Friday, March 6, 2009

STRATEGI MENJAWAB SOALAN NOVEL

Sebenarnya amat mudah mendapat markah penuh untuk bahagian ini. Jawapan hanyalah berdasarkan novel-novel yang anda pelajari dan dijawab dalam ayat yang lengkap dan sempurna. Jadi, baca novel sebenar dan bukannya buku analisis novel.

Dalam menjawab, tulis jawapan yang tepat. Jangan beri jawapan yang umum. Sebagai contoh latar tempat. Anda menulis latar tempat shelter (Novel Di Hadapan Pulau). Dalam sesebuah novel, tempat-tempat yang dipilih mempunyai sebab-sebab tertentu. Jadi, anda perlu menjelaskan tentang latar tempat itu secara spesifik. Sebutkan shelter sebagai tempat orang-orang kampung berlindung daripada serangan bom. Barulah satu markah diberikan. Begitu juga jika anda penulis tentang watak, nyatakan nama watak-watak tersebut. Sekiranya fakta yang anda beri salah, huraian tidak akan diberikan markah walaupun huraian betul.

Setiap huraian bagi fakta yang disertakan mesti menyebutkan peristiwa dengan jelas dengan menyebutkan nama watak dalam novel tersebut seperti Ratu Bongsu, Perempuan Tua atau Tuan Robert (Novel Putera Gunung Tahan)..

Berikan penekanan dalam tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot dan teknik plot, latar, nilai dan pengajaran. Aspek gaya bahasa dan sudut pandangan mungkin tidak keluar kerana skop aspek itu agak mendalam dan hanya sesuai untuk pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Namun, aspek-aspek itu perlu juga dipelajari.

Baca novel-novel yang dipelajari di Tingkatan 4 dan 5 - Di Hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan. Terdapat juga soalan perbandingan novel. Namun, tidak mustahil hanya satu novel sahaja yang ditanya dalam soalan. Yang pentingnya jawapan anda mesti memperlihatkan kematangan dan penghayatan terhadap novel tersebut.

Pastikan anda tidak membuat sebarang kesalahan ejaan atau tatabahasa kerana jawapan yang baik akan diberi markah penuh untuk bahasa.