenarnya dan ilmu adalah penyuluh kejayaan anda semua!

Jika kelak anda berpeluang ke Thinktank Museum Birmingham, ketika anda bersiar melihat pencapaian teknologi mereka, ingat juga bahawa asal besi kebanggaan mereka adalah timah yang telah dilombong mungkin di Lembah Kinta Perak atau Sungai Besi Selangor dengan hasil keringat anak Malaya pra-merdeka, yang pada hari ini anda sebagai seorang anak Malaysia pasca Merdeka adalah pewaris mutlak bagi perjuangan mereka yang terdahulu daripada kita.

Ingat dan hargai setiap titik keringat dan air mata pengorbanan mereka, ingat bahawa anda sebenarnya berhutang dengan masa depan anak-anak cucu anda dalam menimba ilmu dan menempa kejayaan anda pada hari ini demi untuk masa depan anda semua!

Jangan hanya mampu menjadi jaguh di bangku sekolah hari ini tetapi akan akhirnya menjadi besi buruk dalam batuan hidup kita yang seterusnya. Jaguh yang bijak dan matang akan mengenali hakikat bahawa kejayaan adalah sebenarnya sebuah perjalanan dan bukanlah satu destinasi.

Terima kasih sekalung budi saya ucapkan kepada semua bekas guru saya. Tanpa jasa anda kepada saya, saya tidak akan mampu meneruskan perjalanan seperti hari ini. Salam Merdeka buat semua.

Friday, July 3, 2009

IMPAK PROGRAM ANGKASAWAN NEGARA


Kiriman emel daripada bekas pelajar saya.

Ketika kerajaan mengumumkan untuk mencari angkasawan pertama negara sekitar tahun 2003 lalu, ramai yang mula membuat pelbagai interpretasi mengenai projek yang bakal membawa Malaysia menjadi sebuah daripada 39 buah negara elit dunia yang berstatus peneroka angkasa lepas.

Pada waktu itu, tidak ramai mengetahui malah memahami persoalan sebenar di sebalik penghantaran seorang rakyat Malaysia ke angkasa.

Dari sudut pandangan negatif sebahagian masyarakat, ada yang melihatnya sebagai khayalan semata atau “bermimpi di siang hari”.

Namun, bagi yang positif, permulaan Program Angkasawan Negara adalah sebenarnya merupakan satu langkah yang besar bagi manusia sejagat secara amnya dan bagi rakyat Malaysia khususnya.

Sekitar tahun itu juga, nama Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) adalah agak begitu asing sekali terutamanya dalam kalangan masyarakat di pedalaman. Namun kini, selepas dua tahun berlalu, segalanya telah berubah dan jika disebut sahaja tentang Program Angkasawan Negara, ramai hatta kanak-kanak sekolah pun sudah mengetahui malah mampu bercerita mengenai ISS.

Tidak kurang, ada juga dalam kalangan mereka yang beroleh pengetahuan terhadap teknologi roket, sumber atau tenaga pemacuan roket berkenaan serta tentang kapsul angkasa Soyuz yang membawa angkasawan negara iaitu Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke ISS serta dua orang lagi Angkasawan lain pulang semula ke Bumi dengan selamatnya.



Begitulah impak atau kuatnya pengaruh program tersebut sehingga berjaya membuka mata seluruh rakyat Malaysia mengenai teknologi penerokaan angkasa lepas melalui Program Angkasawan Negara.

Bagi kerajaan dan mereka yang terlibat secara langsung dalam Program Angkasawan Negara pula, pasti kejayaan yang ulung kali menghantar rakyat Malaysia ke ISS tanggal 10 Oktober 2007 adalah satu kejayaan yang cukup membanggakan dan telah sekaligus memartabatkan nama Malaysia sebagai salah sebuah daripada 39 buah Negara elit di Cawangan Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang juga diketuai oleh seorang warga rakyat Malaysia Datuk Dr. Mazlan Othman, selaku Pengarah Pejabat PBB Berkaitan Hal Ehwal Angkasa Lepas.



Walaupun angkasawan negara hanya berada di ISS, selama 12 hari, namun kejayaan ini sudah cukup untuk menjadi pemangkin kepada kebangkitan generasi akan datang. Impak daripada Program Angkasawan Negara adalah cukup kuat dan kita sendiri boleh melihat akan perubahan minda dalam kalangan masyarakat muda kita hari ini.

