Showing posts with label Karangan. Show all posts
Showing posts with label Karangan. Show all posts

Tuesday, November 5, 2013

Contoh-contoh Karangan SPM

Contoh Karangan Banjir Kilat.

Banjir kilat sering berlaku apabila hujan lebat turun secara tiba-tiba. Banjir kilat kerap berlaku di negara kita. Banjir kilat boleh menyusahkan manusia. Banjir kilat juga boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa. Banjir kilat juga boleh mengakibatkan kesesakan jalan raya. Terdapat beberapa punca terjadinya banjir kilat.

Banjir kilat berpunca daripada sikap manusia yang suka membuang sampah di merata-rata tempat. Masyarakat suka membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai. Sampah yang dibuang boleh menyebabkan longkang tersumbat. Apabila hujan secara tiba-tiba, aliran air dalam longkang, parit dan sungai akan tersekat. Contohnya seperti yang berlaku di Jalan Skudai dan Jalan Air Molek di Johor Bahru. Oleh itu, jelaslah bahawa banjir kilat berpunca daripada sikap manusia yang suka membuang sampah di merata-rata tempat.

Di samping itu juga, faktor penguatkuasaan yang terlalu longgar merupakan punca banjir kilat. Hal ini kerana tiada tindakan undang-undang terhadap orang yang membuang sampah di merata-rata tempat. Pihak Berkuasa Tempatan pula tidak memantau kawasan pembuangan sampah. Apabila hujan, kawasan pembuangan sampah menakung air dan banjir kilat berlaku. Contoh peniaga pasar malam sesuka hati membuang sampah berhampiran parit atau longkang tanpa dikenakan hukuman. Oleh itu, jelaslah bahawa penguatkuasaan yang longgar merupakan punca terjadinya banjir kilat.

Selain itu, banjir kilat berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna. Parit dan longkang yang dibina di bandar adalah sempit. Parit juga tersumbat disebabkan oleh longgokan sampah. Hal ini menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan lebat berlaku. Pengaliran air akan tersekat dan melimpah di jalan raya. Contohnya banjir kilat yang berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Jelaslah bahawa sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi punca banjir kilat.

Faktor iklim juga menjadi punca banjir kilat. Iklim yang tidak menentu iaitu kadang-kadang hujan dan kadang-kadang panas boleh menyebabkan banjir kilat. Keadaan ini semakin buruk dengan fenomena El-Nino yang menyebabkan hujan lebat berterusan. Dengan ini, jelaslah bahawa faktor iklim menjadi punca kepada banjir kilat.

Kejadian banjir kilat juga berkaitan dengan aktiviti pemaju projek perumahan. Syarikat perumahan mengabaikan aspek penjagaan alam sekitar. Pemaju-pemaju perumahan tidak memantau projek pembinaan. Mereka juga membiarkan sisa-sisa binaan terbiar selepas sesuatu projek siap djalankan. Contohnya longkang dibiarkan tertimbus dengan pasir dan sisa binaan. Hal ini menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan turun dengan lebatnya.

Terdapat banyak punca yang menyebabkan banjir kilat. Semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi mengatasi masalah ini. Hal ini penting agar masalah banjir kilat dapat diatasi. Dengan ini, segala kerugian yang dialami kerana banjir kilat dapat dikurangkan.

Contoh Karangan Sukan.

Kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan. Hal ini bermakna setiap murid harus melibatkan diri secara aktif dalam salah satu acara sukan yang paling diminati. Selepas diumumkan, dasar ini telah menjadi buah mulut masyarakat, khususnya ibu bapa. Pihak media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik saban hari mengetengahkan  perkara tersebut sebagai isu  utama. Peribahasa ada mengatakan “Jikalau tiada angin , masakan pokok bergoyang”. Dasar ini perlu diperkenalkan kerana negara kita ketinggalan dalam kebanyakan acara sukan bertaraf dunia. Jika negara kita mahu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju yang lain dalam bidang sukan, kita mestilah melakukan sesuatu. Dalam hal ini, semua pihak terutamanya ibu bapa perlu membantu pihak kerajaan bagi merealisasikan hasrat kerajaan ini. Terdapat pelbagai  usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagimenggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.

Satu daripada usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah mereka perlu menjadi model atau jurulatih kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa perlu berjinak-jinak dalam bidang sukan. Langkah yang paling awal ialah ibu bapa hendaklah membawa anak-anak berjoging atau beriadah. Selain dapat meningkatkan tahap kesihatan, ibu bapa dapat mendedahkan aktiviti sukan kepada anak-anak ibarat sambil menyelam minum air. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak berjoging di kawasan padang atau stadium yang berhampiran. Selepas itu, ibu bapa hendaklah bermain badminton atau bola sepak dengan anak-anak. Melalui aktiviti ini, bakat anak yang terpendam dapat digilap. Jika ibu bapa merupakan jaguh sukan sebelum ini, bakat tersebut kemungkinannya dimiliki oleh anak-anak merekabagai kuah tumpah ke nasi. Jika usaha ini diteruskan dari masa ke masa, anak-anak tersebut akan menjadi jaguh sukan pada suatu hari nanti setelah diasuh oleh ibu bapa mereka.

Selain itu, anak-anak amat memerlukan sokongan daripada ibu bapa sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mendorong anak-anak supaya meminati bidang sukan sejak kecil bak kata pepatah kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mereka mestilah menjadi pendorong kepada anak-anak untuk mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat sekolah, daerah atau sebarang pertandingan sukan. Sebagai contohnya, apabila anak-anak tidak mencapai kemenangan dalam sesuatu pertandingan, ibu bapa perlu memberikan dorongan dengan mengucapkan kata-kata bahawa sekali tewas tidak bermakna akan tewas buat selama-lamanya. Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak bahawa di sebalik kekalahan sebenarnya kita memperoleh sesuatu yang lebih berharga, iaitu pengalaman yang tidak dapat dibeli di mana-mana. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu memotivasikan anak-anak supaya mereka rajin berusaha kerana usaha tangga kejayaan.Tegasnya, sokongan daripada ibu bapa sangat besar impaknya kepada anak-anak untuk mencapai kejayaan yang gemilang.

