Friday, March 26, 2010

Latihan Prosa Klasik: Antologi Anak Laut



Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Setelah sudah ditiliknya, maka kata Laksamana, “Hai Si Jebat, apa bicaramu matilah aku olehmu?” Maka sahut Si Jebat, “Pada firasatku, bahawa aku tiada dapat membunuh engkau, engkau pun tiada dapat membunuh aku pada hari ini. Adapun sahajakan matilah olehmu, tetapi negeri Melaka ini habis binasa olehku, seperti khiamatlah lakukannya negeri Melaka ini olehku. Oleh itulah maka aku hendak turun mengamuk, tiada dapat, tiada dapat kerana engkau tidak jauh daripada pintu istana ini. Jika pintu istana ini terbuka, sekarang juga kuturun dari istana ini.” Setelah Laksamana mendengar kata Hang Jebat demikian itu, maka Laksamana pun tertawa.


Maka orang banyak itu pun sebagai naik ke atas birai istana itu dari kisi-kisi istana itu. Maka Laksamana pun menyarungkan kerisnya juga lalu duduk pada sebuah talam itu. Maka Hang Jebat pun menyarungkan kerisnya juga lalu duduk pada sebuah talam itu berhadapan dengan Laksamana. Maka kata Laksamana, “Hai Si Jebat, apatah dayaku, kerana aku dititahkan raja membuang engkau? Dalam pada itu pula, jika engkau berdosa ini lain daripada dosa demikian, tahu juga kupohonkan. Yang engkau dan Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu ini bukanlah sahabat lagi padaku, penaka saudarakulah. Sukar aku berkata.” Setelah Hang Jebat mendengar kata Laksamana itu, maka ia pun menangis, katanya “Kerana kita pun lima saudara kecil-kecilan; bukan lagi bersahabat. Penaka saudaralah.”


(Dipetik daripada Pertarungan Tuah Dengan Laksamana, dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka).



Latihan


1- Apakah yang dimaksudkan oleh kata-kata Laksaman, “jika engkau berdosa ini lain daripada dosa demikian”


2- Pada pendapat anda, bagaimanakah hubungan antara Laksamana dengan Hang Jebat?


3- Pada pandangan anda, apakah yang dimaksudkan oleh Hang Jebat apabila beliau berkata “Kerana kita pun lima saudara kecil-kecilan; bukan lagi bersahabat. Penaka saudaralah.”


4- Huraikan maksud ini: “Pada firasatku, bahawa aku tiada dapat membunuh engkau, engkau pun tiada dapat membunuh aku pada hari ini. Adapun sahajakan matilah olehmu, tetapi negeri Melaka ini habis binasa olehku, seperti khiamatlah lakukannya negeri Melaka ini olehku. Oleh itulah maka aku hendak turun mengamuk, tiada dapat, tiada dapat kerana engkau tidak jauh daripada pintu istana ini. Jika pintu istana ini terbuka, sekarang juga kuturun dari istana ini.”