BAHAWASANYA NEGARA
KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak :
Mencapai perpaduan
yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya ;
Memelihara satu cara
hidup demokratik ;
Mencipta satu
masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara
adil dan saksama ;
Menjamin satu cara
liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak ;
dan
Membina satu
masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
MAKA KAMI, rakyat
Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai
cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :
KEPERCAYAAN KEPADA
TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA
DAN NEGARA
KELUHURAN
PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN
UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN
KESUSILAAN
PENDAHULUAN:
Salah satu daripada naluri semulajadi manusia ialah ingin
hidup berkelompok dan bermasyarakat. Maka untuk memastikan tercapainya hasrat
tersebut manusia berusaha dengan sedaya upaya agar kehidupan bermasyarakat
tersebut terlaksana sepertimana yang dikehendaki dan diimpikan mereka. Maka
juga mahu atau tidak mahu mereka akan terpaksa mengenepikan beberapa
kepentingan diri sendiri demi untuk mencapai matlamat murni bermasyarakat.
Sikap murni ini juga dipanggil toleransi.
Walau bagaimanapun, disebabkan juga oleh lagi satu naluri
semulajadi, iaitu kelemahan manusia sendiri maka seringkali tercetusnya juga
permusuhan, perkelahian dan adakalanya sehingga membawa kepada peperangan.
Permusuhan dan peperangan sering terjadi sekalipun dalam satu keluarga, bangsa
dan juga seagama. Permusuhan dan peperangan tercetus apabila kesabaran sudah
tidak dapat dipertahankan dan apabila godaan kebendaan, keegoan dan kepentingan
diri sendiri mula menguasai fikiran seseorang.
Sebenarnya tidak ada kebaikan yang dapat dihasilkan menerusi
permusuhan dan peperangan. Peperangan merosakkan harta benda, memusnahkan
segala kemudahan yang telah sedia ada, memutuskan silaturahim, di samping banyak
melahirkan orang-orang yang cacat, yatim piatu. Malah bagi sesuatu bangsa,
peperangan dan permusuhan akan melemahkan bangsa itu sendiri sekalipun tidak
melenyapkannya dari muka bumi ini. Renungkan semula kepada Krisis Balkan 1998
dahulu yang telah menyaksikan perpecahan negara Yugoslavia yang juga dikenali
sebagai Krisis Bosnia dan Serbia. Justeru, setiap ugama mengingatkan umatnya
supaya sentiasa hidup rukun dan damai serta berpadu erat antara antara satu
sama lain.
DEFINISI PERPADUAN
Perkataan “perpaduan” ini asalnya dari perkataan “padu”
iaitu “mampat”, “pejal” dan “padat”. Perpaduan sebenarnya ialah penggabungan.
Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Lawan bagi “perpaduan” ialah
“permusuhan”, “kehancuran” dan “perpecahan”. Jadi, perpaduan dilihat adalah
sebenarnya tuntutan untuk satu perkara yang baik manakala perpecahan pula satu
perkara yang sangat keji dan tidak baik.
Sebagaimana kita sedia maklum bahawa punca kesejahteraan itu
ialah keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Keharmonian hidup ini
tentulah sukar dicapai tanpa adanya perasaan hormat menghormati, menerima
seadanya keadaan, keikhlasan, kasih sayang dan semangat persaudaraan yang teguh
dalam diri setiap individu yang menganggotai sesebuah masyarakat itu. Oleh itu,
para pemimpin negara kita senantiasa membimbing dan menunjuk jalan kepada kita
semua demi memastikan wujudnya nilai kasih sayang dan perpaduan itu.
Sesungguhnya keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat
dan bernegara ini adalah salah satu nikmat kehidupan yang sangat besar yang
dikurniakan kepada manusia. Bayangkan jika anda telah ditakdirkan sebagai
seorang rakyat Yugoslavia ketika Krisis Bosnia – Serbia dahulu? Bayangkan juga
jika anda terpaksa mengharungi detik cemas dan gelap Perang Dunia Kedua? Kita
semua bernasib baik kerana sebagai warga negara Malaysia yang megah Merdeka,
kita hanya perlu membaca semua ini dalam buku mata pelajaran Sejarah, laman
internet dan menonton segala kesengsaraan mereka hanya daripada kaca televisyen
kita sahaja. Hakikat ini nyata sekali baik di zaman lampau mahupun zaman kini.
Sesiapa saja yang tinggal dalam sebuah negara yang aman akan dapat berusaha
membangunkan kemajuan negaranya dan dapat hidup sejahtera. Sebaliknya mereka
yang tinggal di negara yang kacau bilau, berperang dan berbunuhan, ternyata
mereka hidup sengsara, kelaparan dan keperitan.
HALANGAN KEPADA
PERPADUAN
Dalam mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara,
manusia tidak terlepas dari menghadapi rintangan dan halangan. Halangan-halangan
itu ada yang berpunca dari dalam diri seseorang individu itu sendiri dan tidak
kurang juga datangnya dari luar diri kita sendiri.
