Contoh Karangan Banjir Kilat.
Banjir kilat sering berlaku
apabila hujan lebat turun secara tiba-tiba. Banjir kilat kerap berlaku di
negara kita. Banjir kilat boleh menyusahkan manusia. Banjir kilat juga
boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa. Banjir kilat
juga boleh mengakibatkan kesesakan jalan raya. Terdapat beberapa punca
terjadinya banjir kilat.
Banjir kilat berpunca daripada
sikap manusia yang suka membuang sampah di merata-rata tempat. Masyarakat
suka membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai. Sampah yang dibuang
boleh menyebabkan longkang tersumbat. Apabila hujan secara tiba-tiba, aliran
air dalam longkang, parit dan sungai akan tersekat. Contohnya seperti yang
berlaku di Jalan Skudai dan Jalan Air Molek di Johor Bahru. Oleh itu,
jelaslah bahawa banjir kilat berpunca daripada sikap manusia yang suka membuang
sampah di merata-rata tempat.
Di samping itu juga, faktor
penguatkuasaan yang terlalu longgar merupakan punca banjir kilat. Hal ini
kerana tiada tindakan undang-undang terhadap orang yang membuang sampah di
merata-rata tempat. Pihak Berkuasa Tempatan pula tidak memantau kawasan
pembuangan sampah. Apabila hujan, kawasan pembuangan sampah menakung air dan
banjir kilat berlaku. Contoh peniaga pasar malam sesuka hati membuang sampah
berhampiran parit atau longkang tanpa dikenakan hukuman. Oleh itu,
jelaslah bahawa penguatkuasaan yang longgar merupakan punca terjadinya banjir
kilat.
Selain itu, banjir kilat berpunca
daripada sistem perparitan yang tidak sempurna. Parit dan longkang yang dibina
di bandar adalah sempit. Parit juga tersumbat disebabkan oleh longgokan sampah.
Hal ini menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan lebat berlaku.
Pengaliran air akan tersekat dan melimpah di jalan raya. Contohnya banjir kilat
yang berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor
Bahru. Jelaslah bahawa sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi punca
banjir kilat.
Faktor iklim juga menjadi punca
banjir kilat. Iklim yang tidak menentu iaitu kadang-kadang hujan dan
kadang-kadang panas boleh menyebabkan banjir kilat. Keadaan ini semakin buruk
dengan fenomena El-Nino yang menyebabkan hujan lebat berterusan. Dengan
ini, jelaslah bahawa faktor iklim menjadi punca kepada banjir kilat.
Kejadian banjir kilat juga berkaitan
dengan aktiviti pemaju projek perumahan. Syarikat perumahan mengabaikan aspek
penjagaan alam sekitar. Pemaju-pemaju perumahan tidak memantau projek
pembinaan. Mereka juga membiarkan sisa-sisa binaan terbiar selepas sesuatu
projek siap djalankan. Contohnya longkang dibiarkan tertimbus dengan pasir dan
sisa binaan. Hal ini menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan turun
dengan lebatnya.
Terdapat banyak punca yang
menyebabkan banjir kilat. Semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur dengan
tebing bagi mengatasi masalah ini. Hal ini penting agar masalah banjir kilat
dapat diatasi. Dengan ini, segala kerugian yang dialami kerana banjir kilat
dapat dikurangkan.
Contoh Karangan Sukan.
Kerajaan telah memperkenalkan
dasar 1Murid 1Sukan. Hal ini bermakna setiap murid harus melibatkan diri secara
aktif dalam salah satu acara sukan yang paling diminati. Selepas diumumkan, dasar
ini telah menjadi buah mulut masyarakat, khususnya ibu bapa. Pihak
media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik saban hari
mengetengahkan perkara tersebut sebagai isu utama. Peribahasa ada
mengatakan “Jikalau tiada angin , masakan pokok bergoyang”. Dasar ini perlu
diperkenalkan kerana negara kita ketinggalan dalam kebanyakan acara sukan
bertaraf dunia. Jika negara kita mahu berdiri sama tinggi, duduk sama
rendah dengan negara maju yang lain dalam bidang sukan, kita mestilah
melakukan sesuatu. Dalam hal ini, semua pihak terutamanya ibu bapa perlu
membantu pihak kerajaan bagi merealisasikan hasrat kerajaan ini. Terdapat pelbagai
usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagimenggalakkan anak-anak menceburi
bidang sukan.