Di samping itu, ibu bapa perlulah memberikan penghargaan dan galakan kepada anak-anak apabila mereka mencapai kejayaan. Semasa anak-anak mencapai kejayaan pada kali pertama dalam acara sukan yang disertai, ibu bapa mestilah memberikan penghargaan atau pujian kepada anak-anak. Apabila dipuji dan penghargaan diberikan kepada mereka, semangat untuk berlatih atau menceburi bidang tersebut dengan lebih giat akan meningkat. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah membelikan anak-anak mereka peralatan sukan yang diminati seperti pakaian, kasut atau peralatan sukan lain sebagai hadiah. Usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini bukanlah memberikan peluang kepada anak-anak untuk membuat sesuatu agar mendapat habuan tetapi membuatkan anak-anak merasai bahawa dirinya dihargai. Melalui cara ini, mereka akan gembira dan menjadikan aktiviti sukan tersebut menyeronokkan. Menurut ahli psikologi, minat seseorang dalam sesuatu perkara akan meningkat jika diberi ganjaran atau penghargaan.

Bukan itu sahaja, anak-anak juga perlu didedahkan dengan bahan bacaan tentang pelbagai jenis sukan. Melalui bahan bacaan tersebut, anak-anak akan mengetahui acara sukan yang diceburi dengan lebih mendalam. Banyak ilmu yang akan diperoleh tentang acara sukan dari segi sejarah, tokoh yang berjaya, aspek kejurulatihan, pemakanan, teknik, strategi, dan sebagainya. Pujangga menyatakan, `Membaca Jambatan Ilmu’. Sebagai contohnya, murid perlu membaca pelbagai majalah yang berkaitan dengan acara sukan yang diminati seperti majalah sukan bola sepak, hoki, dan sebagainya. Usaha ini selari dengan dasar 1 Murid 1 Sukan yang memerlukan murid bukan sahaja mahir bermain malah memahami sesuatu permainan. Dalam hal ini, melalui Dasar 1Murid 1Sukan, murid-murid bukan sahaja memiliki kemahiran dalam sesuatu permainan, malah mereka mampu menjadi jurulatih atau pengadil walaupun tidak mempunyai bakat untuk bermain pada suatu hari nanti.

Sebagai kesimpulannya, ibu bapa merupakan sumber inspirasi kepada anak-anak untuk menceburi bidang sukan. Jika ibu bapa menyuruh anak-anak melibatkan diri dalam bidang sukan, sedangkan mereka tidak melakukannya bersama-sama, usaha ini diibaratkanketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Tindakan ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak ibarat bapa borek anak rintik jika mereka turut sama aktif dalam bidang sukan. Untuk merealisasikan Dasar 1Murid 1Sukan, ibu bapa merupakan insanyang menjadi pendorong selain guru di sekolah. Ibu bapa tidak seharusnya mengharapkan guru-guru sahaja untuk membimbing anak-anak mereka bagi merealisasikan dasar ini. Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak amat penting bagi melahirkan individu yang seimbang dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Jika ibu bapa berjaya memainkan peranannya, sukan di negara kita akan terus gemilang selaras dengan slogan `Majulah Sukan untuk Negara’

Contoh Karangan Mengawal Kenaikkan Harga Barang (Tanggungjawab Semua).

Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi, negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi?  Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.

Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu,pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.Memetik kata-kata azimat  Lootze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. 

Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiridan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.  Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.

“Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan agensi bukan kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.

Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentinganhendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali.Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran.

Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini.

Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut.  

Wednesday, July 3, 2013

LATIHAN: Cara Menulis Penutup Karangan.

Kucing yang sedang tekun belajar :)

KECEMERLANGAN ANAK-ANAK BERMULA DARI RUMAH – peranan institusi keluarga dalam melahirkan anak-anak cemerlang.

Institusi keluarga yang lengkap perlu ada bapa, ibu, anak-anak dan saudara-mara. Setiap unit mempunyai peranan yang jelas dan tersendiri. Ibu bapa dianggap mempunyai peranan paling penting dalam keluarga kerana anak-anak merupakan kain putih, ibu bapalah yang menjadi pencoraknya. Oleh yang demikian, setiap pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga perlu menentukan matlamat dan corak keluarga yang ingin dimiliki. 

Persoalannya,.........................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................

Sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan, pasangan yang bakal melayari bahtera rumah tangga perlu melengkapkan diri dangan ilmu keibubapaan demi melahirkan ibu bapa yang prihatin suatu hari kelak. Ilmu keibubapaan ialah ilmu yang diperoleh melalui kursusu-kursus secara formal atau tidak formal. Misalnya, kursus pra perkahwinan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam atau kursus keibubapaan anjuran badan-badan swasta. Pengisian ilmu keibubapaan yang merangkumi tanggungjawab suami, isteri dan anak-anak serta batasan-batasanhak mereka ini diharapkan dapat melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah kerana pengetahuan agama dan moral dalam keluarga dapat membentuk sahsiah atau disiplin anak-anak.Kita sedia maklum disiplin yang kukuh adalah pencerna kecemerlangan dan kegemilangan anak-anak. Oleh itu,………………..………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………....

