Friday, July 3, 2009

IMPAK PROGRAM ANGKASAWAN NEGARA


Kiriman emel daripada bekas pelajar saya.

Ketika kerajaan mengumumkan untuk mencari angkasawan pertama negara sekitar tahun 2003 lalu, ramai yang mula membuat pelbagai interpretasi mengenai projek yang bakal membawa Malaysia menjadi sebuah daripada 39 buah negara elit dunia yang berstatus peneroka angkasa lepas.

Pada waktu itu, tidak ramai mengetahui malah memahami persoalan sebenar di sebalik penghantaran seorang rakyat Malaysia ke angkasa.

Dari sudut pandangan negatif sebahagian masyarakat, ada yang melihatnya sebagai khayalan semata atau “bermimpi di siang hari”.

Namun, bagi yang positif, permulaan Program Angkasawan Negara adalah sebenarnya merupakan satu langkah yang besar bagi manusia sejagat secara amnya dan bagi rakyat Malaysia khususnya.

Sekitar tahun itu juga, nama Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) adalah agak begitu asing sekali terutamanya dalam kalangan masyarakat di pedalaman. Namun kini, selepas dua tahun berlalu, segalanya telah berubah dan jika disebut sahaja tentang Program Angkasawan Negara, ramai hatta kanak-kanak sekolah pun sudah mengetahui malah mampu bercerita mengenai ISS.

Tidak kurang, ada juga dalam kalangan mereka yang beroleh pengetahuan terhadap teknologi roket, sumber atau tenaga pemacuan roket berkenaan serta tentang kapsul angkasa Soyuz yang membawa angkasawan negara iaitu Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke ISS serta dua orang lagi Angkasawan lain pulang semula ke Bumi dengan selamatnya.



Begitulah impak atau kuatnya pengaruh program tersebut sehingga berjaya membuka mata seluruh rakyat Malaysia mengenai teknologi penerokaan angkasa lepas melalui Program Angkasawan Negara.

Bagi kerajaan dan mereka yang terlibat secara langsung dalam Program Angkasawan Negara pula, pasti kejayaan yang ulung kali menghantar rakyat Malaysia ke ISS tanggal 10 Oktober 2007 adalah satu kejayaan yang cukup membanggakan dan telah sekaligus memartabatkan nama Malaysia sebagai salah sebuah daripada 39 buah Negara elit di Cawangan Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang juga diketuai oleh seorang warga rakyat Malaysia Datuk Dr. Mazlan Othman, selaku Pengarah Pejabat PBB Berkaitan Hal Ehwal Angkasa Lepas.



Walaupun angkasawan negara hanya berada di ISS, selama 12 hari, namun kejayaan ini sudah cukup untuk menjadi pemangkin kepada kebangkitan generasi akan datang. Impak daripada Program Angkasawan Negara adalah cukup kuat dan kita sendiri boleh melihat akan perubahan minda dalam kalangan masyarakat muda kita hari ini.

Misalnya, di sebuah sekolah rendah luar bandar, apabila ditanyakan mengenai cita-cita kanak-kanak di sekolah itu, ramai yang mengatakan untuk mahu menjadi angkasawan apabila dewasa kelak. Jika pada masa kita dahulu, jawapan sebegini hanya akan diterima pakai sebagai suatu daya imaginasi kreatif anak-anak sekolah rendah, namun pada hari ini citi-cita berkenaan adalah berkemungkinan besar terlaksana. Inilah permulaan yang sangat berharga hasil daripada penerokaan Program Angkasawan Negara kita.

Walaupun agak sukar untuk kita menghantar angkasawan kedua dalam masa ekonomi dunia kini, mengalami kegawatan, namun kita telah mula menguasai dan mengambil pendekatan serius dalam mengembangkan semua bidang yang berkaitan dengan angkasa lepas.

Mungkin kita lebih perlu memberikan fokus kepada teknologi penyelidikan angkasa lepas atau teknologi penerokaan angkasa lepas pula selepas ini. Sebagai contoh, kalau kita mahukan rakyat kita mampu menjadi jurutera di ISS, kita perlu melatih mereka dari sekarang. Sistem propulsi/pemacuan dalam penerokaan angkasa lepas adalah sangat berbeza dengan apa jua teknologi pemacuan konvensional yang ada di guna pakai pada hari ini. Pada detik ini juga para saintis di NASA dan CERN sedang sibuk menjalankan ujian dalam bidang pemacuan "Anti Matter Engineering". Melalui sumber pemacuan ini, kapal-kapal angkasa pada masa hadapan hanya akan memerlukan 1 gram tenaga jenis berkenaan untuk terbang ke planet Zuhal dan pulang semula ke bumi dalam jangka masa hanya 5 bulan berbanding dengan jangkamasa 7 tahun jika menggunakan sistem teknologi jana kuasa pemacuan angkasa yang ada pada ketika ini. Kita sudah separuh jalan dan Program Angkasawan Negara perlu diteruskan untuk masa depan kita dalam arus pembanggunan ekonomi pengetahuan dunia.

Seperti pepatah lama Arab yang ada menyebut: Kejayaan adalah pengembaraan dan ilmu adalah kejayaan.

Sila klik di sini untuk membolehkan anda membaca dengan lebih mendalam lagi tentang Program Angkasawan Negara.