Tuesday, July 21, 2009

IMBAUAN BESI LAMA DI BIRMINGHAM: ERTI KEMERDEKAAN INI.


Hasil kiriman e-mel bekas pelajar saya En. J, yang kini sedang menuntut di Holborn Law Tutors, The United Kingdom. Beliau boleh dihubungi di rarefinds00@yahoo.co.uk

Tajuk karangan ini berkemungkinan besar tidak akan dijadikan topik dalam peperiksaan SPM anda tahun ini. Namun saya merasakan yang saya patut menulis serta berkongsi apa-apa yang terkumpul dalam penglihatan saya dalam konteks erti kemerdekaan, bersempena dengan bulan Kemerdekaan Ogos yang bakal menjelang tiba.

Jika anda telah pun berpeluang melawati ataupun mungkin juga akan suatu hari kelak bertandang ke England anda mungkin juga berminat untuk melawati ke Thinktank Museum yang terletak di Birmingham. Di sini anda boleh melihat pelbagai nostalgia sejarah pencapaian Great Britain dalam perlumbaan teknologinya dengan negara-negara lain di dunia ini. Anda boleh melihat keretapi lokomotif stim pertama yang mampu mencecah 80 batu satu jam dan anda juga boleh melihat pesawat keramat Spitfire Tentera Udara Diraja Britain yang telah mengalahkan armada udara Luftwaffe pihak Jerman dalam Battle of Britain semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Anda juga boleh melihat pelbagai jenis teknologi enjin darat, laut dan udara buatan teknologi dan kepakaran para jurutera Great Britain.










Namun tahukah anda bahawa dalam tempoh masa 446 tahun kita telah di jajah, sudah berapa juta tan timah kita yang telah di ambil mereka demi untuk kemajuan mereka? Kemajuan yang mereka mampu capai kerana akal mereka, kerana sikap berdikari mereka tetapi dengan azab keringat dan linangan mata dan rintihan anak bumi pra-merdeka Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).

Kajian sejarah telah mencatatkan bahawa hampir 80% kekayaan Great Britain hanya mampu mereka capai setelah mereka memperoleh bahan-bahan mentah hasil bumi daripada kekayaan semula jadi negara yang mereka takluki secara ketenteraan dan kemudian jajahi secara politik beratus-ratus tahun lamanya. England boleh dikatakan adalah sebuah negara besar tetapi tidak banyak terdapat hasil bumi. Menyedari hakikat ini maka melalui penjajahan negara-negara lain, mereka beroleh segala jenis bahan mentah dan kemudiannya mereka terus membina kekuatan ekonomi mereka. Kekuatan ekonomi yang masih lagi kekal sehingga ke hari ini. Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) walaupun kecil tetapi tersangat kaya dengan hasil semula jadi buminya daripada limpah anugerah Tuhan kepada kita semua.

Hari ini kita telah pun Merdeka selama 52 tahun. Dalam langkah kemerdekaan ini kita telah mampu meneroka hingga ke angkasa dan menjadi negara Asean pertama yang mempunyai seorang angkasawan. Kita juga mampu mempunyai banggunan tertinggi dunia dan kita juga masih lagi mampu mengekalkan nilai budaya kita sebagai rakyat Malaysia. Sebenarnya kita perlu serba sedikit mencontohi para penjajah kita dahulu dan kita mesti berani dan sanggup meneroka demi untuk kekuatan kita semua. Tanpa ilmu kita tidak akan boleh melangkah jauh ke hadapan lagi. Oleh itu berikan tumpuan anda yang sepenuhnya ketika anda menuntut ilmu pada hari ini dan juga seterusnya. Akal adalah kekuatan yang sebenarnya dan ilmu adalah penyuluh kejayaan anda semua!

Jika kelak anda berpeluang ke Thinktank Museum Birmingham, ketika anda bersiar melihat pencapaian teknologi mereka, ingat juga bahawa asal besi kebanggaan mereka adalah timah yang telah dilombong mungkin di Lembah Kinta Perak atau Sungai Besi Selangor dengan hasil keringat anak Malaya pra-merdeka, yang pada hari ini anda sebagai seorang anak Malaysia pasca Merdeka adalah pewaris mutlak bagi perjuangan mereka yang terdahulu daripada kita.

Ingat dan hargai setiap titik keringat dan air mata pengorbanan mereka, ingat bahawa anda sebenarnya berhutang dengan masa depan anak-anak cucu anda dalam menimba ilmu dan menempa kejayaan anda pada hari ini demi untuk masa depan anda semua!

Jangan hanya mampu menjadi jaguh di bangku sekolah hari ini tetapi akan akhirnya menjadi besi buruk dalam batuan hidup kita yang seterusnya. Jaguh yang bijak dan matang akan mengenali hakikat bahawa kejayaan adalah sebenarnya sebuah perjalanan dan bukanlah satu destinasi.

Terima kasih sekalung budi saya ucapkan kepada semua bekas guru saya. Tanpa jasa anda kepada saya, saya tidak akan mampu meneruskan perjalanan seperti hari ini. Salam Merdeka buat semua.