Setelah menghela nafas
kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada
cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun
kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi,
negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit.
Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi
pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan
inflasi? Mengikut penjelasan yang terdapat
dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan
harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu,
masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus
diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata peribahasa, tak
ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.
Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap
masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan
sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara
istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan
batuk di tangga. Memetik
kata-kata azimat Lootze, kehidupan
membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan.
Lantaran itu, kempen
tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai
murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan
yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan
sendiri ibarat mengukur baju di badan
sendiri dan usahlah bersikap membesarkan
kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa
padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus
mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaaan khalayak seperti
sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha
menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat
secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkai
masalah kenaikan harga barangan.
“Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk
menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu
kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya
menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak
dapat melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi
daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan
matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang
berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan agensi bukan
kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan
tanpa kawalan di pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan
sepanjang masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini
seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna
Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para
pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan
menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga
barangan keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj
perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah
mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan
terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan
tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan
ukhuwah ibarat seikat bak sirih, serumpun
bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah Confusius, apakah
gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik
kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya,
melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di
pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.
Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada
masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah
adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara
ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti
ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi
ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil
tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati
tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan
juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara
mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan
para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap
seperti lintah darat.
Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang
terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya
menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi
peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga
barangan atau memasang lukah di
pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini
tidak berulang ibarat pisang berbuah
dua kali. Oleh itu, usaha pihak
berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap
peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga
barangan di pasaran.
Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin
akan menggosoknya terlebih dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah
membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha
yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan
dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan
untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa
bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia
maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang
meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya
segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas
gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa
haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan
berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak
media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak
mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya,
apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan
kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat
dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media
elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu
kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam
memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan
di negara ini.
Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap
lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang
kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil
dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu
ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang.
Oleh itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung
untuk membendung masalah tersebut. Oleh
itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat,
Tun Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin.