Saturday, May 16, 2009

TIMANG TINGGI-TINGGI



Timang tinggi-tinggi,

Sampai cucur atap,

Belum tumbuh gigi,

Sudah pandai baca kitab.


Bait-bait inilah yang pastinya membuai enak tidur anda semasa kecil dulu. Tanpa menyedarinya, pada tahun ini sesetengah daripada anda akan mengakhiri zaman persekolahan di Maktab Sultan Abu Bakar. Semestinya harapan anda semua adalah untuk menjejakkan kaki ke menara gading di dalam negara mahu pun di luar negara. Di situlah nanti anda akan menimba lebih banyak ilmu sebelum berjaya menggenggam segulung ijazah. Segulung ijazah dan segunung ilmu yang pastinya dapat dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan negara tercinta.


Suatu ketika nanti ada daripada anda yang akan menjadi peguam terkenal, mewakili kes-kes berprofil tinggi. Mungkin juga ada yang akan menjadi doktor tersohor kerana telah berjaya menemukan vaksin untuk pelbagai jenis penyakit. Barangkali juga ada di antara anda yang mampu mendebarkan setiap jantung dan mengetarkan nadi seluruh warga dunia apabila menjadi angkasawan pertama menjejakkan kaki di Planet Marikh. Mungkin juga ramai di antara anda suatu hari kelak akan memegang sebuah Buku Rekod Mengajar dan dengan penuh lembut sabar serta dedikasi, mendidik anak bangsa pewaris kegemilangan dan keunggulan Malaysia. Sebagai warga Malaysia yang megah merdeka, kebarangkalian yang dijanjikan oleh masa depan anda adalah sedalam lautan biru, setinggi kerlipan bintang di malam hari dan seluas hamparan pasir Sahara. Bersyukurlah anda dibumi bertuah ini, impikanlah yang terindah dan ukirlah yang terbaik dalam setiap langkah demi masa depan anda sendiri.


Ketika menonton rancangan televisyen, kita acapkali dihidangkan dengan episod kehidupan manusia yang serba mencabar dan menduga. Tersentuh hati melihat mereka yang dalam keadaan terpaksa, menyuap siput babi ke mulut, untuk mengalas perut demi meneruskan kehidupan ini. Ada juga yang terpaksa berhenti sekolah dalam usia yang begitu muda untuk bekerja menyara keluarga. Betapa kisah-kisah ini memberi kesedaran tentang erti kemiskinan.


Manusia tidak akan memilih kemiskinan. Bahkan setiap insan mengimpikan kesenangan hidup yang diwarnai dengan kasih sayang dan sanjungan. Akan tetapi kemiskinan akan tetap mengekori setiap langkah biar ke mana-mana pun destinasi anda. Kemiskinan akan mencari peluang untuk bertapak dalam kehidupan mereka yang lalai serta alpa.


Masa adalah landasan untuk segala pencapaian. Masa tidak pernah memungkiri janjinya dan masa akan tetap berlalu dengan penuh setia tiada lalainya dan kitalah pengejarnya.


Pepatah lama ada menyebut, “masa adalah kekayaan sebenar”. Tidak mustahil akan hilang kekayaan dalam sekelip mata, tetapi dengan masa kita akan beroleh 1001 lagi jenis kekayaan di bumi serta bekalan untuk akhirat.


Justeru, pergunakanlah setiap detik persekolahan untuk membentuk diri, jiwa dan pekerti mulia dengan ilmu yang dicurahkan. Hargai setiap peluang dengan mengizinkan diri dididik dan diberi tunjuk ajar oleh insan yang bergelar guru. Lantas, dengan ketegasan katakan pada diri anda bahawa anda mahu belajar dan anda juga boleh diajar!


Dalam regim ekonomi terbuka seperti yang diamalkan segenap pelosok dunia hari ini, setiap negara memerlukan semua jenis tenaga kerja bagi semua tahap dan peringkat pekerjaan seperti tenaga kerja professional, tenaga kerja mahir dan tenaga kerja buruh untuk menggerakkan jentera ekonominya. Dalam usaha negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja buruh asing, suatu hari kelak semua pekerjaan akan diisi oleh anak tempatan sendiri. Daripada Pembantu restoran hinggalah ke Pengurus Bank, daripada Buruh Ladang Kelapa Sawit hinggalah ke Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur, semuanya akan bakal diisi oleh - ANDA!


Oleh itu, mulai dari hari ini pilihlah hala tuju anda. Idamkan yang terbaik dan olahkan impian itu dengan usaha dan tekad anda. Pastinya suatu hari kelak anda akan tersandar bangga di tempat duduk empuk kereta mewah milik anda dalam perjalanan ke pejabat anda di Menara Impian, Persiaran Jaya. Semua ini tidak mustahil. Andalah penentunya! Ataupun adakah anda sebenarnya akan menoleh sejenak ke arah kereta mewah berkilat yang menderu sebelum anda kembali meneruskan tugas menyapu kaki lima Persiaran Jaya? Pilihlah dan susurilah laluan anda dengan penuh kesyukuran, keinsafan, ketekunan dan keberanian. Nescaya kejayaan milik anda akan tersedia menanti.


Tokoh-tokoh yang pernah tersenarai sebagai individu 10 terkaya Asia, Tan Sri Syed Saleem al-Bukhari pernah bekerja sebagai kelasi kapal dan kemudiannya pula mengambil upah mencuci pinggan di Amerika Syarikat pada tahun 1949 bagi membiayai pembelajarannya di universiti. Taikun telekomunikasi, Tan Sri Ananda Krishnan pernah bekerja sebagai pelayan sebuah kedai makan untuk wang saku. Tan Sri Loh Boon Siew, tokoh industri automotif Malaysia pernah mengandar bakul menjual sayuran yang ditanamnya sendiri untuk mencari rezeki bagi memulakan penghidupan baru di bumi bertuah ini. Dengan kesedaran dan keinsafan, kesusahan akan akhirnya membawa kepada sajdah kejayaan.


Tentu sekali kisah sehebat ini pastinya ada dalam keluarga anda. Setiap satunya telah mengecapi kejayaan melalui liku-liku keperitan hidup yang menyayat hati. Namun mereka gigih berusaha, tekun berikhtiar dan tabah menghadapi segalanya. Bagi anda, hargai dan hayatilah titik peluh dan air mata pengorbanan mereka, kerana sesungguhnya air mata yang pernah mengalir membasahi pipi mereka kini terkandung di dalam diri anda. Sebagai anak waris kepada perjuangan ini, letakkan pada hati muda anda api kejayaan yang akan terus menyala sekalipun tika dibasahi hujan, dibahangi matahari, meskipun menggigil kedinginan salju ditanah asing, semarakkan api yang akan terus menerangi perjalanan anda ke mercu kejayaan!


Ketahui dan ingatlah bahawa setiap mereka yang pernah bergelar warga MSAB terpahat di jiwanya ungkapan Usaha dan Jasa! Labore et Honore! Bahawa sesungguhnya inilah kata-kata keramat Maktab Sultan Abu Bakar! Sematkan di hati biar kemana-mana saja takdir menetapkan anda ke arah memartabatkan diri, keluarga, maktab, agama, dan juga negara tercinta. Selamat Berjaya!



Laman Bimbingan Bahasa Melayu SPM MSAB (EC)