Rumahku Syurgaku adalah impian setiap pasangan sama ada yang baru atau yang sudah lama berumahtangga. Apa itu rumah yang menjadi syurga dalam keluarga? Tidak lain dan tidak bukan ialah keluarga yang bahagia. Dalam hal ini, ibu bapa amat berperanan dalam melahirkan keluarga yang harmoni, aman dan damai. Menurut Dr. Hassan Ali, Pengarah Akademi Keluarga Bahagia Malaysia, kesejahteraan bermula dari rumah, maka ibu bapa hendaklah menjadikan rumah seperti syurga yang penuh dengan kedamaian dan keindahan kepada anak-anak. Kesejahteraan di rumah dapat mewujudkan keluarga penyayang. Oleh itu, ibu bapa harus peka dan faham serta mempunyai iltizam terhadap insan yang utuh dari segi emosi, akhlak dan moraliti dalam mengharungi ranjau serta liku yang sentiasa menghambat kesejahteraan keluarga. Anak-anak yang membesar dalam lingkungan kebahagiaan lebih mudah menerima perkara-perkara positif dalam membina diri mereka. Mereka juga lebih tenang dan lebih senang menerima pelajaran bagi memastikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik. Mereka tidak akan mencari jalan lain untuk mencari hala tuju kerana mereka sudah ada keluarga bahagia yang menjadi tulang belakang mereka. 

Jadi…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Proses pembentukan sahsiah bermula dari alam rahim hingga ke akhir hayat. Ibu bapa perlu bertindak sebagai agen pertama dalam pembentukan sahsiah dan penjana kecemerlangan anak-anak. Justru, mereka mesti menjadi role model kepada anak-anak bagi mengelakkan anak-anak daripada terjebak ke kancah negatif. Untuk menjadi role model yang cemerlang, mereka perlu memulakannya daripada diri sendiri. Sebagai contoh, dari segi penampilan diri, ibu bapa yang menjadi role model ini perlu berketrampilan sopan dan tidak melanggar batasan agama dan budaya. Mereka juga perlu menjadi pengurus rumah tangga yang cemerlang iaitu dari segi pengurusan masa, pengurusan diri, pengurusan anak-anak sehinggalah ke pengurusan kewangan. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, bapa borek anak rintik, malah kalau bapa kencing berdiri anak-anak kencng berlari. Sehubungan dengan itu, ……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Ibu bapa merupakan sumber inspirasi anak-anak. Sentuhan kasih sayang dan dakapan mesra menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa seharusnya menjadi pemudah cara kepada anak-anak supaya mereka terkeluar daripada belenggu masalah. Sebagai contoh, apabila anak-anak berhadapan dengan maslah pelajaran atau gangguan emosi, ibu bapa akan menjadi pendengar yang setia dan membantu menyelesaikan masalah mereka. Terdapat juga anak-anak yang mengalami tekanan sehingga mereka hilang kawalan diri dan putus asa, ibu bapalah orang pertama yang seharusnyamenghidupkan kembali semangat mereka dan memberikan bimbingan untuk meneruskan kehidupan. Jika tidak, mereka pasti akan mencari orang luar yang belum tentu dapat menjadi penggalak dan pembimbing ke jalan yang benar. Jelaslah,…..…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Berdasarkan cambahan minda di atas, konklusi yang dapat dibuat ialah sukar untuk menafikan bahawa kecemerlangan ibu bapa menjadi modal insan yang utama untuk menjana kecemerlangan anak-anak. Oleh yang demikian, ibu bapa tidak boleh menjadi seperti ketam mengajar anak-anak berjalan lurus tetapi sahutlah laungan pemimpin negara kita iaitu ‘kepimpinan melalui teladan’. Sebelum nasi menjadi bubur, atau jika tidak mahu tanam padi tumbuhnya lalang, maka.............................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................

Friday, February 22, 2013

ERTI DAN NILAI PERPADUAN NEGARA KITA.

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak :

Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya ;

Memelihara satu cara hidup demokratik ;

Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama ;

Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak ; dan

Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

KELUHURAN PERLEMBAGAAN

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

KESOPANAN DAN KESUSILAAN

PENDAHULUAN:

Salah satu daripada naluri semulajadi manusia ialah ingin hidup berkelompok dan bermasyarakat. Maka untuk memastikan tercapainya hasrat tersebut manusia berusaha dengan sedaya upaya agar kehidupan bermasyarakat tersebut terlaksana sepertimana yang dikehendaki dan diimpikan mereka. Maka juga mahu atau tidak mahu mereka akan terpaksa mengenepikan beberapa kepentingan diri sendiri demi untuk mencapai matlamat murni bermasyarakat. Sikap murni ini juga dipanggil toleransi.

Walau bagaimanapun, disebabkan juga oleh lagi satu naluri semulajadi, iaitu kelemahan manusia sendiri maka seringkali tercetusnya juga permusuhan, perkelahian dan adakalanya sehingga membawa kepada peperangan. Permusuhan dan peperangan sering terjadi sekalipun dalam satu keluarga, bangsa dan juga seagama. Permusuhan dan peperangan tercetus apabila kesabaran sudah tidak dapat dipertahankan dan apabila godaan kebendaan, keegoan dan kepentingan diri sendiri mula menguasai fikiran seseorang.

Sebenarnya tidak ada kebaikan yang dapat dihasilkan menerusi permusuhan dan peperangan. Peperangan merosakkan harta benda, memusnahkan segala kemudahan yang telah sedia ada, memutuskan silaturahim, di samping banyak melahirkan orang-orang yang cacat, yatim piatu. Malah bagi sesuatu bangsa, peperangan dan permusuhan akan melemahkan bangsa itu sendiri sekalipun tidak melenyapkannya dari muka bumi ini. Renungkan semula kepada Krisis Balkan 1998 dahulu yang telah menyaksikan perpecahan negara Yugoslavia yang juga dikenali sebagai Krisis Bosnia dan Serbia. Justeru, setiap ugama mengingatkan umatnya supaya sentiasa hidup rukun dan damai serta berpadu erat antara antara satu sama lain.

