Friday, July 24, 2009

BERMAIN DENGAN MATEMATIK!


Sebuah kiriman e-mel daripada bekas pelajar saya Cik Nurul Anida yang kini sedang melanjutkan pengajian beliau di Amerika Syarikat. Nampaknya sambutan e-mel daripada bekas pelajar saya amat memberangsangkan. Oleh itu, Laman Bimbingan Bahasa Melayu SPM ini akan mengkhaskan satu ruangan baru yang dinamakan “Sumbangan Pelajar Senior” untuk memuatkan segala hasil nukilan mereka yang sangat kami alu-alukan. Terima kasih dan syabas kepada anda semua!



Semenjak kecil lagi saya memang mengemari subjek Matematik. Ibu saya memainkan peranan penting dalam memupuk minat saya terhadap bidang Matematik. Beliau telah menyediakan banyak permainan Matematik dan alat mainan Matematik yang telah banyak membantu saya untuk memahami kepentingan konsep Matematik dengan hanya bisikan kalbu. Nombor, bentuk, saiz, aritmetik, logik dan lain-lain. Pendek kata, tahap proses pembelajaran kanak-kanak adalah paling optimum semasa mereka sedang bergembira sewaktu bermain. Oleh itu, jangan berlengah lagi. Mari kita bergembira dengan permainan Matematik ini :)

Ini ialah suatu formula matematik yang sangat mudah akan tetapi formula ini juga sangat menghairankan! Mari kita mulakan aplikasi formula ini.

Ambil nombor telefon bimbit anda semua.

Contohnya : 012-345 6789. Angka 012 yang di hadapan tidak akan digunapakai dalam formula ini kerana angka '012' tadi akan menghalang proses perkiraan cara mudah.

Sekarang anda ambil sebuah kalkulator untuk memudahkan pengiraan anda.

Masukkan tiga digit pertama nombor telefon anda ke dalam kalkulator (contoh seperti di atas: 345).

Darabkan dengan 80

Campurkan dengan 1

Darabkan dengan 250

Campurkan jawapan tadi dengan empat angka terakhir nombor telefon anda (contoh seperti di atas: 6789)

Campurkan sekali lagi jawapan dengan empat angka terakhir nombor telefon anda (contoh seperti di atas: 6789)

Tolakkan jumlah tersebut dengan 250

Kemudian terakhir sekali anda bahagikan jumlah ini dengan 2

Sekarang, apakah jawapan anda?