Satu daripada usaha yang
perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah mereka perlu menjadi model atau jurulatih
kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa
perlu berjinak-jinak dalam bidang sukan. Langkah yang paling awal
ialah ibu bapa hendaklah membawa anak-anak berjoging atau beriadah. Selain
dapat meningkatkan tahap kesihatan, ibu bapa dapat mendedahkan aktiviti sukan
kepada anak-anak ibarat sambil menyelam minum air. Sebagai contohnya, ibu
bapa hendaklah membawa anak-anak berjoging di kawasan padang atau stadium yang
berhampiran. Selepas itu, ibu bapa hendaklah bermain badminton atau bola sepak
dengan anak-anak. Melalui aktiviti ini, bakat anak yang terpendam dapat
digilap. Jika ibu bapa merupakan jaguh sukan sebelum ini, bakat tersebut
kemungkinannya dimiliki oleh anak-anak merekabagai kuah tumpah ke nasi. Jika
usaha ini diteruskan dari masa ke masa, anak-anak tersebut akan menjadi jaguh sukan
pada suatu hari nanti setelah diasuh oleh ibu bapa mereka.
Selain itu, anak-anak amat
memerlukan sokongan daripada ibu bapa sama ada secara langsung atau tidak
langsung. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mendorong anak-anak supaya meminati
bidang sukan sejak kecil bak kata pepatah kalau hendak melentur buluh
biarlah daripada rebungnya. Mereka mestilah menjadi pendorong kepada anak-anak
untuk mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat sekolah, daerah atau
sebarang pertandingan sukan. Sebagai contohnya, apabila anak-anak tidak
mencapai kemenangan dalam sesuatu pertandingan, ibu bapa perlu memberikan
dorongan dengan mengucapkan kata-kata bahawa sekali tewas tidak bermakna
akan tewas buat selama-lamanya. Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak bahawa di
sebalik kekalahan sebenarnya kita memperoleh sesuatu yang lebih berharga, iaitu
pengalaman yang tidak dapat dibeli di mana-mana. Oleh yang demikian, ibu bapa
perlu memotivasikan anak-anak supaya mereka rajin berusaha kerana usaha
tangga kejayaan.Tegasnya, sokongan daripada ibu bapa sangat besar impaknya
kepada anak-anak untuk mencapai kejayaan yang gemilang.
Di samping itu, ibu bapa perlulah
memberikan penghargaan dan galakan kepada anak-anak apabila mereka mencapai
kejayaan. Semasa anak-anak mencapai kejayaan pada kali pertama dalam acara
sukan yang disertai, ibu bapa mestilah memberikan penghargaan atau pujian
kepada anak-anak. Apabila dipuji dan penghargaan diberikan kepada mereka,
semangat untuk berlatih atau menceburi bidang tersebut dengan lebih giat akan
meningkat. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah membelikan anak-anak mereka
peralatan sukan yang diminati seperti pakaian, kasut atau peralatan sukan lain
sebagai hadiah. Usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini bukanlah memberikan
peluang kepada anak-anak untuk membuat sesuatu agar mendapat habuan tetapi
membuatkan anak-anak merasai bahawa dirinya dihargai. Melalui cara ini, mereka
akan gembira dan menjadikan aktiviti sukan tersebut menyeronokkan. Menurut
ahli psikologi, minat seseorang dalam sesuatu perkara akan meningkat jika
diberi ganjaran atau penghargaan.