DEFINISI PERPADUAN

Perkataan “perpaduan” ini asalnya dari perkataan “padu” iaitu “mampat”, “pejal” dan “padat”. Perpaduan sebenarnya ialah penggabungan. Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Lawan bagi “perpaduan” ialah “permusuhan”, “kehancuran” dan “perpecahan”. Jadi, perpaduan dilihat adalah sebenarnya tuntutan untuk satu perkara yang baik manakala perpecahan pula satu perkara yang sangat keji dan tidak baik.

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa punca kesejahteraan itu ialah keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Keharmonian hidup ini tentulah sukar dicapai tanpa adanya perasaan hormat menghormati, menerima seadanya keadaan, keikhlasan, kasih sayang dan semangat persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu yang menganggotai sesebuah masyarakat itu. Oleh itu, para pemimpin negara kita senantiasa membimbing dan menunjuk jalan kepada kita semua demi memastikan wujudnya nilai kasih sayang dan perpaduan itu.

Sesungguhnya keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat dan bernegara ini adalah salah satu nikmat kehidupan yang sangat besar yang dikurniakan kepada manusia. Bayangkan jika anda telah ditakdirkan sebagai seorang rakyat Yugoslavia ketika Krisis Bosnia – Serbia dahulu? Bayangkan juga jika anda terpaksa mengharungi detik cemas dan gelap Perang Dunia Kedua? Kita semua bernasib baik kerana sebagai warga negara Malaysia yang megah Merdeka, kita hanya perlu membaca semua ini dalam buku mata pelajaran Sejarah, laman internet dan menonton segala kesengsaraan mereka hanya daripada kaca televisyen kita sahaja. Hakikat ini nyata sekali baik di zaman lampau mahupun zaman kini. Sesiapa saja yang tinggal dalam sebuah negara yang aman akan dapat berusaha membangunkan kemajuan negaranya dan dapat hidup sejahtera. Sebaliknya mereka yang tinggal di negara yang kacau bilau, berperang dan berbunuhan, ternyata mereka hidup sengsara, kelaparan dan keperitan.

HALANGAN KEPADA PERPADUAN

Dalam mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara, manusia tidak terlepas dari menghadapi rintangan dan halangan. Halangan-halangan itu ada yang berpunca dari dalam diri seseorang individu itu sendiri dan tidak kurang juga datangnya dari luar diri kita sendiri.

Sifat sombong, berfikiran sempit dan terlalu bangga diri sendiri sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain. Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat rumahtangga, keluarga, masyarakat dan negara. Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan melakukan keganasan dan kekerasan kepada orang lain. Akhirnya ia mencetuskan permusuhan dan peperangan. Perbuatan keras akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Sifat suka bergaduh dan berkelahi sesama sendiri juga akan akhirnya membawa kepada keruntuhan nilai sesebuah bangsa dan tamadun manusia.

BAHAYA AKIBAT PERPECAHAN

Perpecahan dan permusuhan merupakan perbuatan atau gejala masyarakat yang sangat membinasakan. Perpecahan dikutuk kerana ia boleh melemahkan kita sebagai rakyat Malaysia di persada dunia hari ini dan juga esok. Perpecahan hanya akan melemahkan kita dalam pelbagai keadaan serta menjadikan negara lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran yang ada dan akibatnya kita akan dijajah semula oleh kuasa-kuasa asing secara penjajahan politik ataupun melalui penjajahan ekonomi.

Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati di Malaysia hari ini adalah salah satu nikmat kurniaan Tuhan yang dicapai menerusi perpaduan dan keharmonian hidup dalam kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan. Nikmat-nikmat ini mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Bagi anda golongan pelajar dan remaja, secara khusus perpaduan ini lebih penting dan sangat mahal harganya kerana dengan keamanan dan kemakmuran yang ada pada hari ini maka dapatlah usaha-usaha ditingkat bagi kebaikan diri anda dan masa depan anda.

Harga sebuah keamanan dan kemakmuran itu sangat penting kerana rakyat di negara-negara yang lain belum mampu memperlihatkan pencapaian yang tinggi dalam bidang sains dan teknologiberbanding dengan apa yang telah dicapai oleh kita di Malaysia hari ini. Sesungguhnya perpaduanlah merupakan tunjang bagi kemakmuran dan keamanan negara ini.

Tata kelakuan dan gerak-geri masyarakat juga perlu dibentuk supaya selaras dengan tuntutan harmoni, toleransi dan perpaduan. Tingkahlaku yang kasar, biadap, tidak sopan serta tidak pandai menghormati orang lain terutama ibubapa, orang-orang tua, guru-guru dan pemimpin-pemimpin sering menimbulkan rasa benci antara satu sama lain. Oleh itu, dalam usaha membina perpaduan umat maka peningkatan rasa hormat dan kasih sayang mestilah dipupuk dan dipelihara. Dalam konteks masyarakat penyayang yang hendak dibangunkan itu, maka bidang-bidang ini mestilah diberi perhatian. Para guru-guru perlu menjadikan diri mereka sebagai teladan yang baik dalam hal ini.

SIKAP YANG DI PERLUKAN.

Melihat betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kejayaan umat dan negara, maka kita mestilah sentiasa memupuk kesedaran masyarakat supaya menghargai nilai perpaduan ini serta berusaha menjaga dan memperelokkannya. Kita juga mestilah mengajak masyarakat supaya menjauhi gejala-gejala yang boleh membawa perpecahan di samping mengajak mereka berpegang dengan nilai-nilai hidup murni yang berupa kasih sayang, hormat menghormati dan sebagainya. Namun yang paling utama, kita sendiri mestilah memulakan cara hidup yang mulia ini sebelum kita mengharapkan orang lain dapat mengamalkannya pula. Kesimpulannya, kesedaran bermula daripada anda sendiri.

