Karya Pelajar: Cik Harizan Amin Husaini (2006) yang kini sedang menuntut di UKM.
Beribu juta tahun dahulu ketika bumi ini masih lagi berada dalam Zaman Jurassic, umat manusia purba pada ketika itu boleh diibaratkan sebagai lipas yang mencari kehidupan di celah-celah tapak kaki gergasi dan taring tajam dinosaurs serta haiwan-haiwan gergasi lain yang hidup bermaharajalela pada waktu itu. Pada masa itu umat manusia adalah amat kerdil berbanding dengan reptilia-reptilia dinosaurs yang lain. Umat manusia terpaksa menghadapi pelbagai cabaran bahaya pada setiap detik untuk meneruskan kehidupan harian di bumi ini. Umat manusia pada ketika itu belum lagi tahu bercucuk tanam, oleh itu mereka memburu untuk mendapatkan sumber makanan harian mereka. Malangnya, mereka yang memburu itu ada kalanya diburu pula oleh haiwan buruan mereka untuk dijadikan makanan.
Dihimpit, diburu dan dimamah hidup-hidup oleh harimau gergasi “The Sabre Tooth Tiger” yang sebesar sebuah Bas Pesiaran, dikejar dari udara oleh pepatung sebesar helikopter atau pun direntap dari tebing sungai oleh buaya gergasi Jurassic adalah barangkali satu norma kehidupan harian buat umat manusia pada masa itu tetapi pada hari ini, kita boleh pergi melihat harimau yang dikurung di zoo ataupun juga mentertawakan gelagat pertunjukan harimau sarkas. Kita juga mengenakan fesyen pakaian daripada kulit-kulit harimau serta reptilia-reptilia yang sememangnya merupakan keturunan kepada haiwan-haiwan raksasa yang pada satu masa dahulu adalah makhluk yang amat kita geruni dan jauhi. Lintang pukang umat manusia dahulu lari dibuatnya. Tetapi hari ini bagi masyarakat di sesetengah negara, harimau merupakan makanan eksotik kegemaran mereka, maka lintang pukang pula harimau lari dibuat manusia.
Jika ditenung kembali, terasa hairan juga bagaimana perkara ini boleh berlaku. Pelik...bagaimanakah umat manusia yang sangat kecil, lemah dan takut berbanding dengan segala jenis haiwan raksasa pada masa dahulu akhirnya menang dalam arus kehidupan di dunia ini? Bukan hanya setakat kita menang, tapi pada hari ini kita ditakuti dan digeruni oleh suku sakat keturunan haiwan-haiwan gergasi ini pula! Hakikatnya adalah sejak azali lagi, Allah telah menciptakan umat manusia lebih istimewa daripada semua ciptaan-Nya di muka bumi ini. Umat manusia telah diberikan kelebihan akal untuk berfikir. Dengan daya akal fikiran ini, kelompok-kelompok pemburu zaman Jurassic dulu pun telah mula berkomunikasi sesama kelompok mereka untuk berkumpul dan berbincang tentang cara terbaik untuk memburu tanpa mereka akhirnya diburu dan dimakan pula.
Setelah berhempas pulas bertukar fikiran, timbullah satu idea: “Kenapa tidak kita korek lubang besar yang dalam dan kita penuhi lubang ini dengan cerucuk tajam, kemudian kita perangkap saja si harimau ganas ini!?” Mereka pun sebulat suara bersetuju dan akhirnya si harimau ganas pun masuk ke dalam lubang perangkapnya. Berbekal kemenangan ini, umat manusia pun mula berfikir dengan lebih jauh lagi. Mereka mula hidup berkomunikasi, bermasyarakat dan mula mempelajari kebolehan mereka satu demi satu. Pada hari ini kita telah meneroka segenap pelosok dunia dan kita telah juga meneroka jauh ke angkasa lepas.
Akal yang telah membezakan kita, akal jugalah yang telah mengangkat martabat kita dalam semua ciptaan Allah. Dalam zaman yang serba moden dan canggih ini, kita umat manusia perlulah menggunakan akal kemampuan kita untuk menilai semula arah tujuan perjalanan ini. Adakah langkah kita selama ini membawa lebih banyak kebaikan daripada kemusnahan ataupun sebaliknya? Adakah kita bersyukur terhadap alam sekitar, iaitu ciptaan dan kurniaan yang tidak ternilai oleh Allah kepada manusia sejagat?
Kepupusan Dinosaurs mengikut sesetengah teori adalah disebabkan oleh kekurangan satu elemen (yang masih belum dikenal pasti dengan tepat ) di dalam campuran oksigen bumi. Menurut teori ini, Dinosaurs yang bersaiz begitu besar memerlukan bekalan oksigen yang mengandungi elemen khas ini untuk terus bernafas, dan pada Zaman Jurassic oksigen dunia memang dipenuhi dengan bekalan oksigen yang diperlukan oleh dinasaur-dinosaur ini. Namun, lama kelamaan, elemen khas dalam oksigen bumi ini semakin menipis dan akhirnya terus pupus.
Umat manusia yang pada ketika itu telah dapat mengadaptasikan diri mereka dengan keadaan ini akhirnya telah berjaya meneruskan kehidupan. Akan tetapi bagi haiwan-haiwan gergasi pula, oleh sebab mereka tidak berakal, mereka cuma menunggu hari dan akhirnya mereka rebah satu demi satu akibat tidak lagi dapat bernafas dengan secukupnya. Hari ini longgokan tulang, lemak dan protein haiwan-haiwan ini kita gali jauh ke dalam perut bumi, dan kita proses semula cecair kotor hitam pekat ini kepada bahan api petroleum yang menjadi komoditi penting dunia sekarang.
Krisis alam sekitar global pada masa ini adalah pada tahap yang membimbangkan. Perubahan pada kitaran cuaca dunia telah menyaksikan hujan lebat yang turun melanda di tempat-tempat yang tidak sebegitu sebelumnya, banjir-banjir buruk juga melanda beberapa tempat akibat daripada ini.
“Fenomena Rumah-Hijau” telah dihubung kait dengan bencana alam ini. Fenomena ini telah merangsang pemanasan global secara mendadak menyebabkan pencairan bungkah-bungkah ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Akibat daripada pencairan ini, paras air laut meningkat dan akhirnya telah mengganggu pusingan arus air panas dan air sejuk di permukaan laut dan di dasar lautan dunia. Keadaan ini juga telah secara langsung merubah suhu dan iklim dunia dan akibat daripada perubahan inilah hari ini kita mengalami apa yang sering diperkatakan sebagai “Perubahan Iklim Dunia”.
Sekiranya faktor penyebab kepada “Fenomena Rumah Hijau” ini tidak dapat ditangani dengan berkesan dari sekarang, maka umat manusia hari ini akan mewariskan kemusnahan alam sekitar kepada generasi hadapan. Oleh itu marilah kita bersama-sama memelihara alam sekitar. Jadikan masyarakat kita yang tersohor di dunia dalam teknologi kitar semula dan pemeliharaan alam sekitar.
“Alam Sekitar Tanggungjawab Anda”.