Sunday, February 1, 2009

TUNTUTAN BERKAITAN ALAM SEKITAR

Tuntutan terhadap alam sekitar boleh dilihat daripada pelbagai cara. Tuntutan ini juga merangkumi aktiviti seperti kitar semula, penggunaan tenaga, air dan sumber secara lestari, serta kesannya terhadap kehidupan dan alam sekitar. Akta Perihal Dagangan 1972 menyatakan bahawa akta ini dan perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya adalah bertujuan melarang penggunaan perihal, pernyataan atau petunjuk palsu atau yang mengelirukan berhubung dengan barangan, perkhidmatan, tempat tinggal, kemudahan dan harga barang. Sesiapa yang didapati membuat kenyataan palsu kepada pengguna berkenaan barangan, mereka boleh dikenakan tindakan serius oleh pihak yang berkuasa.

Contoh tuntutan berkaitan Alam Sekitar:
Berikut adalah beberapa contoh yang dapat membantu pengguna untuk mengenal pasti jika sesebuah tuntutan yang dibuat oleh sesuatu pihak berkenaan produk mereka adalah benar atau tidak.

(a) Produk mesra ozon atau selamat digunakan tanpa merosakkan lapisan ozon
Sesuatu produk yang dilabel sabagai “mesra alam” boleh menimbulkan kecurigaan sekiranya produk tersebut sebenarnya mengandungi bahan- bahan yang boleh membahayakan lapisan ozon. Maka, pengeluar syarikat tersebut tidak menyatakan sifat
sebenar produk dan ianya adalah salah di sisi undang- undang. Sebagai contoh, terdapat sesetengah penyaman udara yang dilabel sebagai “ mesra alam” tetapi kandungannya mengandungi bahan kimia ‘Volatile Compound Organic” yang sebenarnya boleh menyebabkan kabus bercampur asap berlaku, Di sini, pengguna dikatakan telah diperdayakan.

(b) Barangan kitar semula
Sesuatu produk atau bungkusan pakej mempunyai label yang menyatakan produk tersebut boleh dikitar semula hanya jika produk tersebut boleh dikutip semula, dipisahkan, ataupun dikumpulkan daripada barangan yang telah dibuang untuk digunakan semula melalui proses pengitaran yang betul. Jika tidak, produk itu tidak boleh dilabel kitar semula. Sebagai contoh, beg plastik yang telah digunakan untuk membuang sampah tidak boleh dikitar semula kerana biasanya, beg-beg plastik tersebut mempunyai pelbagai sampah dan telah pun dicemari dengan sampah-sarap. Maka, label kitar semula ini sebenarnya tidak boleh digunakan. Produk makanan yang telah dibungkus dalam kotak yang mempunyai tanda anak panah kitar semula juga mengelirukan pengguna. Perkara ini kerana, tidak ada nota pendek yang menyatakan sama ada kotak itu yang harus dikitar semula atau kotak tersebut diperbuat daripada bahan kitar semula. Perkara ini menimbulkan kekeliruan kepada para pengguna. Oleh itu, tanda kitar semula tersebut harus lebih jelas.

(c) Boleh diisi semula
Sesebuah syarikat atau peniaga tidak boleh meletakkan label atau perkataan pada produk mereka yang menyatakan bahawa “boleh diisi semula” sekiranya syarikat tersebut tidak mempunyai perkhidmatan tersebut. Syarikat pengeluar haruslah menjual ataupun menyediakan perkhidmatan untuk isi semula kepada pengguna terhadap produk mereka. Sebagai contoh, Syarikat X menjual sebuah pen dakwat yang dikatakan dapat diisi semula oleh Syarikat X. Maka, Syarikat X juga harus menjual dakwat yang boleh dibeli oleh pengguna untuk mengisi pen tersebut. Jika Syarikat X hanya menjual pen dan tidak menjual dakwat untuk diisi semula, maka syarikat tersebut tidak boleh menyatakan pen mereka boleh diisi semula. Seseorang penguna mempunyai tanggungjawab supaya meneliti sebelum membeli barangan dan harus memastikan bahawa pengeluar tidak membuat tuntutan yang palsu mengenai barangan mereka, yang boleh mengelirukan pengguna.

SUMBER: Kementerian Alam Sekitar