PENUTUP

Demikianlah sedikit penjelasan tentang betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kesinambungan kepimpinan mana-mana negara jua. Tanpa kesedaran yang tinggi dan usaha yang gigih dan teratur, masa depan kita semua dalam bahtera Malaysia ini masih belum pasti lagi arahnya. Maka ayuhlah saudara dan saudariku semua, marilah kita bersama menjayakannya demi hari esok untuk kita semua.

PERPADUAN SATU MALAYSIA

Marilah kita semua bersama-sama menjayakannya. Mulakan dengan anda!

Nota penulis: Saya sering menerima e-mel daripada rakan-rakan siber memohon kebenaran untuk “copy and paste” artikel yang mungkin menarik minat serta mempunyai nilai kegunaan kepada mereka. Saya sedia berkongsi apa-apa sahaja yang terdapat dalam laman ini. Sila juga emelkan apa-apa sahaja pandangan agar dapat kita sama-sama berkongsi minda demi masa depan pelajar dan negara kita yang tercinta ini.

Terima kasih.

* Semoga pelajar  kita Mohd.Najmi Imran Mahmud akan cepat sembuh dan kembali semula ke sekolah.

Saturday, October 6, 2012

CONTOH KARANGAN SPM: Cara-cara Menangani Kenaikan Harga Barang.

Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi, negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi?  Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.

Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Memetik kata-kata azimat  Lootze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. 

Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.  Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.

“Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan agensi bukan kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.

Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran.

Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini.

Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut.  Oleh itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin.

Sunday, June 24, 2012

Latihan Penggunaan Pantun Dalam Karangan Anda.

SAMBUNGAN: Pantun boleh digunakan dalam penulisan karangan. Jika anda memasukkan pantun dalam karangan, kualiti serta nilai karangan akan bertambah baik. Berikut ialah beberapa contoh pantun peribahasa untuk anda gunakan dalam karangan anda.

Ombak badai menggulung-gulung
Kelasi terdampar di tepi pantai
Hajat di hati nak peluk gunung   
Apakan daya tangan tak sampai

Maksud: Bercita-cita besar, namun tak tercapai.

Budak-budak bermain rakit         
Rakit buluh tolong buatkan   
Harap-harapkan guruh di langit   
Air di tempayan dicurahkan

Maksudnya: Bodoh mendengar cakap orang sehingga diri sendiri kerugian

Hujan panas turun berderai           
Guruh menyambar pohon jati
Kasih sayang tak boleh bercerai   
Bagaikan rambut bersimpul mati

Maksud: Perasaan cinta dan kasih sayang yang sangat erat

Burung puyuh burung taktibau       
Terbang tinggi si burung bayan
Di dalam kilat ada kilau                
Rupanya awan mengandung hujan

Maksud: Orang yang berpura-pura baik tetapi sebenarnya ada niat tidak baik

Berburu ke padang datar           
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar               
Bagai bunga kembang tak jadi

Maksud: Sia-sia melakukan sesuatu kerja jika tak cukup kepakaran dan kemahiran

Ayam hutan terbang ke hutan   
Turun ke tanah mencari makan
Kerana digila burung di hutan    
Denak di rumah mati tak makan

Maksud: Sanggup tinggalkan seseorang yang dekat kerana dapat orang baru

Orang gagah pergi berperang       
Terlalu berani lagi perkasa
Gajah mati meninggalkan tulang   
Manusia mati meninggalkan jasa

Maksud: Hidup biar berjasa supaya mati dikenang orang

Ku sangka nanas atas permatang   
Rupanya durian tajam berduri
Ku sangka panas hingga ke petang   
Rupanya hujan di tengahari

Maksud: Kebahagiaan yang hanya sementara/ ujian yang datang tanpa diduga

Kalau mandi pergi ke tebat           
Tunggu malam bulan mengambang
Kalau berjanji tak pernah tepat       
Macam biawak lidah bercabang

Maksud: Orang yang suka berdalih-dalih dan mencipta pelbagai alasan

Dara bersimpu dihujung bendul    
Sambil leka bersembang-sembang
Cakap tidak pernah betul            
Macam lidah tidak bertulang

Maksud: Orang yang kuat menipu dan tak boleh dipercayai

Berbunga lebat pohon rambutan   
Hinggap tempua berjuntai kaki
Bila dapat memandang bulan       
Jangan lupa rumput di bumi

Maksud: Jangan lupa diri dan asal-usul setelah menempa kejayaan

Kayu bakar dibuat arang               
Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang   
Cermin muka lihat sendiri  

Maksud: Cuba lihat kekurangan diri kita sendiri

Satu dua tiga empat                   
Lima enam tujuh setengah 
Sepandai-pandai tupai melompat   
Sekali sekala jatuh ke tanah

Maksud: Betapa pintar dan liciknya orang yang berbuat salah, suatu hari akan tertangkap juga akhirnya.

Satu tangan jarinya lima               
Dua tangan jarinya sepuluh
Saya tanam pokok delima                 
Mengapa peria pula yang tumbuh?

Maksud: Berbuat baik pada orang tetapi dibalas dengan kejahatan

Gesek biola tiup serunai               
Sayu dara berhati walang
Putih mata si burung punai           
Kayu ara ditunggu helang

Maksud: Gadis pingitan yang dikawal rapi oleh ayahnya

Tumbuk padi jadikan emping           
Buat juadah teman sebaya   
Pipit hendak bertenggek ke ranting
Sudikah enggang bertenggek sama?

Maksud: Ingin melamar seseorang yang berbeza darjat dan tarafnya

Pendekar handal di tengah gelanggang
Pendekar bergelar Raja Saksama
Bagaikan pipit dengan enggang       
Manakan boleh terbang bersama?