Misalnya, di sebuah sekolah rendah luar bandar, apabila ditanyakan mengenai cita-cita kanak-kanak di sekolah itu, ramai yang mengatakan untuk mahu menjadi angkasawan apabila dewasa kelak. Jika pada masa kita dahulu, jawapan sebegini hanya akan diterima pakai sebagai suatu daya imaginasi kreatif anak-anak sekolah rendah, namun pada hari ini citi-cita berkenaan adalah berkemungkinan besar terlaksana. Inilah permulaan yang sangat berharga hasil daripada penerokaan Program Angkasawan Negara kita.

Walaupun agak sukar untuk kita menghantar angkasawan kedua dalam masa ekonomi dunia kini, mengalami kegawatan, namun kita telah mula menguasai dan mengambil pendekatan serius dalam mengembangkan semua bidang yang berkaitan dengan angkasa lepas.

Mungkin kita lebih perlu memberikan fokus kepada teknologi penyelidikan angkasa lepas atau teknologi penerokaan angkasa lepas pula selepas ini. Sebagai contoh, kalau kita mahukan rakyat kita mampu menjadi jurutera di ISS, kita perlu melatih mereka dari sekarang. Sistem propulsi/pemacuan dalam penerokaan angkasa lepas adalah sangat berbeza dengan apa jua teknologi pemacuan konvensional yang ada di guna pakai pada hari ini. Pada detik ini juga para saintis di NASA dan CERN sedang sibuk menjalankan ujian dalam bidang pemacuan "Anti Matter Engineering". Melalui sumber pemacuan ini, kapal-kapal angkasa pada masa hadapan hanya akan memerlukan 1 gram tenaga jenis berkenaan untuk terbang ke planet Zuhal dan pulang semula ke bumi dalam jangka masa hanya 5 bulan berbanding dengan jangkamasa 7 tahun jika menggunakan sistem teknologi jana kuasa pemacuan angkasa yang ada pada ketika ini. Kita sudah separuh jalan dan Program Angkasawan Negara perlu diteruskan untuk masa depan kita dalam arus pembanggunan ekonomi pengetahuan dunia.

Seperti pepatah lama Arab yang ada menyebut: Kejayaan adalah pengembaraan dan ilmu adalah kejayaan.

Sila klik di sini untuk membolehkan anda membaca dengan lebih mendalam lagi tentang Program Angkasawan Negara.

Sunday, May 3, 2009

SUMBER TENAGA ALTERNATIF : PEMANGKIN PEMBANGUNAN MASA DEPAN



















Karya: Encik Lim Hong Woo (2003) yang kini sedang menuntut di Sheffield UK.


Dalam langkah Malaysia ke arah mencapai Wawasan 2020, pelbagai program pembangunan semakin pesat dilaksanakan oleh pihak kerajaan hari ini. Tidak kurang juga, pelbagai pelan pembangunan negara sedang dirangka demi untuk membina infrastuktur bagi membolehkan negara mencapai status Negara Moden Kelas Pertama menjelang tahun 2020. Setiap rakyat Malaysia sebenarnya adalah agen dalam proses pembangunan ini. Setiap individu memainkan peranan tersendiri dalam menggerakkan jentera ekonomi negara, justeru secara langsung ataupun tidak langsung, menggerakkan jentera Wawasan 2020.


Untuk negara kita mencapai wawasan ini, negara memerlukan sumber dan bekalan tenaga bahan api yang stabil bagi menggerakkan semua jentera dan mekanisma pembangunannya. Kita perlu memberikan penelitian kepada implikasi akibat daripada perggantungan berlebihan negara kepada bahan api asas seperti minyak dan arang batu sebagai sumber tenaga bahan api.


Permintaan minyak dan arang batu di pasaran dunia pada hari ini berada di tahap yang tinggi. Boleh dikatakan setiap tamadun masyarakat moden dan ekonomi dunia bergantung kepada bahan api ini untuk terus bergerak. Sementara itu pula, bekalan minyak dunia pada hari ini kelihatan tidak begitu cukup untuk menampung permintaan. Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas pada kadar lonjakan harga petroleum mentah di pasaran dunia hari ini. Minyak telah menjadi satu komoditi yang begitu penting, sehingga kuasa-kuasa besar dunia sanggup menggerakkan jentera perang mereka, menggadai nyawa berpuluhan ribu manusia hanya untuk memonopoli bekalan dan pasaran minyak.