Sifat sombong, berfikiran sempit dan terlalu bangga diri
sendiri sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat
atau buah fikiran orang lain. Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan
perpecahan baik di peringkat rumahtangga, keluarga, masyarakat dan negara.
Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan melakukan keganasan dan
kekerasan kepada orang lain. Akhirnya ia mencetuskan permusuhan dan peperangan.
Perbuatan keras akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih
sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Sifat suka bergaduh dan berkelahi sesama sendiri juga akan akhirnya membawa kepada keruntuhan nilai sesebuah bangsa dan tamadun manusia.
BAHAYA AKIBAT
PERPECAHAN
Perpecahan dan permusuhan merupakan perbuatan atau gejala
masyarakat yang sangat membinasakan. Perpecahan dikutuk kerana ia boleh
melemahkan kita sebagai rakyat Malaysia di persada dunia hari ini dan juga
esok. Perpecahan hanya akan melemahkan kita dalam pelbagai keadaan serta menjadikan
negara lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran yang ada dan akibatnya kita
akan dijajah semula oleh kuasa-kuasa asing secara penjajahan politik ataupun
melalui penjajahan ekonomi.
Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati di Malaysia hari ini
adalah salah satu nikmat kurniaan Tuhan yang dicapai menerusi perpaduan dan
keharmonian hidup dalam kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan
kebudayaan. Nikmat-nikmat ini mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus
kekal dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Bagi anda golongan pelajar
dan remaja, secara khusus perpaduan ini lebih penting dan sangat mahal harganya
kerana dengan keamanan dan kemakmuran yang ada pada hari ini maka dapatlah
usaha-usaha ditingkat bagi kebaikan diri anda dan masa depan anda.
Harga sebuah keamanan dan kemakmuran itu sangat penting
kerana rakyat di negara-negara yang lain belum mampu memperlihatkan pencapaian
yang tinggi dalam bidang sains dan teknologiberbanding dengan apa yang telah
dicapai oleh kita di Malaysia hari ini. Sesungguhnya perpaduanlah merupakan
tunjang bagi kemakmuran dan keamanan negara ini.
Tata kelakuan dan gerak-geri masyarakat juga perlu dibentuk
supaya selaras dengan tuntutan harmoni, toleransi dan perpaduan. Tingkahlaku
yang kasar, biadap, tidak sopan serta tidak pandai menghormati orang lain
terutama ibubapa, orang-orang tua, guru-guru dan pemimpin-pemimpin sering
menimbulkan rasa benci antara satu sama lain. Oleh itu, dalam usaha membina
perpaduan umat maka peningkatan rasa hormat dan kasih sayang mestilah dipupuk
dan dipelihara. Dalam konteks masyarakat penyayang yang hendak dibangunkan itu,
maka bidang-bidang ini mestilah diberi perhatian. Para guru-guru perlu
menjadikan diri mereka sebagai teladan yang baik dalam hal ini.
SIKAP YANG DI
PERLUKAN.
Melihat betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan
kejayaan umat dan negara, maka kita mestilah sentiasa memupuk kesedaran
masyarakat supaya menghargai nilai perpaduan ini serta berusaha menjaga dan
memperelokkannya. Kita juga mestilah mengajak masyarakat supaya menjauhi
gejala-gejala yang boleh membawa perpecahan di samping mengajak mereka
berpegang dengan nilai-nilai hidup murni yang berupa kasih sayang, hormat
menghormati dan sebagainya. Namun yang paling utama, kita sendiri mestilah
memulakan cara hidup yang mulia ini sebelum kita mengharapkan orang lain dapat
mengamalkannya pula. Kesimpulannya, kesedaran bermula daripada anda sendiri.
PENUTUP
Demikianlah sedikit penjelasan tentang betapa pentingnya
perpaduan dalam menentukan kesinambungan kepimpinan mana-mana negara jua. Tanpa
kesedaran yang tinggi dan usaha yang gigih dan teratur, masa depan kita semua
dalam bahtera Malaysia ini masih belum pasti lagi arahnya. Maka ayuhlah saudara
dan saudariku semua, marilah kita bersama menjayakannya demi hari esok untuk
kita semua.
PERPADUAN SATU
MALAYSIA
Marilah kita semua bersama-sama menjayakannya. Mulakan
dengan anda!
Nota penulis: Saya sering menerima e-mel daripada rakan-rakan siber
memohon kebenaran untuk “copy and paste” artikel yang mungkin menarik minat
serta mempunyai nilai kegunaan kepada mereka. Saya sedia berkongsi apa-apa
sahaja yang terdapat dalam laman ini. Sila juga emelkan apa-apa sahaja
pandangan agar dapat kita sama-sama berkongsi minda demi masa depan pelajar dan
negara kita yang tercinta ini.
Terima kasih.
* Semoga pelajar kita Mohd.Najmi Imran Mahmud akan cepat sembuh dan kembali
semula ke sekolah.