Maksud: Orang yang tak sama taraf dan darjat tak boleh berbaik dan berkawan rapat

Pergi ke rumah Cik Mariam           
Ramai orang tengah berjaga
Carik-carik si bulu ayam               
Lama-lama bercantum juga

Maksud: Adik beradik yang bergaduh, lambat-laun berbaik semula

Anyam sarung ketupat pulut       
Ketupat hendak direbus juga
Tidak sudahnya seluang melaut   
Akhirnya kembali ke pantai juga

Maksud: Orang yang merantau jauh sampai masa pulang ke tempat asalnya

Bukan saya condong ke dulang     
Saya tak mahu condong ke desa
Biar saya berputih tulang            
Saya tak mahu berputih mata

Maksud: Sanggup berjuang mati-matian kerana tak sanggup kecewa

Lemaknya nasi bergulai udang       
Lemak berbau santan kelapa
Rela kumati berputih tulang           
Tidak kumahu berputih mata

Maksud: Sanggup berjuang habis-habisan kerana tak sanggup kecewa

Cabang apakah tidak bergetah       
Kiranya embun turun pagi
Tanah tak lekuk kayu tak patah       
Ular dipalu mestilah mati

Maksud: Buat sesuatu kerja biarlah cermat supaya siap sempurna

Petani pergi ke bendang   
Tangkap keli masuk ke bakul
Sungguh berat mata memandang
Berat lagi bahu memikul

Maksud: Orang yang menanggung masalah lebih menderita daripada orang yang melihat penderitaannya

Bunga Melur kembang sekaki 
Mari dibungkus dengan kertas
Di dalam telur lagi dinanti            
Inikan pula sudah menetas

Maksud: Sudah terlalu lama menunggu dan bersedia sehingga masanya

Bunga telepuk kembang separak     
Kembang bersusun setiap batang
Awan bertepuk mega bersorak       
Bulan terbit dipagari bintang

Maksud: Lelaki tampan yang dikelilingi wanita-wanita cantik

Medang sila buahnya cantik           
Jatuh menimpa ke pasu bunga
Dengan sebab nila setitik               
Habis rosak susu sebelanga
Maksud: Satu kesalahan telah menyebabkan semua orang terkena tempiasnya

Hulubalang pergi berperang           
Gempita bunyi gendang dipalu
Jangan suka serkap jarang           
Nanti sendiri yang terima malu

Maksud: Main teka-teka atau tuduh-menuduh

Tarik dayung berderap-derap       
Hendak melawan sampan kotak
Dia ibarat si bunga dedap           
Sungguh pun merah berbau tidak

Maksud: Gadis cantik tetapi tidak mempunyai nilai kesopanan

Lalu di depan bongkok menunduk   
Tanda hormat tidaklah takbur
Ibarat telur di hujung tanduk       
Jika tergolek pecahlah bersembur

Maksud: Berada dalam keadaan yang sangat bahaya

Nyiur gading puncak mahligai   
Sayang ketupat berisi inti
Hancur daging tulang berkecai 
Belum dapat belum berhenti

Maksud: Sanggup berjuang habis-habisan sehingga akhir hayatnya

Tampi melukut di hujung tambak
Orang kota memasang rantai
Kalau takut dilambung ombak  
Jangan berumah di tepi pantai

Maksud: Jika takut cabaran, jangan pura-pura berani

Limau purut lebat ke pangkal   
Daun selasih di dalam raga 
Kalau kail panjang sejengkal   
Lautan dalam jangan diduga

Maksud: Jika tak cukup persediaan, jangan berhajat atau berlagak besar

Angin turun bersama ribut       
Melanda segala apa jua
Kasih ibarat embun di rumput   
Datang panas keringlah ia

Maksud: Kasih yang kemungkinan besar akan berubah hati

Kayu keras si kayu kempas       
Alas tempat orang berjudi
Ada beras kerja pun deras       
Ada padi kerja pun menjadi

Maksud: Jika ada kemahiran dan keupayaan, segala kerja mudah dilakukan

LATIHAN: Berikan maksud pantun-pantun di bawah ini.

Pohon rendah akar sebatang    
Hinggap nuri duduk sekawan
Bulan indah dipagar bintang      
Tinggal mentari di balik awan

Kayu perahu sampai seberang
Singgah bermalam di kampung hulu
Bukan tak tahu dunia sekarang 
Gaharu dibakar kemenyan berbau

Dang Nila memangku puan       
Berembang buah pedada
Adakah gila bagimu tuan           
Burung terbang dipipiskan lada?

Encik Embong anak Melaka           
Tanam peria di tepilah pantai
Usah sombong tuan berkata       
Mana buaya menolak bangkai?

Punggur rebah puyuh mendengut,
Dengut melata di tengah padang;
Sedangkan bah kapal tak hanyut,
Inikan pula kemarau panjang

Burung Merak terbang ke laut 
Sampai ke laut mengangkut sarang
Sedangkan bah kapal tak hanyut   
Inikan pula kemarau panjang

Dalam perlak ada kebun           
Dalam kebun ada tanaman
Dalam gelak ada pantun           
Dalam pantun ada mainan

Sunday, April 8, 2012

NILAI PANTUN DALAM PENULISAN KARANGAN ANDA.

Jikalau tidak kerana Bintang
Masakan bulan terbit tinggi
Jikalau tidak kerana abang
Masakan adik datang ke sini

If not for the stars above
Why would the moon venture high
If not for you, my only love
Why would I venture nigh...

(Adapted translation by / Di adaptasikan oleh: Francois Rene Daillie)

Pantun boleh digunakan dalam penulisan karangan. Jika anda memasukkan pantun dalam karangan, kualiti serta nilai karangan akan bertambah baik. Berikut ialah beberapa contoh pantun peribahasa untuk anda gunakan dalam karangan anda. 

