Tuesday, October 11, 2011

LATIHAN: CONTOH KARANGAN UNTUK SOALAN KERTAS 2 SPM.




LANGKAH-LANGKAH MEMPERKUKUHKAN DAYA TAHAN EKONOMI NEGARA

Sejak krisis kewangan global yang tercetus di Amerika Syarikat dan Eropah kini semakin ketara dan telah memberi impak negatif kepada ekonomi benar di peringkat global, termasuk juga Malaysia.  Perkembangan ini sudah pasti akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan antarabangsa. Namun, pelbagai langkah telah, sedang dan akan terus diambil oleh kerajaan demi untuk memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia terpelihara dan terus dilindungi.  

Dengan mengambil kira persekitaran ekonomi global yang mencabar ini, kerajaan telah mengambil langkah "tindak-balas polisi" bagi menangani krisis kewangan global ini. Ke arah ini, dasar pengembangan fiskal dilakukan memandangkan Negara mempunyai fleksibiliti untuk melaksanakan projek serta program berimpak tinggi berikutan daripada penjimatan subsidi minyak akibat penurunan harga minyak di peringkat global. 

Melalui penjimatan yang dijangkakan ini, pelbagai inisiatif melibatkan suntikan peruntukan sebanyak RM7 billion akan dilaksanakan bagi memangkinkan aktiviti ekonomi dalam negeri serta meransang aktiviti sektor swasta dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Disamping itu kemajuan ekonomi hendaklah menuju ke arah wujudnya sebuah masyarakat yang berperadaban. Kekuatan ekonomi yang diperolehi hendaklah dari sumbangan kekuatan penghayatan nilai kemanusiaan yang jelas dan utuh. Penyusunan dan pembangunan yang tidak berteras nilai kemanusiaan yang dituntut oleh agama akan menghasilkan ketidakadilan dan keharmonian hidup masyarakat. 

Memahami hakikat ini, segala projek dan program yang dilaksanakan ini adalah selari dengan teras Misi Nasional dan juga selaras dengan strategi khusus kerajan dalam usaha mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Negara yang mapan dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Semua ini memerlukan komitmen daripada kita semua rakyat Malaysia, bak kata pepatah: “Bukit sama didaki, lurah sama dituruni”.

Berpegang kepada prinsip pro-aktif ini, kerajaan sentiasa mengambil tindakan awalan merancang dan mengenal pasti kaedah dan pendekatan yang sesuai dengan pergolakan suasana ekonomi serantau dan diperingkat sejagat. Seperti kata pepatah: “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, ketekunan dan kepakaran kerajaan dalam memelihara kedudukan ekonomi kita akan terus menjadi faktor utama dalam menjamin masa depan yang teguh untuk semua lapisan rakyat Malaysia.

Dengan memahami pergolakan ekonomi diperingkat serantau dan sejagat, kita mampu mengatur langkah yang sesuai dan berkesan dalam memajukan lagi ekonomi Malaysia. Kecekapan mentadbir ekonomi negara akan terus memainkan peranan penting dalam menjamin kesejahteraan kita semua.