Sunday, February 1, 2009

PENGGANTI CFC DAN HCFC PATUT DIKAJI

Lapisan ozon ialah lapisan yang mewujudkan perlindungan mengelilingi bumi. Lapisan ini berfungsi sebagai penyerap sinar ultra ungu (UV). Manakala CFC (klorofluorokarbon) ialah bahan kimia yang dihasilkan oleh manusia yang boleh memusnahkan lapisan ozon secara perlahan-lahan. CFC juga dapat menyerapkan penyinaran inframerah dari permukaan bumi dan menyebabkan peningkatan suhu, sehingga menyebabkan kesan rumah hijau.

Peningkatan suhu sebegini mencairkan ais batu di kutub dan glasier dengan lebih pantas, serta menyebabkan peningkatan paras laut dan mengganggu perubahan cuaca di bumi. Sinar ultraungu akan menyebabkan kanser kulit, katarak dan melemahkan sistem imunisasi manusia. Peningkatan sinar UV juga akan mengurangkan hasil tanaman dan mengganggu rantai makanan hidupan akuatik dan darat.

Secara umumnya, CFC digunakan oleh pendingin hawa dalam bangunan dan kereta serta sistem penyejukan seperti peti sejuk, penyejuk beku dan mesin pembuatan ais. CFC juga dihasilkan daripada produk getah, seperti dalam pembungkusan makanan dan kusyen. Aerosol seperti racun perosak dan racun serangga serta bahan pencuci dan pelarut minyak yang kita gunakan dalam kehidupan harian juga melepaskan CFC ke dalam atmosfera. Selain itu, pemadam api juga mengunakan halon ini.

Menurut Protokol Montreal yang ditandatangani pada tahun 1987, anggaran konservatif mencadangkan pengurangan penggunaan CFC sebanyak 85% dalam penghapusan CFC pada tahun 2010. Pihak kerajaan dan orang awam patut lebih berwaspada kepada isu ini. Hal ini kerana CFC bukan sahaja akan menjejaskan alam sekitar, malah CFC juga mengancam kehidupan manusia dan organisma lain.

Kerajaan harus menguatkuasakan pembelian peti sejuk alternatif yang bebas daripada CFC tanpa mengambil kira sama ada ia adalah pengguna domestik atau komersil. Syarikat komersial yang besar seperti kilang, pejabat dan hotel boleh memilih produk mesra alam sekitar apabila membeli peti sejuk dan pendingin hawa.

Penguna-penguna domestik juga perlu memilih untuk menggunakan aerosol, pendingin hawa dan peti sejuk yang bebas daripada CFC. Selain menggunakan barang yang mesra alam, kita juga perlu mengawal kadar CFC yang dilepaskan ke alam sekitar dengan meminimumkan kebocoran daripada peti sejuk dan dan pendingin hawa. Peralatan ini perlu diperiksa dari semasa ke semasa untuk mengesan kebocoran atau memasang satu alat untuk mengesan sebarang kebocoran supaya dapat memastikan mesin itu berfungsi dalam keadaan yang baik.

Kini terdapat pengganti untuk CFC di pasaran iaitu hidroklorofluorokarbon atau HCFC. Kuasa penghapusannya kepada lapisan ozon adalah 90% kurang daripada CFC. Oleh itu, kita dapat menggantikan produk dengan CFC kepada HCFC melalui pencapaian Protokol Montreal di Malaysia. Akan tetapi, cara ini ialah cara sementara untuk melambatkan kadar penipisan lapisan ozon. Lama-kelamaan, lapisan ozon akan dihapuskan oleh HCFC juga.

Mesej yang mengelirukan pengguna bahawa HCFC adalah penyelesaian untuk CFC mesti ditangani segera kerana banyak industri dan pengguna domestik telah mula menggunakan HCFC. Bahan alternatif yang boleh mengganti HCFC perlu diusahakan dengan segera. Penggunaan bahan pengganti tanpa perlu menukar peralatan yang telah dibeli akan dapat menjimatkan perbelanjaan semasa penggunaan HCFC dihapuskan.

Pendidikan pengguna yang berterusan merupakan cara yang berkesan untuk mewujudkan perubahan tabiat dan kesedaran kepada pengguna.