Dapat juga diandaikan di sini bahawa untuk masa hadapan, permintaan dunia untuk bahan api ini akan terus melonjak dan akan memuncak ke satu tahap drastik apabila permintaan akan jauh melebihi kemampuan bekalan. Apabila ini berlaku, jentera-jentera industri dunia yang bergantung pada sumber bahan api ini akan terpaksa menampung kos operasi yang lebih tinggi. Akibatnya mereka akan terpaksa mengurangkan operasi mereka dan mungkin juga akhirnya akan terpaksa terus memberhentikan operasi mereka.


Untuk negara kita menghindari daripada kemelut krisis ini, kita perlulah bersikap proaktif dalam mencari sumber tenaga alternatif. Tenaga alternatif adalah bermakna tenaga yang terjana daripada sumber bukan berasaskan bahan api asli seperti petroleum ataupun arang batu. Lazimnya, tenaga alternatif adalah merupakan tenaga daripada unsur-unsur seperti, tenaga angin, tenaga hidro, tenaga solar dan juga tenaga nuklear.


Di sesetengah negara Eropah, Amerika dan Asia, tenaga alternatif ini, walaupun jumlah penjanaannya masih belum pesat diperkembangkan, telah lama menjadi sumber tenaga yang menjana sesetengah jentera masyarakat dan pembangunan industri mereka. Di Amerika Utara umpamanya, dapat dilihat struktur kipas-kipas gergasi didirikan begitu banyak di kawasan tanah tinggi yang luas terbuka agar dapat digerakkan oleh tenaga angin. Pusingan kipas ini akan menggerakan dinamo-dinamo kipas gergasi tersebut. Sumber tenaga ini adalah percuma dan bekalannya juga adalah boleh dikira tidak terhad.


Penggunaan tenaga solar (matahari) juga digunakan secara meluas di Malaysia. Mungkin tidak ramai yang mengetahui fakta ini, akan tetapi rekaan panel solar untuk alat pemanas air solar yang boleh dikira mempunyai ciri-ciri rekaan terbaik yang telah banyak diguna pakai oleh syarikat-syarikat Barat adalah hasil ciptaan sebuah syarikat tempatan Malaysia. Bagi sesetengah rumah persendirian di negara Barat, 70% daripada bekalan tenaga elektrik keperluan harian adalah elektrik yang dihasilkan daripada tenaga solar.


Semenjak dari tahun 70-an lagi Malaysia telah pun mempelopori bidang teknologi tenaga hidroelektrik. Beberapa projek hidroelektrik telah pun lama beroperasi. Projek gergasi hidroelektrik Bakun dijangka apabila beroperasi sepenuhnya kelak akan dapat menjana tenaga elektrik yang murah, bersih dan efisyen kepada seluruh negara. Negara juga akan mampu menjana sumber pendapatan kewangan baru dengan menjual tenaga elektrik lebihan kepada negara-negara jiran.


Negara matahari terbit Jepun adalah salah sebuah negara dunia yang mempunyai sistem pemantauan yang termoden di dalam prosedur pengendalian reaktor-reaktor nuklearnya. Hasil daripada penggunaan tenaga nuklear, kos elektrik adalah sangat murah dan bekalannya pula sentiasa dapat memenuhi permintaan masyarakat dan industri. Hal ini bermakna bebanan kos operasi pembikinan sesuatu produk atau perkhidmatan akan dapat dikurangkan dan ini akan menaikkan taraf daya saing ekonomi bagi sesebuah negara. Hari ini negara Jepun yang serba moden telah bangkit sebagai kuasa besar ketiga ekonomi dunia.


Menjana kuasa elektrik dengan menggunakan sumber tenaga nuklear adalah sesuatu yang patut diberikan penekanan dan penelitian yang lebih mendalam dalam usaha kita untuk mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api asas seperti minyak dan arang batu.


Dalam usaha negara ke arah Wawasan 2020, Wawasan 2057 dan seterusnya, kita tidak boleh dibebani dengan masalah yang bersangkutan dengan krisis bekalan tenaga bahan api. Oleh itu, dalam hal ini kita perlulah bersikap proaktif daripada hari ini lagi demi untuk kestabilan masa depan kita.