Anda boleh menuruni anak tangga ini dan berjalan di tebing Sungai Seine. Namun pada malam ini air pasang terlalu tinggi dan telah menenggelami tebing Seine…
Sebenarnya, Sungai Seine adalah “nadi utama” di tengah-tengah ibu kota Paris. Pangsapuri saya berhadapan dengan sebatang sungai dan jalan Rue Du Faubourg St. Denis . Setiap hari saya dapat melihat bot-bot yang membawa pelancong-pelancong yang ingin menikmati pemandangan di sekitar Sungai Seine yang indah dan romantik melalui tingkap pangsapuri saya.
Namun sehingga penghujung abad ke-19 salah satu fungsi utama sungai romantik ini adalah untuk berkhidmat sebagai pembetung najis penduduk Paris.
Akan tetapi hari ini, hasil usaha keras pembersihan yang bersepadu oleh kerajaan tempatan, ikan Salmon Lautan Atlantik telah mula kembali berenang dalam arus Sungai Seini. Suatu malam, pada musim bunga yang sedang berlalu kini, saya berdiri dengan beberapa rakan di atas Jambatan Notre Dame, merenung ke dalam riak gelap Sungai Seine apabila kilatan cahaya bulan telah memilih seekor ikan yang agak besar di bawah kami untuk melantunkan cahayanya.
Saya bukanlah seorang kaki joran, namun saya mampu menulis di sini bahawa ukuran ikan tersebut adalah terlalu panjang untuk seekor Salmon, berhidung tumpul, mungkin juga berkaki, seekor makhluk pra-sejarah yang berenang perlahan-lahan ke hilir, dan tidak mungkin berkongsi keturunan bersama-sama dengan spesis ikan Salmon tadi.
Ikan itu berenang ke dalam kegelapan, meninggalkan kami semua dengan rasa gerak hati bahawa sungai ini menyimpan rahsia yang lebih besar daripada hanya ikan Salmon Atlantik.
Janganlah terlalu berani bermundar-mandir di sekitar kawasan ini melewati malam keseorangan…sepanjang sejarah Perancis, daripada beratus konflik dan peperangan agama, serta berpuluh revolusi, sungai ini telah juga menelan nafas terakhir beratus-ratus pejuang malang yang mendapati diri mereka berada di sebelah yang tewas dalam percaturan kuasa. Lewat tengah malam, Seine tidak lah seromantik yang telah sesetengah orang bayangkan…
Pada tahun pertama sahaja saya mendiami bandar raya ini, lebih daripada 30 mangsa kes bunuh diri (atau dibunuh?), telah dibawa keluar oleh pihak berkuasa mereka.
Awal pagi ini, dalam gelombang pasang surut Seine sambil menguap mengantuk sang musafir ini, tiba-tiba terbayang semula ikan pra-sejarah yang saya pernah lihat dalam Sungai Seine dan langsung terilham menulis coretan ini untuk anda semua di laman ini.
Hargai zaman sekolah anda, hargai guru-guru anda agar anda akan beroleh berkat kejayaan usaha mereka.
Selamat Hari Raya Aidil Adha tahun Islam 1432 Hijrah dan Salam 1 Malaysia.
Sesak siang dan malam...
Macam ada pesta Pasar Tani dan Pasar Malam setiap waktu.
Arc de Triomphe kelihatan jauh dibelakang.
Sumbangan daripada Encik Zaril (GIMD France).
Laman SPM Bahasa Melayu mengucapkan terima kasih &
Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada beliau dan keluarga.
Sumbangan daripada Encik Zaril (GIMD France).
Laman SPM Bahasa Melayu mengucapkan terima kasih &
Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada beliau dan keluarga.