Burung jelatik burung jeladan      
Terbang mari ke hujung benua
Sama cantik sama padan          
Bagai pinang di belah dua
Maksud: Pasangan pengantin yang nampak serasi dan sepadan.

Sayur kucai sayur tumis           
Gatal sungguh getah jelatang
Dua-dua sama manis                   
Bagaikan bulan dipagar bintang
Maksud: Seorang lelaki kacak yang dikelilingi gadis-gadis cantik belaka.

Buah langsat kuning mencelah  
Keduduk tidak berbunga lagi
Sudah dapat gading bertuah      
Tanduk tidak berguna lagi
Maksud: Sudah dapat teman baru, teman lama dilupakan/ditinggalkan.

Ayam disabung jantan dipaut    
Jika ditambat kalah laganya
Asam di darat ikan di laut         
Dalam belanga bertemu jua
Maksud: Ke mana pergi jika sudah jodoh bertemu juga.

Sungguh dalam di tengah lautan
Tempat bertapa sang buaya
Sesal dahulu pendapatan      
Sesal kemudian tiada gunanya
Maksud: Lebih baik menyedari kesilapan awal-awal supaya boleh dibetulkan.

Dara sunti berhias di cermin      
Sedang melentik si bulu mata
Dua mempelai di atas pelamin  
Seperti cincin dengan permata
Maksud: Sepasang suami isteri yang sama sepadan.

Hang Nadim Hang Setia          
Dua-dua pahlawan Melayu
Tidak kusangka begitu dia      
Ada udang di sebalik batu
Maksud: Berpura-pura baik tetapi sebenarnya menyimpan niat tertentu.

Kalau ada duit sekupang          
Boleh beli cuka mentahun
Habis padi burung terbang      
Ulat tidak kenangkan daun
Maksud: Telah Lupa diri.

Tinggi sungguh Gunung Daik      
Mercunya nampak terang berkilau
Kalau asal benih yang baik      
Jatuh ke laut menjadi pulau
Maksud: Orang yang baik sentiasa diterima walau di mana juga anda berada.

Tuesday, March 20, 2012

Karangan: Memahami Konsep 1 Malaysia.

Untuk menjayakan wawasan 1 Malaysia, negara memerlukan orang yang berintegriti tinggi, bersifat jujur, berkebolehan, telus, ikhlas dan sikap amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. Oleh itu,kita harus bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Remaja yang cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang,mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada negara.Sebagai remaja yang berwawasan,kita harus bersikap muhibbah kepada semua kaum, segenap bangsa dan seluruh agama yang berlainan daripada kita. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia terutamanya remaja,tanpa mengira usia keturunan dan anutan agama, perlu bertindak sebagai satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia.

Jika kita semua boleh berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selamat, aman dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia. Lihat sahaja negara matahari terbit Jepun, dan juga Korea: Sifat rakyatnya yang mempunyai hanya satu hala tuju berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selamat, aman dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia mesti kita contohi.

1Malaysia adalah gagasan yang mengharmonikan rakyat pelbagai kaum di negara ini tanpa mengubah identiti kaum-kaum tersebut. Di samping menjaga kepentingan semua kaum,konsep 1Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pewujudan sebuah Bangsa Malaysia.Oleh itu kita semua tidak harus bersikap memilih kawan berdasarkan kaum dan perlu saling hormat menghormati sesama kita sebagai rakyat dalam satu negara. Turut serta menghormati perayaan kaum lain juga merupakan salah satu peranan yang boleh dilakukan bagi mewujudkan perpaduan .Selain dapat mengeratkan hubungan sesama kaum,kita juga dapat mengenali dengan lebih dekat tentang perayaan,adat serta budaya kaum lain.

Malahan 1Malaysia juga menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu asset atau kelebihan yang patut dibanggakan. Konsep 1Malaysia menekankan kepada pendidikan sebagai prasyarat yang penting. Negara kita Malaysia amat memerlukan masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan untuk membangunkan negara. Oleh itu, anda sebagai remaja harus lebih banyak membaca dan menyelidik di samping sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan kaum lain bagi mengadakan aktiviti bersama.

Kesimpulannya, konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagai mana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Sehubungan dengan itu,remaja perlu memahami dan mengamalkan ideologi bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Manakala,semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Sunday, February 19, 2012

Erti dan Kepentingan Perpaduan Negara.

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak :

  • mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya ;
  • memelihara satu cara hidup demokratik ;
  • mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama ;
  • menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak ; dan
  • membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN

    PENDAHULUAN:

    Salah satu daripada naluri semulajadi manusia ialah ingin hidup berkelompok dan bermasyarakat. Maka untuk memastikan tercapainya hasrat tersebut manusia berusaha dengan sedaya upaya agar kehidupan bermasyarakat tersebut terlaksana sepertimana yang dikehendaki dan diimpikan mereka. Maka juga mahu atau tidak mahu mereka akan terpaksa mengenepikan beberapa kepentingan diri sendiri demi untuk mencapai matlamat murni bermasyarakat. Sikap murni ini juga dipanggil toleransi.

    Walau bagaimanapun, disebabkan juga oleh lagi satu naluri semulajadi, iaitu kelemahan manusia sendiri maka seringkali tercetusnya juga permusuhan, perkelahian dan adakalanya sehingga membawa kepada peperangan. Permusuhan dan peperangan sering terjadi sekalipun dalam satu keluarga, bangsa dan juga seagama. Permusuhan dan peperangan tercetus apabila kesabaran sudah tidak dapat dipertahankan dan apabila godaan kebendaan, keegoan dan kepentingan diri sendiri mula menguasai fikiran seseorang.

