Friday, May 1, 2009

CONTOH PENULISAN KARANGAN: KEGEMILANGAN ILMUWAN ISLAM




















Karya: Muhamad Nadhir (T3)

Tahukah anda bahawa penemuan teknologi kincir angin yang pertama direkodkan dalam sejarah dunia adalah pada tahun 680 Masihi di Wilayah Baluchistan Iran? Wilayah Baluchistan Iran ini terletak di kawasan yang berbukit-bukau dan pergerakan angin yang melalui lembah-lembahnya adalah kencang dan boleh dikatakan tanpa henti. Menyedari hakikat ini dan berpandukan kepada kajian-kajian yang telah dilakukan oleh Ilmuwan Islam Al-Kashi ( Matematik ) dan Ilmuwan Islam Al-Sufi ( Meteorologi ), penghuni-penghuni lembah berkenaan pun telah membina beberapa struktur tinggi berkipas besar. Kipas-kipas besar ini kemudiannya digerakkan oleh kuasa angin bagi tujuan pengairan ladang-ladang tanaman penghuni lembah dan juga untuk mengisar rempah serta biji-bijian untuk dijadikan tepung.

Pada 30 April 711, apabila Ketua Turus Panglima Perang Islam Tariq Ibni Ziad telah mendarat di Gibraltar beliau kagum melihat kilauan cairan salji dari pergunungan Sierra Nevada dan beliau terus menamakan Sepanyol sebagai Al-Andalus yang bermaksud “Tanah Syurga”. Kerajaan Islam telah memerintah Al Andalus selama lapan kurun, daripada tahun 711 hingga ke tahun 1492. Pada sekitar tahun 711, iaitu ketika Empayar Islam Ottoman berada di bawah naungan Sayidina Umar Al-Khattab, beliau telah memperkenalkan teknologi kincir angin kepada dunia Eropah bagi tujuan pengairan dan juga untuk mengisar bijirin gandum hingga menjadi tepung.

Akan tetapi, sedikit pengubahsuaian dalam spesifikasi pembinaan kincir angin telah dilakukan dengan mengambil kira keadaan bentuk mukabumi dan iklim di Al-Andalus. Kincir-kincir angin yang dibina adalah dalam bentuk melintang dan lebar berbanding struktur binaan asal yang menegak dan nipis. Kipas-kipasnya pula dilebarkan lagi untuk memaksimumkan nisbah pusingan kipasnya kepada daya tekanan tiupan angin yang dikira mengikut kaedah jisim berat batu yang digantungkan di dalam air.

Pemerintah Al-Andalus telah juga membina banyak terusan untuk mengairi bandar, kampung dan juga pemerintah telah menebus guna kawasan tanah yang kering dan berdebu sebagai tanah tapak pertanian. Mereka telah membina “Pusat Pentadbiran” yang besar yang di namakan Al-Hambra, sebuah “Pusat Pembelajaran” yang mengajar ilmu matematik, sains, kejuruteraan, perubatan, kesusasteraan dan falsafah yang dinamakan Al-Granada dan juga sebuah “Masjid Utama” yang dinamakan Al-Qardoba. Melalui penggunaan teknologi, pihak pentadbir Al-Andalus telah berjaya memperkenalkan “sistem pertanian terusan”. Tanaman seperti oren, limau, beras, pokok kurma, kapas dan lain-lain lagi telah juga giat diusahakan pada ketika itu.

Zaman berputar dan sedikit sebanyak, teknologi kincir angin ini telah mula tersebar ke beberapa lagi pelosok benua Eropah pada masa itu terutamanya ke Netherland dan juga hingga ke Selatan Itali. Teknologi ini akhirnya menjangkau hingga ke beberapa buah Negara Baltik yang lain.

Pada hari ini, di Republik Iran penggunaan teknologi bagi menjana elektrik daripada tenaga angin telah diguna pakai dengan meluas. Bentuk kipas-kipas besar yang moden dan serba canggih diputarkan oleh daya tekanan tiupan angin bagi menggerakkan dinamo elektrik yang terbina di dalam struktur rumah angin berkenaan dan akan terhasillah tenaga elektrik. Kini, banyak struktur-struktur moden kincir angin yang digunakan untuk menjana kuasa elektrik bagi mengisi permintaan industri kecil-kecilan dan juga masyarakat setempatnya dibina diseluruh Iran.

Dalam usaha untuk menjadi sebuah negara maju, kita perlulah mengambil insentif untuk mencari sumber alternatif bahan bakar baru untuk memantapkan pergerakan negara kita atas landasan koridor pembanggunan ini. Kemungkinan besar ini adalah peluang bagi negara kita untuk menjadi pelopor utama dalam penggunaan tenaga-jana-semula di rantau ASEAN dan seterusnya di pentas dunia.


Bahan Rujukan:
• www.tv3.com.my (Rancangan Ilmuan Islam)
• Jabatan Kemahiran Komunikasi dan Keusahawanan, Universiti Malaysia Perlis.
• 147 Ilmuwan Islam