Bukan itu sahaja, anak-anak juga
perlu didedahkan dengan bahan bacaan tentang pelbagai jenis sukan. Melalui
bahan bacaan tersebut, anak-anak akan mengetahui acara sukan yang diceburi
dengan lebih mendalam. Banyak ilmu yang akan diperoleh tentang acara sukan dari
segi sejarah, tokoh yang berjaya, aspek kejurulatihan, pemakanan,
teknik, strategi, dan sebagainya. Pujangga menyatakan, `Membaca Jambatan
Ilmu’. Sebagai contohnya, murid perlu membaca pelbagai majalah yang berkaitan
dengan acara sukan yang diminati seperti majalah sukan bola sepak, hoki, dan
sebagainya. Usaha ini selari dengan dasar 1 Murid 1 Sukan yang memerlukan murid
bukan sahaja mahir bermain malah memahami sesuatu permainan. Dalam hal ini,
melalui Dasar 1Murid 1Sukan, murid-murid bukan sahaja memiliki kemahiran dalam
sesuatu permainan, malah mereka mampu menjadi jurulatih atau pengadil walaupun
tidak mempunyai bakat untuk bermain pada suatu hari nanti.
Sebagai kesimpulannya, ibu bapa
merupakan sumber inspirasi kepada anak-anak untuk menceburi bidang
sukan. Jika ibu bapa menyuruh anak-anak melibatkan diri dalam bidang sukan,
sedangkan mereka tidak melakukannya bersama-sama, usaha ini diibaratkanketam
mengajar anaknya berjalan dengan betul. Tindakan ibu bapa akan menjadi ikutan
anak-anak ibarat bapa borek anak rintik jika mereka turut sama aktif
dalam bidang sukan. Untuk merealisasikan Dasar 1Murid 1Sukan, ibu bapa
merupakan insanyang menjadi pendorong selain guru di sekolah. Ibu bapa
tidak seharusnya mengharapkan guru-guru sahaja untuk membimbing anak-anak
mereka bagi merealisasikan dasar ini. Oleh itu, kerjasama daripada
semua pihak amat penting bagi melahirkan individu yang seimbang dalam bidang
kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Jika ibu bapa berjaya memainkan peranannya,
sukan di negara kita akan terus gemilang selaras dengan slogan `Majulah Sukan
untuk Negara’
Contoh Karangan Mengawal Kenaikkan Harga Barang (Tanggungjawab
Semua).
Setelah menghela nafas
kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada
cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas
hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut
bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak boleh mendabik
dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi, negara kita masih lagi
terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat
diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas
dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi?
Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi
didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh
bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh
dan formula penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini
bak kata peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah
yang tak dapat dituruni.
Setiap penyakit ada penawarnya
yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh
itu,pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen
berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan
bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.Memetik kata-kata azimat
Lootze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah
kebinasaan.
Lantaran itu, kempen tersebut
haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini
dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih
afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan
sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiridan usahlah
bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa
nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada
menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat
menarik penyertaaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan
artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah
bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan
perisai yang ampuh untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.
“Jika satu pintu tertutup, pintu
lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di negara
kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan
kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama
sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah
gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang
ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada
cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan
idea, tindakan agensi bukan kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna
daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan
langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi
yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah
mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini
berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang
dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan
barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan
sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang
sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak
mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab.
Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat
seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah
Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita
lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap
sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan
tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan
atau NGO.
Tokoh psikologi Barat pernah
mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya
hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada
kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana
setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif.
Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya
sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana
pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan
daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan
peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke
premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga
mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah
darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan
tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal,
mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan
telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana
peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di
pergentinganhendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak
berulang ibarat pisang berbuah dua kali.Oleh itu, usaha pihak berkuasa
yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga
yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di
pasaran.
Lampu Aladdin tidak akan bersinar
sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu, persis ungkapan kata
Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana
tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada
menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan
informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah
kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu
kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada
di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan
peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air
keruh, menindas gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian,
media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan
pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan
komitmen pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk
menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana.
Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat
aduan kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka
dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media
elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu
kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam
memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan
di negara ini.
Setelah meniti perbincangan
secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap lapisan
masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan
harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan
soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib
Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang
bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti
haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk
membendung masalah tersebut.