    Sebenarnya tidak ada kebaikan yang dapat dihasilkan menerusi permusuhan dan peperangan. Peperangan merosakkan harta benda, memusnahkan segala kemudahan yang telah sedia ada, memutuskan silaturahim, di samping banyak melahirkan orang-orang yang cacat, yatim piatu. Malah bagi sesuatu bangsa, peperangan dan permusuhan akan melemahkan bangsa itu sendiri sekalipun tidak melenyapkannya dari muka bumi ini. Renungkan semula kepada Krisis Balkan 1998 dahulu yang telah menyaksikan perpecahan negara Yugoslavia yang juga dikenali sebagai Krisis Bosnia dan Serbia. Justeru, setiap ugama mengingatkan umatnya supaya sentiasa hidup rukun dan damai serta berpadu erat antara antara satu sama lain. 

    DEFINISI PERPADUAN

    Perkataan “perpaduan” ini asalnya dari perkataan “padu” iaitu “mampat”, “pejal” dan “padat”. Perpaduan sebenarnya ialah penggabungan. Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Lawan bagi “perpaduan” ialah “permusuhan”, “kehancuran” dan “perpecahan”. Jadi, perpaduan dilihat adalah sebenarnya tuntutan untuk satu perkara yang baik manakala perpecahan pula satu perkara yang sangat keji dan tidak baik.

    Sebagaimana kita sedia maklum bahawa punca kesejahteraan itu ialah keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Keharmonian hidup ini tentulah sukar dicapai tanpa adanya perasaan hormat menghormati, menerima seadanya keadaan, keikhlasan, kasih sayang dan semangat persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu yang menganggotai sesebuah masyarakat itu. Oleh itu, para pemimpin negara kita senantiasa membimbing dan menunjuk jalan kepada kita semua demi memastikan wujudnya nilai kasih sayang dan perpaduan itu.

    Sesungguhnya keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat dan bernegara ini adalah salah satu nikmat kehidupan yang sangat besar yang dikurniakan kepada manusia. Bayangkan jika anda telah ditakdirkan sebagai seorang rakyat Yugoslavia ketika Krisis Bosnia – Serbia dahulu? Bayangkan juga jika anda terpaksa mengharungi detik cemas dan gelap Perang Dunia Kedua? Kita semua bernasib baik kerana sebagai warga negara Malaysia yang megah Merdeka, kita hanya perlu membaca semua ini dalam buku mata pelajaran Sejarah, laman internet dan menonton segala kesengsaraan mereka hanya daripada kaca televisyen kita sahaja. Hakikat ini nyata sekali baik di zaman lampau mahupun zaman kini. Sesiapa saja yang tinggal dalam sebuah negara yang aman akan dapat berusaha membangunkan kemajuan negaranya dan dapat hidup sejahtera. Sebaliknya mereka yang tinggal di negara yang kacau bilau, berperang dan berbunuhan, ternyata mereka hidup sengsara, kelaparan dan keperitan

    HALANGAN KEPADA PERPADUAN

    Dalam mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara, manusia tidak terlepas dari menghadapi rintangan dan halangan. Halangan-halangan itu ada yang berpunca dari dalam diri seseorang individu itu sendiri dan tidak kurang juga datangnya dari luar diri kita sendiri.

    Sifat sombong, berfikiran sempit dan terlalu bangga diri sendiri sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain. Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat rumahtangga, keluarga, masyarakat dan negara. Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan melakukan keganasan dan kekerasan kepada orang lain. Akhirnya ia mencetuskan permusuhan dan peperangan. Perbuatan keras akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.

    BAHAYA AKIBAT PERPECAHAN 

    Perpecahan dan permusuhan merupakan perbuatan atau gejala masyarakat yang sangat membinasakan. Perpecahan dikutuk kerana ia boleh melemahkan kita sebagai rakyat Malaysia di persada dunia hari ini dan juga esok. Perpecahan hanya akan melemahkan kita dalam pelbagai keadaan serta menjadikan negara lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran yang ada dan akibatnya kita akan dijajah semula oleh kuasa-kuasa asing secara penjajahan politik ataupun melalui penjajahan ekonomi.

    Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati di Malaysia hari ini adalah salah satu nikmat kurniaan Tuhan yang dicapai menerusi perpaduan dan keharmonian hidup dalam kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan. Nikmat-nikmat ini mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Bagi anda golongan pelajar dan remaja, secara khusus perpaduan ini lebih penting dan sangat mahal harganya kerana dengan keamanan dan kemakmuran yang ada pada hari ini maka dapatlah usaha-usaha ditingkat bagi kebaikan diri anda dan masa depan anda. 

    Harga sebuah keamanan dan kemakmuran itu sangat penting kerana rakyat di negara-negara yang lain belum mampu memperlihatkan pencapaian yang tinggi dalam bidang sains dan teknologiberbanding dengan apa yang telah dicapai oleh kita di Malaysia hari ini. Sesungguhnya perpaduanlah merupakan tunjang bagi kemakmuran dan keamanan negara ini.

    Tata kelakuan dan gerak-geri masyarakat juga perlu dibentuk supaya selaras dengan tuntutan harmoni, toleransi dan perpaduan. Tingkahlaku yang kasar, biadap, tidak sopan serta tidak pandai menghormati orang lain terutama ibubapa, orang-orang tua, guru-guru dan pemimpin-pemimpin sering menimbulkan rasa benci antara satu sama lain. Oleh itu, dalam usaha membina perpaduan umat maka peningkatan rasa hormat dan kasih sayang mestilah dipupuk dan dipelihara. Dalam konteks masyarakat penyayang yang hendak dibangunkan itu, maka bidang-bidang ini mestilah diberi perhatian. Para guru-guru perlu menjadikan diri mereka sebagai teladan yang baik dalam hal ini.

    SIKAP YANG DI PERLUKAN